Sunday 14 February 2021

Alhamdulillah, Bait Muslim ❤️

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

Alhamdulillah 'ala kulli hal, segala puji bagi Allah Ta'ala.

Sekian lama, laman sesawang ini sunyi tanpa apa-apa berita, rindu nak mencoretkan sesuatu disini, cuma tidak diberi kesempatan dengan kekangan-kekangan yang dihadapi, mungkin juga asbab tiada ilham dan idea untuk menulis disini. Kadang ada sedikit masa, kita menggunakan medium media sosial yang lain, untuk berkongsi, secara ringkas.

Alhamdulillah, masih terlalu baru dalam mendirikan bait muslim, terlalu banyak benda yang ingin dikongsikan bersama, bukan sekadar pengalaman yang beberapa bulan selepas kahwin ini sahaja, tetapi pengalaman dari sebelum berkahwin juga banyak untuk dikongsikan, mana yang baik, boleh dijadikan rujukan bersama dan harap bermanfaat untuk semua, hehe insyaAllah :')

[ Alhamdulillah HAJourney #081120 ]

Merancang untuk berumahtangga ini bukan sesuatu perkara main-main, ia sangatlah perlukan keseriusan dan kematangan. Kalau fikirkan seronok, bahagia sahaja, kita perlu 'check' balik tujuan dan matlamat untuk mendirikan rumahtangga, kerana apa? Membina bait muslim itu lebih daripada apa yang difikirkan perkara indah-indah belaka. Bukan nak cerita akan ada masalah atau kesukaran dsb, tetapi ia lebih ditekankan soal tanggungjawab dan amanah. Ya, semua itu akan disoal dan dibawa ke Akhirat kelak. Perjalanan ini panjang (baca: hingga akhir hayat insyaAllah), dan pastinya tidak mudah. Oleh sebab itu, terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum membuat apa-apa keputusan. Jika sudah berbuat keputusan, maka kita perlu bertanggungjawab dengan keputusan tersebut.

Ada orang jenis akan berfikir lama sebelum membuat keputusan.
Ya, perlukan sedikit masa.
Maka kesabaran sangat diperlukan bagi mana-mana pihak. Jika tidak sabar, maka bolehlah perlahan-perlahan angkat kaki, lalu beredar. Alhamdulillah, Encik Suami telah membuktikan kesabaran beliau, kami menanti saat halal itu tiba, makan masa beberapa tahun (dirahsiakan), atas sebab kekangan juga waktu itu dalam keadaan masih belajar. Ujian dan cabaran itu tetap ada, makin lama tempoh masa itu, maka lebih banyak cabaran yang sama-sama perlu hadapi. Jika tidak mampu, memilihlah untuk percepatkan urusan pernikahan itu jauh lebih baik. 

Dalam penulisan kalini, bukanlah saya nak menceritakan bagaimana perkenalan atau perjalanan kami sebelum menjadi suami isteri, tetapi ia lebih kepada perkongsian berkaitan persediaan/persiapan sebelum hidup berumahtangga yang dipelajari dan dimiliki, untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat yang lain, moga ada manfaatnya :')

Perkara asas yang mesti kita perlu ada sebelum nak berumahtangga adalah ILMU. 
Baik Ilmu Agama, Ilmu Rumahtangga, Ilmu Kekeluargaan (Parenting) dan ilmu-ilmu lain yang kita boleh usaha belajar.

Kebiasaan soalan yang diajukan;
Perlu cukup ilmu dan bersedia sepenuhnya ke baru boleh kahwin? :')

Sahabat-sahabat, terlalu banyak persoalan yang sebegitu, yang pernah saya terima sebelum-sebelum ini. Sebelum menjawab, saya akan senyum terlebih dahulu. Siapa yang kenal saya, dia akan tahu yang saya selalu suka persoalkan semula dengan soalan-soalan agar sel-sel otak mula berhubung, buat orang berfikir, dan akhirnya boleh buat keputusan dengan sendirinya. Sebab apa? Kadang kita bercakap, memang bercampur dengan emosi, perasaan dan mungkin kurang rasional, tetapi dengan persoalan, kita mampu membuka minda untuk beri ruang berfikir.

Kadang asbab kita terlalu risau, takut, dan overthinking juga akan menyekat tindakan atau langkah kita. Sedangkan, tiada manusia yang sempurna, lengkap segala-galanya. Semua ada kelebihan dan kelemahan, tetapi bagaimana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita, dengan menggunakan sebaiknya peluang yang ada, dan tambah baik mana yang kurang. Sebab itu, hidup berumahtangga ini bukanlah kita mengharapkan kepada kesempurnaan, tetapi hidup saling melengkapi antara satu sama lain, buat kita sentiasa rasa cukup dan bahagia, insyaAllah.

Selain daripada ILMU, ya usaha berterusan adalah untuk kita sentiasa perbaiki diri. Ada masa memang kita bersemangat, ada masa Iman kita meningkat, dan kita juga perlu akui, ada masa kita hilang rasa semangat, putus asa, malas dsb, kerana ini fitrah manusia, ada pasang surut. Ambillah masa, untuk bangun semula, dan teruskan kehidupan. Ada masa kita letih dan penat, berikan sedikit masa untuk diri kita bertenang dan berehat, kembalilah semula pada Allah Ta'ala.

Dan, keep on istisyarah, istikharah dan doa yang tidak putus. Mohon sungguh-sungguh petunjuk dan pertolongan daripada Allah. Kita selamanya tidak tahu siapa yang terbaik untuk kita, siapa jodoh kita, selagi kita belum bernikah dengannya, jadi untuk apa kita habiskan masa untuk si dia yang belum jaminan milik kita? 

Jadikan diri sendiri untuk memotivasikan diri sendiri, cari kelebihan dan kekuatan yang kita boleh jadikan bekalan saat kita hilang harapan, jatuh semangat dsb. Usahalah cara macam mana sekalipun, kerana setiap individu berbeza-beza.

Kasihmu Amanahku;
"Memasuki gerbang perkahwinan adalah memasuki alam yang penuh ujian. Ia adalah alam yang membawa kita selangkah mendekati Tuhan."

Terlalu banyak yang ingin dikongsikan, cuma masa terhad. 
InsyaAllah ada rezeki, kita sambung dalam entry yang lain ❤️
Mungkin perkongsian kehidupan selepas berkahwin?:') Mohon doakan ya.

Semoga bermanfaat kepada pembaca yang setia, moga Allah redha.

2 Rejab 1442H
140221
Perjalanan baru bermula; masih bertatih menjadi seorang Isteri.

Sunday 26 April 2020

Hlovate : Contengan Jalanan

"Hidup di dunia seperti perjalanan yang terlalu panjang dan terlalu banyak perhentian sementara, hingga kadang-kadang terlupa sebenarnya diri ini nak ke mana." 

-Contengan Jalanan


[Kredit]


Antara kisah perjalanan dalam novel Contengan Jalanan di mana Chad dan Fend merasai berpuasa di bumi Australia. Bagaimana Fend boleh termakan pujukan Chad untuk merantau bersama adalah kerana ayat yang dikongsi oleh Chad
 "𝐓𝐡𝐞 𝐦𝐚𝐧 𝐭𝐡𝐚𝐭 𝐝𝐞𝐜𝐢𝐝𝐞𝐝 𝐭𝐨 𝐜𝐡𝐚𝐧𝐠𝐞 𝐨𝐧 𝐭𝐡𝐞 𝟏𝟐𝐭𝐡 𝐡𝐨𝐮𝐫, 𝐝𝐢𝐞𝐬 𝐨𝐧 𝐭𝐡𝐞 𝟏𝟏𝐭𝐡."

Fend sedar.
Melengahkan untuk berubah, dia yang akan rugi. Daripada gitar kapak, busking hampir tiap-tiap malam, tanpa sedar dia membuat keputusan untuk mengikut jejak langkah Chad. Dan Fend makin terkesan dengan perubahannya apabila Chad meninggal dunia pada hari raya pertama kerana kemalangan.

Jangan berhenti wahai diri, wahai hamba Allah dalam berubah. Manfaatkan setiap masa yang Allah beri terutama sekarang bulan ramadhan sebelum terlambat. Berubah, walaupun merangkak, walaupun sekecil perkara.


Daripada Aisyah R.A, Nabi Muhammad SAW bersabda:



"𝐖𝐚𝐡𝐚𝐢 𝐦𝐚𝐧𝐮𝐬𝐢𝐚 𝐥𝐚𝐤𝐮𝐤𝐚𝐧𝐥𝐚𝐡 𝐚𝐦𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐢𝐤𝐮𝐭 𝐤𝐞𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚𝐚𝐧 𝐤𝐚𝐦𝐮. 𝐀𝐦𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐚𝐥𝐢𝐧𝐠 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐮𝐤𝐚𝐢 𝐢𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐚𝐦𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐭𝐞𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧 𝐰𝐚𝐥𝐚𝐮𝐩𝐮𝐧 𝐬𝐞𝐝𝐢𝐤𝐢𝐭."
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

3 Ramadhan 1441H
260420

Monday 16 March 2020

Takdir Allah itu sentiasa baik & indah :')

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad
Assalamualaikum :')

 [ Kredit ]

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Kurang daripada 40 hari, kita bakal bertemu dengan bulan yang penuh barakoh, rata-rata yang dirindui oleh semua umat manusia. Mana tidak rindu, setiap amalan dan aktiviti dalam bulan barakoh itu cukup mendidik hati sebagai seorang hamba kepada Dia Maha Pencipta. Belum lagi dikira, pahala dilipat gandakan, subhanAllah masyaAllah!

Apa yang kita belajar, dengan perjalanan hidup ini, membentuk diri kita yang bagaimana. Tak kisah lah, kita ni orang biasa-biasa ke, orang kaya ke, orang miskin ke, orang yang belajar agama, ataupun sebaliknya. Itu bahagian dan rezeki masing-masing. Kalau kita lihat mereka yang lebih atas, mungkin akan timbulkan kurang rasa bersyukur dengan apa yang kita ada, ada sahaja yang rasa tak cukup, dan suka membanding-banding diri kita dengan orang lain. Sedangkan, Allah itu Maha Mengetahui atas setiap tindak tanduk kita sebagai hambaNya, baik buruk, kita yang lupa bahawa itu semua di bawah kekuasaan Allah Ta'ala.

Ikhlas, syukur, redha semua itu perlu dilatih. Senang diungkap dibibir, tapi belum pasti senang untuk dilaksanakan. Lihat semula pada hati kita yang Allah anugerahkan, kita jaga sebaiknya atau tidak. Semua itu mempengaruhi kehidupan seharian kita. Halal haram makanan/minuman yang kita ambil, masuk dalam perut kita, perut anak-anak kita, jika itu diambil enteng, maka dimana letakkan nak capai hidup yang barakoh? Allah.

Sahabat selalu pesan,
Kita apabila ditimpa sesuatu masalah (baca: ujian), sama ada untuk kita ambil pengajaran daripada orang sekeliling, ataupun Allah nak beri kita menjadi antara orang yang diinspirasikan dengan pengalaman yang menguatkan jiwa itu. Kita diuji, jadi kita lebih tahu, lebih mengetahui, lebih memahami, dan akan lebih  menghargai setiap benda dalam kehidupan. Ibaratnya, kita diletakkan dalam kasut mereka yang dalam kesusahan. Betapa tingginya mereka pasakkan rasa syukur kepada Allah dengan sekecil-kecil perkara. Malu sangat bila ingat, kita lupa tatkala Allah kurniakan rezeki kepada kita. Rezeki itu milik Allah, bila-bila Dia boleh ambil semula.

Pujuk hati.
Dengan perbanyakkan istighfar (pengubat kepada hati). Cuba amalkan.
Pasti akan ada kelainan dan berbeza dengan hari-hari sebelumnya.
Walaupun masalah itu belum dapat diselesaikan sepenuhnya, sekurang-kurangnya Allah kurniakan ketenangan dalam hati kita. Itu akan buat kita bahagia, dan mampu untuk terus tersenyum :')

Kita rancang A, tapi Allah bagi B.
Kita down, sedih, hampir putus asa, ibarat semuanya musnah.
Tapi, kita lupa hakikat sebenar ;
Takdir Allah itu sentiasa baik & indah ;')

Sangka baik dan teruskan doa.
Semoga di penghujung kehidupan kita ini, dikurniakan khusnul khotimah.
Ameen Allahumma Ameen.

Moga Allah redha
160320

Thursday 12 March 2020

The struggles is that how you learn :')

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad
Assalamualaikum :')

[ Kredit ] 


Alhamdulillah, bertemu kembali dengan izin Allah.

Aku seorang anak, seorang pelajar, seorang mahasiswa, dan aku juga masyarakat umum sama seperti orang lain. Semua aku ada pengalaman, yang membezakannya adalah berapa tempoh lama pengalaman tu, dan bagaimana respon kita terhadap pengalaman tersebut. Apa yang aku cuba untuk sampai dalam entri kalini? Jom sama-sama kita tarik nafas, baca dan fikir sejenak.

Seorang anak?

Ya. Anak kepada mak dan ayah aku. Adik kepada abang dan kakak-kakak aku. Aku anak bongsu dalam adik beradik (walaupun selalu orang teka aku anak sulung bagi yang jumpa pertama kali, cis tua ke aku haha). Tahu tak apa cabaran jadi anak bongsu ni? Kau kena dan perlu berhadapan dengan mereka yang jauh lebih berumur. It's not easy as abc beb. It's about struggles. Sebab tu, orang selalu kata, nak lentur buluh biarlah dari rebungnya (baca: kecil). Tapi takpe, ni bahagian aku. Dan bahagian orang lain, pasti lain ceritanya bukan? Syukur. Dalam keluarga pun, kita perlu bentuk asas keagamaan yang baik, berilah walau sedikit. Belum mampu tegur dengan lisan/perkataan, perbaiki dan tunjukkan akhlak dan adab yang baik (qudwah hasanah). Orang akan jadi lembut, bila kita berkelakuan baik. Percayalah. Ambil masa sedikit, tapi jangan putus asa. Kau akan kuat, kalau kau buat kerana Allah, bukan kerana manusia.

Seorang pelajar, seorang mahasiswa?

Ya. Aku suka perhati sekeliling, dan melihat gelagat seorang demi seorang. Senyum. Allah Maha Besar, Allah yang mencipta makhluknya. Ragam yang pelbagai itu ibarat warna warni kehidupan. Cuba bayangkan kalau dalam dunia ni semua orang jenis serius je, apa akan jadi? Bayangkan jika semua orang asyik marah je, apa akan jadi? Bayangkan kalau dalam dunia ni semua kepala masuk air? Haha punah juga dunia. Sebab tu berbeza-beza. It is complete each other. Ada panas ada hujannya, ada lapar ada kenyangnya, gitu. Raikan sekadarnya, dan sifat/sikap yang macam mana itu bukanlah penghalang besar asalkan kita ada matlamat hidup yang sama atas bumi ni, cari redha Allah.

Jadi pelajar/mahasiswa ni, mencabar bukan? Berapa ramai yang jujur dalam melaksanakan tanggungjawab itu sebaiknya? Belajar niat kerana Allah, assignment / test / projek takpernah tiru orang dsb. Kalau semua itu baik, alhamdulillah you did it! You're very awesome. Tapi jika sebaliknya, muhasabahlah apa sebenarnya yang kita nak? Aku takcakap pada orang lain ya, ini adalah nasihat buat diri aku sendiri terlebih dahulu yang selalu lupa. Kalau kita usaha atas diri kita sendiri, tatkala tidak lupa doa, ikhtiar dan tawakal pada Allah, kita akan rasa puas dan rasa itu satu nikmat. Jika sekadarnya, mana mungkin 'rasa' itu kita dapat sepenuhnya. Fikir-fikirkan.

Pernah rasa peritnya dalam menuntut ilmu? Sebab tak semua benda mudah, sebab tu kena belajar, kena usaha, kena paksa diri. Kalau semua dah pandai, baik duduk rumah, eh! Sakit tau menahan rasa 'homesick' (haha siapa sejenis macam aku..), takdapat catchup cepat juga rasa down dan nak nangis, macam-macam rasalah. Tapi, semua tu kena pandai kawal, and back to Him. You're motivator for yourself, dear! Wake up with positive vibes.

Masyarakat umum?

Ya. Hidup dalam bermasyarakat. Perlu ada common sense yang baik. Fikirkan perasaan orang lain. Macam mana nak fikir? Letakkan diri sendiri pada tempat orang lain terlebih dahulu. What you give, you get back. Belajar menghormati dan memahami. 

Jangan kejar dunia je, rugi. Sebab Allah yang cipta kita, ada tujuan lebih daripada tu. Jaga akhirat, pasti dunia terjaga. Duduk-duduk tu fikirlah ya. Jangan berangan je hehe.

Everything is all about life.

Kehidupan ini, perjalanan yang Allah pinjamkan untuk kita buat kebaikan, bermanfaat kepada orang lain, dan saling bantu membantu yang memerlukan. Kumpul sebanyak saham akhirat yang kita mampu. Sebab tu, setiap kali kalau rasa nak buat jahat, tolonglah fikir jangka panjang. Kalau Allah tarik nyawa waktu tu, apa nak bawa bekalan nanti?

Life is short.

Jangan terus hanyut dalam kelalaian, kesedihan, kemurungan, putus asa dengan hidup dsb. Teruskan melangkah ke depan. Pandang apa yang ada di depan. Bahagiakan dirimu, sebab belum tentu esok hari milik kita.

Learn as much as you can. Learn for forever life. 
Struggles can make you happy if you do it only Lillahi Taala.

Moga Allah redha
120320

Tuesday 10 March 2020

Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia :')

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad
Assalamualaikum :')

[ Kredit ]  

Kian sepi penulisan di laman sesawang ini; setahun lebih ditinggalkan tanpa apa-apa coretan di sini. Tiada coretan, bukan terlupa bahawa wujudnya blog ini atau terlupa kata laluan, tetapi tiada ilham dan kekuatan untuk dicoretkan, berlawan juga dengan rasa membuak-buak untuk berkongsi sesuatu di sini, daripada hasil pembacaan, nasihat semua tanpa jemu dsb. Harini, pertama kali dalam tahun 2020, diizinkan kembali, Alhamdulillah 'ala kulli hal. Semoga terus menjadikan medium ini sebagai sahabat karib, mudah-mudahan dengan izin Allah.

Cukup, terinspirasi hanya dengan melihat tajuk;
'Untuk manusia, Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia.'

Benarlah, qadha' dan qadar Allah Taala, di atas segala ketentuan dan ketetapanNya sentiasa baik dan indah-indah. Cuma, kita sebagai manusia, yang dikaburi untuk melihat apa yang tersingkap disebalik itu. Dari sekecil-kecil perkara, kalau kita lihat ada yang Allah nak kita belajar. Sama ada, kita nak atau tidak.

Tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Itu perkara pertama yang selalu perlu diingatkan, supaya kita sedar, kita hanya manusia biasa yang menumpang di bumi Allah ini, dengan tujuan utama adalah mengabdikan diri padaNya (sebagai hamba). Apa yang Allah Taala beri (baca: nikmat/musibah), sesungguhnya Dia lebih Mengetahui baik buruk sesuatu keadaan. Tetapi kita manusia yang kerdil ini, selalu ingin menyalahkan Allah atas segala sesuatu yang kita tidak suka, katakan Allah menzalimi diri kita. Nauzubillahi minzalik.

Saat diuji sehingga terduduk terjunam sekalipun, bangkit dan bangunlah kerana Allah. Bina kekuatan dan semangat, dengan beri kata-kata positif pada diri. Jangan biarkan kita terus dihanyut dengan persekitaran yang negatif. Allah yang beri ujian, jadi untuk apa perlukan manusia untuk selesaikan? Cari Allah terlebih dahulu, Dia tempat menyelesai segala masalah. Yakin. Kena yakin.

'Sabar, ada hadiah yang Allah nak bagi lepas ni.'

'Orang yang diuji ini, orang hebat!'

'Kau mampu, sebab itu Allah beri pada kau! :)'

Tatkala kita diuji, berharaplah hanya pada Allah, tempat kita minta pertolongan. Yakin seyakinnya, minta Allah buka jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang kita hadapi. Allah rindu, doa hambaNya. Sebab itu juga, Allah cuit sikit hati kita, untuk lebih kuat dan tabah.

'Ya Allah, ampunkan dosaku, dosa ibu bapaku, dosa adik beradikku, dosa guru-guruku, sahabat-sahabatku serta muslimin muslimat yang dirahmati.'

Apa-apa pun, kita mesti berbalik pada Allah dengan minta keampunan dariNya. Kita tak sedar,  mungkin kita terlalu banyak dosa dengan Allah, dosa dengan manusia, dosa dengan makhluk lain, sebab itu juga Allah bagi ujian untuk menyedarkan kita. Allah sekat doa kita, sebab dosa yang ada pada kita. Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, keampunan Allah seluas-luasnya. Jangan sombong untuk bertaubat dan ulang bertaubat.

'Sedih, murung, sunyi sepi, bukan sebab terasa terbeban dengan masalah atau ujian/dugaan/cabaran, tetapi rasa kerdil dengan Allah, malu dengan Allah. Banyak dosa tetapi Allah tetap bagi nikmat dan rezeki. Allahu Allah.

Teruskan usaha untuk sentiasa perbaiki diri, jangan jemu. Bersyukurlah saat Allah mengujimu, itu bermakna, Allah masih mahu memandangmu. Senyum, dan teruskan melangkah ya? :')

Allah sentiasa ada bersamamu.
Tapi tanya diri kita, sejauh mana kita meletakkan keutamaan Allah segalanya dalam diri kita?

Moga Allah redha.
100320

Friday 14 September 2018

Jazakillahu Kheir...🌹

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum.



Hadiah yang diberikan oleh seorang 'naqibah' yang aku kira sangat hebat, yang selalu ada dengan aku dari dulu sampai sekarang, dan dia yang faham inside outside akulah bila aku rasa mula keseorangan, yang memang redha dan layan jela kalau aku mula berceloteh & membebel tanpa henti. Tapi, aku rasa ingin berkongsi bersama disini, supaya kita semua dapat sesuatu daripada pesanan & nasihat beliau. InsyaAllah.

-Jazakillahu Kheir, Ukhti-





Pesannya, kalau mula hadir rasa 'sedih', bukalah postingnya di blog sebagai pengubat (http://yatareemwaahlaha.blogspot.com/2017/04/hadiah-buat-nur-atiqah-ibrahim.html). Bukan senang orang nak tulis pasal diri kau dekat blog peribadi k. So hargai sebaiknya, hehe. Syukran kak.

***

Hidup ini adalah hadiah yang terindah daripada Allah Taala. Segala yang berlaku adalah diatas qudrah dan iradah Allah Taala. Tidak ada satu pun yang terlepas daripada qudrah dan iradah Allah Taala. Dan apa yang telah ditetapkan Allah itu semuanya baik-baik belaka. Hanya kerana ilmu kita yang tersangat sedikit, terkadang kita berasa terbeban, sedih dengan keaadan yang kita tak sukai. Namun, Allah itu Maha mengetahui, Ilmu-Nya mencakupi segala sesuatu secara terperinci. Dan ketahuilah, Allah sangat sayangkan hamba-hambanya. 

Ada dua perkara yang dapat memberi kekuatan pada hati, yang pertamanya adalah kecintaan kepada rasulullah. Ketahuilah bahawa sahabat rasulullah hidup didunia ini berbekalkan cinta kepada rasulullah. Dekat-dekatlah selalu dengan rasulullah, banyakkan membaca sirah rasulullah, keluarganya dan sahabatnya, banyakkan berselawat kepada nabi saw kerana sekali selawat atas nabi Allah akan mencurahkan 10 kebaikan-Nya atas dirimu. yang keduanya, adalah cinta kepada Allah. Penuhilah ruang hatimu dengan cinta kepada Allah, kenalilah Allah, kelak kita pasti akan mencintai-Nya. Ingat-ingatlah selalu bahawa Allah selalu menyayangimu. 

Fihifzillah, Fiamanillah.

Semoga Allah dan rasulullah selalu menyayangimu disetiap waktu walau dimana pun kamu berada.

