...:: Ini Blog Saya ::...
Friday 14 December 2012
BARA PERJUANGANKU..
Dum! Cikgu Rosli
menghempaskan buku ringkasan semahu-mahunya. Bengkak hatinya berdenyut-denyut.
Eeee…geram betul! Dia tidak tahu mengapa sikap anak-anak didiknya masih begitu.
Sedangkan pelbagai usaha telah dilakukannya untuk menanam kesedaran di hati
mereka namun masih belum berbunga. Sikap mereka masih seperti dahulu. Tidak
berubah. Eeee…
Peristiwa yang terjadi
sebentar tadi benar-benar mencabar kewibawaan Cikgu Rosli. Benar-benar mencakar
hatinya. Salahkah tindakannya selama ini? Atau terlalu tegaskah dia? Barangkali
mereka tidak dapat menerima caranya. Cikgu Rosli merasakan bahawa selama ini dia
sudah membuat yang terbaik untuk mereka.Tapi…
“Assalamualaikum!”
Salamnya seolah-olah
dipecahkan angin pagi. Sesetengah pelajar yang mendengar seraknya menjawab
bersahaja manakala yang lain sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang tersengih-sengih.
Ada yang
bertafakur. Ada
yang sibuk menyalin sesuatu. Barangkali tidak siap kerja rumahlah tu! Matanya
melirik ke arah tempat duduk Dolah. Masih kosong!
Bengkak benar hatinya.
Dengan suara yang lantang Cikgu Rosli cuba memecah keributan Tahun Enam
Bestari.
“Hari ini saya akan ulangi
semula ‘simpulan bahasa’ yang telah kita pelajari semalam.”
Suasana masih seperti
tadi. Tidak berubah. Macam pasar malam!
“Diam!”
Relung kesabaran Cikgu Rosli terpokah. Hatinya
bagai dibakar.
“Kalau kamu tidak mahu
belajar tak apa…!”
Sambil mendengus seraya dicapai
beg sandangnya serta buku ringkasan yang terkapar di atas meja. Gunung berapi
di dadanya meletus. Laharnya menjalar di pelusuk tubuh Cikgu Rosli. Pelajar
Tahun Enam Bestari terpaku.
Dan kini, di Bilik Guru
ini Cikgu Rosli bermeditasi. Salahkah tindakannya selama ini? Salahkah?
Mengapakah mereka tidak memahami harapan seorang guru sepertinya. Barangkali
mereka dilahirkan tanpa perasaan! Segala penat lelahnya mengajar mereka selama
ini tidak berbaloi. Langsung tidak dihargai. Dia cuma mahu anak-anak didiknya
mengecap apa yang mereka impikan iaitu 5A dalam UPSR.
Tanpa disedari, matanya
mulai berkaca. Butiran air jernih mulai terbit dari bibir mata lalu turun
menjilat pipinya.
“Aku menangis?”
“Mengapa perlu aku
menangis?”
Dengan langkah yang longlai,
Cikgu Rosli menuju ke tandas. Dibukanya tombol paip selaju-lajunya. Air yang
mengalir itu ditadah lalu disimbah ke mukanya. Mahu rasanya dia meraung. Tapi
kenapa? Adakah ini petanda kegagalan buatnya?
Air yang terpercik ke
mukanya belum dapat memadamkan api amarah yang meluap-luap. Setelah fikirannya
agak tenang, Cikgu Rosli kembali menapak ke mejanya di Bilik Guru.
“Aku takkan mengalah. Ini
bukan sikapku.”
Air matanya kembali
berlinang. Cikgu Rosli mengangguk beberapa kali. Panas hatinya masih berbaki.
Lantas dicapai beg sandang dan buku ringkasannya. Hasratnya tekad membulat. Dia
berjanji tidak akan patah semangat lagi. Wajah-wajah anak didiknya kembali
bermain di ruang mata. Cikgu Rosli menyeka air mata yang mengalir.
Bersama harapan yang
berkobar-kobar dijejaki semula Tahun Enam Bestari. Sebaik sahaja melihat
kelibat Cikgu Rosli, kelas yang macam tongkang pecah itu sepi.
