TAREKAT NAQSHABANDIYYAH




PERKEMBANGAN TARIQAH NAQSHBANDIYYAH DI MALAYSIA:SUATU TINJAUAN RINGKAS


Oleh:
MOHD NASIR BIN MOHD TAP
Pensyarah Kolej Dar al-Hikmah, Kajang
)

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.  إلهي أنت مقصودي ورضاك مطلوبي. أعطني محبتك ومعرفتك يا رب العالمين. أمين.

Mukadimah
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرٗا كَثِيرٗا  ٤١ وَسَبِّحُوهُ بُكۡرَةٗ وَأَصِيلًا  ٤٢
(الأحزاب 41-42)
”Wahai orang-orang yang beriman! Berdzikirlah kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepadanya pada waktu pagi dan petang”

Peranan para ulama' tasawwuf dan gerakan tariqah di dalam usaha penyebaran dakwah tidak dapat dinafikan. Di mana sahaja di seluruh pelusuk dunia Islam kita akan mendapati peranan penting yang dimainkan oleh mereka. Tidak ketinggalan juga dengan wilayah kepulauan Melayu-Indonesia dan khususnya Malaysia. Di antara gerakan tariqah yang subur berkembang di alam Melayu dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat Islam adalah Naqshbandiyyah, Qadiriyyah dan Ahmadiyyah. Di dalam makalah yang ringkas ini, penulis akan cuba membicarakan secara ringkas tentang sejarah perkembangan tariqah Naqshbandiyyah di Malaysia secara khusus. Namun adalah perlu dinyatakan di sini bahawa segala maklumat yang tertulis di dalam makalah ini tidak memuatkan secara menyeluruh perkembangan tariqah ini. Ini memandangkan tabiat tariqah ini yang cepat berkembang yang memungkinkan untuk tumbuhnya cawangan-cawangan baru tariqah ini di seluruh Malaysia.

Tariqah Naqshbandiyyah telah disusun oleh Syaikh Baha’ al-Din Shah Naqshbandiyyah yang dilahirkan di sebuah desa bernama Qasrul Arifan, berhampiran dengan Bukhara di Uzbekistan. Namun begitu, jika diteliti, amalan tariqah Naqshbandiyyah bukanlah sesuatu yang baru wujud pada masa beliau, akan tetapi intipati sebenar ajaran tariqah ini telah ada di dalam kehidupan beragama Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a.  Ini dapat dilihat dari firman Allah di dalam al-Qur’an:

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ  ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ  ١٩١  (ال عمران: 190-191)

Maksudnya: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan silih pergantian malam dan siang ada ayat (tanda-tanda) bagi para ulu’l-albab (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring (pent: atau setiap keadaan) dan bertafakkur pada penciptaan lamgit dan bumi seraya mengatakan Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan ini semua sebagai batil, Maha Suci, maka peliharakanlah kami dari azab neraka.

Kehidupan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a serta para ulu’l-albab dan ulama’ rabbani sepanjang zaman yang dihiasi dengan dzikir dan tafakkur diabadikan oleh Allah di dalam al-Qur’an sebagaimana yang tertera di dalam ayat al-Qur’an di atas. Maka tiada golongan yang terbaik dalam mengamalkan Sunnah dzikrullah dan tafakkur ini melainkan para ulama’ sufiyyah dan ikhwan tariqah.

Tasawwuf bukanlah sesuatu yang baru atau sengaja diada-adakan. Ianya berpaksi kepada ajaran Rasulullah s.a.w sebagaimana yang tersebut di dalam hadith Jibril yang terkenal yang menerangkan tentang Islam, Iman dan Ihsan. Sekiranya Islam diwakili oleh ilmu fiqh, Iman diwakili oleh ilmu aqidah, maka Ihsan diwakili oleh ilmu tasawwuf. Sebab itulah sebahagian ulama’ seperti Maulana Zakariyya al-Kandahlawi di dalam karyanya al-Shari’ah wa’t-Tariqah menyebutkan bahawa Ihsan itulah yang dimaksudkan dengan tasawwuf.

Hubungan tasawwuf dengan tariqah adalah amat rapat seumpama rapatnya hubungan api dengan panas, gula dengan manis, garam dengan masin. Dalam erti kata lain kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Bahkan apabila kita menyebutkan sebagai contoh “seseorang itu belajar tariqah,” ini bermakna seseorang itu belajar tasawwuf. Ibarat seseorang, tak mungkin menjadi faqih (mahir dalam ilmu Fiqh) tanpa mengetahui dan mahir dalam ilmu Usul al-Fiqh, begitu jugalah dengan tasawwuf di mana seseorang itu tidak dapat menjadi seorang sufi yang arif bi’Llah tanpa menjalani tariqah dan suluk.

Apa yang diinginkan oleh tasawwuf ialah mencapai hakikat sebenar al-Ihsan sebagaimana yang terkandung di dalam hadith:
الإحسان أن تعبد الله كأنك تراة فإن لم تكن تراه فإنه يراك
Maksudnya: “Ihsan itu ialah anda berubudiyyah kepada Allah seolah-olah anda melihatnya, maka sekiranya anda tidak melihat Allah maka sesungguhnya Dia melihat kamu”.

Untuk mencapainya perlu kepada kaedah dan cara yang khusus dan sistematik sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana “perjalanan menuju Allah itu sebanyak bilangan nafas makhluk” sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Khaldun di dalam karyanya Shifa’ al-Sa’il fi Tahdzib al-Masa’il, maka para ulama’ sufi telah berijtihad dengan keupayaan keilmuan dan pengalaman yang ada pada mereka kaedah atau cara untuk tujuan menghampirkan diri kepada Allah dengan beristinbat dari al-Qur’an dan al-Sunnah serta dengan mencontohi kehidupan para salaf al-salih. Maka dari sinilah lahirnya tariqah sebagai cara atau kaedah yang di ijtihadkan oleh mereka demi tercapainya hakikat al-Ihsan tersebut.

Ini bermakna tariqah merupakan suatu wasilah bagi tazkiyyat al-nafs (penyucian jiwa) dengan tujuan agar tercapai ma’rifatullah dan taqwa sebagai mencontohi Nabi s.a.w sebagaimana yang tersebut di dalam sabda baginda yang bermaksud: “Aku adalah yang paling kenal akan Allah dan yang paling taqwa kepadanya.” Inilah juga tujuan dari sekelian tariqah sufiyyah dan khususnya tariqah Naqshbandiyyah sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Khani di dalam al-Hada’iq al-Wardiyyah bahawa asal tariqah Naqshbandiyyah adalah “dawam al-hudur ma’a Llah,” atau berkekalan merasai kehadiran Ilahi atau sentiasa hadir hati bersama Allah.

