11 Jun 2013

Buluh Khas Untuk Beruang Panda Di Zoo Negara


BULUH merupakan makanan utama beruang panda.

SEPASANG beruang panda yang dinamakan Fengyi (betina) dan Fuwa (jantan) dijangka tiba di Malaysia pada Disember 2013. Kedua-dua haiwan itu yang berasal dari China dipinjamkan kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, peminjaman haiwan itu merupakan simbolik bagi memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China yang bakal diraikan pada tahun 2014 nanti.

Sebelum ini, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pasangan panda itu akan ditempatkan di Zoo Negara, Kuala Lumpur yang dilengkapi kemudahan menyamai habitat asal panda tersebut.


Zoo Negara dipilih kerana dilihat sesuai dan mempunyai tenaga pakar untuk memastikan pasangan panda itu hidup selesa.

Justeru, 1Malaysia Development Berhad dan kerajaan Persekutuan akan menjalankan projek pembangunan eksibit khas bagi menempatkan panda berkenaan pada Jun ini di Zoo Negara. Eksibit yang berkeluasan 0.6 hektar itu akan dilengkapi suhu kurang 24 darjah Celcius.

Menyentuh mengenai pemakanan, beliau memberitahu, makanan utama spesies berkenaan ialah buluh. Haiwan tersebut memerlukan 25 kilogram buluh sehari, namun hanya terdapat 15 jenis buluh yang dimakan haiwan terbabit.

Antaranya buluh pagar, buluh betung, buluh Siam, buluh perut buddha, buluh botol, buluh semantan, buluh madu dan buluh galah.

Dalam menyediakan pemakanan untuk haiwan tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk membantu terutama membekal buluh.

Skop tugas institut itu khususnya dalam mengenal pasti spesies buluh tempatan yang boleh dimakan oleh haiwan tersebut dan menanam spesies buluh yang sesuai di negara ini.


KAKITANGAN FRIM, Zoo Negara dan pelajar MSU berganding bahu menanam beratus-ratus pokok buluh di Zoo Negara.

Tanggungjawab besar

Menyedari menggalas tanggungjawab yang besar, kira-kira 100 orang kakitangan yang terdiri daripada FRIM, Zoo Negara dan pelajar dari Management and Science University (MSU) menyertai program gotong-royong menanam buluh pada 16 April lalu di Zoo Negara.

Sebanyak 200 pokok buluh Siam (Thyrsostachys siamensis) telah ditanam dalam beg plastik. Kesemua benih pokok itu ditanam di kawasan plot lereng bukit yang terletak di Zoo Negara.

Seorang pelajar MSU, Nuradilla Abu Bakar, 23, berkata, buat pertama kali dia menanam pokok buluh dan ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Penganjuran program yang melibatkan penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekurang-kurangnya membantu pihak FRIM dan Zoo Negara menanam pokok buluh dengan lebih banyak.

“Lagipun, kita perlu memperbanyakkan usaha menanam pokok buluh untuk menampung pemakanan beruang panda itu selama 10 tahun,” ujarnya.

Selain usaha menanam pokok buluh, FRIM juga telah menghantar tiga orang penyelidik ke Bifengxia Panda Base, Ya’an di China pada 17 Mac 2013 lalu.

Tujuan penghantaran penyelidik itu ke negara berkenaan bagi mendalami pengetahuan mengenai tabiat dan jenis buluh yang dimakan oleh haiwan tersebut.

Jenis buluh

Bagi mengetahui jenis buluh yang dimakan oleh haiwan itu, penyelidik telah membawa lima sampel buluh iaitu buluh Siam, pagar, madu, galah dan semantan.

Pegawai Penyelidik Cawangan Pengurusan Hutan Ladang, Bahagian Bioteknologi FRIM, Abd. Razak Othman berkata, pihaknya mendapati haiwan tersebut lebih gemar makan batang buluh jenis galah dan pagar berbanding semantan.

Ia berikutan, kulit buluh galah dan pagar mudah dikopek haiwan tersebut selain gemar memakan daun dan ranting buluh madu.

“Kami membawa kelima-lima jenis buluh ini sahaja berdasarkan pengalaman Zoo Chiang Mai, China dan Zoo Singapura. Kami dimaklumkan oleh kedua-dua zoo tersebut, haiwan itu boleh makan kelima-lima jenis buluh berkenaan,” katanya.

Dalam lawatan itu, pihaknya mendapati, haiwan tersebut gemar makan buluh yang muda berusia antara 18 bulan hingga dua tahun.

“Selain buluh, kami mendapati haiwan tersebut turut diberikan kek buluh yang diadun dengan fiber buluh serta vitamin yang lain. Ia sebagai penambahan nutrien dalam makanan untuk haiwan itu,” ujarnya sambil memberitahu ia juga turut makan epal dan lobak.

Bagaimanapun, beliau berkata, kajian lebih lanjut mengenai jenis pemakanan haiwan itu perlu dilakukan lagi.

Oleh SUHANA VERU
Sumber:  Kosmo

Baca Juga:
1. Panda Gergasi
2. Panda China Ditempatkan Di Zoo Negara Pada Mei 2014
3. Buluh Khas Untuk Beruang Panda Di Zoo Negara
4. Malaysia-China Memeterai Perjanjian Pinjam Panda Gergasi

0 comments: