Tindakan kerajaan Sarawak pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud membenarkan kilang aluminium di Mukah seolah-olah membunuh rakyat secara senyap, kata calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Suriati Abdullah.

Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau berkata, kesihatan penduduk terjejas dan berdepan penyakit seperti batuk dan risiko kanser, sejak kilang itu beroperasi beberapa tahun lalu.

“Apa tidaknya, kilang itu melepaskan asap setiap pagi dan malam setiap hari sekaligus menjejaskan air yang digunakan.

“Sedangkan, majoriti penduduk tiada kemudahan air bersih walaupun Taib berkuasa di Sarawak selama 30 tahun,” katanya yang mendapat perhatian berikutan keberaniannya mencabar Taib Mahmud bagi kerusi itu pada pilihan raya Sarawak kali ini.

Suriati merupakan Bendahari KEADILAN Mukah yang berketurunan Cina dan beragama Islam serta fasih berbahasa Iban dan Melanau.

DUN Balingian terletak dalam Bandar Mukah dengan majoriti pengundi di kawasan itu berketurunan Melanau dengan kira-kira 55 peratus adalah wanita.

Suriati berkata, kebanyakan penduduk di Mukah bergantung kepada air tadahan hujan dan tindakan kilang itu melepaskan asap tanpa pemantauan dari pihak berkuasa, amat dikesali.

Beliau berkata, dakwaan kerajaan BN, kononnya pembinaan kilang itu menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan penduduk setempat hanyalah omongan kosong.

“Siapa yang mendominasi kilang itu, kalau bukan warga asing. Hanya segelintir penduduk tempatan diberi peluang bekerja, itupun gajinya kecil dan tidak mampu menampung kehidupan.

“Sedangkan, peningkatan berterusan harga minyak terus membelit kemiskinan rakyat. Pendek kata, gaji tidak naik, tapi harga barang terus naik,” katanya.

Suriati menyeru pengundi DUN Balingian menjadikan pilihan raya Sarawak kali ini sebagai medan terbaik menamatkan penguasaan Taib Mahmud dan kroninya.

“Nasihat saya, kalau anda sayangkan masa depan rakyat, mahukan tanah anda selamat dan inginkan harga barang diturunkan, undilah calon Pakatan Rakyat.

“Marilah bersama mencipta sejarah baru menamatkan pemerintahan Taib yang puluhan tahun hanya mengkayakan segelintir kecil kroni elitnya tetapi majoriti rakyat miskin Sarawak papa kedana,” tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10961
Hit: 22 Laman Asal