Tanam semula: 11 lagi penyelewengan Felda Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan 11 lagi bentuk penyelewengan Felda mengkhianati peneroka yang majoritinya Melayu.

Menurut beliau, melalui Tabung Tanam Semula yang ditubuhkan sejak Januari 1985, sepatutnya setiap peneroka layak mendapat RM17,000 sebagai bayaran tanam semula.

Ini kerana, setiap peneroka pada setiap bulan telahpun mencarum sebanyak RM4 seekar supaya Felda memulangkan RM17 ribu kepada setiap peneroka bagi kerja-kerja tanam semula.

Di sebalik penubuhan Tabung Tanam Semula itu, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Peneroka dan Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, pertamanya Felda enggan menyerahkan Wang Tanah Semula kepada peneroka yang melaksanakan kebun mereka secara persendirian meskipun telah mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan.

"Peneroka ini telah ikut garis panduan seperti pokok tua perlu ditebang, peneroka perlu tanam pokok yang baru.

"Segala yang Felda mahu mereka patuhi tetapi wang tanam semula yang dijanjikan Felda itu tidak juga diberikan oleh Felda," ujarnya.

Kedua, katanya Felda bertindak melampau memotong RM8,500 untuk 10 ekar Wang Tanam Semula (RM17,000) tanpa persetujuan peneroka atas alasan peruntukan input pertanian.

"RM8,500 Felda sudah ambil, separuh lagi yang sepatutnya diberikan kepada peneroka, tetapi tetap tidak beri," ujarnya.

Ketiga, katanya Felda tidak membayar Wang Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

Penyelewengan keempat, katanya Felda sewenang-wenangnya membuat potongan baru caruman tanam semula kali kedua antara RM114 hingga RM119.

"Kali pertama RM17 ribu tidak dibayar, kali pertama dipotong RM40 dan potongan kali kedua meningkat tiga kali ganda.

"Borang (tanam semula kali kedua) baru edar, tetapi dia dah potong dulu," ujarnya sambil menganggap Felda bertindak melampau ke atas peneroka.

Keempat, katanya Felda menyembunyikan maklumat mengenai insentif tanam semula yang diberikan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjumlah RM1,000 bagi setiap hektar kebun sawit peneroka.

"Dia tak beritahu pun pada peneroka, rupa-rupanya ada insentif," ujarnya.

Keenam, katanya Felda tidak menyalurkan Bantuan Tanam Semula kepada peneroka sedangkan Risda memperuntukkan RM7,000 sehektar (getah ke getah) dan RM6,000 sehektar (getah ke sawit).

"Bantuan ini adalah ketipan dari wang ses yang dikenakan kerajaan ke atas setiap jualan getah berasaskan seksyen 3, Ordinan Kumpulan Wang bagi perusahan getah, Akta Penanaman Semula, 1952.

"Rupanya wang itu telah digunakan Felda, maknanya tidak amanah, wang yang disalurkan Risda tidak diserahkan (kepada peneroka)," ujarnya.

Ketujuh, katanya Felda tidak menyediakan penyata lengkap kos pembangunan tanam semula hingga hutang peneroka begitu tinggi dan tidak munasabah.

"Bayangkan kos tanah semula di Pengeli Timur sahaja sudah mencecah RM62,740 dalam tempoh empat tahun dalam keadaan peneroka tidak diberitahu apakah potongan yang sebenar," ujarnya.

Kelapan, katanya Felda masih mengekalkan kadar faedah atas kos tanam semula 6.25 peratus hingga sekarang.

"6.25 peratus mengambil kira pinjaman yang dibuat oleh Felda melalui Bank Dunia (sedangkan) pada tahun 1996, hutang dengan Bank Dunia telah langsai."

Kesembilan, katanya hasil jualan kayu getah tua tidak disalurkan terus kepada peneroka, sebaliknya masuk ke akaun Felda serta dibuat pemotongan sesuka hati.

"Felda khianat sebab Felda mengambil duit itu dulu, dia cek hutang-hutang yang peneroka pun tak tahu berapa hutang dia dan kemudian dia kata inilah baki," ujarnya.

Kesepuluh, beliau mempersoal tentang kos tanam semula Felda yang begitu mahal berbanding kos tanam semula oleh Sime Darby, IOI dan sebagainya.

"Sepatutnya kos tanam semula kali kedua lebih murah sebab jalan pertanian, teres sudah sempurna , Felda tak perlu buat,” katanya.

Kesebelas, ujarnya Felda mengambil masa yang begitu lama, sekitar 2 tahun hingga 4 tahun selepas sawit dan getah mengeluarkan hasil untuk membuat pembayaran penuh.

Katanya, pendahuluan hasil yang diberikan sangat terdedah pada penipuan kerana tiada penyata lengkap mengenainya.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya caruman wang tanam semula dikembalikan kepada rakyat serta-merta tanpa syarat.

"Untuk maklumat, lebih 4,000 peneroka sebelum akhir tahun ini akan menyaman Felda (kerana) selepas kemenangan peneroka (Felda Sungai Koyan 2 dan 3, dan Kemahang 3), imej Felda nampak buruk."

"Kalau mereka (Felda) masih enggan, sombong dan angkuh, mereka bersedialah menghadapi kesedaran peneroka nanti," nasihatnya kepada Felda









Mengapa paksa bukan Islam ikut cara Islam Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menjelaskan kepada golongan bukan Islam di seluruh negara mengapa pelajar bukan Islam telah dipaksa untuk membuat cara sembahyang (berdoa) orang Islam.

Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, ini seperti yang berlaku pada 13 April 2008 di dewan kuliah Rejimen 515 Askar Wataniah, Jalan Ampang dengan meminta Zahid memberikan identiti pelatih yang terlibat dalam kes tersebut.

“Saya meminta agar Zahid menjelaskan mengapa perkara sebegini boleh berlaku di bawah kepimpinannya,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong amat kesal dengan tindakan mengungkitkan semula isu di mana pelajar bukan Islam telah dipaksa untuk meniru cara sembahyang orang Islam.

“Sekiranya Kerajaan BN mengangap kes di atas merupakan satu-satu kes yang berlaku di negara ini, maka saya akan memberikan satu lagi contoh untuk membuktikan kes tersebut bukan satu kes terpencil tetapi merupakan a tip of the iceberg,” ujarnya.

Mengenai kejadian pada 13 April 2008 lalu itu, kata beliau sekiranya pelatih enggan untuk membuat perkara yang sama maka dia akan dipaksa untuk meninggalkan kem.

Selain itu, tambahnya pemberi maklumat juga risau akan dipecat kerana membongkarkan isu itu.

Baginya, Askar Wataniah merupakan pertubuhan penting dalam sistem pertahanan negara.

Mereka yang menyertai askar wataniah tidak kira berasal dari mana-mana kaum, matlamatnya adalah sama iaitu mempertahankan kedaulatan negara dan memberikan sumbangan kepada negara.

Malangnya, kata beliau remaja yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bercita-cita untuk mempertahankan negara telah berasa tidak senang hati kerana gangguan ke atas kepercayaan mereka daripada kumpulan fanatik agama yang wujud dalam pasukan.

Menurut statistik yang dikeluarkan pada 2006, kaum Cina hanya membentuk 5% daripada jumlah askar wataniah di mana Rejimen 509 Askar Wataniah yang terletak di Lebuhraya Peel merupakan satu contoh yang baik.

Rejimen ini menerima penyertaan hangat daripada orang Cina. Penyertaannya adalah tidak berasalkan kaum, malah pelatih telah mengadakan road show di setiap sudut untuk menyedarkan golongan remaja bahawa kepentingan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Kaum Cina yang menyertai askar wataniah juga terdiri daripada golongan mahasiswa dan golongan profesional.

Program askar wataniah telah memberikan masa yang fleksiber kepada para peserta untuk menggalakkan penyertaan mereka ke dalam perkhidmatan askar wataniah. Mereka akan dilatih pada hujung minggu. Latihan rekrut adalah lebih kurang seperti latihan sebenar malah mereka juga diberikan gaji.

Peserta boleh memilih Latihan Tempatan atau Latihan Lanjutan apabila latihan rekrut tamat. Mereka akan dibahagikan kepada latihan ketenteraan yang berlainan seperti Kor Armour, Rejiman Askar Jurutera, Rejimen Semboyan dan sebagainya.

“Malangnya, askar wataniah yang tidak membezakan warna kulit, terkenal dengan tindakan tatatertib yang ketat dan reputasi yang baik, kini reputasinya telah dicemari oleh dasar agama Kerajaan BN.

“Situasi yang berlaku kini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang menjanjikan kebebasan beragama,” ujar Teck Hwa lagi

Hit: 22 Laman Asal