FRAGMEN 3 - BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA

Mengapa Mahu Kahwin Awal?

Meramaikan’ Anak
Kita biasa mendengar bagaimana datuk dan nenek kita dahulunya sering dikaitkan dengan mempunyai anak ramai. Mengapa orang dahulu mempunyai anak yang ramai? Pasti kita juga biasa mendengar kata-kata nakal; orang dahulu tidak ada benda lain yang hendak dibuat. Menjelang malam selepas isyak, mereka sudah pasang kelambu untuk masuk tidur. Tidak seperti kita sekarang. Embun jantan menitis pun tapi masih lagi di luar rumah. Jadi tidak hairanlah jika setiap keluarga mempunyai anak yang ramai. Lapan hingga sepuluh sudah dikira biasa. Kebanyakannya mencecah hingga 14 orang dan ada juga yang saya temui sehingga 19 orang.

Apabila difikirkan semula, antara faktor lain yang menyumbang anak ramai dalam kalangan datuk nenek kita ialah berkahwin pada usia muda. Mana tidaknya, anak-anak gadis zaman dahulu rata-ratanya berkahwin pada usia 14 tahun. 19 tahun itupun sudah dikira lewat. Malah, ada juga yang berkahwin seawal 11 tahun! Emak saya sendiri berkahwin pada usia 19 tahun.

Menurut cerita emak, ketika dia masih lagi ‘menakal’ dengan kawan-kawannya, ketika itulah bakal suaminya (ayah sayalah tu) meronda-ronda sekitar rumah dengan basikalnya mengintai-intai emak saya. Selepas beberapa lama kemudian, mereka pun berkahwin.

Tahap Kesuburan
Pasangan yang berkahwin muda dikatakan lebih subur (boleh rujuk yang pakar). Sistem reproduktif mereka langsung tidak terjejas dengan anasir-anasir yang merosakkannya. Apalagi dengan usia yang masih mentah, sampai ketikanya ada yang melahirkan dua orang anak setahun! Yalah... jika dahulu tiada makanan yang diawetkan dengan bahan-bahan kimia yang berbahaya. Sebaliknya sekarang, dalam rumah kita penuh dengan makanan yang diawet. Tidak mustahil jika ada yang mampu merosakkan janin atau langsung menyebabkan tidak boleh mengandung!

Dengan usia yang masih muda, mereka sudah belajar memegang tanggungjawab dengan kebanyakan suami bekerja mencari nafkah. Sementara isteri pula duduk di rumah menjadi suri rumah sepenuh masa melayan semua kehendak suami. Tidak hairanlah kebanyakan mereka yang hidup pada zaman nenek moyang dahulu mempunyai anak ramai.

Bayangkan... pada umur 20 tahun, emak kita sudah pun mempunyai tiga orang anak. Masuk umur 40 tahun anak-anaknya sudah menjadi 12 orang! Sudah boleh membentuk satu pasukan bola sepak. Tetapi, apa lebihnya anak ramai?

Jika umat Islam mempunyai anak yang ramai, ia menjadi kebanggaan Nabi kita Muhammad s.a.w kerana secara langsung telah meramaikan umatnya. Realiti hari ini, mereka yang mempunyai adik-beradik ramai yang datangnya dari keluarga besar, kelihatan mudah dari banyak segi.

Big Family!
Saya mempunyai pengalaman dengan sebuah keluarga besar yang mempunyai ahli seramai 11 orang. Saya namakannya sebagai keluarga F sahaja. Dari segi keyakinan diri, rata-rata semua ahli keluarganya mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Mereka berani ke depan, berani menyuarakan pendapat dan mudah mesra.

Apakah bilangan keluarga dengan umur mereka yang ‘dekat-dekat’ mempunyai kaitan dengan kemahiran bersosial dan EQ? Ini kerana, tidak cukup dengan pandai bergaul, mereka sudah mempunyai sumber pendapatan sendiri. Dari situ mereka dapat menggerakkan ekonomi melalui tabungan wajib setiap bulan. Hampir seperti pelaburan!

Baru-baru ini saya telah menghadiri majlis tahlil arwah ayah saudara. Dia pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan mengumpulkan dua daripada isterinya dalam sebuah rumah. Salah seorang isterinya gadis Jambi, Indonesia yang saya gelar tante. Apabila adik tante saya dari Jambi melihat bilangan saudara-mara yang datang menziarahi arwah dan mengadakan tahlil, dia agak kaget!

“Kalau di Jambi, kami tidak perlu jemput orang lain untuk tahlil. Cukup dengan adik-beradik dan saudara-mara. Kami di sana mempunyai keluarga yang besar-besar.” Bayangkan arwah bapa saudara saya yang mempunyai anak seramai sembilan orang. Itupun masih dikatakan tidak ramai!

Memang untung mempunyai keluarga yang besar, ini kerana semua pekerjaan mampu dibuat bersama. Kalau hendak mengadakan kenduri ataupun majlis perkahwinan, suasana akan ceria apabila semua ahli keluarga mengambil bahagian.

Bermula dengan abang sulung akan menyediakan makanan untuk jemputan, yang kedua menyiapkan khemah, si adik pula menguruskan orang untuk merewang dan yang lain-lain akan menguruskan sesi fotografi, mak andam, pelamin dan seumpamanya. Yang bagusnya, mereka bukan sekadar menguruskan tetapi bertanggungjawab menaja barang hantaran pengantin. Jadi, mempelai hanya akan goyang kaki dan benar-benar menjadi raja sehari!

Begitu hebatnya mempunyai adik-beradik yang ramai. Jadi, jangan takut jika dikurniakan anak yang ramai. Bahkan, bersyukurlah. Sesungguhnya, setiap kurniaan ALLAH itu adalah yang terbaik buat kita.

Ikut Jejak Langkah Ayah Atau Ibu
Ada juga keadaan seseorang itu akan berkahwin awal hanya semata-mata ibu bapanya dahulu pernah berkahwin pada usia muda. Keadaan akan menjadi lebih mudah apabila perkahwinan itu tidak perlu melalui pelbagai cabaran. Maka, seseorang anak yang ingin berkahwin awal akan menjadikan ibu bapanya sebagai ‘idola’.

Contoh yang paling dekat ialah anak lelaki saya sendiri. Ketika masih menuntut di luar negara, dia sudah pun menyampaikan hasrat untuk berumah tangga. Mungkin disebabkan masalah kewangan, menyebabkan dia terpaksa bekerja sebagai tukang cuci, maka dia terpaksa membatalkan hasrat dan keinginannya.

Cuba lihat, berapa ramai pelajar kita yang dihantar di negara maju seperti Amerika Syarikat, Canada, New Zealand dan UK yang terpaksa bekerja sambil belajar. Mungkin anak lelaki saya juga terpengaruh untuk mengumpul duit di sana. Namun dia bernasib baik kerana kesedarannya timbul apabila dia mula berfikir semula bahawa tugasnya adalah untuk belajar dan bukannya untuk bekerja.

Pada saya, jika dia sama seperti rakannya yang sibuk bekerja di sana sehingga ada yang sengaja meninggalkan kuliah, tentu dia juga sudah menyimpan sehingga US100 ribu dan berkahwin di sana. Tidak dapat dinafikan pelajar-pelajar yang bekerja di sana mampu menyimpan wang yang banyak. Namun terdapat juga yang mengabaikan pelajaran sehingga terpaksa mengulang semester kerana gagal dalam peperiksaan.

Berbalik semula kepada keadaan anak lelaki saya. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Hanya beberapa bulan sekembalinya ke Malaysia dan bertugas di salah sebuah agensi MARA, dia terus mendirikan rumah tangga dalam usia 23 tahun. Berapa sangatlah wang gaji yang dapat dikumpul setelah bekerja selama beberapa bulan. Namun, ALLAH telah memudahkan urusannya sehingga pihak perempuan sendiri tidak mempunyai masalah untuk menerimanya.

