Berita Harian, 18 Disember 2006

(Bahagian akhir)



BERITA ketewasan Ammar bin Yasir segera tersebar dan ramalan Rasulullah SAW yang didengar semua sahabatnya ketika mereka sedang membina masjid di Madinah di masa yang jauh sebelumnya, berpindah dari mulut ke mulut: “Aduhai Ibnu Summyyah, ia dibunuh golongan penderhaka!”

Maka sekarang tahulah orang siapa kiranya golongan penderhaka itu, iaitu golongan yang membunuh Ammar, yang tidak lain dari pihak Mu’awiyah. Dengan kenyataan ini semangat dan kepercayaan pengikut Ali kian bertambah. Sementara di pihak Mu`awiyah, keraguan mulai menyusup ke dalam hati mereka, bahkan sebahagian bersedia hendak memisahkan diri dan bergabung ke pihak Ali.

Mengenai Mu’awiyah, demi mendengar peristiwa terjadi ia segera keluar mendapatkan orang banyak dan menyatakan kepada mereka bahawa ramalan itu benar adanya dan Rasulullah benar-benar meramalkan bahawa Ammar akan dibunuh golongan pemberontak. Tetapi siapakah yang membunuhnya itu?

Kepada orang sekeliling diserukannya: “Yang membunuh Ammar ialah orang yang keluar bersama dari rumahnya dan membawanya pergi berperang.”

Maka tertipu dengan ta’wil yang dicari-cari ini orang yang memendam maksud tertentu dalam hatinya, sementara pertempuran kembali berkobar sampai saat yang telah ditentukan.

Adapun Ammar, ia dipangku Imam Ali ke tempat beliau solat bersama kaum Muslimin, lalu dimakamkan dengan pakaiannya. Benar, dengan pakaian berlumuran darahnya yang bersih suci. Kerana tidak satu pun dari sutera atau baldu dunia yang layak untuk menjadi kain kafan bagi orang syahid mulia, seorang suci utama dari tingkatan Ammar.

Kaum Muslimin pun berdiri kehairanan di kuburnya. Sejak beberapa saat yang lalu Ammar berdendang di depan mereka di atas arena perjuangan, hatinya penuh dengan kegembiraan, tak ubah bagai seorang perantau yang merindukan kampung halaman tiba-tiba dibawa pulang, dan lompat dari mulutnya seruan:

“Hari ini aku akan berjumpa dengan para kekasih tercinta. Dengan Muhammad SAW dan sekelian sahabatnya.”

Apakah ia mengetahui hari yang mereka janjikan akan bertemu dan waktu yang sangat ia tunggu-tunggu? Sahabat saling jumpa-menjumpai dan bertanya: “Apakah anda masih ingat waktu petang hari itu di Madinah, ketika kita sedang duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, dan tiba-tiba wajahnya berseri-seri lalu sabdanya:

“Syurga merindukan Ammar.” “Benar,” ujar yang lain dan waktu itu juga disebutnya nama lain yang lain, di antaranya Ali, Salman dan Bilal.

Oleh itu, maka syurga benar-benar merindukan Ammar. Jika demikian, sudah lama syurga merinduinya, sedang kerinduannya tertangguh, menunggu Ammar menyelesaikan kewajipan dan memenuhi tanggungjawabnya. Dan tugas itu dilaksanakannya dan dipenuhkan dengan hati gembira.

Sekarang, tidakkah sudah selayaknya ia memenuhi panggilan rindu yang datang mengimbau dari syurga? Memang, datanglah saatnya ia mengabulkan panggilan itu, kerana tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan pula. Demikianlah dilemparkan tombak dan selepas itu ia pergi berlalu.

Ketika tanah pusaranya di datar para sahabat di atas jasadnya, maka rohnya yang mulia bersemayam lena di tempat bahagia, di sana dalam syurga yang kekal abadi, yang lama rindu menanti.
Hit: 20 Laman Asal