Benar kalau dikatakan bahawa dengan bersolat, berpuasa dan berzakat dapat mensucikan jiwa. Namun begitu, perlu disedari bahawa setiap ibadah itu ada jiwanya, dan jiwanya itulah al-Ihsan. Maka, “untuk beribadah kepada Allah seolah-olah melihatnya atau pun merasai pengawasan Allah dalam segenap kehidupan kita,” tidak akan tercapai melainkan dengan adanya kekal ingatan kepada Allah. Inilah rahsia mengapa Allah melalui firmannya yang banyak memerintahkan kita agar membanyakkan dzkrullah dan bertafakkur padaNya. Semua ini bagi mencontohi Nabi s.a.w yang diriwayatkan bahawa baginda sentiasa mengingati Allah pada setiap keadaan. Bahkan Allah secara khusus memrintahkan agar Rasulullah sentiasa berdzikir kepada Allah seperti yang tersebut di dalam firman Allah:
وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِي نَفۡسِكَ تَضَرُّعٗا وَخِيفَةٗ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَٰفِلِينَ  ٢٠٥ (الأعراف: 205)
Maksudnya: "Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan hati dan rasa takut dan dengan tidak mengeraskan suara diwaktu pagi dan petang (sepanjang masa), dan janganlah engkau termasuk (ke dalam golongan) orang-orang yang lalai".

Jadi, ini bermakna jiwa ibadah itu berpokok pangkal kepada dzikrullah. Atas dasar itu jugalah maka tariqah sufiyyah meletakkan keutamaan kepada pengamalan dzikrullah (secara jali/terang atau khafi/tersembunyi di dalam hati) dengan konsisten sebagai manhaj atau kaedah terbaik penyucian jiwa, di samping amalan-amalan lain seperti muraqabah, rabitah dan suhbah.

BERKENAAN SILSILAH TARIQAH NAQSHBANDIYYAH

Tariqah bukanlah sesuatu yang baru dan bertujuan mengada-ngadakan sesuatu bid’ah, akan tetapi ia merupakan silsilah tarbiyyah ruhiyyah yang berpijak di atas anjuran wahyu serta berpandukan kepada Sunnah Rasulullah s.a.w dan yang dicontohkan oleh para sahabat r.a. Ianya sudah berlangsung dari generasi demi generasi bermula dari Rasulullah s.a.w. (Mengenai tariqah, sila rujuk buku karangan Syaikh Dr. Hj Jahid Sidek al-Khalidi, Shaikh Dalam Ilmu Tariqahterbitan Universiti Malaya, K.L).

Memandangkan tariqah mempunyai silsilah tarbiyyah, maka kita akan melihat kesinambungan hubungan guru dan murid di dalam tariqah yang bertujuan agar terhasilnya pengaliran al-barakah atau keberkatan dari rohaniah Rasulullah s.a.w. Begitu juga dengan silsilah tariqah Naqshbandiyyah. Susur galur amalan tariqah ini kembali kepada Rasulullah s.a.w melalui wasitah sahabat baginda yang terutama iaitu Abu Bakar al-Siddiq. Di dalam kitab al-Hadiqah al-Nadiyyah fi Adab al-Tariqah al-Naqshbandiyyah ada menyatakan sebuah sabda Rasulullah s.a.w ada menyebutkan mengenai Abu Bakr al-Siddiq ini:
ما صبّ الله في صدري شيئاً إلا وصببته في صدر أبي بكر
Maksudnya: “Tiada suatu perkara pun yang Allah limpahkan pada dadaku melainkan aku limpahkan juga pada dada Abu Bakr.”

Kemudian silsilah tarbiyyah ini terus berlangsung dan berkembang sehingga ia dikenali dengan pelbagai nama. Namun ia tidak mengubah intipati dan maksud sebenar tariqah ini. Bermula dari Abu Bakr al-Siddiq sehinggalah kepada Syaikh Abu Yazid al-Bustami tariqah ini dikenali sebagai al-Siddiqiyyah. Manakala dari Syaikh Abu Yazid sehinggalah kepada Syaikh Abdul Khaliq al-Ghujdawani ia dinamakan sebagai al-Taifuriyyah, dan dari Syaikh Abdul al-Ghujdawani sehingga al-Syaikh Baha’ al-Din al-Naqshbandi ia dinamakan sebagai al-Khwajakaniyyah. Bermula dari al-Syaikh Baha’ al-Din tariqah ini dinamakan sebagai tariqah Naqshbandiyyah.

Namun begitu, sepanjang sejarah perkembangan tariqah Naqshbandiyyah ia ada melalui melalui beberapa pembaharuan. Yang pertama ialah pada masa Syaikh Ubaidullah al-Ahrar lalu ia dinamakan sebagai Naqshbandiyyah Ahrariyyah. Kedua, ialah pada masa Syaikh Ahmad al-Sirhindi yang juga dikenali sebagai Mujaddid al-Alf al-Thani dan Imam Rabbani, maka ia dinamakan sebagai Naqshbandiyyah Mujaddidiyyah. Seterusnya pembaharuan ketiga ialah pada masa Syaikh Khalid al-Baghdadi al-Uthmani yang belajar pada Syaikh Abdullah al-Dihlawi, lalu tariqah ini lebih dikenali sebagai Naqshbandiyyah Khalidiyyah. Salah seorang khalifah Syaikh Abdullah al-Dihlawi iaitu Syaikh Abu Said yang merupakan rakan seguru kepada Syaikh Khalid telah berpindah ke Makkah. Cucu beliau yang bernama Syaikh Muhammad Mazhar al-Ahmadi telah mengembangkan amalan tariqah ini di Madinah, lalu para pengamal tariqah ini yang melalui silsilah beliau lebih dikenali sebagai Naqshbandiyyah Mazhariyyah.   Secara umumnya silsilah tariqah Naqshbandiyyah adalah seperti berikut:
Allahu Ta’ala
1.           Sayyiduna wa Mawlana Muhammad Salla-Llahu ‘alayhi wa sallam
2.           Abu Bakr as-Siddiq
3.           Salman al-Farisi
4.           Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr as-Siddiq
5.           Imam Ja’far as Sadiq bin Imam Muhammad al-Baqir
6.           Abu Yazid Tayfur bin 'Isa bin Adam bin Surushan al-Bistami Sultanu-‘Arifin
7.           Abu-l Hasan ‘Ali al-Kharqani
8.           Abu ‘Ali Ahmad bin Muhammad al-Farmadi at-Tusi ar-Rudzbari
9.           Abu Ya’qub Yusuf al-Hamadani
10.       ‘Abdu-l Khaliq bin ‘Abdu-l Jamil al-Ghujdawani Imamu-l Khatmi-l Khwajagan
11.       ‘Arif Riwgari
12.       Khwajah Mahmoud Anjir al-Faghnawi
13.       ‘Azizan ‘Ali ar-Ramitani
14.       Muhammad Baba as Sammasi
15.       Sayyid Amir al-Kulali al-Bukhari
16.       Imamu-t-Tariqah wa Ghawthu-l-Khaliqah Khwaja Baha’u-d Din an-Naqshbandi Muhammad al-Uwaisi al-Bukhari
17.       ‘Ala’u-d-Din ‘Attar al- Bukhari
18.       Ya’qub Charkhi
19.       Hadrat-i Ishan Nasiru-d-Din ‘Ubaydu-Llah bin Khwajah Mahmoud bin Shaykh Shihabu-d-Din Khwaja Ahrar
20.       Muhammad az-Zahid al-Bukhari
21.       Darwish Muhammad
22.       Khwajaki Amkinaki Mawlana Ahmad bin Jalalu-d- Din al-Samarqandi
23.       Muhammad al-Baqi bi-Llah Berang Simaqi bin Qadi ‘Abdu-s Salam Khalji al-Samarqandi
24.       Imam Rabbani Ahmad al-Faruqi Sirhindi Mujaddid-i Alf-i Thani
25.       Khwaja Muhammad Ma’sum bin Ahmad al-Faruqi
26.       Khwaja Sayfu-d Din ‘Arif bin Muhammad Ma’soum
27.       Sayyid Nur Muhammad Mazhari Bada’uni
28.       Mirza Shamsu’d- Din Habibu-Llah Mazhari Jan-i Jan’an
29.       Shah Ghulam ‘Ali ‘Abdu-Llah al-Dihlawi
30.       Shaykh Diya’u-d Din Khalid as- Shahrazuri al-Kurdi al-Baghdadi
31.       Shaikh Abdullah al-Arzinjani al-Makki
32.       Shaikh Sulaiman al-Qirimi.
33.       Shaikh Sulaiman Zuhdi.
34.       Shaikh Abdu’l-Wahab Babu’s-Salam
35.       Shaikh Umar Bin Muhammad Batu Pahat
36.       Shaikh Imam Hj Ishaq Bin Muhammad ‘Arif al-Rawi
37.       Shaikh Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al-Khalidi

PERKEMBANGAN TARIQAH NAQSHBANDIYYAH DI ALAM MELAYU

Sebelum daripada kita membincangkan tentang perkembangan tariqah Naqshbandiyyah di Malaysia, kita perlu terlebih dahulu melihat perkembangan tariqah ini di negara jiran kita, Indonesia. Ini kerana, kebanyakan aliran tariqah Naqshbandiyyah di Malaysia mempunyai pertalian yang rapat dengan aliran-aliran yang ada di negara jiran kita tersebut.

Detik awal penerimaan tariqah ini oleh masyarakat Nusantara tidak dapat dikenal pasti secara tepat. Jika dilihat daripada kenyataan A.H Johns yang dikutip dari The Encyclopedia of Islam jilid ke 9 beliau menyatakan bahawa Syaikh Shams al-Din al-Sumatrani telah membaiÑahkan Sultan Iskandar Mahkota Alam dari Kesultanan Acheh ke dalam tariqah Naqshbandiyyah. Jika fakta ini benar, ini bermakna tariqah Naqshbandiyyah dipercayai sudah bertapak di alam Melayu sejak dari abad ke 16 Masihi lagi.

Jika di lihat kepada sejarah penyebaran tariqah Naqshbandiyyah di Nusantara, sepanjang yang dapat penulis kenal pasti terdapat empat aliran tariqah Naqshbandiyyah yang pernah berkembang di sini iaitu aliran Ahrariyyah, Mujaddidiyyah, Khalidiyyah dan Mazhariyyah.

Bagi aliran Ahrariyyah, di dapati bahawa seorang alim sufi dan mujahid terkenal dari Makasar, Sulawesi Selatan bernama Syaikh Yusuf Makasar telah dikenal pasti sebagai pengamalnya. Di samping itu beliau juga turut beramal dengan tariqah Khalwatiyyah. Beliau ada mengarang sebuah risalah berkenaan tariqah Naqshbandiyyah yang berjudul al-Risalah al-Naqshbandiyyah. Beliau telah mengambil tariqah ini dari gurunya yang bernama Syaikh Muhammad Abdu'l-Baqi al-Mizjaji dari Zabid, Yaman.

Silsilah tariqah Naqshbandiyyah yang diterima oleh Syaikh Yusuf Makasar adalah seperti berikut: Baha' al-Din al-Naqshbandi > Muhammad 'Ala' al-Din al-'Attari > Ya'qub al-Jarkhi > Muhammad 'Ubaidu'llah al-Ahrar > Muhammad Zahid > Darwisy Muhammad > Maulana Khwajaki al-Amkinaki > Al-Syaikh Baqi bi'llah al-Lahori > Taj Muhammad bin Zakariyya al-Naqshbandi > Muhammad bin abd al-Baqi al-Mizjaji al-Yamani > Yusuf al-Maqassari. Syaikh Taj Muhammad bin Zakariyya al-Naqshbandi adalah merupakan rakan seguru kepada Syaikh Ahmad al-Sirhindi, seorang mujaddid tariqah Naqshbandiyyah kurun ke 17 Masihi yang bertemu pada Syaikh Baqi bi'llah al-Lahori.
         
Seorang lagi ulama' Melayu yang dikenal pasti beramal dengan tariqah Naqshbandiyyah adalah Syaikh Syihabu'd-Din al-Jawi. Manakala seorang lagi ulama Nusantara berketurunan Banjar bernama Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari, iaitu pengarang kitab Durru'n-Nafis juga turut beramal dengan tariqah Naqshbandiyyah.

Namun begitu, tariqah Naqshbandiyyah di dapati berkembang dengan pesat di alam Melayu berkat jasa Syaikh Ismail al-Minangkabawi. Beliau juga merupakan penterjemah kitab al-Rahmah al-×abitah fi Dzikr Ism al-Dhat wa al-Rabitah yang dikarang oleh al-Allamah Syaikh Husayn bin Ahmad al-Dawsari al-Khalidi. Kepulangan beliau dari Makkah pada tahun 1850-an memberi kesan yang cukup mendalam dalam kehidupan beragama di Kesultanan Johor-Riau. Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan istana Yam Tuan Muda di Riau. Beliau memulakan dakwahnya di Singapura dan kemudian pergi ke Riau. Yam Tuan Muda, Raja Ali dan kaum kerabatnya menjadi murid Syaikh Ismail dan mereka menghadiri majlis khatam dan tawajjuh setiap dua kali seminggu. Berkat usaha beliau, tariqah ini berkembang pesat di kerajaan Kesultanan Johor, sehingga ia menjadi tariqah yang begitu masyhur diamalkan di kalangan bangsawan Melayu dan Bugis khususnya kaum keluarga Yam Tuan Muda Riau. (Lihat: Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis).

Bahkan menurut Raja Ali Haji di dalam bukunya Tuhfat al-Nafis, kesemua putera bangsawan di Pulau Penyengat beramal dengan tariqah Naqshbandiyyah. Adik Raja Ali iaitu Raja Abdullah juga kemudiannya dilantik sebagai khalifah kepada Syaikh Ismail al-Minangkabawi. Beliau yang kemudiannya menjadi Yam Tuan Muda ke 9 juga dikenali sebagai Marhum Mursyid. Gelaran itu diberikan kerana beliau juga merupakan seorang syaikh mursyid di dalam tariqah Naqshbandiyyah. Yam Tuan Muda ke 10 iaitu Raja Muhammad Yusuf pula mengamalkan tariqah Naqshbandiyyah aliran Khalidiyyah dan juga Mazhariyyah. Aliran Mazhariyyah ini beliau pelajari di Makkah dari Syaikh al-Sayyid Muhammad Salih al-Zawawi.

TARIQAH NAQSHBANDIYYAH DI MALAYSIA.

Dapat dikatakan bahawa tariqah Naqshbandiyyah adalah di antara yang terawal bertapak di Malaysia. Aliran al-Khalidiyyah adalah aliran yang paling ramai diikuti oleh umat Islam di Malaysia. Jika ditelusuri asal-usul kedatangan tariqah ini di Malaysia, kebanyakan silsilah tariqah Naqshbandiyyah di Malaysia berasal dari Makkah, terutamanya dari Jabal Abi Qubais.

Khanqah tariqah Naqshbandiyyah yang terletak di Jabal Abi Qubais telah dipimpin oleh salah seorang khalifah Maulana Dhiya’ al-Din Khalid al-Baghdadi al-Uthmani iaitu Syaikh Abdullah al-Arzinjani. Kemudian ia dipimpin pula oleh Syaikh Sulaiman al-Qirimi yang berasal dari Semenanjung Crimea (sekarang terletak di Ukraine). Kepemimpinan tariqah ini di Jabal Abi Qubays kemudiannya beralih kepada Syaikh Sulaiman Zuhdi.

Aliran tariqah Naqshbandiyyah Khalidiyyah yang berpusat di Jabal Abi Qubais dikenal pasti sebagi aliran yang paling popular di Nusantara umumnya dan di Malaysia khususnya. Syaikh Ismail al-Minangkabawi merupakan tokoh pertama yang mengembangkan tariqah ini di Nusantara. Beliau merupakan khalifah kepada Syaikh Abdullah al-Arzinjani. Beliau dikatakan ada membuka rumah suluk di Pondok Upeh di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Seorang lagi tokoh yang sama sekali tidak dapat dilupakan di dalam sejarah penyebaran tariqah Naqshbandiyyah di Malaysia adalah Syaikh Abdul Wahab Rokan atau juga di kenali sebagai Syaikh Babus Salam bersempena dengan nama pusat tariqahnya di perkampungan Babus Salam, daerah Langkat, Sumatera. Rata-rata aliran tariqah Naqshbandiyyah Khalidiyyah di Malaysia menelusuri susur galurnya kepada Syaikh Abdul Wahab.

Syaikh Abdul Wahab yang dilahirkan di Pariaman, Sumatera mendapat asuhan dan tarbiyyah di dalam tariqah Naqshbandiyyah di Jabal Abi Qubais selama enam tahun dari guru beliau iaitu Syaikh Sulaiman Zuhdi iaitu khalifah kepada Syaikh Sulaiman al-Qirimi. Sekembalinya beliau ke Sumatera, beliau telah membuka rumah suluk di Kg. Babus Salam dalam daerah Langkat, Sumatera.

Syaikh Abdul Wahab sendiri pernah datang ke Batu Pahat, Johor dan menetap di sana selama dua tahun. Sepanjang berada di sana, beliau telah mengambil peluang untuk mengajarkan tariqah ini, mentarbiyyah dan mendidik kerohanian umat. Di antara khalifahnya yang telah menerima tarbiyyah dari beliau adalah Syaikh Umar   bin Muhammad yang berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat Batu Pahat, Johor.
         
Kemudian Syaikh Umar telah berpindah ke Kg. Durian Sebatang, Raub, Pahang dan membuka rumah suluk di sana. Di antara khalifah beliau adalah Imam Luqman bin Umar yang merupakan anak beliau sendiri yang kemudiannya memimpin pengamalan tariqah ini di Kampung Lepar, Gali di dalam daerah Raub, Pahang. Sepeninggalan Imam Luqman pada tahun 1980, kepemimpinan tariqah berpindah kepada anak beliau iaitu Tuan Haji Abdullah bin Luqman dengan dibantu oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman.
         
Seorang lagi khalifah Syaikh Umar ialah Tuan Imam Hj. Ishaq bin Muhammad Arif (1908-1992) yang memimpin pengamalan tariqah Naqshbandiyyah Khalidiyyah di Dong dalam daerah Raub, Pahang. Tariqah Naqshabdiyyah yang dipimpin oleh Imam Ishaq dikenal pasti sebagai di antara aliran tariqah yang aktif menyebarkan dakwahnya. Ia berkembang di merata tempat di seluruh Semenanjung Malaysia  terutamanya di Pahang, Johor, Selangor dan Terengganu. (Mengenai riwayat hidup Imam Ishaq dan pengajaran tasawwufnya, sila rujuk disertasi Ph.D yang ditulis di UKM oleh Dr. Abdul Manam bin Mohamad bertajukTarekat Naqshbandiyyah Khalidiyyah Pimpinan Tuan Hj. Ishaq Bin Muhammad Arif: Analisis Kritis Terhadap Doktrin, Amalan Dan Pengaruh Penyebarannya Di Malaysia).
         
Tuan Imam Ishaq telah meninggalkan beberapa orang khalifah yang berkelayakan di dalam memimpin pengamalan tariqah ini seperti Engku Mustafa, Tn Hj. Wan Hasan, Ust. Mokhtar Ya’qub dan Dr. Hj. Jahid Sidek.  Engku Mustafa yang menggantikan beliau sebagai murshid di rumah suluk di Dong, Raub. Sehungga sekarang, pengamalan tariqah masih diteruskan di sana. Manakala Tuan Hj. Wan Hasan meminpin pengamalan tariqah ini di Kampung Pulau Rumput di Pekan, Pahang. Sepeninggalan beliau, kepemimpinan tariqah ini telah berpindah kepada Hj Sanusi yang berasal dari Kedah. Haji Sanusi juga telah mengembangkan amalan tariqah ini di Kedah.

Salah seorang khalifah Syaikh Imam Ishaq yang dikenal pasti cukup aktif di dalam menyebarkan tariqah Naqshbandiyyah di Malaysia adalah Syaikh Dr. Hj. Jahid Sidek. Beliau merupakan bekas Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau merupakan murshid yang memimpin pengamalan tariqah ini di Kg. Melayu Majidee di Johor Bahru dan di Kuantan, Pahang. Beliau di dapati mempunyai ramai murid khususnya di Johor, Selangor, Pahang dan Terengganu.
         
Sebenarnya, terlalu banyak silsilah tariqah Naqshbandiyyah Khalidiyyah yang menerusi susur-galur Syaikh Abdul Wahab di Semenanjung Malaysia. Cuma, kerana ruang yang terhad, penulis tidak dapat menyatakan keseluruhan aliran tariqah tersebut. Di antaranya ialah yang telah dipimpin oleh Syaikh Yahya bin Abdullah Sani lebih dikenali sebagai Syaikh Yahya Laksamana.

Beliau dilahirkan di Kampung Muara Rumbai, Rambah di Sumatera. Beliau telah mengambil bai’ah amalan tariqah ini dari Syaikh Muhammad Nor Sumatera iaitu salah seorang khalifah Syaikh Abdul Wahab Babus salam. Beliau telah berpindah ke Malaysia pada 1935 dan membuka penempatan di Taman Naqshbandi di Semenyih, Kajang pada 1970 dan memimpin pengamalan tariqah Naqshbandiyyah di sana. Sepeninggalan beliau, tariqah ini telah dipimpin oleh anak beliau iaitu Hj. Muqri yang kemudiannya dipimpin oleh adik beliau iaitu Hj. Haris yang masih memimpin pengamalan tariqah ini sehingga sekarang.
         
Terdapat juga aliran tariqah Naqshbandiyyah Khalidiyyah di Malaysia yang tidak melalui Syaikh Abdul Wahab Babus Salam. Di antara yang termasyhur adalah aliran yang dibawa oleh Hj. Ahmad b. Muhammad al-Baqir di Negeri Sembilan dan yang di bawa oleh Yahya al-Daghestani di Pondok Upeh, Balik Pulau di Pulau Pinang.
         
Hj. Ahmad bin Muhammad al-Baqir menerima asuhan tariqah Naqshbandiyyah di Jabal Abi Qubais dari Syaikh Ali al-Rida. Syaikh Ali merupakan murid kepada Syaikh Uthman al-Baruzi yang merupakan murid kepada Syaikh Sulaiman al-Zuhdi. Ini bermakna aliran yang dipimpin oleh al-Syaikh Ahmad b. Muhammad al-Baqir bertemu dengan aliran Syaikh Abdul Wahab Babus Salam pada Syaikh Sulaiman Zuhdi.  Selepas daripada Hj. Ahmad bin Muhammad al-Baqir, aliran ini dipimpin pula oleh murid beliau iaitu Syaikh Hj. Ma’ruf bin Ya’qub. Beliau telah memimpin pengamalan tariqah ini di Kg. Sungai Bunga di Lengging, Negeri Sembilan.
         
Manakala aliran di Pondok Upeh, Balik Pulau di Pulau Pinang di bawa oleh Yahya al-Daghestani yang telah datang ke Pulau Pinang dan membuat lawatan ke Pondok Upeh. Pada ketika itu, murshid yang memimpin suluk di Pondok Upeh adalah Syaikh hj. Mohammad Taib. Sebenarnya beliau telah pun mengambil bai’ah dari seorang mursyid yang mempunyai silsilah yang bersambung kepada Syaikh Ismail al-Minankabawi iaitu orang yang dikatakan mempuka Pondok Upeh. Namun apabila Syaikh Mohammad Taib mengambil bai’ah dari Syaikh Yahya al-Daghestani maka berpindahlah silsilah beliau kepada Syaikh Yahya tersebut. Sepeninggalan Syaikh Mohammad Taib, kepemimpinan tariqah ini di Pondok Upeh berpindah kepada murid beliau yang bernama Syaikh Hj. Jaafar Abdullah.

Sebuah lagi aliran tariqah Naqshbandiyyah yang wujud di Malaysia adalah aliran yang dinisbahkan kepada Prof. Kadirun Yahya. Beliau adalah seorang tokoh tariqah Naqshbandiyyah yang berasal dari Sumatera serta mempunyai ramai pengikut di Malaysia.  Beliau belajar dengan beberapa orang guru tariqah Naqshbandiyyah dan di antara mereka adalah Syeikh Muhammad Hasyim Buayan iaitu dari tahun 1947 sehingga tahun 1954. Syaikh Muhammad Hasyim telah mengambilnya dari Syeikh Ali al-Rida di Jabal Abi Qubais dengan dibantu oleh Syaikh Husayn. Kedua-duanya adalah merupakan khalifah kepada Syaikh Sulaiman Zuhdi. Ini bermakna aliran Syaikh Kadirun Yahya bertemu dengan aliran Syaikh Abdul Wahab Rokan pada Syaikh Sulaiman dan bertemu dengan aliran Syaikh Hj. Ma’ruf Lengging pada Syaikh Ali al-Rida.

Pusat utama kegiatan aliran tariqah Naqshbandiyyah Kadirun Yahya ini ialah di Rawang iaitu di Madrasah Darul Amin di samping beberapa tempat lain serata negara seperti di Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, Alor Star, Kemaman, Jerantut dan di Johor Bahru. Di antara para khalifah beliau yang bertanggungjawab membawa masuk aliran ini dari pusatnya di Medan adalah Hj. Mohd Syariff Ali, Hj. Kamaruddin bin Ibrahim dan Prof. Dato’ Mohd Nor Marahakim.

Manakala di Kg. Oren, Mata Air di Perlis terdapat aliran tariqah Naqshbandiyyah Khalidiyyah yang dipimpin oleh Hj. Muhammad Yusuf bin Khalifah Abas Panai. Beliau telah berbai’ah kepada anak Syaikh Abdul Wahab iaitu Syaikh Daud bin Abdul Wahab. Syaikh Daud merupakan merupakan pemimpin Babus Salam selepas daripada Syaikh Hj. Abdul Jabbar. Salah seorang dari khalifah beliau ialah Hj. Muhammad Yatim b. Ismail yang berasal dari Naumbai, Air Tiris di Langkat, Sumatera. Sebelum beliau berbai’ah pada Syaikh Muhammad Yusuf, beliau ada berbai’ah kepada bapa saudara beliau yang bernama Syaikh Muhammad Yasin tetapi kemudiannya menjalani suluk di bawah pimpinan Syaikh Muhammad Yusuf. Selain itu beliau juga pernah menjalani suluk di bawah pimpinan Syaikh Salahudin di Babus Salam, Langkat. Pusat kegiatan aliran yang dipimpin oleh Hj. Muhammad Yatim adalah di Lubuk Ipoh di Jitra, Kedah.

Selain daripada aliran-aliran yang tersebut di atas, ada sebuah aliran baru tariqah Naqshbandiyyah yang dipimpin oleh Syaikh Muhammad Nazim al-Haqqani yang berasal dari Cyprus. Aliran ini disebarkan melalui khalifah beliau iaitu Raja Ashman bin Sultan Azlan Shah, Perak. Aliran ini mempunyai beberapa pusat kegiatan dan di antara yang terutama bertempat di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Aliran ini menelusuri baik silsilahnya daripada Syaikh Abdullah al-Daghistani yang bersambungan silsilahnya sehinggalah kepada seorang khalifah Syaikh Khalid al-Baghdadi iaitu Syaikh Ismail al-Shirwani. (Abdul Manam, 2004)

Tariqah Naqshbandiyyah aliran Mazhariyyah juga turut mempunyai pengamalnya di Semenanjung Malaysia. Namun kini tidak kedengaran lagi tentang pengamalan tariqah Naqshbandiyyah dari aliran ini. Aliran Muzhariyyah, sebagaimana juga aliran Khalidiyyah berasal dari Makkah. Ia dinisbahkah kepada Syaikh Muhammad Mazhar al-Ahmadi. Ia menelusuri silsilahnya kepada Syaikh Abdullah al-Dihlawi yang lebih dikenali sebagai Syah Ghulam Ali yang juga guru kepada Mawlana Khalid al-Baghdadi pendiri aliran al-Khalidiyyah.

Aliran ini bertemu pada Syah Ghulam Ali melalui salah seorang khalifahnya yang banyak memainkan peranan di dalam menyebarkan tariqah Naqshbandiyyah Mujaddidiyyah, khususnya di al-Haramayn iaitu al- Syaikh Abu Sa’id. Anak beliau yang kemudiannya menggantikan beliau iaitu al-Syaikh Ahmad Sa’id kemudian telah berhijrah ke Makkah akibat sauasana intelektual dan spiritual India yang tidak lagi kondusif semasa penjajahan British dan penyebaran tariqah ini diteruskan di sana (Al-Nadwi, 1993: 298).

Anak beliau bernama al-Syaikh Muhammad Mazhar al-Ahmadi (pendiri aliran Mazhariyyah) yang memimpin kemudiannya membina khanqah di Madinah. Di antara muridnya yang terkenal adalah Mufti mazhab Syafii di Makkah iaitu Syaikh al-Sayyid Muhammad Salih al-Zawawi (Wan Saghir, 2000: 70) yang merupakan moyang kepada al-Syaikh al-Sayyid Yusuf al-Zawawi, Mufti negeri Terengganu (Saghir, 2000: 69). Beliau mempunyai beberapa murid yang ternama antaranya al-Syaikh Muhammad Murad al-Qazani al-Makki yang berasal dari Kazan (sekarang di Tatarstan, Russia). Beliaulah yang bertanggungjawab menterjemahkan al-Maktubat, karangan al-Sirhindi ke bahasa Arab dari bahasa asalnya Parsi dengan judul al-Durar al-Maknunat al-Nafisah. Ia menterjemahkannya di atas arahan dari mursyidnya Syaikh al-Sayyid Muhammad Salih al-Zawawi. Al-Qazani juga bertanggungjawab menterjemahkan ke bahasa Arab kitab al-Mabda’ wa al-Ma’ad [1] yang juga berbahasa Parsi karangan al-Sirhindi yang disalin oleh khalifah beliau Maulana MuÍammad Siddiq al-Kishmi al-Badakhshani.  Mengenai perlantikan al-Qazani sebagai khalifah kepada al-Syaikh al-Sayyid Muhammad Salih al-Zawawi, dinyatakan bahawa perlantikannya adalah bersama-sama dengan ikhwannya yang berasal dari wilayah Jawi (Kepulauan Melayu-Indonesia). Adalah diduga bahawa ikhwan Jawi itu adalah merupakan al-Syaikh Abd al-Azim al-Manduri yang berasal dari Madura dan boleh jadi orang lain yang tidak dikenali.[2]
         
Al-Sayyid MuÍammad Salih juga merupakan guru kepada beberapa orang ulama' dan pembesar Melayu seperti Raja MuÍammad Yusuf, Yam Tuan Muda Riau ke 10 iaitu anak saudara kepada Marhum Mursyid Raja Abdullah, dan juga guru kepada al-Syaikh Abd al-Azim al-Manduri berasal dari Madura. Yang terakhir ini mempunyai anak murid yang ramai dan yang paling terkenal di antara mereka adalah Kiyai Haji Zainal Abidin Kwanyar, Bangkalan. Selepas beliau, al-Syaikh al-Sayyid Muhsin al-Hinduwan menggantikan beliau. Pada tahun 1975, di bawah pimpinan al-Syaikh al-Hinduwan telah diadakan majlis haul Imam Rabbani di Masjid al-Falah, Sungai Jawi, Pontianak. (Wan Saghir, 2004: 1: 178)     
         
Selepas daripada al-Sayyid Muhammad Salih, anak beliau iaitu al-Syaikh Abdullah al-Zawawi menggantikan beliau. Beliau merupakan merupakan mursyid kepada al-Sayyid Abd al-Rahman al-Idrus (Tok Ku Paloh) yang kemudiannya mengajarkannya kepada murid beliau al-Syaikh Abd RaÍman Limbong, Terengganu. Al-Sayyid Abdullah juga guru kepada Haji Awang Rusila.

