ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR!

Sambutan E’idul Adha 1431H kali ini memanggil kita untuk menghayati dan mendalami erti sebenar di sebalik istilah pengorbanan. Lazimnya, Hari Raya E’dul Adha akan dikaitkan dengan ibadah penyembelihan haiwan ternak seperti lembu, kerbau, kambing, unta, kibash dan lain-lain lagi. Ibadah ini adalah satu refleksi dan manifestasi dari kisah pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Perkataan korban dari segi istilah berasal daripada perkataan Arab yakni Qaraba, Yaqrabu, Qurbanan yang memiliki makna ‘dekat’. Jadi, korban bererti mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengerjakan sebahagian perintah-Nya. Korban dalam pengertian kita sehari-hari sebenarnya diambil dari perkataan Arab udhhiyah yakni berbentuk jama’ dari perkataan ”dhahiyyah” iaitu sembelihan pada waktu dhuha tanggal 10 sehingga 13 Dzulhijjah. Dari sinilah muncul istilah “E’idul Adha”. Dengan demikian yang dimaksud dengan korban atau udhhiyah adalah penyembelihan hewan dengan tujuan beribadah kepada Allah pada hari raya Idul Adha dan tiga hari Tasyriq, yaitu tanggal 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Selain itu, Allah SWT telah melampirkan sejarah mengenai korban di dalam Surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud:

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.


Ayat ini mengadungi satu saranan bahawa dalam ibadah korban memerlukan sifat keikhlasan dan persembahan kepada Allah dan ketaqwaan kita kepada-Nya. Inilah yang dikisahkan pada zaman Nabi Adam a.s. Beliau mendapat perintah dari Allah agar kedua anaknya melakukan korban. Caranya dengan ”mempersembahkan” hasil bumi dan haiwan ternak. Kedua anaknya Qabil dan Habil segera memenuhi perintah tersebut. Habil yang bekerja sebagai penternak, dengan sepenuh hati berkorban untuk mencari redha Allah dengan menyiapkan haiwan terbaiknya untuk korban. Sebaliknya, Qabil, yang bekerja sebagai petani, melaksanakan perintah tersebut dengan tidak ikhlas kerana Allah, malahan beliau merasa terpaksa. Beliau berkorban dengan buah-buahan yang busuk yang beliau sendiri tidak menyukainya. Hasilnya, korban Habil diterima oleh Allah sedangkan korban Qabil ditolak. Justeru, kisah ini harus dijadikan iktibar buat kita semua dalam kerja buat kita setiap masa.


Mendekatkan jiwa kepada Allah dengan elemen pengorbanan

Sememangnya ibadah haji adalah satu ibadah yang melatih pengamalnya untuk berkorban. Berkorban apa sahaja. Ada yang sanggup menggadaikan tanah, harta pusaka untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekkah. Ada juga yang hanya dapat mengecapi impian tersebut apabila umur sudah lanjut dan ramai juga tidak berkesempatan langsung.

Justeru, pada hari yang mulia ini kita disunnahkan untuk menyembelih haiwan ternak yang dagingnya harus dibahagikan terutama kepada mereka yang tidak mampu. Dengan ini kita diingatkan akan rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan sesama manusia dan sebagai anggota masyarakat. Selain itu, kita dilatih pula untuk merasakan nikmat kebahagiaan berkorban, sekalipun barang yang dikorbankan itu tidaklah sebesar mana dalam erti material. Akan tetapi, besar sekali ertinya jika dilihat dalam erti immaterial (maknawi), iaitu melalui proses memberi dan menerima antara anggota yang mampu dan yang kurang mampu dalam masyarakat. Hal ini dipekuatkan lagi dengan pengintegrasian di kalangan anggota masyarakat menjadi satu jamaah yang diikat dengan tali persaudaraan dan tali ukhuwah yang dapat menjambatani jurang antara yang punya dan yang tidak punya (the have and the have not).

Adapun dalam erti yang lebih mendalam, E’idul Adha ini juga mengingatkan kita kepada satu peristiwa yang mencetuskan rasa keharuan yang membawa erti pengorbanan yang lebih tinggi dan lebih besar. Bukan semata-mata pengorbanan kesenangan dan harta. Akan tetapi pengorbanan sesuatu yang amat dicintai di dunia ini. Itulah satu pengorbanan jiwa untuk sesuatu nilai yang lebih tinggi dari. Demikianlah peristiwa pengorbanan yang diperintahkan oleh Allah AWT kepada Rasul-Nya, Ibrahim dan anaknya Ismail a.s.

Al-Quran melukiskan peristiwa itu dengan satu rangkuman ayat yang amat indah. Ia dilukiskan dalam satu dialog Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s yang masih muda belia, yang juga menjadi tempat tumpuan kasih sayang sebagai anak dan bapa.
“Maka tatkala Ismail sampai (pada umur sanggup) Berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata: hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu! Ia menjawab: Hai ayahku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. Tatkala keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pehanya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah As-Shaffat ayat 102-107).

