28 Oktober, 2011

Fitnah lebih berat daripada membunuh?




AbuAqil aka AbuSakeena
“Jangan engkau fitnah aku, kan fitnah itu lebih teruk dari membunuh”.Kata-kata ini sering kita dengar. Lebih buruk lagi kata-kata ini keluar dari mulut penceramah agama. Perkataan fitnah yang dimaksudkan di sini ialah menyebarkan kata-kata dusta dan pembohongan terhadap seseorang. Penceramah menguatkan kata-kata tadi dengan membawa dalil al-Quran yang bermaksud: “fitnah itu lebih besar daripada membunuh.”(Surah al-Baqarah,ayat 191).
Adakah benar ayat tersebut menjelaskan mengenai kesalahan fitnah yang bermaksud menuduh perkara yang tidak benar terhadap seseorang?. Jawapannya ialah tidak benar sama sekali. Dalam al-Quran perkataan fitnah disebut sebanyak 28 kali yang kebanyakan bermaksud ujian, dugaan atau cabaran dalam kehidupan. Sementara ayat yang dijadikan dalil bermaksud ujian yang boleh mengancam agama seperti syirik atau kufur. Ayat di atas sebenarnya berkaitan dengan perang. Cuba lihat keseluruhan ayat surah al-Baqarah,ayat 191.

“Dan bunuhlah mereka yang di mana sahaja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka mengusir kamu (Mekah) dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil Haram”.
Ibn Kathir dalam berkata dalam mentafsirkan ayat di atas berkata: Allah memberi peringatan bahawa apa yang mereka lakukan sama ada kufur kepada Allah, mensyirikkan Allah dan menghalang dari jalanNya adalah lebih mendalam, lebih teruk, lebih besar daripada melakukan pembunuhan. Abu al-‘Aliah, Mujahid dan Ikrimah berpendapat : Syirik itu lebih berat daripada pembunuhan.( Lihat Tafsir Ibn Kathir).
Perkataan fitnah yang dimaksudkan mengatakan sesuatu yang tidak benar terhadap seseorang disebut ‘al-namimah’. Oleh itu amat jauh terpesong sekiranya ayat itu dijadikan dalil tentang kesalahan perbuatan tersebut. Memang benar ‘al-namimah’ juga termasuk dosa besar sebagaimana hadis sahih riwayat imam al-Bukhari bahawa Rasulullah saw bersabda :’ dua orang penghuni kubur sedang diazab.mereka diazab bukan kerana sesuatu yang besar. Bahkan, salah seorang disebabkan tidak menjaga diri dari kencingnya sementara seorang lagi berjalan menyebarkan fitnah”.
Namun demikian menggunakan ayat tersebut sebagai dalil kesalahan al-namimah adalah tidak betul serta memesongkan makna sebenar ayat tersebut. Perkara ini tidak sepatutnya dipandang ringan oleh orang beragama. Ini menggambarkan seseorang itu tidak melakukan rujukan sebelum melafazkan kata-kata mengenai agama.
Melakukan pembunuhan merupakan salah satu dosa besar yang perlu kita menghindarinya sebagaimana sabda Rasulullah saw :” Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya : apakah ia ya Rasulullah saw?. Jawab Nabi saw : Iaitu syirik, sihir, membunuh seseorang yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan haq,memakan riba , memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh perempuan yang baik dan beriman berzina”.( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam mengatakan sesuatu lebih-lebih lagi berkaitan dengan mafhum ayat al-Quran. Alangkah baiknya sekiranya kita melakukan rujukan dengan membelek kitab tafsir untuk melihat maksud sebenar sesuatu ayat. Semoga Allah merahmati kita semua dan memberi kefahaman yang mendalam terhadap kalamNya yang mulia.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share