Aliran lain tariqah Naqshbandiyyah yang ada di Semenanjung Malaysia ialah aliran yang dibawa oleh Syaikh al-Islam Kedah iaitu Syaikh Wan Sulaiman b. Wan Siddiq yang menerima tariqah Naqshbandiyyah AÍmadiyyah Mujaddiyyah dari al-Syaikh MuÍammad Andakhawi al-Bukhari yang wafat di Taif tahun 1321H/1903M. Sekarang ini aliran ini dipimpin oleh al-Syaikh Mustafa Husein yang mengambilnya dari al-Syaikh Abd al-Manan Tahir yang mengambilnya dari al-Syaikh Ahmad Muhammad yang mengambilnya dari al-Syaikh Ahmad Ishaq yang mengambilnya dari al-Syaikh Wan Sulaiman Wan Siddiq, Sayikh al-Islam Kedah yang mengambilnya dari al-Syaikh Faqir Muhammad Andakhawi al-Bukhari yang mengambilnya dari al-Syaikh Ahmad Said yang mengambilnya dari al-Syaikh Ahmad Umar yang mengambilnya dari al-Syaikh Said Umari yang mengambilnya dari al-Syaikh Abdullah al-Dihlawi atau Syah Ghulam Ali yang juga merupakan guru kepada Mawlana Khalid al-Baghdadi, leluhur aliran al-Khalidiyyah.[3]

PERANAN TARIQAH NAQSHBANDIYYAH DALAM MASYARAKAT

Sesiapa pun yang mengkaji perkembangan dakwah Islam tidak dapat menafikan peranan yang dimainkan oleh tariqah dan ulama’ sufiyyah di dalam menyebarkan dakwah Islam serta usaha mereka di dalam meningkatkan kerohanian umat serta menjernihkan pegangan tauhid. Sejak dahulu lagi, para pengamal tariqah Naqshbandiyyah adalah kelompok yang aktif di dalam bidang keilmuan, sosial dan jihad. Sebut sahaja beberapa orang tokoh ulama seperti Syaikh Ahmad Sirhindi, Syah Waliyyullah al-Dihlawi dan anak-anaknya, Mulla Abdur-Rahman Jami pengarang Nafahat al-Uns, Syaikh Ala’ al-Din al-Tusi pengarang Tahafut al-Falasifah, Mulla Ibrahim al-Kurani iaitu guru kepada Syaikh Yusuf Makassar dan Abdul Rauf al-Fansuri al-Sinkili. Begitu juga dengan al-Ustadz Sa’id Hawwa bersama-sama dengan guru-guru tasawwuf dan tariqahnya seperti Syaikh Muhammad al-Hamid (Naqshbandiyyah Khalidiyyah) dan Muhammad al-Hashim (Shadziliyyah Darqawiyyah), mereka bukan sahaja aktif untuk melakukan pembaharuan tauhid dan keimanan, bahkan turut juga aktif melakukan pembaharuan sosial umat Islam. Suasana ini turut berlaku di Nusantara khususnya di Malaysia.
         
Namun, sejak akhir-akhir ini, seolah-olah ada usaha dari sesetengah pihak yang cuba menyembunyikan fakta peranan para ulama’ sufiyyah dan ikhwan tariqah dalam hal tersebut. Perkara yang serng ditonjolkan adalah tasawwuf dan tariqah adalah punca kepada kemunduran umat Islam. Ternyata pandangan-pandangan seperti ini tidak didasarkan kepada kejahilan serta dibayangi oleh kebencian seumpama kejahilan dan kebencian Abu Jahal akan Nabi s.a.w.
         
Jika kita lihat kembali sejarah perjuangan umat Islam di seluruh dunia umumnya dan Malaysia khususnya dalam menentang penjajahan, kita akan mendapati peranan aktif yang dimainkan oleh para pengamal tariqah Naqshbandiyyah. Sebagai contoh ialah Tokku Paloh yang merupakan guru dan penasihat Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu. Berkat kebijaksanaan beliau, Terengganu dapat dipertahankan dari jatuh ke tangan penjajah Inggeris yang diwakili oleh Hugh Clifford, Resisden Pahang pada ketika itu.  Begitu juga kita dapat melihat peranan aktif murid beliau Syaikh Abdul Rahman Limbong yang mengetuai Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu dalam usaha memelihara hak umat Islam Terengganu dari jatuh ke tangan penjajah Inggeris.

Seorang lagi tokoh yang tidak kurang hebatnya di dalam arena perjuangan umat Islam Malaysia ialah Dr. Burhanuddin al-Helmi. Walaupun fakta yang mengatakan bahawa beliau beramal dengan tariqah Naqshbandiyyah tidak berapa ditonjolkan, namun hakikat ini tidak dapat dinafikan. Ini berdasarkan kepada pengakuan beliau sendiri di dalam karya beliau, Simposium Tasawwuf dan Tariqah. Di dalam karya tersebut, beliau mengakui bahawa pada peringkat awal menentang pengamalan tariqah kerana terpengaruh dengan aliran Kaum Muda walaupun bapanya sendiri adalah seorang kuat beramal dengan tariqah Naqshbandiyyah. Bahkan beliau beranggapan bahawa "tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran yang mematikan semangat dan campur-aduk dengan bida'h." Namun kemudiannya beliau mengakui kebenaran tariqah setelah beliau mengkaji secara mendalam tentang hubungan tasawwuf dengan peningkatan kerohanian umat Islam. Ini berlaku semasa beliau di India. Fakta ini turut dinyatakan oleh para penulis biografi beliau seperti Dato’ Kamaruddin Jaafar dan Dr. Ramlah Adam.

Sikap Dr. Burhanudin ini dapat dilihat dari kenyataan beliau bahawa "tasawwuf itu adalah puncak yang tertinggi sekali dalam alam fikiran dan cita rasa hati Islam. Ini ternyata dalam tawarikh perkembangan keemasan Islam. Tasawwuf menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban memelihara dan mempertahankan aqidah dan prinsip-prinsip Islam beriman yang sempurna; sempurna dalam urusan hidup. Kenal kepada rahsia dan hikmah hidup. Menyeru dan memimpin kepada peri kemanusiaan yang tinggi dan kepada ketuhanan dengan jujur dan amanah. Bersungguh-sungguh bertolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan memesan, ingat-beringat atas perkara haq dan sabar, berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu sebagai ilmu batin  sebagai jiwa dan nyawa manakala ilmu zahir itu sebagai jasadnya."  (Dr. Burhanudin al-Hilmi, Simposium Tasawwuf dan Tariqah, terbitan Pustaka H. Abdullah b. Noordin al-Rawi, Pulau Pinang).

Ada juga di antara para pengamal tariqah Naqshbandiyyah terlibat di dalam badan-badan keagamaan di antaranya ialah Syaikh Muhammad Salih bin Abdullah al-Minangkabawi (w. 1953) yang merupakan Syaikhu'l-Islam Perak Daru'l-Ridwan. Beliau juga merupakan pengarang kitab Kasyfu'l-Asrar. Begitu juga dengan bekas Mufti kerajaan Perak, Syaikh Muhammad Zain Simabur (w. 1957). Begitu juga dengan bekas Mufti Terengganu al-Sayyid Yusuf Ali al-Zawawi merupakan pengamal tariqah Naqshbandiyyah Mazhariyyah sebagaimana datuknya al-Sayyid Muhammad Salih al-Zawawi.  Begitu juga dengan Syaikh Wan Sulaiman Wan Sidek yang memgang jawatan Syaikh al-Islam Kedah banyak berperanan di dalam hal ehwal Islam di Kedah.  

