Thursday 24 December 2015

Miskonsepsi dalam pendidikan Matematik




Miskonsepsi adalah satu daripada masalah yang sering dihadapi oleh murid dalam pembelajaran matematik dan sering menjadi penghalang kepada mereka untuk memahami konsep-konsep matematik yang berkaitan dengan konsep yang mereka salah ertikan. Pada pendapat saya, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada miskonsepsi pelajar dalam matematik yang dipelajari. Salah satu daripadanya ialah pelajar tidak faham dengan konsep secara mendalam dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Pelajar yang lambat dan tidak dapat menerima atau memahami konsep yang disampaikan oleh guru dengan tepat akan menghadapi masalah miskonsepsi dalam konsep matematik. Seterusnya, guru yang tidak menguasai atau tidak faham konsep matematik dengan sepenuhnya juga menyebabkan berlakunya miskonsepsi pelajar dalam pembelajaran matematik. Tambahan pula, teknik atau cara yang guru mengajar yang tidak sesuai dengan konsep yang diajar juga merupakan faktor pelajar menghadapi masalah miskonsepsi dalam pembelajaran. Sebagai contoh, guru menggunakan strategi pengajaran berpusatkan guru, iaitu “chalk dan talk” sahaja, tanpa menjalankan “hands on activity” akan menyebabkan pelajar mudah melupakan konsep dan mereka akan menggunakan teknik hafalan tanpa memahami konsep sebenarnya.

         Antara pendekatan yang boleh digunakan oleh guru untuk menangani masalah miskonsepsi dalam matematik ialah guru perlu menekankan pemahaman konsep dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Selain itu, guru perlulah memberi penerangan dengan lebih jelas dan memberikan lebih contoh mengikut tahap kemampuan pelajar dan pastikan setiap murid menguasai konsep sepenuhnya sebelum mengajar kemahiran yang seterusnya. Guru juga boleh menggalakkan murid berkongsi idea dan berbincang supaya mereka lebih faham konsep yang dipelajari. Selain itu, guru boleh menggunakan bahan konkrit dan lebihkan “hands on activity” untuk membantu murid memahami konsep yang abstrak. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan model 3 dimensi untuk mengajar topik “Bentuk 3 Dimensi”. Murid dikehendaki memanipulasi model-model untuk menyatakan ciri-ciri bentuk 3 dimensi yang dipegang.

Pada pendapat saya, kekeliruan berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya gaya komunikasi guru dalam gaya pengajarannya. Perkembangan bahasa dan perbendaharaan kata metematik merupakan faktor utama yang memberi kesan terhadap mutu keseluruhan hasil pembelajaran matematik menurut Austin dan Howson (1979). Perbendaharaan kata matematik boleh diperkembangkan melalui pelbagai cara. Salah satunya ialah melalui komunikasi. Contohnya, guru haruslah menerangkan perkataan teknikal yang terdapat dalam bidang algebra, geometri, set, penomboran dan istilah dalam matematik. Ini adalah kerana ia sangat penting sebagai bahan rujukan pelajar. Sekiranya guru tidak dapat menyampaikan sesuatu pengajaran dengan jelas, maka akan berlaku kekeliruan dalam kalangan pelajar bagi memahami sesuatu pengajaran matematik. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan mereka kurang berminat terhadap matematik disebabkan oleh pendekatan gaya pengajaran guru. 


Pembelajaran dan pengajaran menggunakan Perisian Geogebra


Perkembangan kurikulum yang semakin kompleks pada masa ini telah memerlukan kemahiran pemikiran tinggi yang dapat diaplikasikan dengan perkembangan teknologi maklumat. Penggunaan perisian di dalam pembelajaran dan pengajaran merupakan revolusi daripada cara penyampaian pengajaran konvensional kepada model baru pengajaran dan pembelajaran berasaskan pelajar. Menurut Vijaya (1996) perisian atau multimedia sebagai gabungan teknologi bunyi, audio, grafik berbentuk statik, animasi dan tayangan video. Namun begitu, penggunaan teknologi tersebut bukan bererti untuk menggantikan terus peranan pendidik ke tahap fasilitator.

Lanjutan daripada perkembangan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan, ia telah mencipta satu ‘jambatan’ dalam bidang matematik yang lebih berkualiti dengan menggunakan perisian sebagai pengajaran matematik. Teknologi matematik yang digunakan oleh pendidik sebagai bahan bantu mengajar telah menjadikan pembelajaran yang disampaikan kepada pelajar dapat memenuhi objektif pembelajaran yang sedia ada agar pembelajaran yang disampaikan lebih jelas dan bermakna. Menurut Abdul Razak & Nor Asmah (2011), matematik ialah suatu subjek ilmu yang dapat mendidik pelajar untuk mengembangkan pemikiran analisis, kritis, sistematik, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran menggunakan ilmu pengetahuan matematik dalam kehidupan seharian. Manakala Sharifah (2008) pula menyatakan bahawa dengan adanya teknologi maklumat (ICT) telah memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana mereka dapat membuat pencarian ilmu tersebut dari pelbagai sumber.

Menyedari kepentingan matematik untuk perkembangan ilmu pengetahuan maka satu perisian telah dicipta untuk meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran menggunakan ilmu iaitu GeogebraGeogebra berasaskan laman sesawang dapat digunakan untuk mempermudahkan pelajar memahami matematik kerana dalam perisian ini pelajar dapat mencari maklumat, memperluas pengetahuan dan dapat meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah. Dengan adanya gambar atau pergerakan animasi yang dimiliki oleh Geogebra, pelajar dapat memahami, meneroka, menilai dan menganalisis apa yang telah dipelajari.

Antara kelebihan yang Geogebra miliki ialah ianya bersifat GNU (GNU's Not Unix) di mana perisian ini bebas untuk dimuat turun, diaplikasikan serta dikembangkan oleh para penggunanya. Geogebra berjalan dalam sistem pengoperasian yang cukup luas dan merangkumi Windows, Linux dan Macintosh dan menggunakan Java sebagai mesin virtual yang sudah dipasang secara automatik pada perisian tersebut. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Anthone (2009) menyatakan bahawa perisian Geogebra sangat efisyen digunakan sebagai media dalam pembelajaran matematik, sementara menurut Hassan Hutkemri (2013) pula, pembelajaran secara interaktif dengan Geogebra dapat membantu pemahaman dan menyokong responsif diri (self-responsive) dalam penilaian urutan objek pembelajaran. Direka secara khusus sebagai alat untuk pembelajaran dan pengajaran di semua peringkat pendidikan, 

Geogebra dapat membantu para pensyarah dan pelajar untuk melakukan eksperimen, orientasi masalah, dan orientasi penyelidikan bidang geometri. Geogebra memudahkan ciptaan pembinaan matematik dan model-model oleh para pelajar yang mana penerokaan interaktif dapat dilakukan dengan cara dragged object dan changing parameters selain dapat dikendalikan dalam Bahasa Melayu. Sementara itu, bagi para pensyarah pula dapat mencipta laman-laman sesawang interaktif untuk tujuan pengajaran mereka.


Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kewujudan Budaya Sekolah


Secara umum, sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang memainkan peranan yang amat penting dalam mengubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Sesungguhnya, cita-cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi rujukan kajian ilmiah.

Antara faktor-faktor yang mempengaruh kewujudan budaya sekolah termasuklah sekolah sebagai institusi formal, sekolah merupakan organisasi berdasarkan waktu, sekolah merupakan institusi yang digred mengikut umur pelajar, upacara dan keramaian yang dilaksanakan di sekolah, serta matlamat institusi berkenaan.

Menurut artikel ini, ciri-ciri yang tergolong di bawah budaya sekolah ialah budaya ilmu, budaya insan yang kamil seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, budaya kepimpinan, budaya kerja, budaya komunikasi dan budaya bilik darjah. Budaya sekolah yang sihat ialah ciri-ciri budaya dan sub-budaya yang dapat menyumbangkan kepada perwujudan dan pertumbuhan sekolah sebagai institusi pendidikan dengan erti kata yang sebenarnya, yang mana dapat membantu merealisasikan segala yang tersurat dan yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Tuntasnya, budaya sekolah yang baik dapat membantu membentuk modal insan yang bersepadu dari segi JERIS.


Hubungan Antara Budaya Formal Sekolah dan Gaya Pembelajaran Pelajar Dengan Pencapaian Akademik Pelajar


Artikel ini adalah berkaitan dengan hubungan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar dengan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah. 
Hasil kajian mendapati bahawa budaya formal sekolah yang paling dominan adalah budaya formal sekolah berdasarkan dari aspek sosial. Manakala gaya pembelajaran pelajar yang paling dominan adalah gaya pembelajaran berdasarkan dari aspek visual. Selain itu, terdapat hubungan yang signifikan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar.


Menurut kajian ini, guru dan pelajar harus mengenal pasti budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran agar dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Pada hemat saya, pengenalpastian budaya formal sekolah memang penting kerana budaya sekolah yang baik dapat memupuk minat yang baik dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh, budaya membaca yang dipupuk dari zaman sekolah dapat menjamin para murid suka membaca. Tuntasnya, untuk mencapai kecemerlangan dan kegemilangan, maka sesebuah sekolah haruslah memupuk  budaya yang positif.

Ethnomathematics presentation

Hayati video berkenaan Ethnomathematics

 Anda akan berasa kagum dengan budaya kita sedia ada ;)


Pengajaran & Pembelajaran Kelas Abad ke - 21

PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek penting dalam pelaksanaan kurikulum. Menjelang abad ke 21 pelajar perlu mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan secara meluas.

Pelajar abad ke 21 merupakan pelajar yang celik dari segala-galanya tidak kira dalam teknologi maklumat mahupun akademik. Di samping itu, para guru juga perlu beralih kepada beberapa aspek memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran untuk abad ke 21 amat mencabar. 

Di bawah adalah video mengenai Pengajaran & Pembelajaran Kelas Abad ke - 21 di SK Tmn Rinting.


10 Ciri Pembelajaran Kelas Abad ke 21





Dalam pada untuk kita bersaing dalam kemajuan dunia, maka sektor pendidikan haruslah seimbang dengan perkembangan abad ke 21. Kemajuan teknologi dan juga keupayaan pelajar harus digunakan dengan sebaik mungkin bagi mengoptimumkan penghasilan kemenjadian murid yang tinggi dalam kalangan pelajar Malaysia. Berikut adalah 10 ciri pembelajaran abad ke 21 yang boleh dimanfaatkan.



1. Berpusatkan pelajar
- pelajar berperanan penting, guru sebagai pembimbing
- meletakkan minat pelajar sebagai keutamaan


2. Penggunaan komputer
- alat penting untuk kelas abad ke 21
- sangat membantu dalam pdp


3. Pembelajaran aktif
- penglibatn yang lebih aktif sama  ada dengan perbincangan bersama rakan, atau pun penggunaan komputer


4. Pembelajaran kendiri
- kelas masih boleh berfungsi dengan pelabagai aras pembelajaran


5. Persekitaran yang kondusif
- tidak terlalu sesak
- peralatan mengajar yang asas seperti papan putih interaktif dan lcd projektor


6. Pelajar faham dan mematuhi arahan
- pemebelajaran dirancang dengan teliti dan tersusun
- peraturan kelas, prosedur dan notis ditampal di ruang khas bagi memudahkan pelajar sentiasa berada dalam landasan yang betul


7. Saling hormat menghormati
- perlu hormat menghormati antara guru dan pelajar
- guru perlu menggalakan pelajar berucap dengan yakin dan menghargai pendapat mereka
- pelajar perlu belajar bekerjasama dan menghormati rakan sekelas


8. Pelajar bertanggungjawab terhadap pelajaran mereka
- sekiranya pelajar digalakkan untuk terlibat aktif dalam pembelajaran, maka mereka akan lebih bertanggungjawab dengan pembelajaran mereka


9. Penilaian berasaskan pencapaian
- guru sentiasa menjalankan penilaian dengan pelbagai kaedah tanpa terikat dengan sesuatu bentuk ujian sahaja


10. Pembelajaran kolaboratif
- pembelajaran secara berkolaborasi merupakan kaedah paling berkesan dalam pembelajaran