Terdapat empat jenis skala pengukuran, iaitu skala nominal, skala ordinal, skala selang dan skala nisbah. 

1. Skala Nominal

Iaitu skala yang menggunakan angka untuk mewakili kategori-kategori sesuatu variable. Contoh variabel skala nominal ialah jantina, bangsa, agama dan lain-lain. Jantina biasanya dikodkan menggunakan angka '1' dan '2' yang mewakili lelaki dan perempuan. Dalam konteks ini, angka 1 dan 2 tidak mempunyai nilai. Angka tersebut hanya mewakili kategori jantina. Data yang dikumpulkan juga bukan data kontinum (mempunyai susunan menaik atau menurun) dan tidak mempunyai pengiraan matematik. 

2. Skala Ordinal

Iaitu skala yang melibatkan data-data kontinum yang disusun secara teratur, bermula dari angka yang kecil hingga ke angka yang lebih besar. Contohnya seperti berikut:

Harga DVD original yang paling berpatutan, sila tandakan.

kurang daripada RM5.00                                     1......
RM5.00 hingga RM12.00                                     2......
RM13.00 hingga RM20.00                                   3......
RM21.00 hingga RM30.00                                   4......
lebih daripada RM30.00                                       5......

Skala ordinal yang paling kerap digunakan dalam soal selidik kajian ialah skala Likert. Skala Likert menggunakan angka 1,2,3,4 dan 5 untuk mewakili tahap persetujuan subjek mengenai sesuatu pertanyaan.  


3. Skala Selang

Skala selang tidak mempunyai nilai sifar benar. Bermakna, data skala selang mempunyai nilai negatif kerana angka '0' tidak menunjukkan nilai yang paling rendah dalam skala selang. 


4. Skala Nisbah

Skala nisbah ialah skala yang melibatkan data-data kontinum, yang disusun secara teratur  bermula dari angka yang kecil hingga ke angka yang lebih besar. Contohnya dalam satu ujian sains, skor yang diperolehi pelajar-pelajar dalam satu kelas di antara '0' hingga '100'. Angka '0' merupakan sifar benar. 

Berikut adalah contoh yang membezakan Skala Selang dan Skala Nisbah.

Contoh skala selang : Suhu (suhu tidak mempunyai nilai sifar yang benar kerana 0ºc tidak menunjukkan suhu yang paling rendah. Suhu mempunyai nilai negatif di bawah sifar)

Contoh skala nisbah : Berat badan (nilai 0 bermakna tiada berat, iaitu 0 ialah sifar benar kerana berat tidak mempunyai nilai negatif yang lebih rendah daripada 0).  

Sumber: Chua Yan Piaw (2014) edisi 3











Hit: 0 Laman Asal