Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Utusan Malaysia memfitnah saya berhubung penurunan bendera yang tertera gambar Datuk Seri Najib Razak, kata Adam Adli Abdul Halim.

Adam berkata, semasa himpunan 17 Disember lalu, beliau hanya menurunkan bendera itu kurang lima minit sebelum menaikannya semula.

“Beberapa hari lalu, Reezal Merican dalam Utusan mendakwa saya telah menurunkan bendera dan kononnya saya juga memijak bendera.

“Manakala dalam portal Utusan Online pula ditulis saya koyak bendera (Najib) dan ini jelas fitnah kepada saya," katanya selepas membuat laporan Polis di IPD Dang Wangi hari ini.

Menurutnya fitnah itu sengaja direka pemuda Umno bersama media upahanya demi kepentingan politik sempit mereka.

“Ini dua fitnah yang dibuat Utusan dan orang-orang di belakang Utusan," tegas mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) ini.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Abd Razab mendesak akhbar itu dan Reezal segera meminta maaf kepada SMM dan Adam Adli.

Menurutnya, kenyataan Reezal itu berniat jahat dan cuba memburukkan SMM dengan memberi persepsi negatif terhadap isu yang dibawa Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).

Syukri turut menggesa Polis segera menyiasat insiden ugutan yang diterima Adam Adli dan keluarganya sejak insiden itu.

Turut memberi sokongan solidariti bersama Adam hari ini termasuklah peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri, pimpinan AMK dan sekumpulan aktivis mahasiswa.
Hit: 11 Laman Asal