Followers

Wednesday, February 08, 2012

Antara Majalah TV/Dokumentari & Drama

Pada awal karier saya bukanlah orang dokumentari/majalah TV...malah saya kurang kenal dan tidak mengambil tahu sangat mengenai industri penting ini. Kecuali Majalah 3 dan Jejak Rasul yang sangat saya minati. Yang ada dalam kepala saya hanya drama, drama dan drama. Kerana dengan drama ia akan membuatkan saya berangan sehingga ke langit 7! hehe...Sehinggalah saya mula mencintai dan mula mengintai pelbagai program majalah TV. Baik islamiknya, traveloguenya dan dari situ sedikit demi sedikit minda saya terbuka dengan erti menonton sambil belajar. Saya dapat banyak pengajaran melalui program-program majalah TV ini khususnya yang berbentuk laporan dari sudut kewartawanan. Dan saya mula meneliti setiap sisi visual, dialog perantara dan kandungan. Dan saya sedar saya sudah mula jatuh cinta, walau bukan 100% pada ketika itulah.

Tawaran diarahkan menyiapkan proposal atau diminta proposal daripada pihak penerbit dan produksi ketika awal dahulu tidak ada langsung yang saya kenal dan meminta sila sediakan proposal program majalah TV...tidak ada. Yang ada hanya drama, drama dan drama. Kerana mungkin drama lebih menarik perhatian penonton mahu pun pihak produksi atau mungkin saya masih belum ada networking dalam produksi yang bergiat dalam bidang majalah TV. Lantas saya bertanya, bagaimana saya boleh kenal orang majalah TV?

Ianya berlegar-legar lantas terus ditelan kabus. Hilang....Sehinggalah telah tercatat di Loh Mahfudz akan takdir perjalanan hidup saya ini. Saya mula mempelajari banyak program majalah TV dengan menonton Madrasah Salasilah, Trek Global, C.A.M, Expose Mistik dan banyak lagi. Dari hari ke sehari perasaan mencintai program berbentuk majalah menjadi keutamaan saya. Ianya menjadi makanan ruji saya hampir saban waktu. Allah mentakdirkan saya mengenali insan berbakat besar dan menjadi mentor saya dalam bidang penerbitan majalah TV dan dokumentari ini. Siapa lagi kalau bukan Zainal Rashid Ahmad. Insan berbakat ini saya teguk sedikit demi sedikit ilmunya umpama musafir yang dahaga di padang pasir. Ilmu juga daya teguk melalui rakan-rakan seperjuangan saya kini iaitu protege anak-anak buah Zainal Rashid Ahmad yang kini mereka juga menjadi sahabat seperjuangan saya yang akrab.Saya bangga mengenali mentor saya ini. Dengan produksi, Abang Zainal dan kawan-kawan lain lagi saya belajar mempelajari dari pre pro-post pro akan erti penerbitan majalah TV. Pada awal dulu saya sering mengadu domba kepada adik/saudara saya yang merupakan insan ulung yang pakar dalam bidang sejarah/info dan penyelidikan iaitu Aman bahawa saya amat susah untuk membuat skrip majalah TV/dokumentari. Ya Allah hanya Tuhan sahaja yang tahu bahawa betapa seksanya saya tidak bebas 'berangan' seperti drama dan bergantung pada fakta! Aman menasihatkan saya, memujuk saya yang fakta juga bisa berangan, tetapi berangan dengan fakta! Jujur, ketika itu saya kurang ariff, saya kurang mengerti maksud Aman sehinggalah kini saya tersenyum makna bahawa saya sudah faham akan erti itu.

Setelah agak beberapa tahun dalam bidang pembikinan majalah TV, jelaslah saya sudah masuk ke dalamnya dan tidak boleh keluar lagi. Dan saya tidak mungkin akan keluar kerana ternyata saya mendapat kepuasan. Mana tidak produksi dan mentor saya mengajar kami mengambil tahu dan membuat semua perkara dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Dan saya amat mengerti kini kepakaran kami ini bisa dihumban ke mana-mana kerana kepelbagaian fasa itu yang renyah dan susahnya telah kami tempuh sedari dulu. Dan betapalah saya sangat berterima kasih kepada tim Zainal Rashid Ahmad yang banyak mengajar saya segala erti. Terima kasih kalian; Zainal Rashid Ahmad tentunya, Kamaruzaman Muhamad, Ainur Mahdiyah, Syirfan Indra, Syafinah Othman, Nora Zainal, Norfiha Kasa, Johari Hamid, Daud Hamzah, Jalaluddin Jamal, Sabri Yusuf, Yusuf Yahya, Irzan Shahniz, Monaliza Mohd Nor, Mohd Hadi, Siti Noraida Hashim, Azlin Kinjang, Iesham Ramjan, Fauzi Pun dan tidak lupa Basir Siswo dan beberapa nama yang mungkin saya terlepas pandang.Kini, bergelar pekerja bebas semula membuatkan saya banyak memahami erti. Banyak penulisan drama yang datang. Di mana majalah TV saya? Saya sangat merindukan itu. Rindu mahu turun padang bergelumang dengan kamera, kabel, lampu dan usik senda krew. Betapalah saya rindukan itu yang saya tidak dapat dalam drama. Justeru mana mungkin saya meninggalkan bidang penerbitan majalah TV yang telah menjadi darah daging. Tambahan melihat program demi program majalah TV yang banyak sebenarnya lagi yang sangat boleh dibongkar dan diterokai. Arghh rindu!Seperkara lagi kerana telah dilatih menjadi penerbit program maka agak canggung di luar sini bila saya bisa melakukan dan masuk campur dalam banyak segi. Terdapat pihak yang merasakan pada mereka saya melanggar border mereka hasil pengetahuan saya yang ingin saya kongsi. Ianya sedikit sebanyak membuatkan saya, sekali lagi rindu bidang penerbitan majalah TV ini. InsyaAllah tahun ini saya akan memperkayakan ilmu dengan mengambil kursus pengarahan dan belajar mengenai pasca produksi. Doakan saya ya.

Bidang ini sering dipinggirkan berbanding drama. Anugerah juga banyak dimonopoli oleh drama. Malah Festival Dokumentari yang dianjurkan FINAS tidak terlalu mendapat sambutan berbanding gilang gemilang gemerlap artis drama. Namun saya percaya bidang ini ada kelompok penontonnya yang tersendiri. Yang sentiasa dahagakan pengetahuan di samping visual menarik yang dipaparkan. Syukur Alhamdulillah, saya menjadi antara pencinta pembikin itu kini. Demi memartabatkan industri ini saya akan berjuang khususnya dalam program yang membabitkan kandungan islami. Jika ditanya majalah TV/dokumentari atau drama berapa peratus minatku? Majalah/Dokumentari - 70% dan drama 30%....:))Selamat Berjuang!

" Bermimpilah, Maka Tuhan Akan Memeluk Mimpi-Mimpimu… "— Sang Pemimpi (sekuel Laskar Pelangi)

No comments: