Amir Nusantara

Isnin, 4 Mei 2015

Pengaruh Penjajahan British Terhadap Agama Islam di Tanah Melayu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera


Pengaruh Penjajahan British Terhadap Agama Islam di Tanah Melayu
          
      British merupakan penjajah yang menjajah Tanah Melayu paling lama iaitu bermula mengambil alih Tanah Melayu daripada penguasaan pihak Belanda menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada peringkat awal penjajahan, dasar pihak Inggeris ialah tidak mahu mencampuri urusan yang berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi pentadbir British, agama Islam yang telah sebati dalam kebudayaan orang-orang Melayu bukanlah satu ancaman. Jika mencampuri urusan agama seperti mengembangkan agama Kristian mungkin akan mencetuskan ketegangan yang boleh mendatangkan masalah besar kepada kepentingan ekonomi mereka. Oleh yang demikian mereka meletakkan urusan yang berkaitan dengan hal-hal agama di bawah kuasa sultan sebagai penaung.  



Menurut Muhammad Redzuan Othman, perluasan penjajahan British ke atas Tanah Melayu ternyata tidak banyak mengubah amalan Islam dalam kalangan orang Melayu, malah komitmen mereka terhadap agama pula tidak pernah terjejas pada bila-bila masa.   Namun begitu, penyerapan pengaruh Barat tetap berlaku apabila Inggeris campurtangan dalam urusan pentadbiran dan undang-undang kerajaan Melayu sehingga menghakis sedikit demi sedikit pengaruh Islam.

          Ahmad Ibrahim pula dengan memetik kenyataan R.J Wilkinson berpendapat, tidak boleh diragui lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang Tanah Melayu sekiranya undang-undang British tidak masuk dan menahannya.
  
Ekoran campur tangan Inggeris dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu dengan memperkenalkan undang-undang Inggeris sehingga mengenepikan sebahagian besar undang-undang Islam telah membangkitkan kemarahan di kalangan orang-orang Melayu terutama dari golongan nasionalis Melayu dan juga golongan ulama’. Namun semua gerakan penentangan ini dapat dipatahkan oleh pihak penjajah.
 
Sungguhpun gerakan penentangan ini dapat dipatahkan, namun sedikit sebanyak membuatkan pihak Inggeris  mempertimbangkan  kedudukan undang-undang Islam dengan bertindak mengubah struktur pentadbiran agama Islam dan undang-undang Mahkamah Syariah yang sedia wujud di samping menubuhkan Majlis Agama Islam serta menggubal undang-undang untuk dilaksanakan di mahkamah tersebut.
 
Menurut Kassim Thukiman, pada zaman penjajahan Barat, Islam tidak memberi kesan ke atas sistem politik masyarakat Melayu dan hanya dijadikan sebagai agama rasmi di setiap negeri Melayu. Perkembangan agama Islam juga semakin merosot dan terhad pemakaiannya. Ini kerana kerajaan British telah menginstitusikan bidang agama menyebabkan ia menjadi sangat birokratik.  

Akibat campurtangan Inggeris, aspek-aspek lain turut terjejas seperti ekonomi, pendidikan dan budaya. Proses modenisasi yang menjurus kepada mementingkan kemajuan kebendaan yang dilakukan oleh pihak Inggeris dalam pelbagai aspek ini telah mempengaruhi cara hidup masyarakat Melayu. Kesannya, berlakulah suatu pemisahan dalam cara hidup di mana Islam hanya pada ibadah ritual sahaja. Ini bermakna Inggeris berjaya menerapkan budaya sekular dalam sistem pentadbiran dan kehidupan masyarakat Melayu.  Di bidang ekonomi misalnya, pihak Inggeris telah memperkenalkan sistem kapitalis yang menekankan aspek kebendaan bukannya aspek spiritual sebagaimana dalam Islam. Pengaruh kapitalis ini mula tersebar di bandar-bandar moden di negara ini kerana ia merupakan ukuran kemajuan Barat.   Oleh itu, untuk mencapai kemajuan seperti kemajuan orang-orang Barat masing-masing berusaha mengejar kebendaan atau material.

Begitu juga dalam sistem pendidikan di mana sistem pendidikan sekular mengambil-alih sistem pendidikan tradisional. Stamford Raffles dikatakan pelopor sistem pendidikan sekular ini, kerana dialah yang mula-mula menganjurkan supaya pelajaran bahasa Melayu diasingkan dari dasar pelajaran al-Quran. 

Pengaruh budaya Barat juga disebarkan melalui penayangan filem-filem Barat yang ternyata mendapat sambutan di kalangan muda-mudi Islam sehingga mengabaikan amalan cara hidup Islam. Perlakuan, pakaian, fesyen dan seumpamanya yang ditonjolkan menerusi filem-filem Barat selalu menjadi ikutan orang-orang muda yang kebiasaannya mendapat tentangan dari golongan tua.  Ini kerana nilai-nilai dalam budaya Barat itu bertentangan dengan nilai-nilai tradisi dan agama Islam.

Menurut Haji Dasuki Haji Ahmad, sekurang-sekurangnya dua kesan ditinggalkan oleh penjajah; pertamanya, melemahkan pengaruh Islam di Tanah Melayu di mana kedatangan penjajah Barat dan penerapan kebudayaan Barat  serta kemajuan Barat dalam bidang sains dan teknologi telah menambah kemerosotan pengaruh Islam. Keduanya, memundurkan kehidupan orang Islam akibat penguasaan ekonomi tempatan oleh penjajah Barat di samping pembangunan yang dibawa oleh penjajah tidak memberi faedah kepada orang-orang Melayu.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan