Pengikut Terbaik

Agar Suami Sayang

Agar Suami Sayang

Sebelum Senyum, Klik Ya

Pages

Sunday, September 30, 2012

Tak Ada Sangkut Paut



Seorang wanita berusia 40 tahun, parasnya tergolong cantik, memiliki sebuah kerjaya hebat dan pendapatan juga cukup stabil.  

Pada suatu hari teman sepejabatnya, Adi busy body bertanyanya, “kamu cukup sempurna pada pandangan mata seorang lelaki, cantik, pandai dan punya RM yang banyak. Tetapi kenapa kamu masih suka hidup membujang?”  

Wanita itu menjawab, “waktu kecil aku pernah menjadi ketua anggota sorak di sekolahku. Pada suatu petang ketika latihan, aku tercedera dan meninggalkan sebuah bekas luka di tapak kakiku.”  

Adi bertanya lebih lanjut, “tapak kakimu ada bekas luka, apa hubungannya dengan kamu kahwin atau tak kahwin?” 

“Ya, memangnya tak ada sangkut-pautnya,” jawab wanita itu, “lalu aku kahwin atau tak kahwin, ada kaitan apa dengan dirimu?”



Mutiara Hikmah: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Mana-mana lelaki yang mengahwini perempuan atas sekurang-kurang atau sebanyak-banyak maharnya, tetapi tidak ada maksud (tidak mahu) membayar mahar tersebut sebagai haknya (perempuan yang dikahwini), setelah itu ia mati padahal belum lagi ia tunaikan (mahar tersebut), maka nanti ia bertemu dengan Allah pada hari Kiamat sebagai orang yang berzina.”



Sedang Belajar Memandu


Seorang pegawai polis menghentikan sebuah kereta yang bergerak meliuk ke kiri kanan, yang merisaukan seluruh pengguna jalan dan bertanya kepada pemandu tentang apa yang dia lakukan.   

“Saya sedang belajar memandu,” jawab pemandu jujur.   

“Apa tanpa instruktur?” tanya polis berpangkat konstabel.    

“Ya, tentu saja,” jawab pemandu, “saya kursus jarak jauh.”


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah S.A.W bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik (pergaulan) dengan isterinya.” 




Monday, September 24, 2012

Memerlukan Penyedut Hampagas Baru


“Adakah kakak ingin membeli penyedut hampagas yang baru untuk rumah kakak?” tanya salesman ketika Kak Besah mencicah mempelam telur seorang diri di atas pangkin depan rumahnya.

“Tidak perlu, tetapi kamu boleh cuba tanya jiran sebelah. Kakak tahu alat penyedut hampagas milik mereka sudah sampai masanya harus diganti dengan yang baru.”

“Bagaimana kakak mengetahuinya?” tanya salesman sambil menggaru kepalanya yang sememangnya gatal.

“Kerana kebiasanya kami selalu meminjam alat penyedut hampagas mereka.”


Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah S.A.W bersabda, “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut.”



Friday, September 21, 2012

Dua Cerita. Dua Jenaka. Dua Ketawa


Institusi Mental

Terdapat tiga orang gila dalam satu institusi sakit jiwa. Mereka terdiri dari Junior, Senior dan Veteran, disusun mengikut jangka masa di institusi tersebut.

Suatu hari, doktor yang merawat mental mereka mahu menguji keadaan mereka. Maka seorang demi seorang dipanggil.

Junior orang pertama dipanggil. Doktor itu memberi situasi.

“Kamu, kalau dihantar ke padang pasir, apa benda paling penting dibawa bersama?”

Junior berfikir seketika. “Padang pasir panas.”

Doktor angguk. “Ada harapan nak dilepaskan ni,” hati doktor berdetik.

“Jadi saya nak bawa air. Haus kalau duduk sana.”

Doktor tersebut sangat senang hati mendengar jawapan Junior.

Kemudian, dia memanggil Senior pula. Soalan sama ditanya oleh doktor itu.

“Yang saya tau, padang pasir tu panas,” Senior berkata setelah berfikir panjang.

“Ya,” jawab doktor terbabit penuh semangat.

“Saya nak bawa kipas, mesti berpeluh betul duduk di sana.”

Doktor berkenaan puas hati dengan jawapan yang diberikan. Kemudian, Veteran pula dipanggil.

“Awak dah lama benar di sini kan?

“Ya, tuan doktor,” jawab Veteran selamba.

Kemudian doktor itu ajukan soalan sama seperti dua rakan Veteran sebelum ini.

“Oh, padang pasir, memang panas betul sana,” Veteran tidak ambil masa panjang berfikir, sambil menjawab dengan selamba sahaja.

“Ya,” doktor cukup senang hati, dalam fikirannya pasti Veteran sudah sembuh, boleh dilepaskan pada bila-bila masa.

“Kalau begitu, saya rasa nak bawa doktor.”

Doktor hairan sambil bertanya, “saya. Kenapa saya?”

“Sebab doktor ayu dan manis. Sejukkkkkk mata memandang.”

Hadlaju

Seorang polis duduk di simpang jalan menangkap pemandu yang memecut melebihi had laju, seorang pegawai trafik ternampak sebuah kereta yang dipandu tersangat perlahan dianggarkan hanya dipandu 22 batu sejam sahaja.

Maka Polis trafik pun berfikir, “tak boleh jadik ni, lambat dari kura-kura. Sangat bahaya bagi pemandu yang lain.”

Polis trafik menahan dan memeriksa kereta itu dan didapati terdapat 5 orang wanita – dua wanita di depan dan tiga duduk di belakang – mata kesemuanya terbeliak dan mengigil ketakutan yang amat sangat dengan muka pucat macam mayat.

Pemandu wanita sangat hairan dan bertanya, “apa kesalahan saya tuan? Saya tidak melebihi had laju. kenapa ditahan?”

“Mak cik bukan melebihi had laju, tapi memandu lambat daripada had laju jugak boleh menyebabkan kemalangan kepada kereta yang lain.”

“Lambat dari had laju?” wanita itu merasa hairan.

“Tuan, saya mengikut dengan tepat kelajuan yang tercatat di papan tanda, [JALAN AMPANG 22] bantah wanita itu dengan marah.

Polis trafik itu tersenyum sindir dan menjelaskan maksud [JALAN AMPANG 22] adalah tanda nama jalan dan bukanya had laju. Dengan perasaan malu, wanita itu mengucapkan terima kasih atas penjelasan itu.

“Tapi sebelum makcik meneruskan perjalanan, saya ada satu pertanyaan. Adakah ke semua penumpang dalam kereta makcik semuanya sihat? Nampaknya mak cik-mak cik yang lain macam mengigil ketakutan dan muka pucat,” polis trafik itu bertanya kehairanan.

“Oh! Jangan bimbang, mereka semua akan bertenang semula selepas beberapa minit lagi. Kerana kami baru saja menuruni [Jalan Bukit Bintang 309].”




Mutiara Hikmah: Daripada Usamah R.A daripada Nabi S.A.W sabdanya, “Aku berdiri di muka pintu syurga lalu (kelihatan) kebanyakan orang yang masuk ke dalamnya ialah orang-orang yang miskin, sedangkan orang-orang kaya ditahan, manakala ahli-ahli neraka pula disuruh bawa ke dalam neraka. Ketika aku berdiri di pintu neraka pula (kelihatan) kebanyakan yang masuk ke dalam ialah orang-orang perempuan.”



Tuesday, September 18, 2012

Setia Dengan Mama



“Di antara abah dan mama, siapakah yang paling adik sayang?” tanya aku ketika menemaninya bermain buaian.

“Sudah tentu kedua-duanya adik sayang.” 

“Kalau mama ke ibu kota Kuala Lumpur dan abah ke Masai, adik akan pi mana?” 

“Sudah tentu adik ke Kuala Lumpur. Kuala Lumpur kotanya sangat besar dan cantik.” 

“Jika abah ke Kuala Lumpur dan mama ke Masai, bagaimana? Adik akan ke mana?”  

“Sudah tentu adik akan ke Masai.” 

“Mengapa adik selalu nak ikut mama?” tanya aku cuba menduga.

“Kerana adik sudah pernah pergi ke Kuala Lumpur.” 


Mutiara Hikmah: Daripada Aisyah R.A katanya, “Datang ke rumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka.”



Friday, September 14, 2012

Ganti Rugi Melanggar Kucing



Seorang nenek membawa seekor kucing kesayangannya berjalan-jalan di kesibukan bandar. Tiba-tiba dari arah depan datang seorang anak muda yang memandu kereta dengan kelajuan tinggi melanggar mati kucing tersebut.  

Anak muda itu segera turun dari keretanya untuk menyatakan penyesalannya, “nek, saya bersedia membayar ganti rugi kepada nenek.”   

“Eloklah kalau macam itu, tetapi kemampuan kamu menangkap tikus bagaimana? Dapatkah kamu menandinginya?”


Mutiara Hikmah: Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang.   -William J. Siegel-



Tuesday, September 11, 2012

Permohonan Kolektor, Usahawan Dan Pencuri


Seorang pengumpul barang-barang antik, seorang usahawan dan seorang pencuri sama-sama mendapat keampunan dari sultan sempena hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.  

Baginda memberi perkenan akan mengabulkan semua permohonan mereka, “kamu semua akan beta keluarkan dari penjara. Kerana kamu semua antara yang berkelakuan baik dan menjadi contoh di sini beta akan kabulkan permintaan kamu bertiga. Apa yang kamu inginkan?”  

Pengumpul barang-barang antik berkata, “patik ingin memiliki lukisan-lukisan pelukis terkenal di dunia, misalnya lukisan Picasso, lukisan Van Gogh atau Leonardo da Vinci.”  

“Baiklah, permintaan kamu ini beta kabulkan, kamu akan mendapatkannya. Kamu bagaimana?” kata sultan.  

Usahawan berkata, “saya mohon dibekalkan wang sebanyak-banyaknya. Dollar US, Euro, Pound Sterling dan Dinar Kuwait.”



“Baiklah, kamu juga akan mendapatkannya. Kamu bagaimana, rakyatku?” kata sultan.      

Percuri berkata, “sebenarnya saya tidak mahu apa-apa. Tolong berikan alamat rumah mereka berdua kepada saya. Ini sudah cukup buat saya.”


Mutiara Hikmah: Daripada Anas R.A daripada Nabi S.A.W sabdanya, “Sesiapa yang memelihara dua anak gadis sehingga baligh kedua-duanya nescaya dia datang bersama aku pada hari kiamat seperti ini sambil menunjukkan (merapatkan) dua jarinya.”



Sunday, September 9, 2012

Wes Diregeti Telek Sapi



Di sebuah perkampungan jawa, yang kebanyakan penduduknya bercakap menggunakan loghat bahasa itu, ada seorang petani tua yang bersiar-siar di dalam kebunnya menegur seorang lelaki yang menadah air menggunakan tangannya.

Petani itu melaungkan, “ojo ngombe banyu teko kolam iki. Wes diregeti telek sapi.”

Yang bermaksud: “Jangan minum air dari kolam ini. Telah dicemari dengan najis lembu.”

Lelaki itu bertempik kembali, “saya bukan orang sini. Saya mengambil sampel air untuk di buat uji kaji tentang kebersihan air di kampung ini. Kata orang kuat jabatan kementerian sains teknologi dan alam sekitar, air di sini bersih, dan dia sendiri akan meminumnya. Boleh tak pak cik bercakap dalam Bahasa Melayu.”

Petani itu membalas, “gunakan kedua-dua belah tangan. Dengan itu awak akan mendapat lebih banyak air.”


Mutiara Hikmah: Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.  -Saidina Ali Abu Talib-



Friday, September 7, 2012

Hukuman Untuk Anak


Ketika sedang ralit mengorek paip air yang tersumbat di dapur, Arianna puteri bongsuku datang ke dapur mencariku.

“Mama, kalau adik menumpahkan bubur kacang di atas sofa, hukuman apa yang akan mama berikan?” 

Dengan ekspresi yang kurang senang dan tanpa berfikir panjang aku memarahinya, “sudah tentu mama akan merotanmu.”   

Seketika senyum manis tersimpul di bibirnya, “kalau begitu mama kena cepat-cepat merotan kak Awatif, kerana dia baru sahaja menumpahkan bubur kacang di atas sofa baru mama.” 


Mutiara Hikmah: Orang yang yakin dan penuh harap akan nampak ros dan bukan durinya. Tetapi mereka yang putus harap selalu akan nampak duri dan tidak bunga rosnya. -Kahlil Gibran-



Thursday, September 6, 2012

Ayaq Dalam Besi, Api Dalam Kaca


Cerita bermula di tahun 60an di satu perkampungan di utara Malaya. Kampung ini belum ada bekalan karen dan ayaq. Kat kampung itu tinggailah satu keluarga yang miskin, Awang dan mak dia, Cik Kiah.   

Menyedari depa ni miskin Cik Kiah selalu memotivasi anak dia supaya belajaq betui-betui untuk masa depan yang lebih vogue dan anggun.  

Apabila menyedari kemiskinan yang ada dan berkat usaha dan kesabaran, Awang telah berjaya di dalam pelajaran. Dengan kelulusan yang ada, Awang telah berjaya mendapat kerja dengan gomen.  

Yang menjadi masalah dia, tempat kerja dia tu kat Penang. Sayu gak hati dia nak tinggai Cik Kiah sorang sorang. Yalah takut gak nanti orang tackel mak dia, sapa susah? Dia gak nanti yang susah. Tak pasai-pasai dapat bapak tiri.   

“Mak, bolehkah cek pi keja kat Penang tu?” kata Awang. “Cek risaulah kat mak,” sambungnya lagi.   

La, kalau kat mak hang nak risau tak payah la, mak tau la nak jaga diri mak. Kalau setakat makan pakai tu bukan mak tak tau nak buat, hang pi lah, untuk masa depan hang gak,” balas maknya.   

“Lagipun bukan senang ho nak dapat keja dengan gomen, hang carilah satu kampung mana dapat, hang ni kira campian hoo,” kata maknya bangga.   

T.Q, mak, Awang janji takkan lupakan mak, kalau free-free tu Awang akan bawak mak pi sana,” kata Awang janji kat mak dia.  

Maka dengan perasan sedih Awang pun berangkatlah ke Penang. Di sana gomen dah sediakan tempat tinggai (kuarters) untuk dia. Berbeza dengan keadaan di kampung dia, segala infrastruktur yang lengkap memang terdapat kat kuartes dia duduk tu.   

“Wah! selesanya,” kata Awang. “Aku musti bawak mak aku mai sini tunjuk sikit kesofisikated tempat ni,”  bisik Awang.   

Setelah sebulan di perantauan, Awang balik bercuti ke kampung dia. Sampai saja di rumah, mak dia melompat-lompat tengok anak dia dengan dressing yang agak moden dan bergaya over (culture shock la ni).   

Kerinduan Awang dengan mak dia pun terubat setelah depa berjumpa.   

“Mak, syiok la dok kat Penang, macam-macam ada. Mak tau dak kat sana kan ada ayaq dalam besi dan paling canggih ada api dalam kaca,” kata Awang mengklentong mak dia.   

“Apa dia? Ayaq dalam besi, api dalam kaca? Awang hoi hang bawak la mak pi tengok teringin sangat mak nak tengok benda-benda takjub macam tu,” kata mak dia tergedik-gedik dan sugguh-sungguh.  

Maka esoknya berangkat Cik Kiah dan Awang ke Penang. Seronoknya Cik Kiah tak terkata maklumlah tak pernah ke Penang sebelum ni. Dalam perjalanan macam-macam yang ditanya oleh Cik Kiah kat Awang. Sampai temonyeh-monyeh Awang jawab pertanyaan mak dia ni.   
Sesampai kat rumah tercanggak-cangak Cik Kiah bila dok dalam rumah Awang. Ada radio, ada kusyen dan lain-lain yang tak terdapat di rumahnya. Woih memang seperti yang pernah di cerita oleh Awang. Memang canggih, tak pernah segala kecanggihan tu ada kat kampung depa.  

Proudla Cik Kiah dengan semua benda-benda tu.   

“Balik nanti bolehlah aku habaq kat semua orang kampung, baru depa tak boleh pekunun aku,” bisiknya.  

“Eh! Awang hang kata nak tunjuk kat mak ayaq dalam besi, api dalam kaca, mana dia?” bentak Cik Kiah yang sekali lagi tergedik-gedik.  

“Ni ha dia api dalam kaca tu,” jawab Awang sambil menekan suis lampu dan lampu kalimantang dalam rumah menyala.   

“Eh! baik-baik satni meletup pulak kaca tu,” kata Cik Kiah dengan nada yang takut-takut tapi terpesona.   

“Eh dak aih mana boleh meletup, api ni memang depa design dok dalam kaca, la ni mak tak payah susah-susah pasang pelita bila malam,” kata Awang meyakinkan mak dia.   

Kini tanda tanya Cik Kiah tentang api dalam kaca sudah terjawab.   

“Memang aku nak canang satu kampung nanti dengan penemuan benda ni,” kata Cik Kiah dalam hati sambil membayangkan muka jirannya Piah, Timah, Senah dan yang lain-lain  pasti akan terpegun den terkezut nanti.  

“Awang hoi, tu baru api dalam kaca, ayaq dalam besi mana pulak?” kata Cik Kiah tak sabaq-sabaq.   

Tu ha, ayaq dalam besi tu,” tunjuk Awang kepada satu kepala paip dalam toilet rumah dia.   

“Oh! ayaq dok dalam besi ni, jadi takyah la mak susah-susah cedok ayaq kat telaga noo?” kata Cik Kiah semakin bangga. 

Bertambah lagi modai nak kelentong jiran-jiran kampung dia nanti.  

“Eh! mak, cek lapaq la. La ni cek nak pi kedai sat beli makanan. Mak dok sat, sat ni cek balik la,” kata Awang.   

“Tak pa la, pi lah. Mak pun nak semayang ni,” jawab Cik Kiah.   

Setengah jam kemudian Awang balik dengan bekalan makanan. Masuk saja dalam rumah di tengoknya mak dia sedang relex saja. 

 “Ha, mak dah semayang ka?” tanya Awang.   

“Dah,” jawab Cik Kiah.   

“Ni mak nak tanya hang satu benda ni, awat telaga kat rumah hang ni kecik sangat? Tadi payah betui mak ambik ayaq semayang tau?”  tanya Cik Kiah lagi.   

“Telaga? Mana ada telaga dalam rumah macam ni? Kat kampung kita ada la,” kata Awang musykil.  

“Ni apa dia? Bukan ka tu telaga kecik? Cuba hang pebesaq sikit telaga tu, tak lah payah mak ka, hang ka, nak ambik ayaq nanti,” kata Cik Kiah sambil menunjuk ke arah mangkuk tandas dalam toilet rumah Awang.   

La Usurpadora. Awang seakan-akan terpengsan bila mendengar penerangan mak dia. Rupanya dia lupa ajaq mak dia ayaq dalam besi tu kena pulas kepala paip tu dulu taklah mak dia cedok ayaq dalam ‘telaga kecik tu’.


Mutiara Hikmah: Hidup terbina antara pahit dan manis. Kalau selalu pahit hati menjadi rawan. Kalau selalu manis hati menjadi bosan. -HAMKA-



Sunday, September 2, 2012

Nama Anak Gabungan Nama Ayah dan Ibu (Versi Indonesia)


Ada 4 orang ibu-ibu yang sedang hamil saling ngobrol.  

Ibu ke 1, “bayi saya mau saya namain Irni. Karena bapaknya Irfan, ibunya Nani.”  

Lalu ibu ke 2 berkata, “bayi saya mau dinamin Devi. Sebab bapaknya Dedi, ibunya Vina.”  

Ibu ke 3 pun gak mau kalah dan berkata, “kalau saya mau saya kasih nama Vino. Macam Vino Bastian. Biar jadi artis. Karena bapaknya Vijay, ibunya Nofi.”  

Ibu yang ke 4 diam saja. Terus ditanya oleh ketiga temannya, “kenapa kamu diam saja?”  

Ibu ke 4 pun menjawab, “Ehhm. Abis mau gimana lagi. Suami saya namanya Basuki dan saya Kokom. Masa sich mau dinamain BASKOM.”     

Nasib baik ibu ke 4 tak kata, “Ehhm. Abis mau gimana lagi. Suami saya namanya Basuki dan saya Sarmini. Masa sich mau dinamain BAS MINI.”

Nota- Maksud baskom - tempat air pencuci tangan atau muka   

Contoh baskom:-




Mutiara Hikmah: BICARA WANITA   Bila dua orang wanita berbicara, mereka tidak mengatakan apa-apa; tetapi jika seorang saja yang berbicara, dia akan membuka semua tabir kehidupannya.  -Kahlil Gibran-



Saturday, September 1, 2012

Hadiah Tiket Pertandingan Bola Sepak Cendera Hati Pernikahan


Sepasang suami isteri muda yang baru berumah tangga telah menerima banyak hadiah perkahwinan yang berharga dari kaum kerabat dan kawan-kawan mereka.  

Beberapa hari kemudian, mereka menerima pula 2 keping tiket bola sepak yang dikirim melalui pos, tetapi di sampulnya tidak dicatat siapa pengirimnya dan alamat pengirim, kecuali terdapat sebaris tulisan: ‘Cuba teka siapakah aku?’  

Setelah penat berfikir, masih gagal untuk memastikan siapa yang mengirim kedua keping tiket tersebut. 

Beberapa hari kemudian, mereka pergi menonton pertandingan bola sepak  dengan menggunakan tiket itu walau tetap tidak mengetahui siapa yang mengirimnya.  

Sesudah pertandingan tamat dan pulang ke rumah, mereka sangat terkejut kerana semua hadiah perkahwinan yang ada di dalam rumah telah lincin dicuri orang. Di atas meja terdapat secebis kertas bertuliskan: ‘Sekarang kamu berdua tentu sudah tahu pengirimnya, bukan?’



Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah R.A. katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang-orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain). Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan di waktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah telah menutupinya”, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku telah melakukan begini dan begini”. Orang itu semalam-malaman telah ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya.” 


Tidur Terganggu


Setelah penat memandu kereta sepanjang malam, seorang lelaki yang teramat letih dan mengantuk memutuskan berhenti di pinggir jalan untuk istirehat dan tidur sebentar. 

Ketika baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba ada orang mengetuk tingkap keretanya, saat dia memicingkan mata, terlihat di luar kereta ada seorang lelaki yang sedang berjoging.  

Dengan wajah tersenyum orang itu bertanya, “maaf, bang. Sekarang pukul berapa?”  

“Pukul 8:14.”   

Sesudah mengucapkan terima kasih, orang itu pun segera berlari meninggalkan tempat tersebut.  

Baru saja lelaki itu memejamkan matanya kembali dan mulai mahu bermimpi, tiba-tiba ada seorang wanita muda berjalan kaki mengetuk tingkap keretanya dan bertanya, “tumpang tanya, encik. Sekarang pukul berapa?”  

“Pukul lapan setengah,” lelaki itu nampaknya mulai kehilangan kesabarannya, lalu dia segera menempelkan secarik kertas bertuliskan: ‘Aku tak tahu pukul berapa sekarang’ di cermin keretanya.  

Tok, tok, tok!!!  

Lelaki itu sekali lagi dikejutkan oleh suara ketukan di luar tingkap kereta. Dia terpaksa menurunkan tingkap keretanya, kemudian dengan sedikit beremosi berteriak-teriak kepada seorang anggota pengakap yang berdiri di luar kereta, “ada apa hal?” 

“Saya ingin memberitahu, sekarang pukul 8:40.”



Mutiara Hikmah: Daripada Abu ‘Umarah al-Bara’ Bin ‘Azib R.huma katanya, “Rasulullah S.A.W menyuruh kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, melepaskan sumpah orang yang bersumpah, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam apabila bertemu. Baginda menegah kami daripada memakai cincin emas, minum dengan bekas yang dibuat daripada perak, menggunakan lapik duduk sutera dan memakai pakaian yang dibuat daripada sutera, sutera tebal dan sutera Dibaj (dari Yaman).”     Dalam riwayat lain, ditambah perkara yang disuruh mengerjakannya iaitu: menanyakan barang yang hilang dan belum dijumpai.