Kehadiran Nabi Muhammad SAW sebenarnya model utama bagi umat ini, kerana Baginda mempunyai keistimewaan paling tinggi sehingga diakui Allah sebagai peribadi yang sangat mulia akhlaknya.

Firman Allah bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad SAW) mempunyai akhlak yang sangat mulia." (Surah al-Kalam, ayat 4)

Saidatina Aisyah pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, lalu beliau menjawab: “Akhlaknya adalah al-Quran, Baginda reda dengan keredaan-Nya dan Baginda murka dengan kemurkaan-Nya.”

Aisyah tidak melampaui di dalam kata-katanya kerana setiap nilai yang disebut al-Quran terpancar pada peribadi Rasulullah SAW sama ada pada perkataan atau perbuatannya.

Sewajarnya kita mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah adalah contoh ikutan yang terbaik." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Peribadi Rasulullah SAW adalah model yang sangat agung untuk kitacontohi. Di antara keperibadian dan akhlak mulia Nabi Muhammad ialah:-

* Baginda berdoa dengan penuh khusyuk, sambil air matanya sentiasa berlinangan.

* Wajah Baginda sentiasa ceria, elok dan sempurna, sehingga sejuk mata memandang Baginda.

* Baginda memilik perasaan yang halus.

* Baginda mengambil wuduk sebelum tidur dan berzikir sehingga lena.

* Baginda gemar makan beramai-ramai daripada berseorangan.

* Baginda benci kemegahan dan perhiasan yang cantik kerana ia melambangkan kesombongan dan keangkuhan.

* Baginda makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.

* Baginda tidak pernah mengumpat atau mencerca, apa lagi menghina orang lain.

* Baginda memelihara rambutnya dengan kemas.

* Baginda suka membalas hadiah.

* Baginda mengucapkan salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar daripada rumah atau semasa masuk ke rumah.

* Baginda sangat berlemah-lembut dengan isterinya dan ahli keluarganya.

* Sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemui Baginda.

* Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa.

* Ketika berjabat tangan, Baginda tidak melepaskan tangannya sehingga orang dijabatnya itu melepaskan tangannya.

* Baginda mengangkat tangan memberi hormat apabila melepasi kumpulan kanak-kanak

* Baginda tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama.

* Baginda sangat menghormati orang tua dan mengasihani orang muda dan kanak-kanak.

* Baginda tidak pernah bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun.

* Baginda tidak pernah menjulurkan kakinya di depan sahabat.

* Suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas.

* Baginda sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.

* Baginda tidak pernah ketawa terbahak-bahak, cuma tersenyum lembut.

* Sangat fasih dan manis dalam tutur bicara.

* Baginda sangat sabar dan tabah, apabila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan.

* Baginda sangat kasih terhadap umatnya.

* Tidak pernah mengambil rezeki Allah melebihi keperluan asas makan minum Baginda. Rezeki yang melebihi keperluan akan ditaburkan untuk tujuan fisabilillah.

* Baginda sentiasa membantu orang lain walaupun Baginda sendiri dalamk esusahan.

* Baginda tidak menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka.
Hit: 21 Laman Asal