SURAH AL-MUDDATSTSIR (YANG BERSELUBUNG)

Surah 74

56 ayat

Diturunkan di Mekah

Tafsir Al-Azhar: Prof Dr HAMKA

Jumhur atau golongan terbesar dari ahli-ahli tafsir dan sirah Nabi sama berpendapat bahawa ayat yang mula-mula turun kepada baginda ialah lima ayat permulaan dari Surah al-Alaq, surah 96, yang dimulakan dengan “Iqra’…”.

Sesudah turun ayat-ayat yang mula-mula itu maka beberapa lamanya pula terhentilah turun wahyu, ertinya bahawa Jibril tidak datang-datang lagi kembali. Ada riwayat mengatakan bahawa jarak itu hampir dua tahun lamanya.

Maka diriwayatkan oleh Muslim dari hadith ‘Uqail dari Syihab dan Abu Salmah. Abu Salmah itu berkata bahawa dia menerima riwayat dari Jabir bin Abdillah r.a. bahawa beliau mendengar dari Rasulullah s.a.w. sendiri tentang kejadian dalam masa fatrah, iaitu wahyu terhenti datang itu. Beliau menceritakan ; “Sedang saya berjalan terdengarlah olehku satu suara dari langit; tiba-tiba malaikat yang pernah mendatangiku di Gua Hira’ dahulu itu. Dia duduk di atas sebuah kerusi di antara langit dan bumi. Aku merunduk sehingga nyaris aku jatuh ke bumi. Lalu aku pulang ke rumah. Sampai dirumah aku suruh ahliku menyelimutiku, maka aku pun diselimutilah. Waktu itulah datang wahyu; “Ya ayyuhal muddatstsir…” sampai kepada “warrujza fahjur”. Sesudah itu turunlah wahyu berikutnya.

Ada juga hadith lain yang sama maknanya dengan dirawikan oleh Imam Ahmad. Dengan mengumpulkan hadith-hadith yang sama maknanya itu diambil oranglah kesimpulan bahawa surah yang kedua kali turun disertai wahyu yang kedua kali turun ialah Surah al-Muddatstsir ini. Ia lebih dulu turun dari surah al-Muzzammil. Dan di antara ayat-ayat yang pertama yang lima itu dengan turunnya al-Muddatstsir agak lama juga, sehingga ada riwayat mengatakan hampir dua tahun jaraknya.

Menurut satu hadith lagi yang dirawikan oleh ath-Thabarani, yang diterima dengan sanadnya dari Ibnu Abbas bahawa sebab turunnya ayat ini ialah kerana pada suatu hari seorang diantara pemuka Quraisy, yang bernama al-Walid bin al-Mughirah menjamu beberapa orang terkemuka Quraisy makan dirumahnya. Sedang makan-makan itu sampailah perbicaraan memperkatakan tentang Nabi Muhammad s.a.w., siapa dia ini sebenarnya? Setengah mengatakan bahawa dia tukang sihir! Yang lain membantah, bukan tukang sihir. Yang lain mengatakan dia tukang tenung(kahin), tetapi sebahagiannya membantah, macam dia itu bukan tukang tenung. Lalu yang lain mengatakan dia penyair, tetapi yang lain membantah lagi, dia itu bukan seorang penyair. Lalu yang setengah lagi mengatakan bahawa dia itu memang mempunyai sihir yang diajarkan orang kepadanya turun-temurun. Akhirnya samalah pendapat bahawa dia itu adalah menjalankan suatu sihir yang diajarkan oleh orang lain.

Berita perbincangan tentang dirinya itu sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kata riwayat itu sedihlah hati Rasulullah s.a.w. mendengar penilaian kaumnya yang demikian, lalu ditekurkan kepalanya dan dia berselubung dengan kainnya(atau serbannya). Maka turunlah ayat ini; “Ya ayyuhal muddatstsir,” sampai kepada ayat “wa li rabbika fashbir”.

Pada ayat kedua terdapat kata “Qum fa andzir”. Tegaklah, maka berilah peringatan.

Dapatlah kita menyusun fikiran kita sendiri jika kita ingat susunan wahyu. Ayat-ayat yang pertama turun yang kedua kali, ya ayyuhal muddatstsir ini, kerana ayat kedua menyuruh tegak untuk menyampaikan peringatan, dengan itulah baginda telah diangkat sesudah menjadi Nabi, menjadi Rasul. Dengan surah “al-Muzzammil” baginda disuruh memperkuatkan jiwa dengan melakukan sembahyang malam.

Hit: 29 Laman Asal