Sokong rakyat Mesir jika benar dahulukan rakyat Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Jika benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap mendahulukan rakyat, beliau hendaklah menyatakan sokongan kepada kebangkitan rakyat Mesir menuntut presiden mereka berundur, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan cakap sahaja mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi bersikap buta dan pekak kepada aspirasi dan tuntutan rakyat seperti yang dicerminkan oleh rakyat Mesir yang bangkit beramai-ramai itu.

"Jangan hanya sedap pada slogan sahaja, sedangkan apa yang berlaku ialah rakyatlah yang terlebih dahulu menanggung kesusahan," katanya.

Mahfuz juga melihat apa yang berlaku di Mesir itu berpunca dari sikap Presiden Hosni Mubarak yang menjadi boneka Israel dan Yahudi Zionis.

"Sebab itulah kita bimbang negara ini juga akhirnya akan menjadi boneka dan porak peranda seperti Mesir dengan sikap kerajaan Najib yang begitu mesra Zionis termasuk melantik firma Zionis seperti Apco Worldwide untuk menjadi rakannya dalam melaksanakan pemerintahan negara ini.

"Itu belum lagi diambilkira hubungan dagang dengan Israel yang seolah-olah dirahsiakan sehinggalah perkara itu menjadi isu baru-baru ini," katanya.

Mahfuz percaya, kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) akhirnya akan menghadapi nasib yang sama di tangan rakyat negara ini kerana kegelisahan sebahagian besar rakyat negara ini hakikatnya sama dengan kegelisahan rakyat Mesir.

"Sama seperti apa yang berlaku di Mesir, rakyat Malaysia juga mahukan demokrasi yang sebenarnya serta keadilan dan pembebasan dalam kehidupan ekonomi mereka bahkan rakyat Malaysia juga berhadapan dengan Datin Seri Rosmah Mansor yang dilihat sama seperti Leila Trabelsi iaitu isteri Zine el Abidine Ben Ali, bekas presiden Tunisia yang dihalau oleh kebangkitan rakyat negara itu baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia juga sedang berhadapan dengan tekanan kenaikan harga barang yang berterusan termasuk kenaikan harga minyak sehingga kadar penerimaan terhadap Najib jatuh merudum dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia juga berhadapan dengan pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang dan kerajaan pula memberatkan lagi bebanan rakyat termasuk generasi akan datang dengan hutang negara ekoran perlaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikritik oleh orang-orang Umno sendiri sebagai tidak berpijak di bumi nyata," katanya.

Dari sudut demokrasi dan hak asasi pula pula, kata Mahfuz, Human Rights Watch (HRW) sendiri menyifatkan kerajaan Najib hanya bercakap kosong sahaja dalam soal hak asasi manusia.

"Bukan setakat itu sahaja, kerajaan Najib juga sedang berusaha untuk menyekat kebebasan termasuk melalui cadangan untuk mengadakan kawalan siber," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan kerajaan Najib semakin kasar menyekat suara rakyat.

Mengulas perkembangan di Mesir, Mahfuz meminta Mubarak berundur kerana kedegilannya untuk terus berkuasa mendatangkan masalah kepada masyarakat dunia.

"Harga minyak dilaporkan akan naik berikutan perkembangan di Mesir dan para pelajar di seluruh dunia pula terkandas di negara itu," katanya.



Solat hajat untuk pelajar Mesir Jumaat ini Rizal Tahir

KOTA BAHRU, 3 Feb: Satu solat hajat untuk keselamatan pelajar di Mesir akan diadakan pada hari Jumaat ini selepas kuliah mingguan dari Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Medan Ilmu.

Sehubungan itu, semua rakyat Kelantan yang berkesempatan diajak untuk bersama-sama dalam solat ini.

“Selepas kuliah pagi Jumaat ini, saya hendak mengadakan sembahyan hajat. Oleh tu, semua yang hadir pada kuliah pagi Jumaat tu supaya bersedia dengan air sembahyang,” kata Nik Aziz kepada Harakahdaily.

Beliau juga meminta agar kerajaan pusat segera membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.

Ujarnya, beliau menyerahkan kebijaksanaan kerajaan Malaysia cara untuk membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia.

“Pelajar-pelajar Malaysia disana pun tak boleh nak belajar, jadi lebih bawa balik semua mereka yang berasa di Mesir,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh Harakahdaily di pejabatnya pagi tadi selepas menerima kunjungan hormat dari Panglima Wilayah Laut 1, Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang Kuantan, Laksamana Pertama Datuk Pahlawan Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

Sementara itu,semalam Persatuan Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir juga menggesa kerajaan Malaysia berusaha membantu pelajar negara ini pulang ke tanah air.

Pengerusinya, Zulkifli Mat Yusof, pada sidang medianya berkata tindakan itu perlu dilakukan segera bagi membantu pelajar yang kini berada di negara yang penuh dharurat itu sebelum nasi menjadi bubur.

Pada sidang medianya semalam ibubapa pelajar yang kini belajar di sana turut hadir untuk turut menggesa kerajaan Pusat membantu pelajar.

“Masaalah tidak akan selesai sekiranya pelajar dibawa masuk ke negara ketiga,”ujarnya.

Sambungnya, keadaan pelajar kini tidak lagi selamat berikutan ketegangan itu berlaku.

Lebih 11,000 pelajar Malaysia kini sedang mengikuti pengajian di sana, di mana 1,281 orang adalah dari Kelantan.

Salah seorang pelajar yang selamat pulang, Tengku Nur Farah Ain Qistina Tuan Kamarulbahrain, mengakui keadaan tegang menyebabkan rakyat Mesir termasuk pelajar dalam ketakutan.

Bukan itu sahaja, makanan juga semakin berkurangan berikutan semua urusan jual beli dan sebagainya telah terputus termasuk bank juga tidak lagi beroperasi.

“Sewaktu saya ke airport untuk pulang, mereka hanya memohon doa keselamatan untuk mereka disamping membawa mereka pulang ke tanah air,”ujarnya.


Shuhaimi didakwa Isnin ini Ismail Hashim SHAH ALAM, 3 Feb: Ahli Dewan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang ditahan polis pagi tadi kemudian dibebaskan 10 minit kemudian berkata, beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin ini.

Shuhaimi berkata, setelah ditahan selama 10 minit di Balai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Shah Alam, Seksyen 11 dekat sini, beliau dibebaskan dengan jaminan polis.

(GAMBAR: Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei (dua dari kiri) keluar dari IPD Shah Alam diiringi Exco Selangor, Dr Xavier, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan peguam Lateefa Koya.)

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Keadilan ditahan ekoran puluhan laporan mengenai tulisan di blognya 31 Disember lalu mengenai isu pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor baru.

Ketika bercakap kepada Harakahdaily selepas dibebaskan tadi, Shuhaimi berkata, beliau akan didakwa di bawah Akta Hasutan 4.1 (C) pagi Isnin ini.

Beliau diiringi sekitar 50 penyokong termasuk peguam Latheefa Koya, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad dan Exco Pemuda Keadilan, Azmizam Zaman Huri.

Dalam keadaan begini, beliau masih sempat berseloroh sambil berkata, "Sungguh efektif kerja polis dalam hal berkaitan politik..." yang pasti merujuk kepada banyak kes yang dilaporkan pimpinan Pakatan Rakyat yang masih tidak dihiraukan pihak berkaitan.

Ia juga berkaitan dengan hari ini adalah hari cuti umum Tahun Baru Cina.

Sementara itu, dalam sidang Dewan Negeri Selangor, baru-baru ini, Shuhaimi yang dilaporkan sebagai penderhaka oleh media pro-BN, telah mendedahkan sekitar 14 belas kes penderhakaan oleh pihak terbabit.



Ariffahmi nafi dikunjungi SPRM Rizal Tahir KOTA BHARU, 3 Feb: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Ab. Rahman, menafikan beliau dikunjungi Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti dilapor sebuah akhbar baru-baru ini.

Menurutnya, setakat hari ini tiada pegawai SPRM datang ke rumahnya untuk membuat siasatan.

“Setakat ini tidak ada seorangpun pegawai SPRM ke rumah saya untukmenyiasat sebagaimana yang dimaksudkan,” katanya.

Beliau juga yakin akhbar yang menyiarkan laporan itu hanya mengambil maklumat dari blog dan sama sekali tidak benar.

"Saya mengingatkan media agar tidak mengambil sebarang maklumat dari mana-mana blog untuk dijadikan berita.

"Sepatutnya setiap maklumat yang diperolehi perlu mendapat pengesahan dari mana-mana pihak yang dimaksudkan dalam blog berkenaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau akan memberi kerjasama kepada pihak SPRM demi untuk kebaikan bersama jika perlu.

SPRM Kelantan sebelum ini memberitahu, siasatan membabitkan penyelewengan dan salahguna kuasa terhadap menantu Menteri Besar Kelantan itu masih belum selesai.

Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor, berkata SPRM kini sedang mendapatkan beberapa lagi maklumat dan dokumen bagi memantapkan lagi siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Pada 15 Disember tahun lalu, Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata pihaknya menutup dua kes berprofil tinggi membabitkan penerimaan wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji oleh Menteri Besar Kelantan dan pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK.




Jangan diskriminasi bawa keluar pelajar Harakahdaily KUALA LUMPUR, 3 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat berharap usaha membawa pelajar Malaysia keluar dari Mesir bukan hanya kepada pelajar berdaftar dengan kementerian sahaja, malah semua rakyat Malaysia di sana.

Harapan tersebut dizahirkan Ketuanya, Nasrudin Hassan disamping mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang berusaha membantu membawa keluar rakyat Malaysia dari negara teluk yang sedang bergolak itu.

"Namun Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan ia adalah pertolongan yang menyeluruh tanpa diskriminasi kepada pelajar persendirian dan juga pelajar yang tidak berdaftar dengan kementerian justeru mereka juga adalah rakyat Malaysia.

Kerajaan semalam melancarkan Operasi Piramid bagi membawa keluar lebih 11,000 rakyat, terutama pelajar dari negara bergolak Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dengan menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat dan kapal syarikat swasta ke negara itu.

Operasi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud, membabitkan tiga pesawat C130 Hercules TUDM, sebuah pesawat Boeing 747 MAS dan Airbus A320, A330 dan A340 milik AirAsia, kapal KD Bunga Mas 5 TLDM yang berada di Teluk Aden, berhampiran perairan Somalia serta kapal dagang Malaysia International Shipping Cooperation Berhad (MISC), dijangka membawa keluar rakyat Malaysia dalam tempoh empat hingga lima hari, mulai jam 6 pagi ini waktu Mesir (kira-kira jam 12 tengah malam tadi waktu Malaysia).

Dalam perkembangan berkaitan, Gabungan parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menamakan diri mereka sebagai Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir akan membuat tiga desakan terhadap Amerika Syarikat, Jumaat ini.

Desakan itu akan dibuat dalam himpunan besar-besaran bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat 4 Februari ini.

Sehubungan itu, orang ramai turut dijemput hadir menyertai himpinan tersebut.



Arnab lambang pantas, mesra Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Feb: "Arnab melambangkan kepantasan dan mesra, diharapkan boleh menjadi satu pendorong untuk masyarakat Tionghua lebih maju ke hadapan di dalam apa jua bidang," kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan itu menyatakan demikian dalam perutusan Tahun Baru Cina.

Berikut perutusan penuh beliau.

Saya ingin mengucapkan kepada semua masyarakat Tionghua dengan ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang jatuh pada 29 Safar 14323 Febuari 2011. Selamat Tahun Baru.