Sejarah berulang kembali. Jika dahulu saya berkahwin dengan seorang gadis yatim piatu, anak lelaki saya ini juga mendapat jodoh dengan gadis yatim piatu juga. Urusan pernikahan juga menjadi lebih mudah, kerana abang kepada menantu saya ini langsung tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima anak saya.

Mungkin ini juga dikatakan kebetulan. Tetapi, sebenarnya sedikit sebanyak faktor menjadikan ibu bapa sebagai idola untuk berkahwin awal, tidak patut disangkal!

Segera Menunaikan Kebaikan
Rata-rata mengetahui bahawa berkahwin adalah sunah yang perlu diikuti oleh setiap umat yang mengaku bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah nabinya. Setiap perkara yang dilakukan kerana sunah nabi tentu sekali akan meraih ganjaran pahala. Jika bernikah itu merupakan suatu sunah dan menjadi wajib kepada mereka yang tertentu, maka yang sengaja meninggalkannya akan menanggung dosa.

Berapa ramai teruna dan dara di luar sana yang berkasih-kasihan, selesa dengan keadaan dan status mereka hanya sebagai ‘kekasih yang tidak halal’. Amalan melambatkan perkahwinan (tanpa alasan kukuh), menjadikan hubungan kekasih ini sentiasa berpanjangan dalam keadaan berdosa.

Nama pun tidak halal. Jika makanan yang tertulis tidak halal, tentu sahaja hampir semua masyarakat Islam akan menjauhinya. Rata-rata akan mencari logo halal yang diiktiraf JAKIM. ‘Halal’... menjadi suatu perkataan keramat yang amat sensitif bagi umat Islam, hinggakan pengusaha bukan Islam pun berebut-rebut untuk membeli tanda halal dan mendapat pengesahan halal bagi barangan yang dikeluarkan. Kalau tidak dapat pengiktirafan, sanggup pula mereka membuat logo halal palsu!

Tetapi apabila disebut perhubungan yang halal atau lebih tepat dengan istilah ‘kekasih halal’ sebagai­mana yang dinyanyikan oleh kumpulan Wali Band, tidak ramai pula pria Islam yang berebut-rebut untuk mendapat pengiktirafannya. Keindahan alam percintaan dan asyik masyuknya sering membuat teruna dan dara terus dengan ‘kekasih haram’ mereka tanpa memikirkan impak yang akan diterima di dunia dan di akhirat kelak.

Apabila disebut kekasih haram, sudah pasti terselit unsur-unsur yang menyebabkan perhubungan di antara bujang dan dara ini bergelumang dengan dosa dan noda. Begitu jauh perbezaan antara yang berkahwin dengan yang tidak ada ikatan perkahwinan. Selagi bergelar kekasih tanpa ikatan nikah, walau hanya memimpin atau memegang tangan kekasih hati sahaja sudah jatuh haram hukumnya.

Daripada Ma`qil bin Yasar daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda:
Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya. - HR. Thabrani dan BaihaqiBerbeza pula apabila si suami memimpin atau memegang tangan isterinya dengan kasih sayang. Perlakuan ini kelihatan remeh, tetapi ia sebenarnya mampu meraih ganjaran pahala daripada ALLAH S.W.T. Bagaimana dengan melihat wajah kekasih hati? Menyimpan gambar yang bukan muhrim sahaja sudah dikira berdosa apalagi memandangnya secara nyata. Sehinggakan ALLAH memerintahkan kepada perempuan dan lelaki agar menundukkan pandangan ketika berjalan.
Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih sayang), maka ALLAH akan memandang keduanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila seorang suami memegang jemari isterinya (dengan kasih sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya. - HR. Abu Sa’idBegitulah indahnya Islam. Jalan sudah diberi, lampu jalan juga sudah dipasang sepanjang jalan, sign board sebagai petunjuk juga sudah siap sedia di kiri kanan kita. Malah, destinasi juga sudah dinyatakan awal-awal lagi. Tinggal kita sebagai umat baginda perlu melalui jalan yang betul untuk mencapai syurga-NYA.

Dengan semua kelengkapan dan kemudahan yang ALLAH berikan kepada hamba-NYA, masih ramai lagi yang terbabas ke ‘jurang neraka’. Apakah mereka tidak nampak jalan lurus yang terbentang di hadapan? Atau adakah mereka tidak tahu membaca petunjuk yang jelas menerangkan kawasan mana boleh masuk dan yang mana satu no entry!

Tidak Halal
Tidak cukup dengan itu, berapa ramai pula (kebanyakannya golongan belia) yang ‘mati’ di tengah jalan sebelum tiba ke destinasi. Lebih memeritkan lagi apabila terdapat ramai anak luar nikah yang ditinggalkan di dalam kotak, anjung surau atau lebih teruk lagi di dalam longkang, atau tempat yang kita sendiri tidak pernah terfikir. Betapa malangnya bayi yang terbuang itu hasil daripada nikmat sementara yang mereka kecapi itu.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rendah­nya akhlak dan moral masyarakat yang mendiami bumi indah Malaysia ini, sehinggakan setiap sepuluh minit akan lahirlah seorang anak luar nikah! Sekiranya bernasib baik, dapatlah bayi-bayi ini membesar sama ada di bawah jagaan Jabatan Kemajuan Masyarakat ataupun orang perseorangan yang menginginkan zuriat.

Sekiranya nasib bayi ini kurang baik, terbiarlah dia di tepi longkang dikerumuni semut dan kerengga yang menggigit. Tetapi, kebanyakannya akan berakhir di mulut anjing-anjing liar yang menggonggongnya sebelum dimakan. Natijahnya, yang ditemui semula hanyalah bangkai manusia yang cacat anggota!

Kepada pasangan yang masih berkasih-kasihan dan gagal untuk memegang status ‘kekasih halal’, renungkanlah dalam-dalam. Bacalah petunjuk yang setiap hari terbentang di depan mata. Ingatlah sentiasa tujuan dan matlamat akhir kita yang sebenar. Sesungguhnya, destinasi kita adalah syurga yang kekal abadi.

Janganlah terlalu asyik bercinta dan berkasih sayang tanpa menghiraukan dosa dan pahala, tanpa memikirkan balasan yang akan kita terima kelak. Segerakanlah menunaikan sunah Rasulullah iaitu berkahwin, agar ikatan yang haram bertukar menjadi halal. Secara langsung akan dilimpahi keberkatan, rahmat dan pahala yang berpanjangan dalam kehidupan.

Sekarang bagaimana? Pilihan ada di tangan kita.
Saya masih teringat beberapa sesi temuduga yang pernah saya hadiri ketika dalam usaha untuk mencari pekerjaan. Salah seorang daripada panel temuduga menyoal saya. “Saya lihat dalam borang permohonan ini awak sudah berkahwin. Adakah saya salah lihat atau awak salah tulis?”

Memanglah panel temuduga itu tidak salah membaca. Mustahil belum berkahwin dengan sudah berkahwin tidak dapat membezakannya. Saya hanya tersenyum sambil mengangguk.

Kemudian dia bertanya lagi, “Awak masih muda, tapi sudah berkahwin?” “Dah gatal sangat nak kahwin ke?” Panel di sebelahnya pula dengan selamba menambah.

“Saya cuma ingin menghalalkan yang haram...” jawab saya tenang. Setelah beberapa soalan dikemukakan, akhirnya mereka berpuas hati dengan jawapan yang saya berikan. Sebelum akhir sesi temuduga, salah seorang ahli panel itu memuji saya. “Awak seorang yang matang... jawapan yang diberi memang bernas.” Saya hanya tersenyum puas.

Nah, pria-pria di luar sana. Tunggu apa lagi? Perkahwinan akan mematangkan kita lebih daripada usia yang sebenar. Paling penting, perkahwinan mampu membuka rezeki kita seluas-luasnya. Insya-ALLAH. Yakinlah!

Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM18.00 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).

Hit: 12 Laman Asal