NUFFNANG

Thursday 9 January 2014

JAIS (dibawah SULTAN SELANGOR) terima tamparan hebat

JAIS (dibawah SULTAN SELANGOR) terima tamparan hebat

Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM 8 Jan. - Tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengeluarkan dua arahan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung tindakan jabatan itu menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia, Petaling Jaya Khamis lalu menimbulkan persoalan.

Arahan pertama yang diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini ialah JAIS perlu memulangkan 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas, jika kitab penganut Kristian itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Arahan kedua pula ialah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, di mana JAIS wajib mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Exco-exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan JAIS yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain dilakukan.

Berhubung arahan pertama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah memulangkan Bible itu perlu dilakukan jika kesemua kitab yang dirampas mendapat pengesahan KDN selain mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara berkaitan penganut Kristian yang diputuskan oleh kerajaan pusat sebelum ini.

Antara perkara yang terkandung dalam resolusi itu menurut Abdul Khalid ialah membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak Bible bahasa Melayu.

"Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab itu memenuhi resolusi berkenaan, kita akan mengarahkan JAIS untuk memulangkannya semula kepada Persatuan Bible Malaysia,"katanya kepada pemberita di sini hari ini.

JAIS melakukan serbuan berasaskan peruntukan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negeri ini.

Mengulas lanjut arahan tersebut, Abdul Khalid berkata, JAIS bagaimanapun boleh meneruskan siasatan mengenai perkara itu selain menyiasat bagaimana Bible berkenaan boleh berada di premis persatuan terbabit termasuk mendapatkan maklumat jelas sama ada ia diedarkan di negeri ini atau ke negeri lain.

Namun, beliau menyatakan sekiranya kesemua Bible itu hanya disimpan di premis persatuan berkenaan dan tidak digunakan, pihaknya tidak ada masalah mengenai perkara itu.

Berhubung arahan kedua pula, Abdul Khalid berkata, berdasarkan SOP baharu itu JAIS tidak lagi dibenarkan mengambil keputusan sendiri dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada khususnya perkara-perkara melibatkan sensitiviti penganut agama lain di negeri ini.

"Ada kalanya (tindakan penguatkuasaan JAIS) tidak memberikan kefahaman kepada masyarakat. Tujuan penguatkuasaan JAIS bukan sahaja untuk mempertahankan Islam tetapi juga perlu menangani kesangsian penganut agama lain.

"Maka, untuk masa depan, sebarang tindakan JAIS (yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain) wajib diadakan perbincangan terlebih dahulu di antara jabatan itu dengan MAIS (Majlis Agama Islam) dan Exco-exco kerajaan negeri," ujarnya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140109/dn_01/JAIS-terima-tamparan-hebat#ixzz2pqkr5f2g
© Utusan Melayu (M) Bhd 


source : utusan

No comments: