Selepas pilihan raya umum 2008, UMNO dan Barisan Nasional di beberapa buah negeri utama di Malaysia telah menjadi pembangkang, termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.
Sebelum 2008, kelihatan negeri-negeri ini cukup mustahil untuk ditumbangkan, apatah lagi ia merupakan negeri yang paling banyak menyumbang kekuatan UMNO dan Barisan Nasional. Kini tidak lagi.
Apabila UMNO menjadi pembangkang
Apabila Pulau Pinang ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Lim Guan Eng, maka bertempiklah sorak-sorai fanatik UMNO menuduh Melayu dan Islam Pulau Pinang telah terbiar di bawah “Cina” DAP. Sangat pelik, kebencian UMNO telah menghalalkan semua fitnah yang sendirinya menggambarkan sikap Melayu/Islam UMNO.
Keadaan ini turut sama berlaku di Selangor, sebuah negeri pusat kekuatan UMNO-BN selepas negeri Johor. Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor iaitu UMNO dan BN hingga kini tidak pernah menjalankan fungsinya sebagai check and balance di Selangor.
Segala isu yang dibangkitkan, sama ada di DUN atau di ceramah, isu yang dibawa kepada media massa kawalan BN sendiri, semuanya yang bertolak dari fitnah.
Isu pasir contohnya, hingga kini pihak UMNO masih beretorik dengan rakyat menerusi media mereka yang menuduh kerajaan negeri gagal mengurus industri pasir dengan baik.
Mereka ini bercakap tanpa melihat fakta yang telah diaudit dan dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
Dalam laporan lidah rasmi UMNO, UtusanMalaysia, yang terkenal dengan lebih fitnah dari fakta, seorang pemimpin pujaan mereka, iaitu Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri telah mengungkapkan satu keluhan yang abstrak meneganai isu perpaduan di Selangor.
Masih tak sedar diri
Dalam satu wawancara, 1 April, beliau berkata: “Dulu wakktu kita memerintah (UMNO BN), kita berjaya mewujudkan sebuah keluarga harmoni dan bersatu padu. Kita juga berjaya memberikan kekayaan kepada keluarga ini, tetapi apabila dia (pembangkang – yang sudah menjadi kerajaan) memerintah, perpaduan sudah tidak berapa mantap lagi, harmoni pun tidak ada dan hari ini kerja dia hanya menjual harta. Harta ini kalau lama jual, ia akan habis”.
Sebagai pembangkang di negeri Selangor, ada baiknya kita lihat hujah beliau ini dari segi fakta dan objektif.
Yang dimaksudkan oleh beliau sebagai “keluarga yang harmoni dan bersatu padu, memberikan kekayaan kepada keluarga” – ini semua apa maknanya?
Di manakah keluarga ini tinggal?
Harmoni yang bagaimana yang dinikmati oleh keluarga ini? Kekayaan apakah yang telah diberikan kepada keluarga (misteri) ini?
Keluarga siapakah yang dimaksudkan oleh Noh Omar ini?
Seharusnya sebagai pembangkang, Noh Omar perlu berikan butiran yang lebih terperinci dan jelas tentang dakwaan beliau ini supaya semua orang faham.
Bagaimana mungkin semua dakwaan ini hanya bersifat umum (abstrak) tanpa ada data yang jelas?
Adakah begini caranya UMNO-BN menjadi pembangkang?
Kemudian beliau mendakwa lagi “selepas PR memerintah, perpaduan sudah tidak berapa mantap dan harmoni juga sudah tidak ada lagi” – ini pula apa maknanya?
Adakah terdapat peperangan atau kebuluran di Selangor?
Jika benar wujud, silalah kemukakan bukti dan data, kerajaan Selangor pastinya ingin tahu jika ‘ketiadaan harmoni’ yang dimaksudkan oleh Noh Omar itu bermaksud kekacauan telah melanda bumi Selangor.
PR lebih cerdik, bermutu sebagai pembangkang Parlimen
Jika kita perhatikan dengan berhati-hati, mutu kerja pembangkang di negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang berbanding mutu kerja pembangkang di Parlimen amat jauh berbeza.
UMNO dan BN, sebagai pembangkang di negeri-negeri tersebut rata-ratanya membawa isu yang tidak ada fakta sebaliknya hanyalah ungkapan abstrak yang diolah daripada fitnah semata-mata.
Ini jauh berbeza dengan prestasi pembangkang (PR) di Parlimen yang segala isu yang dibawa disertakan bukti dan data maklumat yang jelas yang mana semua bukti dakwaan itu selayaknya disisasat oleh pihak yang bertanggungjawab.
Dahulu, kes dakwaan UMNO yang kononnya Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu melakukan rasuah, hingga kini tidak ada satu pun bukti yang bersabit atas dakwaan itu.
Kes Teo Beng Hock hingga menyebabkan kematian mendiang itu, hingga kini juga tidak ada satu pun bukti yang bersabit atas ‘dakwaaan’ UMNO itu.
Akhirnya, kita dapati bahawa pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang (UMNO-BN) hanya tahu memfitnah tanpa sebarang data dan bukti.
Inilah mutu para pemimpin UMNO, ia juga memberi gambaran bahawa jika prestasi sebagai pembangkang pun caca marba, maka tidak hairan kerajaan UMNO-BN penuh dengan kecurangan dan kepincangan.
Jadi, apa yang UMNO boleh pelajari? Jika kemaruk sangat ingin kembali memerintah Selangor dan Pulau Pinang, belajarlah menjadi pembangkang yang baik.
Teladanilah tekad, semangat dan mutu Pakatan Rakyat sebagai kerajaan menanti untuk persekutuan Malaysia. – Roketkini.com
Hit: 18 Laman Asal