Alhamdulillah dengan izin Allah rumah ini mampu disiapkan dan kini  sudah diduduki oleh penghuninya iaitu Mak Teh sekeluarga. Selepas menulis artikel yang sama semalam, penulis terus berkunjung kerumahnya pada sebelah malam ditemani sahabat yang bertanggungjawab penuh dalam pembinaan rumah tersebut. Tujuannnya ialah untuk bertanya khabar dan melihat sendiri sambutan hari raya keluarga ini pada tahun ini. Ternyata berbeza, walaupun sederhana dan kelihatan raut wajah gembira terpapar diwajah masing-masing.
Tahun ini anak-anaknya semua pulang berhari raya di kampung. Ada dari Kuala Lumpur, dari Terengganu termasuk juga mereka yang dekat. Lapan buah kereta semuanya. Itulah yang dikhabarkan kepada kami semasa kunjungan tersebut. Gembiranya bukan kepalang. Sampai beliau bercadang hendak mengundang kami datang menikmati masakan juadah hari raya dirumahnya di hari raya pertama. Sahabat yang mengiringi penulis memberitahu kebanyankkan kami pulang beraya dikampung. Ternyata benar Islam menggembirakan yang sedih dan menyenangkan yang susah.
Ibu tua ini terus bercerita, pasal keluarga, pasal kampung, pasal anak-anak dan macam-macam lagi. Banyak benar yang nak disampaikan. Kami pula cuba menjadi pendengar yang baik sambil mengangguk sekali sekala membenarkan apa yang disampaikan. Tidak sekalipun ia mengeluh tentang nasib dirinya dan anak-anak. Kalimat syukur dan terima kasih tidak putus-putus keluar dari mulutnya. Tabah betul wanita ini. Walaupun hidup serba kekurangan dan terpaksa menjaga anak-anak yang kurang upaya. Benar firman Allah yang bermaksud "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"...
Kepada semua yang telah menyumbang kepada Tabung Mak Teh yang dilancarkan oleh PAS Kawasan Kulai, kami warga kerja PAS mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Tanpa sumbangan anda semua, hasrat kami dan ibu ini tidak akan terlaksana. Semoga Allah jualah yang akan membalasnya.
JAZAKALLAH KHAIRAN KASIRA.




Hit: 21 Laman Asal