Perancangan 6 bulan yang lalu. Sudah beberapa kali Dr. Rozi Sensei menghantar mesej. Buat persediaan. Yang paling penting, passport, pesannya. Kerajaan Jepun telah memansuhkan Visa kepada pelawat daripada Malaysia mulai tahun 2013. Apa yang perlu dibuat ialah gantikan passport lama dengan  passport yang ada kalikarbonat. Iaitu tanda seakan cip di muka hadapan sebelah bawah. 
 Entah mengapa saya tak pernah respon mesej Dr. Rozi ini. Sibuk kerja, konon. Lagipun saya yakin passport saya masih baru, tiada masalah, lagipun  akan tamat pada Jun 2015.  Oh ya, 5 minggu sebelumnya,  saya menemani isteri ke pejabat Imigresen Raub untuk membuat passportnya, sebab kami nak bercuti ke Chiang Mai pada 24 Oktober.  Saya sempat bertanya pegawai kaunter tentang passport ke Jepun.Tapi saya tidak bawa passport pada masa itu. Sekadar bertanya sahaja.  Pegawai tersebut kata, tiada masalah.  Boleh pakai yang sedia ada. Tapi kalau nak sambung atau renew, lagi baik, katanya. Ok. fine.  
Ada sedikit bimbang juga di hati. Saya nyatakan bimbang  ini kepada Mazdaruddin dan Mail. Mazdaruddin sempat pergi ke pejabat Imigresen pada 11 Nov dengan membawa passport saya. Rumahnya di Raub. Katanya, pegawai kaunter kata tiada masalah. Untuk puaskan hati, saya, Mazdaruddin dan Mail pergi ke pejabat Imigresen Raub esoknya,  12 Nov 2013. Kami bertanya pegawai yang lebih kanan. Jawapannya masih sama. Tiada surat pekelilng diterima pejabat itu setakat ini. Tiada hitam putih. Pegawai itu siap membandingkan passport terbaru dengan passport saya yang tidak berapa baharu. Bezanya ialah passport baru ada helaian plastik keras di bahagian dalam. Kami pun pulang dengan yakin.
Nak terbang 23 Nov 2013 (Sabtu), pukul 2.05pm.   Pada 22 Nov (Jumaat), pukul 2.30 petang, saya buat panggilan kepada Dr. Rozi. Suara kurang jelas. Katanya dia baru sampai dari Kota Kinabalu. Masih di airport. Nanti dia call balik. Saya nak bertanya tentang passport tersebut. Huh! Esok nak pergi, petang ni baru nak tanya? Dah pukul 2.30 pulak tu! Lagipun saya berada jauh dari rumah, tanpa passport. Kalau Dr. Rozi kata, kena buat yang lain, sah-sah saya tak sempat patah balik ke rumah, ambil passport dan pergi semula ke Raub, ke pejabat Imigresen. Masa untuk perjalanan itu paling cepat pun 2 jam. Dan, bila saya sampai di pejabat Imigresen Raub, kaunter pasti telah ditutup. Baik. Tenangkan hati. Tunggu sahaja Dr. Rozi call balik.
 Saya pun meneruskan acara. Pergi buat medical check up di hospital Raub. Ini untuk projek Peace World Ride Tour di Manila pada 24 Mac 2014 nanti. Kerajaan Filipina syaratkan peserta mesti melalui pemeriksaan kesihatan. Selepas itu saya pergi pula ke rumah Kareem. Menziarah anaknya yang kurang sihat.  Sekonyong-konyong jam sudah pukul 7.00 malam. Baru nak balik rumah. Bateri handset habis pula..  Sampai di rumah, tak on pula handset. Cas bateri dan power bank saja. Terlupa pula Dr. Rozi nak call.  Packing ala kadar, back packers aje. Tidur...
23 NOV 2013 Pagi-pagi lagi dah gerak bersama Mail ke Raub. Mazda tunggu di sana. Sampai Gombak, singgah minum dulu. Kami dijangka sampai di LCCT pukul 10.30. Bertemu semua peserta rombongan di hadapan McD. Selesai minum, Saya yang memandu, bercadang ambil laluan MRR2 terus masuk Bangi, Nilai dan Sepang. Tapi Mail kata ikut Lebuhraya Putra Jaya lagi cepat. Kami pun membelok. Borak punya borak, simpang ke Sepang terlepas. Akhirnya jalan terus masuk Nilai balik. Masa sudah lari 40 minit. 
 Sampai di LCCT hampir 11.30 pagi. Call Dr. Rozi katanya dia tunggu di bahagian Ketibaan Antarabangsa. Huh? Buat apa tunggu kat situ? Tunggu siapa yang tiba dari luar negara? Kami pun bergegas ke situ. Dalam 5 minit tak jumpa, call Dr. Rozi balik. Dia kata tersilap, dia tunggu di Pelepasan Antarabangsa. Kami bergegas pula ke situ. 
Setelah bersalam lebih kurang dengan rakan-rakan yang lain, Dr Rozi minta nak tengok passport kami bertiga. Passport Mazda, ok.Passport Mail, ok. Sebab diorang berdua ni baru sahaja pergi Mekah. Tiba passport aku, haaaaah...!!!! Hampir terduduk Dr. Rozi. Liiiii...! Passport ni bukan kalikarbonat!!! Tak lepas ni..!  Dr. Rozi menggeleng kepala bercampur sedih yang amat. Dia kata saya tak boleh pergi ke Jepun. Saya terpaksa tinggal. Dia kata dia dah mesej banyak kali. Saya diam. Salah saya. Malam tadi dia call pun tak dapat. Salah saya lagi.  Dia janji akan bawa saya semula ke Jepun bulan Mac 2014 nanti. FOC. 
Apa nak buat....? Kami pun cuba bertanya kaunter check in. Kata pegawai tersebut, boleh cuba pergi ke Presint 14 Putra Jaya untuk buat passport baru.  Waktu sekarang pukul 11.30. Flight 2.05pm. Last confirm check in  1 jam sebelum terbang, iaitu 1.05pm. Boarding time setengah jam sebelum terbang.  Gate tutup 1.40pm. Gila!! Kami pun tak tahu kat mana Presint 14.?  Nanti nak cari pejabat buat passport tu pula. Pegawai tersebut memberi kami alamat pejabat passport tersebut.  Mail, Mazda dan Nazri sanggup menemani saya. Opps! Bukankah hari ini hari Sabtu? Pejabat passport bukakah?  Kata pegawai check in, buka tapi separuh hari sahaja. Wow!!! Sempatkah?
Kami sepakat naik teksi sahaja. Kalau bawa kereta sendiri, lagi lambat jadinya.  Teksi airport mesti tunggu giliran dulu, ambil kupon. Kami kata nak cepat sangat. Pemandu teksi kata kalau nak cepat bayar RM64.00. Ok, deal.  Walaupun ada GPS, nampanya pemandu teksi inipun tak biasa dengan jalan di Putra Jaya.  Dalam masa 45 minit akhirnya kami sampai di Persiaran Diplomatik, Presint 14.  Sampai sahaja di bangunan tersebut, kami tercari-cari pejabatnya. Tersilap masuk lif pula. Pejabatnya di aras bawah sahaja. Tak perlu lif pun.  Meluru saya ke kaunter. Masih ada pelanggan menunggu. Kata petugas, kaunter, nombor giliran dah habis. Jadi saya tak dapat dilayan. Saya kata, tolonglah, Flight saya pukul 2.00pm. Dia kata dia cuba tolong. Dia minta bukti tiket. Saya kat tak ada, sebab saya belum check in. Saya tak dapat check in sebab passport saya  bukan  kalikarbonat.  Habis tiada bukti? Nasib baik Mail ada bawa tiket (boarding pass), Tunjukkan sebagai bukti. Pegawai  tersebut tengok, ok. Ada bawa gambar? Hah? Mana ada? Tiada gambar tak boleh proses. Cuba encik pergi ke kedai gambar di hujung blok ni. Tapi saya rasa mungkin dah tutup sebab dah 12.00 lebih ni.  (Jangan cakap macam tu, biar saya pergi tengok dulu...)
Saya pun berlari ke kedai gambar tersebut. Fuh! Masih buka. Tolong cepat sikit! Dengan rambut berserabut, saya setuju aja pic tersebut. Bayar RM10.00, lari semula ke pejabat passport. Serah passport asal dan gambar. Pelanggan lain semua dah tiada. Tunggu.... dalam 20 minit siap. Bayar RM300.00.  Tarikh tamat dilanjutkan 2019. Prosesnya agak cepat sebab perbaharui sahaja, bukan buat yang baharu. Kalau  baharu, prosesnya 1 jam.  
Keluar ke jalan. Saya telefon teksi. 15 minit akan sampai. Sekarang sudah hampir 12.30! Ok. sanggup tunggu juga. Kat sini memang sukar nak dapat teksi. Rupanya Mail pun telefon teksi yang lain. Akhirnya kedua-dua teksi sampai serentak. Kami pilih teksi yang Mail telefon. Operator yang saya call teksi tadi marah-marah kat saya. Saya hanya mampu minta maaf. Tahan telinga sahaja. Memang nak cepat sangat. 
Pemandu teksi kami minta bawa laju sedikit. Dia kata kena ikut jalan potong. Ikut Dengkil. 120  dia pandu. Teksi ni agak lama sikit. Tak ada rasa aircond pun.. Mail kata ada signal amaran warna merah pada meter di dashboard teksi ni. Minyak nak habis? Tarik nafas, tawakal sahaja. Kalau terlewat sedikit, Mail, Mazda dan Nazri masih boleh pergi. Kalau terlewat banyak, kami berempat akan tertinggal!!!! Lalalalaa ....
Akhirnya tepat pukul 1.00 tengahari kami sampai di LCCT. Saya meluru keluar teksi, melintasi 3 lorong kereta, terus ke kaunter check in. Termengah-mengah dengan beg di belakang. Sesampai di kaunter, ......CLOSED. Saya termenung di hadapan kaunter. Tiada sesiapa....
Tiab-tiba, muncul pegawai kaunter tersebut dari bawah kaunter.. Dia buat apa kat bawah kaunter?  Saya beritahu dia , bahawa saya adalah orang yang dia suruh pergi buat passport tadi. Dia masih ingat. Senyum saja dia. Sempat ya bang? Ya, sempat, diorang memang cekap. (diorang di sini saya maksudkan semua pihak yang terlibat, pemandu teksi hala pergi, pegawai passport, tukang ambil gambar, Mail, Nazri, Mazda, pemandu teksi hala balik, dan sebentar lagi pegawai kaunter check in ini).  
Ok, bang, semua beres. Ini boarding pass abang. Sila ke bahagian pelepasan antarabangsa, semua kawan abang dah masuk. Saya pun meluru ke situ. Selepas pemeriksaan Passport oleh kastam dan pemeriksaan luggage, saya ke pintu T16. Tiada sesiapa... Eh!  Dr. Rozi masih tercegat di situ. Seperti patung. Penuh kesayuan. Menjerit nama saya penuh kesayuan. Sedih ada, terharu ada, ketawa ada.... Kami berpelukan.... Syukur..  Rasanya ada air mata juga di situ...
Kemudian muncul Nazri, Mazda dan Mail...  Kami masuk  ke perut kapal terbang bersama-sama...Pukul 2.05 petang, roda  kapalterbang  terangkat meninggalkan bumi Malaysia... membawa kami ke bumi Jepun..
Hit: 8 Laman Asal