Dalam bidang keilmuan, kita dapat lihat kecintaan para alim sufi terhadap ilmu. Sebagai contoh al-Marhum Imam Ishaq yang memimpin suluk di Jeram Bangkin, Dong di Raub, Pahang dan juga Syaikh Yahya Laksamana. Syaikh Imam Ishaq bukan hanya menjadikan surau suluk Ihya’ al-Qulub yang beliau bangunkan, sebagai tempat untuk berzikir semata-mata, akan tetapi ia juga turut menjadi tempat untuk mendalami ilmu-ilmu keislaman seperti usuluddin, fiqh, hadith, al-Qur’an dan tasawwuf. Bahkan beliau sendiri mempunyai wawasan untuk mendirikan sebuah madrasah rakyat sebagai tempat untuk mendalami Islam. Begitu juga dengan Syaikh Yahya Laksamana yang bukan sahaja aktif di dalam pengajaran tariqah tetapi turut juga mengadakan kelas-kelas pengajian Islam di Taman Naqshbandi, Kajang.

Kita dapat ambil Syaikh Dr. Hj. Jahid Sidek sebagai contoh terbaik ilmuwan sufi. Beliau bukan sahaja aktif menyebarkan amalan tariqah Naqshbandiyyah secara khusus dan tasawwuf secara umum, akan tetapi turut juga aktif di dalam seminar-seminar keilmuan di dalam dan luar negara. Beliau juga seorang yang aktif mengadakan kuliah-kuliah tasawwuf. Ini dapat kita lihat melalui jadual kuliah tasawwuf yang beliau jalankan di masjid-masjid serta surau-surau khususnya yang terdapat di sekitar Selangor, Johor, Kuantan dan Terengganu. (Sila lihat www. dinardagang.com).

Beliau juga sering menjadi pakar rujuk khususnya di dalam ilmu tasawwuf, pengamalan tariqah dan rawatan Islam. Selain daripada menghadiri seminar-seminar, beliau juga aktif mengarang di antaranya ialah buku "Ajaran Tariqah Naqshbandiyyah Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi" yang merupakan terjemahan dari bahagian tasawwuf kitab Tanwir al-Qulub fi Ma'rifat 'Allam al-Ghuyub oleh Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi. Begitu juga buku Shaikh dalam Ilmu Tariqah yang merupakan disertasi Ph.D beliau yang telah di cetak oleh Universiti Malaya dan juga buku "Hukum Berpawang dan Bersahabat dengan Jin Menurut Pandangan Islam." Tanggungjawab dan kepedulian sosial beliau dapat dilihat dari usaha tanpa mengenal penat lelah di dalam rawatan Islam di mana beliau telah membuka sebuah pusat rawatan Islam yang bernama Manarat al-Shifa’ di Kuang, Selangor. Sebagaimana gurunya, Imam Ishaq, beliau juga mempunyai wawasan

PENUTUP

Walaupun kertas kerja ringkas ini tidak dapat menceritakan secara detail tentang perkembangan tariqah Naqshbandiyyah, akan tetapi kitab dapat membuat kesimpulan bahawa aliran tariqah ini adalah aliran tariqah sufiyyah mu’tabarah yang pesat berkembang di Malaysia. Kehadirannya di khalayak umat Islam bukan hanya membantu memperkuat rohani umat, tetapi juga telah memberi impak kepada perjuangan umat sama ada berbentuk sosial, pendidikan dan keilmuan mahu pun jihad dan perjuangan politik bagi memartabatkan umat dan agama. Ini sekaligus cuba membetulkan salah faham sesetengah pihak yang mengatakan bahawa tariqah tasawwuf tidak memberikan apa-apa sumbangan di dalam memartabatkan Islam dan umat. Ini ternyata pandangan yang silap yang di dasarkan di atas kejahilan dan kesombongan. Apa yang jelas, perjuangan para ulama sufi dan tariqah sejalan dengan maksud perjuangan Rasulullah s.a.w sebagaimana yang tersebut di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud:

Dialah (Allah) yang mengutuskan kepada masyarakat (Arab) yang ummi seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan mesucikan (kerohanian) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah, bahawa sesungguhnya mereka sebelum daripada itu berada di dalam kesesatan yang nyata.” 

RUJUKAN

Al-Qur'an al-Karim dan Terjemahan.
Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, Penyelamat Kerohanian IslamKuala Lumpur: DBP, 1993.
Dr. Hj. Jahid Sidek, Shaikh Dalam Ilmu Tariqah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997.
Dr. Abdul Manam bin Mohamad, Tariqah Naqshbandiyyah: Perkembangan dan Sumbangan Ikhwannya di Malaysia. Kertas kerja yang dibentangkan pada Munaqashah Sufi Peringkat Kebangsaan 2004, anjuran Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Dr. Burhanuddin al-Helmi, Simposium Tasawwuf dan Tariqah.  Pulau Pinang: Maktab al-Haj Abdullah bin Muhammad Nurud-din al-Rawi, 1976.
Muhamad Abu Bakar, 'Ulama' dan Umara': Tok Ku Paluh dan Pemerintahan Islam,' dlm. Ulama' Terengganu: Suatu Sorotan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 1991.
_________________, 'Syed Yusof Ali Al-Zawawi, Mufti Terengganu, 1952-1975,' dlm. Ulama' Terengganu: Suatu Sorotan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 1991.
Hj. Wan Mohd Saghir bin Wan Abdullah, Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyyah, 2000.
Timah Hamzah, 'Ulama dan Kebangkitan Anti-British: Pembabitan Haji Abdul Rahman Limbong,' dlm. Ulama' Terengganu: Suatu Sorotan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 1991.
Wan Termizi Wan Mohamad, 'Tarikat Naqshbandiyyah Khalidiyyah di Taman Naqshbandi, Semenyih, Kajang, Selangor,' Latihan Ilmiah Sarjana Muda Pengajian Islam. Bangi: FPI UKM, 1996.



[1] Dicetakkan pada margin (hamishal-Durar al-Maknunat al-Nafisah.
[2] Maklumat ini berdasarkan kepada biografi penulis yang disertakan sekali pada akhir al-Maktubat Imam Rabbani terjemahan berbahasa Arab berjudul al-Durar al-Maknunat al-Nafisah oleh al-Qazani.
[3] Maklumat ini penulis perolehi dari rakan penulis saudara Mohd Khairi b. Mahyudin, seorang tenaga akademik di KUIM yang merupakan khalifah kepada Syaikh Mustafa Husein. Ketika makalah ini ditulis beliau sedang menyiapkan tesis MA beliau di UIAM berkenaan konsep tawhid Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari: kajian analitis kitab Durrun Nafis.