Begitulah sikap jiwa yang rela berkorban dari seorang ayah dengan rela dan ikhlas mengorbankan anak yang dicintainya. Dan demikianlah pula sikap jiwa seorang pemuda yang tidak ragu-ragu dan ikhlas memberikan miliknya yang tinggi yakni jiwa dan nyawanya sendiri. ALLAHU AKBAR!!!

Nilai pengorbanan dahulu dan sekarang: Bekal untuk individu dan gerakan

Tatkala merenung sejenak, apalah yang ada dengan pengorbanan kita hari ini jika dibandingkan dengan nilai pengorbanan umat terdahulu. Mereka sanggup berkorban seluruh harta dan nyawa, pangkat dan kedudukan demi semata-mata ingin mengejar satu nilai yang lebih tinggi yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Apa yang berlaku hari ini, kita lebih banyak mengutip hasil dari perjuangan dan pengorbanan umat terdahulu tetapi tidak pernah memulakan langkah perubahan untuk generasi akan datang merasai nikmat seterusnya. Telah dijelaskan oleh Dato’ Dr. Sidiq Fadzil berulang kali dalam tulisan dan ucapannya bahawa perjuangan kita ini adalah perjuangan untuk melakukan perubahan (taghyiri), pencerahan (tanwiri) dan pembebasan (tahriri). Perlu dicermati bahawa, perubahan yang harus dilakukan ini adalah berdasarkan idealisme perjuangan yang jelas dan kesediaan untuk berkorban yang tinggi. Dengan ini, barulah akan terhasil satu dampak perubahan yang besar dan memberi kesan yang membekas kepada setiap jiwa anggota masyarakat.

Sebagai ahli gerakan dakwah yang tangguh (kental), perlu ada sikap mujahadah yang tinggi untuk mengutamakan jamaah lebih dari diri sendiri. Lantas, pengorbanan dari sudut masa, tenaga dan harta seharusnya tidak lagi menjadi suatu masalah yang dapat diberi kompromi. Namun, ianya perlu didasari dengan kefahaman yang substantif akan matlamat dan cita-cita besar Islam. Pak Natsir menerusi khutbah Hari Raya E’idul Adha yang disampaikan di ruang halaman Fakultas Kedokteran di Universitas Indonesia, Jakarta pada 16 Febuari 1970 bersamaan 10 Zulhijjah 1389H berkata:
“Perjuangan ini memerlukan cita-cita, idealisme dan kesediaan menderita dan berkorban untuk mencapainya. Ia berkehendak kepada pemulihan moral dan keyakinan kepada pegangan hidup, yang mengatasi materil semata-mata. Tidak ada satu bangsa yang mencapai satu kejayaan kecuali apabila bangsa itu menghayati satu keyakinan, dan kecuali bila yang diyakininya itu mempunyai dimensi moral yang dapat menghidupsuburkan peradaban yang besar.”

Cabaran umat hari ini sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan umat terdahulu. Dalam berkembang biaknya institusi-institusi agama, sekolah-sekolah agama dan gerakan dakwah yang pelbagai, tetapi kebejatan sosial dan kemaksiatan juga seperti menemui jalan buntu akan penyelesaiannya. Jika dahulu, orang yang melakukan zina akan mencari tempat-tempat tersorok dan tersembunyi, tetapi hari ini mereka sudah tiada lagi rasa malu dengan merakam perbuatan jijik tersebut dan berbangga dengan menayangkannya di internet untuk tatapan ramai. Cuba kita tanyakan, di mana silapnya? Ada apa dengan dakwah kita? Apakah Islam yang kita terima ini punyai kecacatan atau KITA sebagai penerima dan pengamalnya yang sudah buta mata hati?

Ini hanyalah sebahagian daripada contoh permasalahan yang berlaku. Terlalu banyak lagi contoh-contoh lain jika ingin disebutkan satu persatu. Orang bijaksana ada berkata, jika kita sudah nampak kegelapan di sekeliling kita, jangan terus menerus menyalahkan kegelapan tersebut. Tetapi, alangkah baiknya jika kita menyalakan lilin untuk menerangi kegelapan yang berlaku. Nah, inilah masanya untuk kita bertindak! Gerakan ini harus terus kekal relevan sepanjang masa. Berbekalkan idealisme dan sikap kesediaan ingin berkorban yang inginkan perubahan, strategi dan perancangan yang tersusun perlu diatur rapi. Dinamika gerakan perlu dipertahankan untuk terus akomodatif dengan situasi peluang dan cabaran. Dakwah yang cergas dan cerdas harus kita perhebatkan. Kader-kader dakwah harus diperbanyakkan dari semasa ke semasa untuk menjamin kemandirian dan kelestarian jemaah yang kita cintai ini. Mudah-mudahan perjuangan yang panjang ini beroleh keberkatan dan rahmat dari Allah Ta’ala. Semoga E’idul Adha pada kali ini mencetus dan menghidupsuburkan semangat pengorbanan yang tinggi dalam jiwa kita. Hidup Biar Berjasa. ALLAHU AKBAR!



Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad
Hit: 21 Laman Asal