KENYATAAN AKHBAR MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UMSKAL

Hormati dan jaga imej universiti – Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL

Labuan : Penahanan lima pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Labuan pada 20 Mac lalu sememangnya wajar dan tidak perlu dipertikaikan kerana telah melakukan kesalahan mengikut undang-undang sedia ada.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL, Mohd Najib Rubin (gambar) berkata kaedah dan pendekatan yang ditunjukkan oleh pelajar terbabit ini adalah satu langkah yang tidak matang dan efektif.

Beliau berkata sebaliknya MPP melihat bahawa kaedah ini tidak relevan dan tidak menunjukkan mentaliti sebagai seorang mahasiswa yang terpelajar Katanya, Majlis Perwakilan Pelajar sebagai badan berdaftar menolak sepenuhnya pendekatan demonstrasi, membawa kain rentang dan menyebarkan risalah tanpa ada sebarang permit dan kebenaran dari pihak berkuasa.

“ Apa yang dilakukan oleh lima pelajar ini tidak patut dijadikan modal dalam kepimpinan Mahasiswa, “ katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut ulasan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Ismail Ali di media massa, beliau mengatakan bahawa pendekatan pelajar terbabit tidak menggambarkan aspirasi Majlis Perwakilan Pelajar pada hari ini di mana beliau menyarankan agar mahasiswa menumpukan pada pengajian.

“ Kami sememangnya menyokong penuh kenyataan ini dan menolak kepada aktivis-aktivis yang didasari politik luar dan kami sebenarnya lebih memfokuskan kepada kebajikan mahasiswa itu sendiri, “ katanya.

Mohd Najib berkata Majlis Perwakilan Pelajar UMS-KAL tidak mengetahui dan mengiktiraf mengenai Gerakan Mahasiswa PRU13 yang definisikan sebagai “masuk bakul angkat sendiri”.

Katanya, mereka mengiktiraf diri mereka sebagai wakil mahasiswa untuk bersuara mengenai kebebasan akademik seperti mana dalam kenyataan akbar yang bertulis “kebebasan akademik teras untuk memajukan universiti”.

GM PRU13 tidak pernah wujud di UMSKAL dan tidak berdaftar sepanjang kami menjalankan pengajian di sini. Tidak ada profesionalisme dalam penubuhan GM PRU13 yang mana dengan sesuka hati mengiktiraf diri mereka dan melancarkan kempen politik.

GM PRU13 juga membuat tuduhan yang mengatakan bahawa ada sesetengah pihak universiti yang membenarkan dewan-dewan kuliah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan pembangkang dan aktivis mahasiswa, sebenarnya tidak pernah berlaku di UMSKAL.

Malahan pensyarah dan kakitangan UMSKAL semuanya fokus kepada tugasan yang telah diberikan mengikut bidang tugas masing-masing.

“ Ini sebenarnya menunjukkan tahap kematangan seseorang apabila berbicara tanpa ada bukti yang hanya didasari oleh persepsi semata-mata, “ katanya.

Katanya, pengarah serta pengurusan universiti bersama Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL sentiasa peka kepada masalah mahasiswa di UMSKAL.

Tambahnya, Majlis Perwakilan Pelajar tidak menolak bahawa mahasiswa boleh terlibat dalam politik namun dalam penglibatan tersebut perlu didasari dengan kematangan.
Mahasiswa perlu bijak untuk menentukan di manakah perlu meletakkan aktiviti yang menjadi keutamaan dan aktiviti sampingan sebagai seorang mahasiswa.

Mahasiswa perlu menfokuskan dan mengutamakan akademik di dalam kampus di samping menjalankan aktiviti keilmuan dan praktikal yang membangunkan sahsiah dan rohani mahasiswa itu sendiri.

Tamat.

Gambar – Md Najib Rubin

Hit: 30 Laman Asal