“Assalamualaikum!”
Pelajar Tahun Enam
Bestari bangun menjawab salam hampir serentak. Sebenarnya mereka terkejut
apabila Cikgu Rosli meninggalkan kelas sebentar tadi. Mereka dapat mencium bau
amarah yang terbit dari hatinya. Mereka benar-benar tahu dan masak benar dengan
sikap guru muda itu. Maklumlah masuk tahun ini sudah dua tahun Cikgu Rosli
mengajar mereka.
Kesungguhan Cikgu Rosli
mengajar mereka tidak perlu dipertikaikan lagi. Cikgu Rosli sering mengadakan
kelas tambahan pada petang di rumah sewanya walaupun sambutannya agak dingin. Namun sikap
tidak pernah mengenal kalahnya menyebabkan makin lama makin ramai yang mulai
berminat. Cikgu Rosli sering menasihati mereka bahawa ilmu itu petunjuk jalan. Tambahan
pula tahun ini merupakan tahun yang amat penting bagi mereka. Mereka akan
menduduki UPSR.
Semua pelajar kelihatan
sudah bersedia untuk menerima pelajaran. Mata Cikgu Rosli berlari ke tempat
duduk Dolah.
“Eh, ada pula! Entah bila
pula budak ni sampai. Barangkali ketika aku keluar tadi,” getus hatinya.
Dolah asyik tersengih-sengih. Meluat Cikgu Rosli
melihatnya.
“Sebelum kita mulakan
pelajaran. Tolong hantar kerja rumah yang cikgu beri semalam. Firdaus, tolong
pungut.”
Firdaus cepat-cepat
bangun lantas bergerak dari sebuah meja ke sebuah meja untuk melaksanakan
arahan yang diberi. Tika kakinya tiba di meja Dolah, dilihatnya Dolah hanya
tersengeh-sengih sahaja. Tiada sebuah bukupun yang berada di atas meja apatah
lagi di tangannya.
“Mana buku?”
Dolah hanya mengangkat
kening dan bahunya.
“Mana buku?”
Dolah mengambil pembaris
kayu dari bawah mejanya lalu dipukul tangan Firdaus.
“Aduh!”
“Kenapa Firdaus?” tanya
Cikgu Rosli apabila terdengar Firdaus mengaduh.
“Dolah pukul saya cikgu.
Bukupun dia tak hantar.”
Berderau darah Cikgu
Rosli.
“Dolah, kamu buat apa
tu?”
Dolah tersengih-sengih.
“Mana kerja rumah yang
saya beri semalam?”
Dolah masih seperti tadi.
Tersengih-sengih. Giginya yang sedikit jongang serta matanya yang sepet
menambahkan kejelikannya. Geram betul Cikgu Rosli dengan budak seorang ini.
Kerja rumah yang diberi tidak pernah siap. Latihan di dalam kelas pun begitu.
Kadang-kadang tidak bercoret langsung.
“Dolah! Mana kerja rumah
yang saya beri semalam?” keras benar suara Cikgu Rosli.
“Tak siap lagi, cikgu.
Esok saya hantar.”
Mahu rasanya diterkam budak
itu. Mahu saja disiat-siat tubuh kerdil itu. Api amarah yang berbara sebentar
tadi kembali menyala. Namun Cikgu Rosli cuba mengawal kemarakannya agar
tidak ketara. Dia tidak mahu peristiwa yang berlaku tahun lepas berulang
kembali.
“Mana dia. Mana cikgu
muda tu? Mana Cikgu Rosli? Biar aku penggal-penggal lehernya! Biar aku
cincang-cincang tubuhnya! Biar hancur! Biar lumat!” tengking Pak Kassim.
Parang yang tersisip
kemas dipinggangnya diusap berkali-kali. Dendam dan sakit hatinya pada cikgu
muda itu bukan main-main lagi. Cikgu muda itu melampau benar. Selama ini dia
cukup bersabar dengan kerenah cikgu muda itu namun apa yang terjadi kepada
anaknya sebentar tadi benar-benar memokah relung kesabarannya.
Pak Kassim mara ke Bilik
Guru. Matanya meliar menjilat ke dalam. Namun kelibat cikgu muda itu tidak
kelihatan. Hatinya semakin membengkak. Darah panasnya menyerbu ke kepala.
Mujurlah guru besar yang dimaklumkan tentang perkara tersebut berjaya
menenangkannya. Menurut Pak Kassim, Cikgu Rosli telah memukul anaknya hingga
berdarah-darah dan lebam-lebam.
Walau bagaimanapun
perkara ini dapat diselesaikan secara aman apabila guru besar menjemput Pak Kassim dan Dolah bersemuka
dengan Cikgu Rosli. Setelah didesak oleh guru besar barulah Dolah mengaku
bahawa luka-luka dan lebam-lebam pada badannya bukan angkara Cikgu Rosli tetapi
perbuatannya sendiri. Memanglah pada hari tersebut Cikgu Rosli ada mendenda
Dolah berdiri di dalam kelas kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Tetapi
selepas waktu persekolahan tamat, Dolah tidak terus pulang ke rumah sebaliknya
dia singgah di kebun Pak Abu.
Ketika Dolah
terbongkok-bongkok untuk mencuri buah tembikai di kebun Pak Abu tiba-tiba dia terkejut
apabila disergah. Dolah lari lintang pukang namun kakinya tersadung pagar kawat
yang memagari kawasan kebun tersebut lalu menyebabkan dia terjatuh dan
mengalami kecederaan. Mujurlah ketika itu Cikgu Rosli melewati kebun tersebut.
Cikgu Roslilah yang menolong membasuh dan meletakkan ubat pada luka Dolah. Malah
Cikgu Rosli sendiri meminta kepada Pak Abu agar perkara ini tidak diperbesar.
Tapi apa yang Cikgu Rosli
tidak faham adalah mengapa Dolah sanggup memfitnahnya. Sepatutnya Dolah harus
berterima kasih dan bukannya menuduhnya sebegitu. Barangkali Dolah marah
kepadanya kerana sering dimarahi apabila tidak menyiapkan tugasan yang diberi. Sebenarnya
bukan niatnya untuk marah-marah tidak bertempat. Dia cuma mahu menerbitkan rasa
tanggung jawab dan kesedaran tentang betapa pentingnya pelajaran di hati
mereka. Walaupun perkara itu sudah selesai, namun apa yang menyebabkan Cikgu
Rosli terkilan adalah tiada sepatahpun ucapan “terima kasih” ataupun
“maaf” terpancul daripada mulut Pak
Kassim mahupun Dolah.
Ada kalanya Cikgu
Rosli merasakan kehadirannya ke daerah ini kurang dihargai. Para
pelajarnya kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk belajar. Mereka seakan-akan
ingin mewarisi kemiskinan daripada orang tua mereka. Mereka lebih senang
mencium busuknya getah sekerap berbanding harum dan segar udara di sekolah.
Masih ramai ibu bapa yang
tidak mementingkan masalah pembelajaran anak-anak mereka. Cikgu Rosli sendiri
tidak faham mengapa. Justeru itu, dia telah berusaha sedaya upaya untuk memberi
kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat setempat. Sikap tidak pernah kenal
erti putus asa telah mengheret kaki Cikgu Rosli ke Jabatan Belia dan Sukan.
Cikgu Rosli telah mengemukakan kertas kerja untuk memohon penubuhan kelas
komputer di kampung tersebut. Kertas kerja itu diluluskan. Lantaran itu tertubuhlah
kelas komputer di balai raya kampung tersebut. Pelbagai golongan mendapat
faedah dengan adanya kelas komputer itu.
Dalam usaha memperkasa
dan meningkatkan peratusan keputusan Bahasa Malaysia, Cikgu Rosli telah
menjadikan garaj kereta guru sebagai pusat bahasa yang dinamakan Anjung Bahasa.
Di sini ditempatkan bahan-bahan yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia.
Anjung Bahasa itu dikendalikan oleh Cikgu Rosli dengan bantuan beberapa orang
murid. Pelbagai aktiviti berkaitan Bahasa Malaysia dijalankan di sini
termasuklah mendeklamasi sajak, bersyair, dan permainan bahasa.
Anjung Bahasa sering
menjadi tumpuan pelajar terutama pada waktu rehat. Pelajar-pelajar tidak lagi
membuang masa, sebaliknya memanfaatkan bahan-bahan yang disediakan dengan
sewajarnya. Namun apa yang mengecewakan Cikgu Rosli adalah apabila bahan-bahan
yang di tempatkan di Anjung Bahasa sering dirosakkan. Pohon-pohon bunga yang
menghiasi garaj tersebut turut dipatahkan. Sakit betul hati Cikgu Rosli.
Namun Cikgu Rosli tidak
mengalah. Pohon-pohon bunga yang patah ditanam semula. Bahan-bahan yang rosak
disediakan semula. Malah diperbanyakkan lagi. Cikgu Rosli tidak akan menyerah
kalah pada keadaan. Dia benar-benar mahu melihat persepsi pelajarnya berubah.
Dia benar-benar mahu prestasi anak didiknya terutama dalam mata pelajaran Bahasa
Malaysia
meningkat.
Guru besar amat memahami
impian Cikgu Rosli. Beliau sering memberikan sokongan dan galakan. Setiap kali
ada mesyuarat, pasti nama Cikgu Rosli tidak pernah lekang dari bibirnya. Ini
menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan guru. Namun setelah melihat
semangat dan kesungguhan Cikgu Rosli akhirnya mereka turut sama turun padang membantu untuk
menjayakan setiap projek yang diusahakannya.
“Dolah, petang nanti
cikgu mahu ke rumah kamu. Beritahu ayah kamu.”
Memang sudah lama Cikgu
Rosli berkira-kira untuk ke rumah Pak Kassim. Namun semua hasrat itu
dipendamkan sahaja apabila mengenangkan sikap panas baran Pak Kassim. Tapi kali ini dia sudah tidak
peduli lagi. Masa depan Dolah lebih penting. Dia amat menyayangi anak-anak
muridnya. Dia tidak mahu mereka tercicir dalam pelajaran. Lebih-lebih lagi
mereka akan menduduki UPSR pada tahun ini.
Cikgu Rosli sering
mengunjungi rumah anak didiknya dan berbincang dengan ibu bapa mereka tentang prestasi
anak-anak mereka. Justeru itu, ibu bapa anak didiknya menyanjung sikap Cikgu
Rosli. Keprihatinan Cikgu Rosli terhadap anak mereka mencetuskan tali kasih
antara ibu bapa dengan guru muda tersebut.
“Dolah, awak dengar tak?
Petang nanti saya hendak pergi ke rumah awak. Ingat, jangan ke mana-mana!”
Dolah hanya
tersengih-sengih. Tiada sepatah kata yang meluncur dari bibirnya. Cuma lenja
air liur yang meleleh ke bawah bibirnya disedutnya sesekali.
Petang itu seperti yang
dijanjikan, Cikgu Rosli ke rumah Pak Kassim dengan menunggang motosikal. Ketika
motosikalnya hendak membelok ke arah rumah Pak Kassim tiba-tiba kuping
telinganya menangkap bunyi orang menjerit. Cikgu Rosli memberhentikan
motosikalnya. Terkejut Cikgu Rosli apabila terlihat sekumpulan kanak-kanak berlari
tergopoh gapah menuju ke arahnya.
“Lari cikgu! Lari!”
Kenal benar Cikgu Rosli
akan suara itu. Itu Fadli, anak didiknya Tahun Enam Bestari.
“Aduh!”
Cikgu Rosli melihat
sesuatu yang melekat pada lengannya. Diamati
betul-betul. Rupa-rupanya seekor tebuan berada di situ.
“Ya, Allah!”
Beberapa ekor tebuan
menyerbu ke arah Cikgu Rosli. Beberapa bahagian badannya menjadi mangsa
sengatan mereka. Cikgu Rosli melompat turun dari motosikalnya lalu berlari ke arah
sungai lantas terjun. Agak lama juga dia terpaksa berada di situ. Setelah
memastikan keadaan reda, perlahan-lahan dia memanjat tebing. Seluruh badannya
terasa perit. Mukanya dirasakan berbahang.
“Cikgu!”
“Ya, saya tak apa-apa.”
Cikgu Rosli menoleh ke arah Fadli.
“Cikgu, Dolah pengsan!”
“Di mana?”
“Hujung kampung, cikgu.”
Dengan ditemani Fadli,
Cikgu Rosli pergi mencari Dolah. Segala kesakitan yang menghantuinya ditahan
demi untuk menyelamatkan anak didiknya, Dolah. Setiba mereka di mana Dolah
berada, Cikgu Rosli cuba
mengangkat Dolah namun tiba-tiba dirasakan dunia seakan-akan berputar. Matanya
berpinar. Cikgu Rosli rebah di sisi Dolah. Fadli yang melihat kejadian tersebut
segera berlari ke gerai makan yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari
tempat kejadian.
Kebetulan pula masih
terdapat beberapa orang pelanggan di situ. Fadli memaklumkan akan kejadian yang
menimpa Cikgu Rosli dan Dolah. Mereka segera bergegas ke tempat kejadian. Cikgu
Rosli dan Dolah di bawa ke hospital dengan bantuan penduduk kampung. Hampir seminggu
juga Cikgu Rosli dan Dolah berada di situ.
Sepanjang berada di
hospital, Cikgu Rosli cuba
mendekati Dolah.
“Cikgu, maafkan saya.”
“Kenapa?”
“Sebenarnya sayalah
puncanya yang menyebabkan cikgu disengat tebuan.”
“Maksud awak?”
“Sayalah yang membaling
sarang tebuan tersebut.”
Cikgu Rosli
mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Sudahlah Dolah, dah lama
cikgu maafkan awak.”
Cikgu Rosli mengusap-usap
kepala Dolah. Air mata Dolah tidak henti-henti mengalir. Rasa sesal dengan
sikapnya selama ini terhadap Cikgu Rosli seakan-akan menjerut hatinya. Pak
Kassim yang kebetulan datang untuk melawat Dolah terpaku melihat situasi
tersebut. Rasa malu tentang sikapnya terhadap Cikgu Rosli selama ini telah
memenjarakan dirinya. Sungguh mulia hati cikgu muda ini.
“Cikgu, maafkan saya.”
Lembut suara Pak Kassim.
Tergamam seketika Cikgu
Rosli. “Singa kampung” memohon maaf daripada seorang guru biasa sepertinya. Pak
Kassim lantas menerpa dan memeluk Cikgu Rosli.
“Saya telah banyak
melakukan kesalahan kepada cikgu selama ini. Selama ini saya hanya menelan bulat-bulat
kata Dolah tanpa usul periksa.”
“Dahlah Pak Kassim,
jangan dikenang semua itu. Apa yang saya harapkan selepas keluar dari hospital
nanti, Dolah akan berubah. UPSRpun dah tak lama lagi.”
“Cikgu, saya berjanji
akan belajar bersungguh-sungguh selepas ini. Maafkan saya cikgu”. Ikrar Dolah di
hadapan Cikgu Rosli dan ayahnya.
Sejak kejadian itu, Dolah
benar-benar berubah. Secara jujur dia mengaku di hadapan Cikgu Rosli bahawa dialah
dalang yang telah merosakkan bahan-bahan di Anjung Bahasa. Ini dilakukan semata-mata
kerana dendamnya terhadap guru itu yang sering memarahinya kerana tidak
menyiapkan kerja rumah. Justeru itu, Dolah telah menawarkan dirinya untuk
menjaga dan mengawasi Anjung Bahasa bagi menebus kesalahannya selama ini. Cikgu
Rosli dapat melihat kesungguhan Dolah. Oleh itu Dolah telah dilantiknya menjadi
salah seorang AJK Anjung Bahasa.
