Penanti: Pakatan Rakyat ditentang 3 calon bebas


PENANTI, 23 Mei- Calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman ditentang tiga calon bebas dalam Pilihan raya Kecil N12 Penanti pada 31 Mei nanti.

Sebentar tadi Pengurus pilihan raya, Roslan Yahya membuat pengumuman di pentas utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM) pada pukul 12.15 tengahari tadi.

Ketiga calon bebas itu ialah bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pulau Pinang, Puan Aminah Abdullah; bekas calon bebas di Bukit Gantang, Khairul Romizu dan individu berbangsa Siam, Nai-Khan Ari.

Manakala calon bebas Mohd Saberi Othman yang dicadangkan oleh Mustaffa Othman dan disokong oleh Norhayati Akob telah ditolak pencalonannya.

Puan Aminah merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi selang beberapa minit daripada calon KeADILan yang mendapat sokongan padu daripada semua parti gabungan Pakatan Rakyat.

Calon bebas kedua Sobri Othman memasuki perkarangan IKBM pukul 9.11 minit dikuti Khairul Romizu yang datang bersama lima orang penyokongnya sepuluh minit kemudian.

Dr. Mansor dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad manakala penyokongnya, Hasan Othman. Puan Aminah dicadang oleh Yaacob Ali manakala sokongan Puan Jamilah.

Khairul Romizu pula dicadang oleh Puan Norozan dan di sokong Puan Halimah.

Calon bebas keempat, seorang rakyat Siam dari Kampung Teluk Wang, Nai-Khan Ari dicadang oleh Boon Si Sawang dan disokong oleh Nah Lee.

Di luar kira-kira 10 ribu penyokong Pakatan Rakyat berkumpul sejak pukul 7.00 pagi lagi untuk memberi sokongan moral pada calon KeADILan.

Walaupun sekatan dibuat oleh pihak polis untuk menghalang kemasukan terlalu ramai penyokong ke hadapan IKBN tetapi mereka tetap mencari laluan alternatif seperti di celah-celah rumah penduduk Kampung Mengkuang.

Antara pekikan yang kedengaran ialah 'bubarkan Dun Perak', 'minta restu rakyat', 'kembalikan hak rakyat', 'BN penakut' dan berbagai lagi.

Calon bebas Puan Aminah menggunakan lambang kunci dan lambang wau bulan diguna pakai oleh Nai-Khan Ari manakala Khairul Romizu menggunakan lambang payung.

. Setelah tamat masa bantahan pukul 11.00 pagi tadi terdapat enam bantahan dikemukakan oleh calon masing-masing.

Kesemua mereka layak bertanding bagi Dun Penanti yang dikosongkan oleh penyandangnya sebelum ini, Mohamad Fairus Khairudin awal April lalu.

Suasana di hari penamaan calon kali ini tidak seperti lain-lain tempat kerana tiada kata mengata, perli memperli dan sebagainya kerana Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon bertanding di Penanti dengan alasan tidak mahu terjerat dengan taktik pembangkang, membazirkan wang rakyat dan lebih bertekad menumpukan pada menjana ekonomi negara.

Comments :

0 comments to “Penanti: Pakatan Rakyat ditentang 3 calon bebas”

Post a Comment