Obaidellah Mohamad dan Mariam Abdullah adalah antara tulang belakang terhasilnya Tafsir Ar-Rahman kepada pengertian al-Quran juz 30 versi Mandarin.
Peluang yang jarang diperolehi oleh sesiapan pun. Bayangkan hasil penat lelahnya dibayar dengan ganjaran pahala di sisi Allah setiap kali karya terjemahannnya dihayati oleh kaum cina muslim untuk memahami kalam Allah...subhanallah....AbuAqil----------------------
ISLAM sebagai cara hidup telah meletakkan panduan, sesiapa sahaja boleh menjadi orang yang terbaik selagi mereka mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Pendek kata, tidak semestinya kita perlu menjadi ustaz atau ustazah baru boleh berdakwah. Sebaliknya, sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori ayat di atas adalah umat terbaik.
Anak jati kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini adalah antara contoh orang bukan agamawan tetapi berjasa dan berperanan penting dalam mengembangkan dakwah khususnya kepada masyarakat Cina dalam dan luar negara.
Tidak terlintas di fikiran Prof. Madya Obaidellah Mohamad, keputusan memilih sekolah aliran Cina akhirnya membawa beliau kepada terhasilnya Tafsir Ar-Rahman kepada pengertian al-Quran juz 30 versi Mandarin.

Tafsir hasil terjemahan Sheikh Abdullah Mohd. Basmeh itu diterbitkan atas usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 2008. Kini, ia hampir siap sepenuhnya dan tafsir bagi juzuk 30 sudah pun diterbitkan.
“Saya tidak sangka benarlah telahan bapa saya dulu supaya saya belajar dalam aliran Cina untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah.
“Alhamdulillah, kini terbukti kebenaran kata-kata ayah saya itu dan saya rasa puas dalam membantu menyebarkan dakwah kepada masyarakat Cina khasnya,” kata beliau dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.
Obaidellah kini adalah pensyarah sambilan di Jabatan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya (UM) selepas bersara dari UM tahun lalu.
Pertemuan Jumaat lalu diadakan semasa beliau membuat kerja-kerja penyuntingan terakhir surah al-A’raf dan al-Anfaal sebelum kerja-kerja menaip semula dijalankan.
Turut terlibat dalam penerbitan itu adalah Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Jakim, Mah Lee @ Mariam Abdullah yang dianggap penggerak utama tugas penterjemahan tersebut.
Kepakaran Obaidellah adalah membantu mendapatkan makna dan terjemahan yang tepat agar maksud sebenar al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab itu terpelihara.
Sebagai lulusan ijazah sarjana Sastera Klasik Cina dari UM dan sarjana muda bidang yang sama dari National Taiwan University, beliau turut mahir dalam bahasa Melayu.
Penguasaan dalam kedua-dua bahasa itu penting dalam memastikan ketepatan terjemahan. Kalau hanya menguasai bahasa Cina tetapi tidak menguasai bahasa Melayu maka terjemahannya dikhuatiri tidak tepat dan mungkin lari daripada konteks.
Obaidellah bukan sahaja boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin dan dialek Hokkein tetapi anak muridnya juga majoritinya adalah orang Cina.
Menceritakan pengalaman belajarnya, kata beliau, minat melukis membawanya mempelajari bahasa Cina.
Walaupun mendapat pendidikan awal dalam sekolah Inggeris, anak bekas pegawai pertanian ini akhirnya memilih sekolah aliran Melayu (sebelah pagi) dan aliran Cina (sebelah petang) selepas berpindah dari Kuala Krai ke Machang. Beliau menamatkan sekolah rendah aliran Cina di Kota Bharu, Kelantan.
Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang. Sebaliknya meneruskan persekolahan di Sekolah Tinggi Foon Yew di Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran ke Taiwan.
Ketika itu, ada 13 pelajar Melayu menuntut di university Taiwan dan Universiti Zheng Chi tetapi hanya beliau membuat pengkhususan Sastera Klasik Cina. Pelajar lain mempelajari pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, ekonomi, pertanian dan lain-lain.
Usaha mempelajari bahasa Cina itu bertepatan dengan pepatah Arab: “Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China”.
Mula terlibat dalam kerja-kerja menyemak tafsir versi Mandarin selepas dihubungi oleh Jakim beberapa tahun lalu.
“Saya banyak menterjemah buku Cina tetapi kerja-kerja menyunting terjemahan al-Quran ini lain daripada yang lain. Ia memerlukan banyak bahan rujukan di samping mencari ketepatan makna pada setiap ayat. Ia juga merupakan satu tugas yang mencabar dan memerlukan tumpuan yang serius.
“Perasaan saya bercampur antara sedih dan gembira melakukan tugas ini. Ia mendatangkan suatu kepuasan yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata apabila berjaya mencapai matlamatnya.“Alhamdulillah, saya diberi kekuatan oleh Allah melaksanakan tugas ini. Mudah-mudahan ada manfaatnya kepada masyarakat Cina terutamanya saudara Muslim,” katanya.
Menurut Obaidellah, selepas solat subuh adalah masa beliau membuat semakan dan penelitian terhadap terjemahan yang diserahkan oleh Jakim.
“Pada waktu itu, saya akan mengambil tafsir al-Quran pimpinan Ar-Rahman dan membacanya serta membuat semakan dengan bahan terjemahan yang diberikan,” jelas beliau.
sumber
Hit: 10 Laman Asal