Guru-guru lain yang
selama ini menyelar sikap Dolah terkejut melihat perubahannya. Mereka cukup
kagum dengan cara Cikgu Rosli yang berjaya membentuk dan mengubah sikap Dolah
dengan penuh kasih sayang itu. Siapa yang tidak kenal Dolah! Seorang pelajar
yang sering membawa masalah. Katakan apa kesalahan yang tidak pernah
dilakukannya. Ponteng sekolah? Mencuri? Tidak menyiapkan kerja rumah? Bergaduh?
Sebutlah apa lagi kesalahan yang tidak dilakukannya!
Kalau ada pelajar yang
kehilangan barang, Dolah orang pertama yang disyaki. Kalau tercetus sesuatu
pergaduhan yang melibatkan Dolah, dialah puncanya. Boleh dikatakan Dolah adalah
lubuk segala kesalahan. Namun sejak kedatangan Cikgu Rosli ke sekolah ini, semuanya
mulai berubah. Nakal Dolah semakin berkurang.
Peperiksaan UPSR makin
hampir. Semua pelajar tahun enam mulai sibuk. Cikgu Rosli yang merupakan Guru
Penyelaras tahun enam tidak terkecuali. Banyak aktiviti yang telah diatur untuk
para pelajarnya. Bermula dengan teknik menjawab soalan UPSR hinggalah ke
program motivasi. Para pelajar tahun enam banyak
memanfaatkan masa mereka di Anjung Bahasa. Cikgu Rosli menempatkan
soalan-soalan peperiksaan dan buku-buku latihan di situ. Guru besar tersenyum
melihat kegigihan Cikgu Rosli.
Menjelang hari
peperiksaan, Cikgu Roslilah orang yang pertama sekali tiba di sekolah. Dia
benar-benar teruja untuk memastikan agar anak didiknya akan menduduki
peperiksaan nanti dengan tenang dan selesa. Bermula dari hari pertama peperiksaan
hinggalah ke hari terakhir, Cikgu Rosli tidak putus-putus mendoakan kejayaan
mereka.
Setelah beberapa bulan
berlalu tibalah masa keputusan diumumkan. Pagi-pagi lagi Dolah sudah terpacak
di pintu pagar sekolah. Tidak sabar rasanya untuk melihat keputusan.
“Dolah, awal awak datang
hari ni?” tegur Cikgu Rosli.
“Saya dah tak sabar lagi
nak tengok keputusan, cikgu.”
Cikgu Rosli tersenyum
mendengar penjelasan Dolah.
“Sekejap lagi cikgu dan
guru besar akan ke Jabatan Pelajaran untuk mengambil keputusan. Awak bersabar,
ya.”
Dolah mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Cikgu, doakan kejayaan
saya tau.”
Senyum Cikgu Rosli
melebar. Dolah merasakan senyuman itu amat manis dan bermakna sekali.
“Dolah, nah ambil kain
putih ni,” kata Cikgu Rosli kepada Dolah seraya dihulurkannya sehelai kain
putih.
“Nak buat apa cikgu?”
tanya Dolah kehairanan.
“Cikgu nak buat kain
rentang. Kalau tahun ini ramai dapat 5A, kita tulis ucapan “tahniah”
besar-besar. Awak simpan dulu ya.”
Dolah hanya mengangguk.
Tanpa banyak soal lagi dimasukkan kain putih itu ke dalam begnya.
Sebaik sahaja loceng
persekolahan berbunyi, semua pelajar tahun enam dikehendaki berkumpul di dewan.
Kelihatan kelibat ibu bapa turut memenuhi sudut dewan tersebut. Masing-masing
sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat keputusan. Beberapa kali penghuni
dewan terjenguk-jenguk melihat kereta guru besar sama ada sudah balik ataupun
belum.. Semuanya mulai gelisah. Masa berlalu terlalu pantas. Kini jam sudah
menunjukkan hampir 12.00 tengah hari. Sepatutnya guru besar dan Cikgu Rosli
sudah pulang memandangkan jarak antara sekolah dengan Jabatan Pelajaran tidak
jauh.
Cikgu Rosli dan guru
besar yang berada di Jabatan Pelajaran kelihatan tenang tatkala menerima
keputusan.
“Cikgu Rosli, 33 orang
pelajar kita mendapat 5A. Peratusan setiap mata pelajaran juga melonjak.