Perayaan Tahun Baru Cina adalah satu perayaan yang penting di kalangan masyarakat Tionghua dan mengikut kalendar Cina tahun ini adalah Tahun Arnab.

Arnab melambangkan kepantasan dan mesra, diharapkan boleh menjadi satu pendorong untuk masyarakat Tionghua lebih maju ke hadapan di dalam apa jua bidang, terutama dalam suasana sosioekonomi yang mencabar sekarang.

Sesungguhnya masyarakat Tionghua adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap ekonomi dan politik baru di negara kita. Semoga ia selari dengan hasrat semua rakyat dan kehendak pencipta alam sejagat.

Kita satu ummah yang bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman serta sejahtera berteraskan nilai agama.

Islam sebagai agama yang tidak mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Justeru Islam mendidik agar berlaku adil kepada semua bangsa.

Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain, melainkan dengan takwa kepada Allah.

Saya dan seluruh warga pentadbiran kerajaan Negeri Kelantan akan terus komited menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran demi kesejahteraan semua kaum (bangsa) dan untuk mengelak ketidakadilan dan diskriminasi. Hasrat kita semua untuk berjaya melaksanakan dasar yang adil dan saksama.

Semoga masyarakat Tionghua di Malaysia dan di Kelantan khasnya terus memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk mentadbir negeri dengan sebaik-baiknya.

Akhir kata, Gong Xi Fa Cai semoga Allah SWT memberkati kita semua.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan/al-Mursyidul Am PAS

Kota Bharu.

29 Safar 1432/3 Feb 2011



Pelajar Kedah di Mesir selamat Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 3 Feb: Kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKED) telah menubuhkan seketariat dan membuka bilik gerakan bagi memantau perkembangan terkini pelajar-pelajar Kedah di Mesir ekoran kekecohan yang berlaku di negara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, bilik gerakan tersebut ditempatkan di pejabat Hal Ehwal Pelajar Kedah dan beroperasi 24 jam.

"Bilik gerakan ini juga akan memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan pelajar di sana dalam setiap tiga jam agar ibu bapa yang berada di Malaysia tidak merasa cemas dan bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka.

"Kita juga telah menghantar tiga orang pegawai YIKED ke Mesir bagi membantu pelajar-pelajar kita di sana dan agar proses penghantaran balik berjalan dengan baik dan lancar," jelas Taulan ketika dihubungi.

Beliau turut menasihati para ibu bapa dan ahli keluarga pelajar yang berada di Malaysia agar bersabar dan berdoa agar keselamatan anak-anak mereka yang berada di sana terjamin.

"Kepada ibu bapa dan ahli keluarga, mereka boleh menghubungi YIKED di talian 04-7302703 bagi mendapat maklumat terkini mengenainya.

"Sehingga hari ini maklumat yang diterima, kesemua pelajar kita berada dalam keadaan baik dan selamat. Seramai 800 orang pelajar Kedah di sana telah dikumpulkan di Asrama Darulaman dan bekalan makanan juga masih mencukupi," katanya.

Kekecohan di negara itu tercetus sejak 25 Januari lalu apabila rakyatnya yang makin tertekan telah bangkit dan menuntut Ketua Menteri Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan.


Moga Tahun Arnab kembalikan kepercayaan rakyat Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Pulau Pinang khususnya.

“Semoga tahun arnab ini menjanjikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri sekarang,” ujar Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam perutusan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Katanya, sejak Pakatan Rakyat menerajui tampuk pemerintahan negeri pada Mac 2008, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri demi pembangunan Pulau Pinang.

Menurutnya, memang diakui, untuk menetapkan pendirian seseorang itu bukan mudah ditambah dengan pelbagai hasutan dan tohmahan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, tambahnya hasil usaha yang berterusan tampuk pemerintahan kerajaan negeri terutama dalam membanteras amalan rasuah dan kroni yang diamalkan kerajaan sebelum ini berjaya mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa menekankan bahawa kerajaan yang baik harus melakukan tiga perkara iaitu sentiasa mendengar suara rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberikan harapan untuk rakyat.

“3 elemen ini yang diamalkan sejak 3 tahun Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan terbukti berhasil dan mengejutkan banyak pihak,” ujarnya.

Antaranya, kata beliau yang juga Setiausaha Agung DAP ialah kejayaan negeri Pulau Pinang menduduki tempat pertama untuk keseluruhan pelaburan iaitu sebanyak RM12,238 juta pada tahun 2010, menerima pujian daripada Ketua Audit Negara kerana berjaya mencatatkan lebihan belanjawan negeri dan pengurusan kewangan yang baik.

Tambahnya, Pulau Pinang berada pada kedudukan pertama mengatasi negeri lain dalam penurunan kadar jenayah iaitu sebanyak 27%, menjamin kepentingan generasi masa depan dengan menerajui usaha ke arah menghentikan fenomena perubahan iklim melalui inisiatif mengurangkan penggunaan beg plastik.

Selain itu, ujarnya Pulau Pinang turut dipuji oleh Transparency International kerana ketelusan pentadbiran yang berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus), Pulau Pinang teratas dalam pelancongan perubatan iaitu dua pertiga daripadanya berasal dari Pulau Pinang, Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mengumumkan pemberian sagu hati sebanyak RM100 kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan pemberian RM500 setiap keluarga dalam usaha untuk membasmi kemiskinan miskin tegar.

Menurutnya lagi, Pulau Pinang mempunyai jumlah pelancong sama ada dari tempatan mahupun luar negara yang paling tinggi pada tahun 2010, Pulau Pinang terkenal di Malaysia berikutan usaha-usaha kerajaan yang melindungi, memelihara dan mempromosikan Warisan Dunia Bandar George Town dan Pulau Pinang telah menjadi pilihan sebagai negeri yang paling selamat diduduki setanding dengan Kuala Lumpur.

Selain daripada itu, jelasnya Pulau Pinang juga merupakan antara negeri yang mempunyai tarif air yang termurah serta kualiti air yang terjamin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, dalam usaha untuk memartabatkan rakyat Pulau Pinang untuk lebih dekat dengan dunia teknologi, kerajaan negeri telah mengumumkan 750 wifi percuma akan disediakan untuk memudahkan rakyat negeri ini melayari intenet dan akan dipasang di tempat-tempat yang terpilih.

“Pulau Pinang juga turut memperkenalkan Speaker Square di mana dataran tersebut akan dijadikan medan untuk rakyat berbicara tanpa batasan,” ujarnya.

Namun, katanya masih banyak yang perlu diperbaiki dan dilakukan demi rakyat.

“Tindakan ektrem dan rasis pihak tertentu terutama dengan kenaikan harga minyak dan inflasi yang tidak terkawal sejak akhir-akhir ini telah membebankan rakyat dan menambahkan kebencian rakyat,” katanya lagi.

Oleh itu, kerajaan negeri akan terus bersama rakyat untuk mendapatkan kembali hak yang sepatutnya.

“Hanya kepercayaan dan peluang rakyat sahaja yang diperlukan kini. Marilah kita bekerja keras tanpa mengira bangsa dan agama untuk menjadikan Pulau Pinang terus gah di peringkat antarabangsa,” ujarnya.



Syor sihat sebagai syarat jadi calon Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memberikan pertimbangan terhadap syarat ‘sihat tubuh badan’ untuk dimasukkan ke dalam kelayakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Kini, jika dilihat kepada kelayakan calon yang bertanding, ia terlalu asas sehingga boleh dikatakan sesiapa pun boleh bertanding, asalkan berpengaruh dan berwang.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menjelaskan, kini antara kelayakan-kelayakan yang perlu dipenuhi oleh bakal calon adalah warganegara Malaysia, berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon.

Presidennya, Datuk Marimuthu Nadason berkata, selian itu, calon mestilah tinggal di negeri di mana dia akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan di mana-mana dalam Malaysia bagi kerusi Parlimen.

"Calon juga mestilah tidak hilang kelayakan (tidak siuman, bankrap, memegang jawatan “office of profit”, gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihanraya, telah mendapat kewarganegaraan asing, dan telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari 1 tahun atau kurang dari RM2,000 dan belum mendapat keampunan)," katanya.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, beliau berkata, sejak PRU Ke-12 lalu, negara telah melalui 8 pilihan raya kecil bagi Dun iaitu Permatang Pauh, Bukit Selambau, Batang Ai, Menanti, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas dan terbaru di Tenang.

Di samping itu, 6 pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen telah diadakan iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi.

"Kebanyakan pilihanraya kecil ini diadakan kerana ahli dewan undangan negeri atau ahli Parlimen di kawasan-kawasan tersebut meninggal dunia atau melepaskan jawatan mereka kerana masalah kesihatan.

"Begitu juga dengan Dun Tenang yang sebelum ini disandang oleh Datuk Sulaiman Taha yang meninggal akibat jangkitan dalam darah dan komplikasi lain disebabkan diabetes," katanya.

Memang kita tidak dapat menjangkakan kematian setiap orang, menurut beliau, namun adalah lebih baik sekiranya SPR menambahkan satu lagi kelayakan kepada bakal calon yang bertanding, iaitu mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Oleh itu, bakal calon yang akan bertanding wajiblah menjalankan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya dan memberikan laporan kesihatan tersebut kepada SPR.

"Laporan itu kemudiannya akan dinilai oleh panel khas kesihatan calon. Sekiranya calon mempunyai penyakit kronik, maka beliau tidak dibenarkan untuk bertanding.

"Ini juga baik bagi calon untuk membolehkan beliau merawat penyakitnya yang mungkin tidak diketahuinya sebelum itu," tegasnya.

Sementara itu, dalam laman webnya, consumerkini, Fomca turut menegaskan, di dalam Islam, antara syarat-syarat bagi seseorang pemimpin adalah pemimpin mestilah berpegang kepada ajaran agama, sihat tubuh badan, adil, berilmu, mempunyai teladan yang baik, melaksanakan hukum, memberi perhatian kepada orang bawahan, matang dalam tindakan dan tidak zalim.

Contoh lain yang mudah, sekiranya dalam perkahwinan sekalipun, suami yang bakal mengetuai sebuah bahtera rumah tangga diwajibkan mempunyai tubuh badan yang sihat, apatah lagi pemimpin yang akan memimpin rakyat?


Hikmah di sebalik kekalahan di Dun Tenang

Suhaimi Mokhtar

Tenang, di Labis, Johor berkocak dan bergolak dengan gelora politik selama lebih seminggu apabila pilihanraya kecil DUN itu berlangsung. Kini ia kembali tenang dan keputusan pilihanraya kecil itu telah memihak kepada Umno-BN yang dapat mengekalkan kubu kuat gabungan parti itu.

Percubaan PAS untuk mengganti Umno-BN diDun itu dengan meletakkan calon muslimat yang masih muda, Cikgu Normala Sudirman gagal membuahkan hasil, tetapi kegagalan pertama Cikgu Mala ini bukan bererti segala-galanya telah berakhir.

Dalam usia yang masih muda Cikgu Mala mempunyai masa depan politik yang cerah dan masih panjang. Pilihanraya kecil yang baru berlalu merupakan satu permulaan yang baik untuk perjuanganseterusnya dengan mengarap pengalaman yang ditempuhi untuk mengatur langkah, strategi yang lebih mantap dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

Kemenangan Umno-BN dalam pilihanraya kecil tidak membawa erti bahawa Umno-BN boleh merasa lega dan selesa dalam pilihanraya umum nanti kerana dalam pilihanraya umum suasana, iklim dan persekitaran politik jauh berbeza berbanding dalam pilihanraya kecil.

Umno-BN sepatutnya mendapat undi lebih besar dari yang didapatinya dengan tektik kotor kempen pilihanraya yang diselenggara mereka. Umno-BN melakukan kempen dengan merasuah rakyat dan pengundi dengan projek-projek segera berjumlah ratusan juta ringgit yang ditumpukan kepada kawasan itu untuk meraih undi. Tiap-tiap kaum dikawasan Dun itu dirasuah dengan diberi projek segera bagi menafikan sokongan pengundi kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

PAS tidak berkemampuan untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang bersandarkan kepada perjuangan Islam, etika dan akhlak Islam melarang perbuatan merasuah pengundi dengan projek-projek segera untuk membeli undi.

PAS kalah dikubu kuat Umno-BN tetapi pada masa yang sama PAS telah membuatkan kehadirannya dirasakan di Dun Tenang khususnya dan di Negeri Johor umumnya. Sepanjang negara ini mengenali sistem demokrasi melalui pilihanraya, PAS tidak pernah diterima baik di negeri Johor, bahkan tiap kali pilihanraya ramai calon-calon PAS kehilangan wang pertaruhan dalam pilihanraya.

Bagaimanapun, segala-galanya bertukar dalam dua penggal pilihanraya lalu. Dalam pilihanraya 2004 PAS dapat menghantar wakilnya di Dun Johor apabila calonnya memenangi satu kerusi tanpa bertanding kerana kesilapan teknik calon Umno-BN dalam pilihanraya itu. Dalam pilihanraya 2008, PAS buat pertama kalinya memenangi dua kerusi di Dun Negeri Johor.

Harapan PAS untuk menambah satu kerusi lagi dalam pilihanraya kecil melalui Cikgu Mala kecundang tetapi ia membawa hikmah bahawa PAS perlu berkerja lebih kuat dan gigih bersama komponen Pakatan Rakyat untuk menebus kekalahannya di Dun Tenang dalam pilihanraya umum akan datang.

Umno-BN mungkin merasa selesa dan puas kerana bukan sahaja mengalahkan PAS dan Pakatan Rakyat tetapi meraih undi majoriti lebih besar. PAS pula, walaupun kalah dan tidak dapat mengurangkan majoriti Umno-BN, tetapi masih kekal dan utuh dengan undi yang diperolehinya dalam pilihanraya umum lalu. Ertinya PAS tidak kehilangan pengaruh di Dun Tenang dan di Johor umumnya.

Dalam pilihanraya umum nanti PAS mampu merampas kembali Dun Tenang. Hakikat ini sering berlaku, apabila berlaku pilihanraya kecil disesuatu kawasan, Umno-BN memenangi pilihanraya kecil tetapi dalam pilihanraya umum kemenangan boleh bertukar tangan.

Hakikat yang terpancar dari pilihanraya kecil mencerminkan bahawa PAS telah memberikan saingan terhadap Umno-BN di Johor, sama seperti saingan yang diberikan PAS terhadap Umno-BN dinegeri-negeri lain. Kisah calon PAS kehilangan wang pertaruhan di Johor kini menjadi sejarah. Era baru PAS diJohor ialah memberi saingan di negeri tempat Umno lahir.

Impak dari pilihanraya kecil itu ialah keberkesanan dakwah PAS di Johor dikesempatan pilihanraya kecil itu, apabila tazkirah Tok Guru Nik Aziz mendapat sambutan luarbiasa dinegeri kubu kuat Umno itu. Ceramah-ceramah politik PAS dalam pilihanraya kecil itu oleh pimpinan PAS dari presidennya hinggalah kebarisan pimpinan PAS yang lain telah meninggalkan kesan untuk digembelingkan seterusnya sehingga pilihanya ke-13 diadakan.

Momentum yang digerakkan perlu diteruskan kerana PAS berpotensi melakari sejarahnya yang tersendiri di Johor yang diungkapkan sebagai ‘negeri Umno’. Bukanlah sesuatu yang mustahil Johor menjadi ‘negeri PAS-Pakatan’ selepas pilihanraya ke-13 nanti. Kalau dulu calon-calon PAS sentiasa kehilangan wang pertaruhan dalam pilihanraya tetapi dalam dua pilihanraya umum yang lalu fenomena itu telah tidak lagi berlaku. Ertinya ia bukanlah sesutu yang mustahil PAS akan membuat kebangkitannya di Johor, paling kurang menambah kehadirannya di Dun Johor.

Sebenarnya banyak yang positif berlaku dalam pilihanraya kecil Dun Tenang apabila PAS meletakkan Cikgu Mala. Ia memberi persepsi bahawa PAS mendapat dokongan kalangan muda yang terpelajar, mempunyai minda terbuka dan sentiasa berlapang dada berbanding dengan calon Umno-BN yang dipilih bukan dari kalangan pimpinan Umno tempatan kawasan itu.

Walaupun Umno-BN memenangi pilihanraya itu, tetapi dendam kesumat menyelubungi kemenangan calon Umno itu kerana pimpinan Umno negeri yang diketuai Menteri Besar, Abdul Ghani Othman membelakangi bahagian dan cawangan Umno dalam pemilihan calon itu. Keadaan ini akan menyebabkan pergolakan dalam Umno setempat akan tercetus sehinggalah menjelang pilihanraya ke-13 nanti. Siapakah calon Umno-BN di Tenang dalam pilihanraya umum akan datang? Mungkin calon yang sama yang telah memenangi pilihanraya kecil, tetapi ia tentu tidak disenangi banyak pihak dikalangan pimpinan bahagian yang merasakan mereka juga layak.

Kemenangan Umno-BN diTenang memang dijangkakan seperti juga dalam pilihanraya kecil Dun Galas di Kelantan sebelumnya. Ia kerana kawasan-kawasan itu kubu Umno-BN dan dengan menguasai seluruh media dengan saluran TV-nya, maka kemenangan itu tidak bolehlah dibanggakan sangat.

Kemenangan Umno-BN di beberapa pilihanraya kecil tidak bererti PAS tidak mampu mengganti Umno. PAS mampu dan berupaya menggantikan Umno dan slogan keramat ‘PAS ganti Umno’ memerlukan penghayatan yang lebih segar dari seluruh pendokong PAS dari pimpinan tertingginya sehinggalah kepada pendokong dan aktivis parti diperingkat akar umbi.

Di kawasan-kawasan PAS dan Pakatan, kemenangan berpihak kepada PAS dan Pakatan dalam pilihanraya kecil dan keputusan pilihanraya kecil dikubu Umno-BN langsung tidak memperlihatkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat kehilangan pengaruhnya. Pengaruh PAS dan Pakatan terus kukuh dan kental.

Kekalahan di Dun Tenang hendaklah diterima dengan berlapang dada kerana ia adalah suatu hikmah mengajak PAS dan Pakatan bermuhasabah diri dan melangkah dengan lebih berani dengan menyusun tektik, stratiji yang lebih bersepadu untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya ke-13 nanti.

Pilihanraya dinegara ini sentiasa berlangsung dalam padang yang tidak samarata. Antaranya wujudnya elemen undi pos;SPR yang tidak bebas sepenuhnya;pembawaan peti-peti undi dari tempat mengundi ke tempat pengiraan tidak dikawalselia dengan baik apalagi dalam pilihnraya kecil Dun Tenang berlaku banjir kilat;pertukaran tempat pengundian dan lain-lain ;semuanya tidak memperlihatkan ia pilihanraya yang adil dan saksama.

PAS dan Pakatan Rakyat perlu mendesak SPR membenarkan pemerhati antarabangsa membuat pemerhatian dalam pilihanraya ke-13 nanti bagi menentukan satu pilihanraya yang demokratik dan adil dengan meminimakan elemen-elemen yang boleh membawa kepada penyelewengan dalam pilihanraya.



Hit: 0 Laman Asal

Warning: count(): Parameter must be an array or an object that implements Countable in /home/waktusolat/public_html/modules/mod_out/extract_main.php on line 66