http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Agama/20060514222211/Article/

SESEORANG pernah bertanya kepada Imam Hanbali: "Sampai bilakah engkau hendak menuntut ilmu? Padahal engkau sudah mencapai darjat paling tinggi dan engkau menjadi imam bagi seluruh umat Islam?"

Imam Hanbali menjawab: "Aku menuntut ilmu dari hujung dunia hingga ke pintu kubur."

Begitulah minat dan semangat tinggi beliau yang tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang hayatnya.

Ibnu Hanbal daripada keluarga miskin. Ketika bapanya meninggal dunia, keluarganya tidak meninggalkan harta yang banyak kecuali sebuah rumah kecil yang didiaminya.

Untuk menampung kehidupan, beliau terpaksa bekerja di kedai jahit.

Ibnu Hanbal menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau mempelajari hadis hingga menjadi imam.

Imam Syafie adalah salah seorang guru beliau. Ibnu Hanbal bertemu Imam Syafie di Hijaz, ketika beliau menunaikan haji. Ketika itu, Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram.

Ibnu Hanbal mempelajari ilmu daripadanya. Mereka kemudian bertemu kali kedua di Baghdad. Imam Syafie menasihatinya supaya mengikutnya ke Mesir.

Ibnu Hanbal bercadang mengikutinya tetapi niatnya tidak kesampaian.

Untuk mendalami ilmu hadis, beliau mengembara hingga ke Basrah, Kufah, Hijaz dan kemudian ke Yaman untuk mendengar sendiri daripada mulut periwayat hadis yang masih hidup.

Cara itu menjadikan beliau ulama hadis yang menjadi tumpuan pengkaji hadis, termasuk imam terkenal seperti Imam Bukhari dan Imam Abu Muslim.

Walaupun ilmunya luas, beliau hanya mengeluarkan fatwa selepas usianya meningkat 40 tahun.

Dalam sistem pengajarannya, beliau membenarkan murid mencatat hadis yang diberikan saja, tetapi melarang mereka menyalin segala fatwa diberikan.

Perkara ini bertujuan supaya orang terkemudian daripadanya tidak terikat dengan fatwa sebaliknya digalak berusaha berijtihad.

Tidak banyak ditinggalkan Imam Hanbali melainkan satu kumpulan hadis yang dinamakan Masnad yang mengandungi kira-kira 40,000 hadis.

Bagaimanapun, ada beberapa buku fatwa diusahakan anak muridnya yang masih ingat fatwa beliau. Antaranya ialah al-Iqna, al-Gharru, Dalil al-Talib dan al-Mughanni yang diusahakan Imam Ibnu Qadamah.

Hit: 20 Laman Asal