Tahniah, cikgu!” Guru besar menepuk-nepuk bahu Cikgu Rosli.
“Terima kasih cikgu.
Kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang cikgu. Ini kejayaan kita bersama.”
“Cikgu Rosli, mari kita
pulang. Pasti anak-anak didik cikgu sudah tidak sabar-sabar hendak melihat
keputusan mereka.”
Sepanjang perjalanan,
guru besar sentiasa memuji setiap usaha Cikgu Rosli untuk meningkatkan prestasi
para pelajar. Ketika sampai di satu simpang, tiba-tiba sebuah lori balak
terbabas telah merempuh kereta mereka.Cikgu Rosli tercampak keluar. Darah pekat
mulai mengalir membasahi jalan raya. Namun tangannya masih erat menggenggam
keputusan UPSR.
Suasana hingar-bingar di
dalam dewan mulai sepi tatkala melihat Puan Rohanita iaitu Penolong Kanan Tadbiran
dan Kurikulum menjengah ke dalam. Semua mata tercari-cari di mana kelibat Cikgu
Rosli dan guru besar namun hampa. Barangkali sebentar lagi mereka datang. Puan
Rohanita merapati mikrofon. Semua hadirin teruja untuk mendengar pengumuman.
“Para
hadirin sekalian, saya ada satu berita sedih.” Kelihatan matanya mulai
bergenang. Setiap mata yang berada di dalam dewan tertanya-tanya. Berita sedih?
Berita apa?
“Cikgu Rosli dan guru
besar terlibat dengan kemalangan. Cikgu Rosli meninggal di tempat kejadian manakala
guru besar berada dalam keadaan kritikal .”
Semua penghuni dewan
terpaku. Kedengaran esak tangis mulai menyendat dewan. Mereka benar-benar tidak
menyangka bahawa kejadian seumpama ini akan berlaku tatkala berita gembira yang
mereka impikan.
“Walau bagaimanapun, tadi
saya telah menelefon pihak Jabatan Pelajaran dan dimaklumkan bahawa sekolah
kita mendapat keputusan yang agak memberangsangkan. 33 orang telah memperolehi
5A.”
Walaupun berita gembira
itu diumumkan namun dewan masih seperti tadi. Esak tangis makin menggila. Ibu
bapa yang berada di situ cuba
menenangkan anak masing-masing. Mereka benar-benar terasa kehilangan seorang
guru yang amat mereka cintai. Seorang guru yang tidak pernah kenal erti jemu. Seorang
guru yang tidak pernah kenal erti kalah.
Dolah sedari tadi tidak
henti-henti menangis. Rasa sesalnya tidak terbendung. Dia benar-benar merasa
kehilangan. Dolah berlari keluar. Matanya melirik ke Anjung Bahasa. Itulah
satu-satunya peninggalan hasil perjuangan Cikgu Rosli. Air mata Dolah laju
menyerbu pipinya.
Suara keras Cikgu Rosli
masih terngiang-ngiang di benaknya. Kesungguhan dan semangat Cikgu Rosli
menyatu di hatinya. Perlahan-lahan dibuka begnya. Kain putih pemberian Cikgu
Rosli pagi tadi dipeluk dan dicium semahu-mahunya. Dolah tidak menyangka bahawa
kain putih itu menjadi petanda bahawa Cikgu Rosli takkan kembali lagi. Takkan
kembali buat selama-lamanya.
“Cikgu, saya berjanji.
Perjuangan ini takkan berakhir. Saya akan nyalakan semula bara perjuangan yang
cikgu tinggalkan.” Tangis Dolah semakin
menggila!
Wednesday 12 December 2012
Monday 10 December 2012
PERUMPAMAAN
1.
Perumpamaan ialah susunan katakata yang indah, ringkas, dan kemas serta
mempunyai maksud yang tersirat.
2.
Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti, dan
umpama.
3.
Senarai perumpamaan dan maksudnya adalah seperti yang berikut.
