PROGRAM PENDAKIAN DAN PERKHEMAHAN  GUNUNG NUANG, HULU LANGAT, SELANGOR 17 JUN 2011 (JUMAAT) – 18 JUN 2011 (SABTU)
Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengadakan program pendakian dan perkhemahan di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor. Seramai 17 orang pegawai dan kakitangan mengambil bahagian dalam program ini yang telah diadakan pada 17 Jun 2011 (Jumaat) hingga 18 Jun 2011 (Sabtu).
Gunung Nuang merupakan gunung tertinggi di Negeri Selangor iaitu setinggi 4,898 kaki (1,493 meter) dari aras laut. Ia merupakan jajaran banjaran Titiwangsa dan boleh didaki dari Pangsun Hulu Langat, Selangor dan Janda Baik, Pahang. Terdapat batu sempadan yang memisahkan negeri Selangor dan Pahang di Puncak Gunung Nuang.
Semua peserta berkumpul di Ibupejabat AADK pada 17 Jun 2011 (Jumaat), jam 6.30 petang dan mula bergerak ke Gunung Nuang pada jam 7.00 malam. Semua peserta berhenti makan di Batu 14, Hulu Langat dan ada peserta yang menggunakan peluang ini untuk membeli makanan dan peralatan tambahan. Selesai makan peserta melaporkan diri di balai Polis Batu 18 Hulu Langat dengan meninggalkan nama, nombor telefon dan nama waris. Semua peserta sampai ke Pusat Rekreasi Gunung Nuang pada jam 9.30 malam.

Sampai di Pusat Rekreasi Gunung Nuang, semua peserta menggunakan peluang untuk kemas diri dan memeriksa peralatan mendaki seperti Head Lamp, kasut, pakaian mendaki dan sebagainya. Selepas itu taklimat pendakian dan bacaan doa diadakan. Pendakian dari pintu masuk Gunung Nuang bermula pada jam 10.00 malam diketuai oleh En. Zakri Bin Mamat (Ketua Audit Dalam AADK). Semua peserta mempunyai kelengkapan Head Lamp dan lampu suluh untuk pendakian pada waktu malam.

Untuk pendakian peringkat pertama, semua peserta akan mengharungi trek pendakian dari pintu masuk Gunung Nuang ke KEM LOLO sejauh 5 Km untuk perkhemahan. Di sepanjang laluan terdapat banyak pondok yang dibina untuk peserta berehat. Peserta juga terpaksa melintasi beberapa air terjun untuk sampai ke KEM LOLO. Cuaca yang baik dengan bulan yang mengambang penuh menjadikan pendakian pada waktu malam begitu mendamaikan. 
Semua peserta selamat sampai ke KEM LOLO pada jam 12.50 malam iaitu kira-kira 2 jam 50 minit pendakian. Setelah sampai di KEM LOLO, peserta memasang khemah dan berkerjasama untuk memasak bagi mengembalikan tenaga yang telah hilang. Kawasan perkhemahan yang bersebelahan dengan air terjun begitu menenangkan dengan bunyi aliran air yang mendamaikan. Terasa hilang kepenatan bila dapat merasai kesejukan air terjun di KEM LOLO. Selepas itu semua peserta tidur untuk mendapatkan rehat yang cukup bagi menawan puncak Nuang pada keesokan hari.
Hari kedua 18 Jun 2011 (Sabtu), semua peserta bangun pada jam 6.00 pagi untuk kemas diri dan sembahyang. Semua peserta berkerjasama untuk menyediakan sarapan pagi. Pada jam 8.00 pagi, pendakian ke Puncak Gunung Nuang bermula dari KEM LOLO. 
Untuk sampai ke puncak Gunung Nuang, peserta akan melalui 2 kem iaitu KEM PACAT dan KEM PENGASIH sebelum tiba ke puncak Gunung Nuang iaitu sejauh 6 Km pendakian. Trek pendakian ke puncak agak mencabar dimana peserta terpaksa membuat pendakian 90 darjah. Trek pendakian yang dipenuhi dengan akar-akar kayu dan batu mencabar mental dan fizikal pendaki untuk sampai ke puncak. 
Semua peserta selamat tiba ke Puncak Gunung Nuang pada jam 1.00 petang iaitu kira-kira 5 jam pendakian. Di puncak Gunung Nuang terdapat ‘beirut’ iaitu pondok besi penanda Jabatan Perhutanan Malaysia. Ianya untuk menanda puncak dan mengukur sempadan. Sesudah sampai di puncak Gunung Nuang, semua peserta makan untuk mengembalikan tenaga bagi pendakian turun. Peserta juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan. Pada hari tersebut cuaca di puncak agak berkabus dengan udara yang agak sejuk. Permandangan dari puncak tidak dapat dilihat dengan jelas akibat kabus yang tebal.

Pendakian turun dari Puncak Gunung Nuang ke KEM LOLO bermula pada jam 2.00 petang. Semua peserta selamat tiba di KEM LOLO pada jam 6.15 petang iaitu kira-kira 4 jam 15 minit pendakian turun. Sampai di KEM LOLO, semua peserta tidak melepaskan peluang untuk mandi air terjun. Air terjun yang bersih dan segar dan terdapat ikan dan udang yang hidup di kawasan tersebut. Selepas mandi semua peserta bergotong-royong untuk menyediakan makan malam. Selepas makan dan sembahang, semua peserta mula mengemaskan barang serta peralatan untuk pendakian keluar ke Pusat Rekreasi Gunung Nuang.

Pendakian keluar bermula jam 9.00 malam dan semua peserta selamat tiba di Pusat Rekreasi Gunung Nuang pada jam 12.30 malam iaitu kira-kira 3 jam 30 minit. Terdapat seorang peserta yang kekejangan otot atau cramp dan terpaksa di papah sepanjang pendakian keluar. Sikap tolong-menolong amat tinggi dikalangan semua peserta dimana mereka saling bantu-membantu peserta lain yang memerlukan bantuan. Kerjasama dikalangan peserta juga amat dikagumi dimana mereka bergilir-gilir membawa kelengkapan tambahan seperti khemah dan sebagainya dengan sukarela.
Sesungguhnya perasaan bangga tersemat dihati melihat ketabahan dan komitmen pendaki AADK untuk menawan puncak Gunung Nuang walaupun terpaksa mengharungi trek pendakian sejauh 24 Km pergi dan balik dari tempat parking kereta di Pusat Rekreasi Gunung Nuang untuk ke puncak Gunung Nuang yang mengambil masa keseluruhan lebih dari 16 jam. 
Semangat jitu dan tidak mudah berputus asa walaupun kepenatan mencerminkan sikap terpuji untuk menawan puncak kejayaan. Sesungguhnya pendakian untuk menawan puncak Gunung Nuang amat mencabar mental dan fizikal pendaki AADK dan akhirnya puncak tersebut dapat ditawan dengan jayanya hasil dari komitmen dan semangat jatidiri yang tinggi di kalangan semua pendaki AADK…..SYABAS SEMUA….

Nota : Gunung Nuang sering didaki oleh orang ramai pada setiap hujung minggu dengan bayaran permit sebanyak RM1.00 (seringgit sahaja). Bayar kepada renjer yang bertugas dan hendaklah mendaftar nama untuk mendaki.
Hit: 22 Laman Asal