Fa siiru 'ala barakatillah! :)




***

Entahlah, setiap kali baca (ulang berapa banyak sekalipun), rasa laju je airmata nak jatuh. Sebab sesuai sangat dengan situasi diri yang sekarang. Paling tersentuh kadang-kadang bila penulisannya selalu kaitkan dengan Allah Taala & Rasulullah. Sumber rujukan yang tidak perlu ragu-ragu malah buktinya banyak disebut berkali-kali dalam kalamNya Al-Quran & As-Sunnah.

Nampak macam 'Hek eleh hadiah dalam penulisan je pun?'

Tapi, bagi aku, dengan penulisan tulah aku sangat hargai. Dan bagi aku cukup hadiah itu banyak membantu aku, tidak perlu pun hadiah yang mengeluarkan wang ringgit beribuan, barang yang mahal-mahal. Mana mungkin, kau boleh menulis & menginspirasikan orang lain, jika kau sendiri malas untuk membaca & usaha hadir ke majlis ilmu? Muhasabah.

Once again, 
Jazakillahu Kheir, Naqibah yang disayangi (you know who you're)
Semoga Allah sentiasa menjaga & melindungimu.
Doakan tiqah ya..! :')

Moga Allah redha.

Tuesday 11 September 2018

Very Supportive, Academic Advisor

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum.



-How lucky you're. How you need to appreciate it.-


Terlalu panjang  al kisahnya cerita aku di alam universiti. Segala bengkang bengkok, turun naik bukit, yang perlu aku redah. Aku akui, aku manusia biasa, memang pernah rasa nak 'give up' dalam pertengahan jalan, sampai sekarang perasaan tu kadang-kadang pernah hadir. Tapi, cuba untuk aku lawan. Doakan ya.

**

"Dr, saya pernah sampai terfikir nak stop, sebab dah taklarat tanggung benda yang saya takminat.."

"Jangan.. Sikit lagi, jangan kecewakan mak ayah yang nak tengok anak-anak berjaya."

Luluh hati rasa, mata dah mula berkaca. Tapi, tahanlah acah-acah macho.

"Awak kena kuatkan semangat, dan cuba buat terbaik untuk  kalini ya."

"Erm, insyaAllah. Doakan saya ya."

"Awak mesti rasa demotivate kan, tambah lagi kawan dah ramai takde?"

Allah. Masa ni, memang mata berkaca double la, sikit lagi nak tewas. Tapi alhamdulillah mampu tahan, sambil senyum sengeh-sengeh, angguk apa ja yang dinasihatkan.

**

Dr sangat memahami. Sangat rasa puas bila meluahkan apa yang ditanggung kepada mereka yang faham dengan situasi kita. TIDAK sama sekali meyalahkan, menghukum, membebel tak tentu arah, sebaliknya always give high hope to you. Bagi semangat dan nasihat. Boleh lagi sempat buat lawak, soalan "Boyfrend sihat? blabla." Dan setiap kali tula dia dah kenal aku memang taksuka betul bila Dr tanya soalan tu (Erm sabar jelah, aku tahu dia saja gurau, kita layankan..) Dr try to make the situation in calm and cool.

Sifatnya sangat fatherly, kindly, supportive dan banyak lagi. Muka-muka yang selalu dia kena hadap. Baik dalam keadaan ok, mahupun tidak. Hehe. Tetap tabah melayan kerenah walaupun dapat anak-anak buah kadang kepala masuk air, senget dll. 

Advise.

Advise.

Advise.

Yes, that's my PA.

Terlalu banyak aku terhutang budi, walaupun aku sering kali menyusahkan dirinya. Banyak menyusahkan orang lain juga atas kedegilan dan keras kepala aku. Maaf semua.

Thank you very much,
Prof Dr Mohamad Kamal A Rahim :')

p/s: Didiklah hati untuk sentiasa rasa syukur dengan segala sesuatu. Tersingkap banyak hikmah yang perlu dicari. Perlu sedikit sabar, dan teruskan berdoa moga Allah buka jalan dan permudahkan segalanya. Untuk jadi orang yang hebat, perlu miliki jiwa yang hebat bukan? Mana mungkin, jiwa yang hebat itu tidak diuji dengan ujian yang hebat?

Moga Allah redha.