Perumpamaan
|
Maksud
|
Bagai
aur dengan tebing
|
tolong-menolong
antara satu dengan yang lain
|
Bagai
bunyi cempedak jatuh
|
bunyi
jatuh yang kuat
|
Bagai
bulan dipagari bintang
|
kecantikan
gadis yang tiada bandingannya
|
Bagai
diiris dengan sembilu
|
perasaan
yang sangat pedih
|
Bagai
duri dalam daging
|
sesuatu
hal yang tidak menyenangkan
|
Bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing |
hanya
mementingkan diri sendiri
|
Bagai
itik pulang petang
|
berjalan
lambat sekali
|
Bagai
isi dengan kuku
|
persahabatan
yang sangat erat
|
Bagai
kacang melupakan kulit
|
orang
yang tidak tahu mengenang budi
|
Bagai
kumbang putus tali
|
amat
cepat; terlepas daripada sengsara
|
Bagai
melepaskan batuk di tangga |
membuat
sesuatu kerja sambil lewa saja
|
Bagai
menatang minyak yang penuh |
mendidik
anak dengan penuh belaian kasih sayang |
Bagai
mencencang air
|
membuat
pekerjaan yang sia-sia
|
Bagai
mural tercabut ekor
|
seseorang
yang becok mulutnya
|
Bagai
si kudung mendapat cincin |
orang
yang tidak dapat merasai nikmat atau menggunakan kemudahan yang diperoleh |
Bagai
pinang dibelah dua/ Seperti cincin dengan permata |
pasangan
yang sama padan dan sama cantik
|
Bagai
tikus membaiki labu
|
merosakkan
lagi barang yang dibaikinya
|
Seperti
abu di atas tunggul/ Seperti telur di hujung tanduk |
kedudukan
tidak tetap atau tidak terjamin
|
Seperd
anak ayam kehilangan ibu
|
berpecah
dan hilang tempat bergantung
|
Seperti
anjing dengan kucing
|
adik-beradik
yang suka bergaduh
|
Seperti
anjing dengan bayang-bayang |
orang
yang tamak, tidak cukup dengan apa-apa yang ada |
Seperti
api dalam sekam
|
dendam;
perbuatan jahat yang tersembunyi
|
Seperti
ayam berak kapur
|
muka
pucat dan tidak bermaya
|
Seperti
bertih digoreng
|
bunyi
bising atau percakapan yang tidak berhenti-henti |
Seperti
cacing kepanasan
|
tidak
diam atau tenang; selalu gelisah
|
Seperti
embun di hujung rumput
|
kasih
sayang yang tidak berkekalan
|
Seperti
gergaji dua mata/ Seperti talam dua muka |
seseorang
yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan antara dua pihak |
Seperti
harimau menyembunyikan kukunya |
menyembunyikan
kelebihan yang ada pada dirinya |
Seperti
hujan jatuh ke pasir/ Seperti mencurahkan air ke daun keladi |
memberi
nasihat kepada orang tetapi tidak berkesan |
Seperti
katak di bawah tempurung |
orang
yang cetek pengetahuannya mengenai hal dunia luar |
Seperti
kera kena belacan
|
tidak
suka duduk diam
|
Seperti
kera mendapat bunga
|
seseorang
yang tidak tahu menghargai pemberian orang lain |
Seperti
kerbau dicucuk hidung
|
seseorang
yang lurus; menurut segala perintah orang lain tanpa usul periksa |
Seperti
langit dengan bumi
|
perbezaan
yang amat ketara
|
Seperti
mengajar itik berenang
|
mengajar
seseorang yang arif atau pandai daripada kita |
Seperti
pahat dengan penukul
|
orang
yang hanya bekerja apabila diperintah
|
Seperti
pungguk rindu akan bulan |
mengharapkan
sesuatu yang tidak mungkin diperoleh |
Seperti
rusa masuk ke kampung
|
berasa
hairan dan tercengang-cenggang apabila berada di tempat yang baru |
Seperti
tikus jatuh di beras
|
memperoleh
kekayaan yang tidak disangka-sangka |
Seperti
ular kena palu
|
jalan
atau barisan yang bengkang-bengkok
|
Subscribe to:
Posts (Atom)