CLICK HERE

Friday 12 June 2020

Jumaat ke-37

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3.  Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.

Friday 5 June 2020

Jumaat ke-36

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (Sahih Bukhari No: 5717) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain

2.  Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita (perlu dicegah atau dinasihat)

3.  Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain.

4.  Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci.

5.  Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.  Menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia daripada melakukan maksiat.


Friday 8 May 2020

Rasulullah SAW Amat Pemurah Melakukan Kebajikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Assalamualaikum wbt

Rasulullah SAW Amat Pemurah Melakukan Kebajikan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah menjelangnya bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus." (Sahih Muslim No: 2308) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.

2.  Antara amalan kebaikan yang selalu dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah bersedekah dan bertadarus al-Qur’an. Setiap Muslim dituntut membaca al-Qur’an pada setiap hari, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia ini kerana dengan bertadabbur makna dan kandungan al-Qur’an akan meningkatkan keimanan dan kekayaan hati ke arah kebaikan.

3.  Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan memperbanyakkan bersedekah, membaca, dan mentadabur al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan serta dihidangkan di dalamnya dengan pelbagai amal ibadah yang pahalanya digandakan.

4.  Konsep "memberi"  (bersedekah)  harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

5.  Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala.

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96)

6.  Tadarus al-Quraan juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.

Friday 17 April 2020

Jumaat ke-29

Dah ke 29...
Selagi boleh sabar... sabar lah.
Stay strong Aniz.