Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 11 September 2010

JOM SEMBANG BERSAMA NAIB PRESIDEN PAS

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM)

YB Salahuddin Ayub (SA)

Dato’ Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca

Soalan 1:

Utusan Hari Raya Aidilfitri Naib Presiden PAS

TITM: Saya mengambil kesempatan pada hari mulia ini untuk mengucapkan selamat menyambut hari lebaran, Minal Aidil Wal Faizin. Semoga tarbiyah Ramadhan yang kita lalui akan menghasilkan natijah ketaqwaan kepada Allah. Sifat taqwa inilah yang akan menjadi pendorong ke arah peningkatan mujahadah bagi menghadapi cabaran masa depan yang semakin hebat.

Pembinaan jiwa yang sentiasa bertaqarrub dengan Allah menjadikan kita lebih tabah menghadapi tekanan dan mehnah dalam perjuangan bagi memenangkan Islam dalam negara ini. Kemenangan yang dinanti oleh seluruh rakyat bagi melihat satu peta baru masa depan negara yang bebas dari rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan khazanah negara, bebanan hidup yang terpaksa dipikul oleh rakyat dalam negara yang mempunyai pelbagai hasil mahsul ini serta pembinaan bentuk kepimpinan bertaqwa.

Saya menyeru seluruh kepimpinan parti dan penyokong untuk mengambil kesempatan pada eidul mubarak ini untuk memperkukuhkan hubungan silatulrahim dan jalinan kerja jamaah yang lebih mantap. Jadikan setiap pertemuan sebagai wadah memperkukuhkan kekuatan jamaah, saling bermaafan antara satu sama lain, dan membuang jauh semua sikap negatif dalam diri demi mengukuhkan kekuatan jamaah.

Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit bersama membentuk satu gelombang baru perubahan politik negara ke arah lebih baik dan cemerlang. Jadikan penggal ini sebagai penggal akhir bagi BN menguasai negara- InsyaAllah.

Saya juga mengambil kesempatan agar semua pengguna jalanraya agar berhati-hati di jalanraya, jangan ambil risiko dalam pemanduan; bertindak dengan yakin dan mulailah perjalanan anda dengan memohon peliharaan Allah agar anda selamat tiba di distinasi.

SA: Selamat Hari Raya – mari ini kita sama-sama mengubah Malaysia kepada negara yang lebih baik.

Marilah bersama-sama kita menjaga keselamatan keluarga kita semasa pulang berhari raya dan jangan sia-siakan nyawa kita – kita diperlukan untuk perjuangan dan perkara yang lebih besar.

MO: Jadikan Hari Raya ini untuk umat Islam memperkukuhkan perpaduan untuk memastikan umat Islam tidak mudah diperkotak-katik oleh mana-mana kepentingan politik dalam negara kita ini tapi setiap umat Islam harus berdiri di atas neraca dan timbangan yang berasaskan kepada agama Islam itu sendiri – dalam erti kata lain mengelak umat Islam daripada berdiri di atas timbangan dan neraca emosi ataupun neraca politik.

Umat Islam juga harus menjadikan Hari Raya ini untuk menjalinkan komunikasi dan hubungan di antara kaum dan agama yang berbilang di negara kita ini. Ini akan mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam kerana inilah yang dapat dilakukan oleh umat Islam untuk memperlihatkan watak dan sifat umat Islam yang baik hati dan akal budi yang sangat tinggi.

Kepada anak-anak perantauan yang akan pulang berhari raya di kampung halaman, saya ingin berpesan supaya mereka dapat berhati-hati di jalan raya dan mengingati bahawa jalanraya itu bukan hanya milik mereka seorang, tapi milik semua. Kalau pengguna jalan raya boleh meletakkan jalanraya itu adalah milik semua dan bukan milik perseorangan, maka sudah tentu aman damai di jalan raya dengan pemanduan yang berhemah.

Soalan 2:

Kenangan Hari Raya:

Ketika muda, apa yang sering dilakukan pada pagi Hari Raya dengan ibu bapa?
TITM: Kenangan hari raya ni, teringat masa kecil, zaman yang paling seronok menyambut raya... dulu nak dapat baju baru musim raya pun payah, musim raya baru dapat baju melayu baru, kasut plastik putih... kasut ni kasut raya lepas raya pakai bawak ke sekolah.

Kasut baru punya sayang sehinggakan tidur malam letak kat atas kepala tidur; bangun pagi pakai dulu, itupun kasut plastik warna putih. (sebenarnya kasut sekolah, bukan kasut raya-sekarang baru tahu)... Masa tu manalah tau.... yang penting dapat kasut baru.

Biasanya pagi raya dah siap pakai baju baru dan kasut baru... wajib kena bagi salam emak ayah dan abang-abang dulu. Lepas itu, saya wajib pergi rumah guru Qur'an untuk bersalam dan minta maaf (kalau dapat duit lagi baik, biasanya dapat 10 sen, beli oren lemenit 15 sen sebotol).

SA: Biasa pagi kita mencium tangan kedua ibubapa kita dan memohon maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan... dan sudah pasti yang paling penting sekali dengan penuh debaran menanti duit raya daripada keluarga... hahahhaha

MO: Saya masih ingat pada pagi raya, rumah saya di kampung menjadi tempat tumpuan untuk masyarakat kampung bersolat sunat hari raya kerana ayah saya seorang imam, beliau akan bersembahyang dua kali di hari raya, iaitu di masjid dan di rumah saya, tetapi lebih awal pada 730 pagi untuk memberikan kemudahan kepada warga kampung yang nak pergi masjid (jauh). Itu adalah satu kemeriahan dalam rumah kami – semua orang kampung datang ke rumah. Waktu itu saya masih di sekolah rendah.

b. Pengalaman main mercun ketika muda.

TITM: Kenangan main mercun... emak ayah sangat tak bagi membeli mercun, takat haram kerana membazir. Jadi kalau nak beli kena sorok-sorok, masa tu beli mercun halus tu je... 20 sen sepapan.

Satu pagi, member datang rumah, pakat makan ketupat, lepas makan masing-masing nak tunjuk hero... saya pun ambil peluang, kebetulan emak ayah tak ada rumah, keluar mercun padi tu... pegang dengan tangan, suruh member cucuh...

Konon hebatlah masa tu... apa nak kata apabila mercun tu menyala, lempar punya lempar nak lepas, maka ia terus meletup kat tangan... Rasa kebas jari-jari... rupa-rupanya tadi selepas makan pulut, tangan tak basuh, jadi mercun tu melekatla kat jari.... tapi tak ada lah kes kudung macam sekarang.

SA: Saya bukan main mercun, saya main meriam buluh... tetapi telinga begitu panas sekali mendengar leteran daripada mak saya... dan saya tak pernah terkena luka... hahhahaha... kami sangat professional, dan ciri-ciri keselamatan kita sangat canggih pada waktu itu... hahahhaha

MO: Hahahahha, saya pernah main mercun sampai luka tangan – tangan tak sempat nak lempar... dalam keadaan kita takut-takut mercun, jadi kita cucuh mercun... tak sempat kita lempar, ia terus meletup dan menyebabkan luka di tangan.. tapi tidaklah serius... merah berdarah sikit aje...

c. Masakan Hari Raya bonda/ayahanda yang paling sedap dalam ingatan.

TITM: Makanan bonda paling sedang... emak biasanya masak ketupat lemak manis cicah gula kabung. sedap masih terasa sampai sekarang.

SA: Makanan raya yang saya cukup ingat sampai hari ini ialah makan lepat – lepat ini macam ketupat juga tapi ia dibuat daripada pulut...

MO: Sudah tentu gulai ketupat... masakan mak saya yang masih dalam ingatan saya... yang keduanya, yang special ialah ayam dan itik golek – golek ini ia masak seekor-ekor, masukkan dalam ayam itu, ubi kentang, bawang besar, rempah ratus dan telur rebus dan jahit punggung ayam tu... lepas itu masak dengan santan... dan saya masih boleh masak seperti mana mak saya masak.

d. Lagu raya yang paling dinikmati ketika muda.

TITM: Lagu raya yang mengamit ingatan masa lalu.... Musafir di Aidilfitri.

SA: Ohh.. sudah tentu Ahmad Jais – “Selamat Hari Raya” dan yang lebih klasik ialah Musafir di Aidilfitri oleh S. Jibeng.

MO: Saya tak berapa ingat nama... sudah tentunya satu lagunya nyanyian P Ramlee... Dendang Perantau... satu lagi lagu riang di luar, Dam Dam Doom bunyi mercun... dan yang ketiga ialah lagu Ahmad Jais... “Selamat Hari Raya”,

e. Perasaan pada hari terakhir Ramadhan.

TITM: Perasaan hari akhir Ramadhan memanglah paling seronok, mula berbuka puasa hari akhir, bergema takbir.... masa tu macam dapat permit jumpa kawan-kawan, masing-masing bincang nak raya mana... dan yang tentu masuk jadual apabila nak pergi kedai beli oren lemenit. Jalan kaki dekat dua batu ..... dapat minum oren... mandi sungai kot lengit badan.

SA: Memanglah kita suka bercampur duka... suka kerana kita akan menyambut hari raya... kita duka kerana belum tentu lagi dapat berpuasa lagi...

MO: Saya terasa macam kehilangan sesuatu – maknanya saya akan rasa hilang sesuatu selepas itu... seolah-olah tiada kegembiraan... macam kehilangan seseorang yang kita sayang.

f. Masakan Hari Raya Naib Presiden sekalian yang paling dipuji untuk isteri/anak-anak masing-masing.

TITM: Saya jarang masak, biasanya dapat lemang cicah rendang, dan tapai antara kegemaran di hari raya.

SA: Hahhahahhaha... saya tak pernah masak lah...

MO: Nasi daging... nasi merah masukkan daging itu...

g. Bulan mana guna lebih banyak duit - Ramadhan atau Syawal?

TITM: Nampaknya syawal lagi banyak, kena beli baju baru anak-anak, sekurangnya satu dua pasang seorang... masing-masing nak yang lawa. Tak apalah kita dulu tak dapat macam anak-anak sekarang. Keadaan dah berubah... tapi tahun ni emak bapak pakai yang lama lah....

SA: Syawal... sebagai seorang suami dan seorang bapak, saya rasa sama saja kita belanja untuk keluarga – di masa kanak-kanak atau remaja biasanya lebih banyak guna pada Syawal.

MO: Syawal... tapi dah mula dari Ramadhan lagi... tapi bukan untuk bulan Ramadhan, tapi untuk persediaan 1 Syawal, kita terpaksa menghabiskan wang lebih untuk keluarga dan konteks saya sebagai wakil rakyat, saya terpaksa guna duit yang lebih.

h. Biasanya berpuasa sunat pada Syawal ke berapa?

TITM: Puasa sunat syawal biasanya lambat sikit, kadang-kadang pertengahan syawal. Maklumlah kalau ada kawan ziarah rumah, tak sedap sangat tuan rumah tak makan minum sama... tapi tahun ini bercadang nak puasa awal sikit...

SA: Saya mula agak lewat, tapi Alhamdulilah selalunya saya cukup sebab waktu raya, sebagai wakil rakyat, saya kena entertain rakyat di kawasan saya.

MO: Biasanya saya akan mula pertengahan syawal kerana banyak majlis rumah terbuka.

i. Budaya angpau di Hari Raya di zaman muda dan sekarang...

TITM: Budaya ang-pau ni dah lama ada, dulu nak dapat sepuluh ringgit pun sakit... Biasanya pak saudara saya buat pertandingan dekat dengan hari raya... siapa yang dapat hafal ayat Quran atau selawat tertentu... dia bagi hadiah duit seringgit. Masa tu masing-masing pakat hafal-lah... sebab seringgit tu sangat besar. Kini kalau bagi seringgit budak-budak kecik kata seringgit je...kedekut punya pak cik... hahahhaha...

SA: Bezanya hanyalah dari segi perasaan... masa muda kita memang menanti angpau itu... tapi apabila dah tua, kita memberi pula angpau itu kepada anak-anak dan juga saudara-mara kita - yang lebih bermakna lagi adalah kalau kita ada lebihan rezeki, kita berikan kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya.

Dari segi nilai angpau, dulu kita dapat seringgit saja sudah besar, tapi sekarang bagi anak-anak yang dewasa, saya bagilah RM 100... sungguh jauh bezanya...

MO: Ini sangat berbeza... kalau dulu di zaman saya, kita tak letak dalam sarung duit sebab dia bagi duit syiling... 20 sen, paling tinggi 50 sen... tapi sekarang jika orang mahu datang Hari Raya – terutamanya budak-budak, dia tak main duit syiling dah... dia sudah mahu duit kertas... hahahhaha... paling tinggi RM1.

Malah budaya angpau pada masa kini masih kekal walaupun di kalangan kanak-kanak kali ini... mereka akan berjalan secara berkumpulan dari rumah ke rumah untuk mengutip angpau... macam satu operasi...

Masa saya kecil dulu, saya tak berjalan rumah ke rumah kecuali ayah saya akan bawa ke rumah-rumah keluarga untuk dapatkan duit raya.

Tiada ulasan: