Wednesday, July 27, 2005

Sambungan Episod 2 dan Episod 3 : Sahabat Rimba Si Kijang Emas

MENDAM JELABAB LANGKUIK SI HELANG MERAH

Panel 4

Langkuik tersenyum gembira lantas mengarahkan anak-anak buahnya bersiap sedia. Jarang sekali arahannya dibantah. Jikalau ada yang cuba membantah, alamatnya sengaja menempah maut.

Panel 5

Lantas dia meninggalkan anak-anak buahnya lalu menuju ke sebuah tempat yang dibina khas di bahagian kemudi kapalnya.


Panel 6
Kapsyen:

Kamar Sang Rajawali

Kamar Sang Rajawali, tempat Langkuik beristerehat dan disitu jua dia merencana strategi.

Panel 7
Kapsyen:

Cempaka Sari

Seorang perempuan yang agak jelita dalam usia 30an menghampiri Langkuik. Di tangannya sudah siap sedia minuman kegemaran lelaki yang bertubuh sasa.

Panel 8

Di wajah Cempaka Sari kelihatan amat cemas.


MS 3

Panel 1

Gendang perang Dongsong pun dipalu orang. Bertalu-talu bunyinya gegak gempita seisi alam. Unggas-unggas pun kelihatan amat takut lalu bertempiran terbangnya.

SFX: Dong… Dong… Dong… Dong

(penerangan: gendang Dongsong tembaga yang diperbuat oleh orang Hoabinh berasal dari Kemboja. Artifak ini ditemui di Batu Buruk, Kuala Terengganu)

Panel 2

Nafiri pun turut ditiup orang dipihak Megat Kembar Ali. Layar pun dinaikan orang, sauh perahu besar dinaikkan. Tabuh pun dipalu orang jua. Bertalu-talu bunyinya.

Kapsyen:

Si Jenjan Bangau Putih, Kapal Layar Megat Kembar Ali.


Panel 3

Wan Nilam Puri berdiri dengan segaknya, lengannya tersising bagai bersiap sedia menghadapi musuh. Tangannya sudah siap sedia menghunus Sundang, yang halus buatannya. Megat Kembar Ali pula sedang berfirasat untuk memulakan naskhah pergerakkan.

Panel 4

Sebentar kemudian, Megat Kembar Ali menadahkan tangan sambil membaca doa meminta pertolongan Yang Maha Esa.

Panel 5

Bunyi paluan gendang Dong Song dan tiupan nafiri perang seirama. Makin mendebarkan jantung kedua-dua belah pihak.

Panel 7

Langkuik dan Cempaka Sari kelihatan berdiri ditepi pinggir Mendam Jelabab. Mereka memerhatikan perahu-perahu yang mengiringi Mendam Jelabab sedang menuju ke arah pihak musuh.

Panel 8

Kelihatan senyuman yang sinis di wajah Langkuik, sementara Cempaka Sari kelihatan amat cemas sekali.

MS 4

Panel 1

“Cuba adinda lihat di hujung sana.”
Langkuik Si Helang Merah

“Ya, kanda. Adinda pun sedang memerhati.”
Cempaka Sari

“ Sebentar lagi, angkatan mereka akan kita alahkan.”
Langkuik Si Helang Merah

Panel 2

“Ermm siapakah yang mengetuai angkatan itu?”
Cempaka Sari

“Siapa lagi kalau bukan Megat Kembar Ali dengan Wan Nilam Puri.”
Langkuik Si Helang Merah

“Kenapa adinda kelihatan amat cemas sekali”
Langkuik Si Helang Merah

“Tiada apa-apa yang mengusarkan fikiran adinda.”
Cempaka Sari

Panel 3

Sementara itu di atas Si Jenjan Bangau Putih, Wan Nilam Sari kelihatan amat cemas. Tidak pernah dirasai degup jantungnya begitu kuat.

Sesekali kedua kakinya terasa goyah apabila kapal tersebut dilambung ombak, apakah petaka yang akan dialaminya getus hatinya


Panel 4

Si Jenjan Bangau Putih dengan layar yang berkembang dengan gahnya belayar membelah ombak. Megat Kembar Ali mengarahkan jurumudi supaya mengendalikan kapal layarnya sebaik mungkin.

Panel 5

Beberapa orang anak kapal sedang bersiap sedia dengan panah dan busar. Tiada siapa pun dapat menduga apa yang mereka akan mengalami.

Panel 6

Langkuik bukan calang-calang musuh yang mereka akan tentang. Sebut sahaja nama Langkuik Si Helang Merah, sudah tentu sedikit sebanyak memberi kesan.

Panel 7

Ramai sudah yang menjadi mangsa samada dibunuh atau dibawa sebagai tawanan. Yang dipaksa menjadi pengikut pun ada jua. Wanita-wanita dan anak-anak gadis diculik dijadikan teman hiburan.


Panel 8

Cempaka Sari adalah seorang wanita yang telah diculik setelah Langkuik mengganas di Ligor suatu ketika dahulu. Setelah suaminya dibunuh, ianya dibawa lari untuk dijadikan temannya.


MS 4

Panel 1

Langkuik Si Helang Merah yang berdiri di sebelah Cempaka Sari kelihatan tersenyum sinis. Di bahunya kelihatan si burung helang sedang bersiap sedia dilepaskan.

“Biarkan kanda ajar mereka. Mereka belum kenal siapa kanda. Hahaha.”

Langkuik Si Helang Merah


Panel 2
Megat Kembar Ali sudah bersiap sedia. Mendam Jelabab kelihatan semakin hampir dengan Si Jenjan Bangau Putih.

“Kita mesti menghalang si Langkuik itu. Ini adalah titah raja. Bukankah kedua-dua mandhulika itu bersaudara dengan raja kita.”
Wan Nilam Puri

“Cubit peha kanan, peha kiri terasa jua.”
Megat Kembar Ali

“Sesiapa yang menggangu saudara kita bererti dia bermusuh kita jua.”
Wan Nilam Puri


Panel 3

Seketika kemudian, kedengaran sorakkan yang begitu gamat sekali. Tembakan meriam yang diperbuat daripada besi melepas bola-bola api. Berbalas-balas tembakan meriam dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Panel 4

Bola-bola api itu menuju ke sasaran. Ada yang singgah pada dek kapal menyebabkan berlaku kerosakkan besar. Layar-layar kelihatan robek dengan sambar api menyala.

Panel 5 / Panel 6 dan Panel 7 (sequential scene)

Megat Kembar Ali dan Wan Nilam Puri kelihatan amat cemas apabila melihat dua buah kapalnya tenggelam. Sebuah daripadanya dirempuh oleh Mendam Jelabab.

Panel 6
Anak-anak buahnya berterjunan untuk menyelamatkan diri. Ada yang tidak sempat dan terkorban dirodok oleh bahagian tajam senjata perempuh Mendam Jelabab.

Panel 7

Hiruk pikuk jeritan dan senjata-senjata gemercing. Wan Nilam Puri yang sudah mula naik darah pun mengamuk. Dilibasnya anak-anak buah Langkuik dari kanan dan kiri.

Panel 8
Mana yang sempat berterjunan menyelamatkan diri. Wan Nilam Puri tidak memberi ruang kepada musuh-musuhnya mengelak. Tikaman demi tikaman dari anak buah Langkuik dari hadapan dan belakang dapat dielaknya. Lagaknya persis seekor Harimau Berantai.

MS 5

Panel 1
Sementara itu, Penghulu Serendah Kebun Bunga dan seisi kampong turut merasa risau akan pemergian kedua-dua anak watannya.


Panel 2
Si Kantan, ibu mertua dan bapa mertua Megat Kembar Ali, turut mendoakan agar mereka berdua beroleh kejayaan.

Panel 3
Bunyi tembakan meriam dari lautan dapat didengar di serata kampong. Persis halilintar membelah bumi.

Panel 4
Dilautan, sebahagian kawasannya turut berubah menjadi merah. Mayat-mayat bergelimpangan terhumban ke dalam laut. Jerung-jerung bakal menunggu rezeki.

Panel 5
Gagak Hitam, Si Jurukaka pun diikuti oleh Tongsai Si Kaki Besi dan Padukang Salang terus melompat dari Mendam Jelabab ke atas Si Jenjan Bangau Putih.

Panel 6
Tanpa rasa belas kasihan mereka terus melibas ke kiri dan ke kanan. Mereka bagaikan sang singa dan garuda lapar melompat dari satu bahagian ke satu bahagian Si Jenjan Bangau Putih.

Panel 7
Sementara itu, kelihatan bahagian senjata yang menakutkan Mendam Jelabab telah menghampiri bahagian tepi Si Jenjan Bangau Putih. Lalu ianya menyusur dan merempuh hingga terbelah dua kapal Megat Kembar Ali


Panel 8

Bebola mata Megat Kembar Ali bersinar-sinar menahan amarah. Lalu ia bertempik mencabar Langkuik.

“Hai Panglima Langkuik, yang gagah berani. Kemari Tuan Hamba mari kita beradu satu lawan satu.”
Megat Kembar Ali

MS 6

Panel 1

“ Wahai budak beringus. Usahkan hendak melukai hamba, mencarikkan baju hamba pun tak tercarik.”
Langkuik Si Helang Merah

“Usah tuan hamba bercakap besar, mendongak dahulu langit tinggi ke rendah”
Megat Kembar Ali

Panel 2

Sepantas kilat Megat Kembar Ali pun melompat ke atas Mendam Jelabab. Langkuik amat terkejut akan perbuatan Megat Kembar Ali itu.



Panel 3
Dia terpaksa memundurkan diri ke belakang untuk mengelakkan dirinya dari libasan pedang Megat Kembar Ali.

Panel 4
Sementara itu, Langkuik telah menolak Cempaka Sari ke hadapan. Apakan daya kudrat seorang perempuan. Megat Kembar Ali pun rasa terkejut akan kelicikan Langkuik


Panel 5
Wan Nilam Puri masih lagi berhempas pulas menentang ketiga-tiga orang lawannya. Mereka membuat serangan dari tiga penjuru.

Panel 6
Tongsai Si Kaki Besi menerjah dan membuat jurus sepakan kaki kea rah badan Wan Nilam Puri. Sepakan bagai kilat itu dapat dielakkan.

Panel 7
Padukang Salang yang bersenjatakan kelurik kembar melibas dari udara dan terus menerjah ke arah Wan Nilam Puri.

Panel 8
Ketika Wan Nilam Puri cuba mengelak libasan Padukang Salang, jurus sepakan Tongsai sempat singgah ke badannya. Jeritan kesakitan yang amat sangat dirasainya apabila tujahan pedang Gagak Hitam Si Jurukaka merodok perut Wan Nilam Puri.

MS 7

Panel 1

Ketika itu dunia terasa kelam. Wan Nilam Puri pun cuba bangkit semula, persis Jentayu yang patah sayap. Bertongkat pada paruhnya.

Panel 2

Serangan demi serangan cuba dielakkannya namun sebagai seorang pendekar yang tinggi semangat juangnya akhirnya dia berjaya menghantar Tongsai ke alam baqa.

Panel 3

Langkuik dengan amarahnya membuat serangan bertubi dengan cakar mautnya ke arah Wan Nilam Puri.

“Nah, terima cakar mautku” “ Pembalasan ini untuk kematian Tongsai.”
Langkuik Si Helang Merah

Panel 4

Megat Kembar Ali yang melihat saat kematian sahabatnya itu, terus mengamuk dan melibas ke pangkal tengkuk musuhnya. Tetakan itu tidak sekelumit pun mencederakan Langkuik.

Panel 5

Sebaliknya Langkuik membuat menepis tetakan itu dengan tangan kosong. Megat Kembar Ali terpaksa mengundurkan dirinya.

Panel 6

Kekebalan Langkuik akan tetakan itu menyebabkan dia kian angkuh. Lalu dia medabik dadannya seraya meminta ditetak lengannya.

“Kalau tuan hamba dapat melukai lengan hamba dengan tetakan ketiga, hamba rela berguru dengan tuan hamba.”
Langkuik Si helang Merah.


Panel 7

“Pinggan tidak retak, nasi tidak dingin, tidak hendak dan tidak ingin hamba mengambil tuan hamba sebagai murid!”
Megat Kembar Ali

Lalu dia melompat dan membuat tiga tetakan sekali gus. Namun tiadapun meninggalkan bekas pada lengan Langkuik.

Panel 8

Langkuik melompat dan mengelak ke belakang dan kemudian menerpa semula ke arah Megat Kembar Ali bertubi-tubi.

“Nah, rasakan cakaran dan tumbukan padu hamba ini .”
Langkuik Si Helang Merah

MS 8

Panel 1

Cakar Langkuik yang bertalu-talu itu seperti cakaran Sang Rajawali. Megat Kembar Ali tidak dapat lagi menahan bisanya cakaran itu. Habis calar-calar tubuhnya.

Panel 2

Wan Nilam Puri tidak berupaya melihat sahabatnya diperlakukan demikian rupa. Walaupun tubuhnya sudah beransur lemah, dia cuba bangkit lagi untuk memberi tentangan kepada Langkuik


Panel 3

Langkuik cuba mengunci pergerakkan Megat Kembar Ali dengan buah jurus kunci, namun kependekarannya berjaya membuka buah kunci tersebut.



Panel 4

Akhirnya Wan Nilam Puri jatuh terlepuk, tidak berupaya lagi dapat bertahan.

Panel 5

Megat Kembar Ali berusaha untuk memberi bantuan terakhir kepada sahabatnya.

Panel 6

“Mari hamba hantarkan sibedebah ini ke dunia fana.”
Langkuik Si Helang Merah

Langkuik pun mencengkam lalu …..

“Tidakkkkkk!!!”
Megat Kembar Ali

Panel 7
Ketika Megat Kembar Ali berteriak menangisi sahabatnya yang telah kembali ke alam baqa. Dia mula tersedar dari trauma yang sekian lama dialaminya.

Panel 8

Wajahnya yang tidak terurus itu mengimbau kembali peristiwa yang dialaminya itu 10 tahun yang lalu. Dia kini cuma seorang kelasi tongkang (Chinese junk) dari tanah besar China yang melalui jalan laut dari timur ke barat.

“ Oh sahabatku, hamba tidak dapat menyelamatkan mu.”
Sebuah kapal pedagang sedang melalui sebuah pulau. Disitulah bersemadinya jasad seorang pendekar yang berjuang bersama-samanya.

“Suatu ketika, hamba akan kembali lagi ke sana.”

Kapsyen:

Pulau Perhentian

(Tamat bahagian kedua)


Episod Ketiga


SAHABAT RIMBA SI KIJANG EMAS


Karekter
Perkasa : semasa berusia 10 tahun
Megat Teri Alam : semasa berusia 10 tahun
Mayang Sari : semasa berusi 5 tahun
Semerluki ( Megat Kembar Ali)
Ma Huang Zhe : Pedagang dari China
Penghulu
Isteri Penghulu
Sahabat Rimba : manusia separuh singa
Si Kijang Emas
Sepasang isteri pencari kayu api: Pak Alang dan Mak Alang
Awang Kerak Nasi
Penduduk



Lokasi:
Hutan dan belukar Serendah Kebun Bunga
Rumah Penghulu
Pengkalan Serendah Kebun Bunga
Pulau Perhentian




Sinopsis:

Megat Kembar Ali yang terselamat dari hukuman kini telah menjadi sorang kelasi dengan tongkang armada pedagang dari China. Setelah sepuluh tahun peristiwa kematian sahabatnya kini dia kembali ke Serendah Kebun Bunga. Kapal dagang yang diketuai oleh Ma Huang Zhe, kebetulan tiba di muara untuk membaiki kerosakan dan mendapatkan bekalan air minuman. Kesempatan tersebut diambil oleh Megat Kembar Ali yang kini dikenali sebagai Semerluki untuk menziarah pusara sahabatnya di Pulau Perhentian, sebuah pulau berhampiran dengan negeri Perimula.

Sementara itu, anaknya Megat Teri Alam yang dilahirkan isterinya Nurnilamsari, tanpa dia disisinya telah berusia 10 tahun. Alam dijadikan anak angkat oleh Penghulu Serendah Kebun Bunga. Mayang Sari pula baru berusia 5 tahun.

Puteri Limau Purut pada masa yang sama baru melahirkan Perkasa, terpaksa menyelamat dirinya dari buruan pengikut Langkuik.Sahabat Rimba, manusia separuh singa telah dapat menyelamatkan Perkasa. Selama 10 tahun, Perkasa dibesarkan dihutan dan ditemani Si Kijang emas dan Sahabat Rimba. Genap 10 tahun, Perkasa diperlukan kembali hidup seperti manusia biasa, lalui ditemui oleh sepasang pencari kayu api. Sambutan hari kelahiran yang ke 5, menghimpunkan penduduk Serendah Kebun Bunga di rumah Penghulu.



MS 1
Panel 1

Kelihatan seorang wanita dalam kepayahannya berusaha menyelamatkan dirinya dari merbahaya.

Panel 2
Wajahnya kelihatan amat cemas.

Kapsyen:
10 tahun dahulu

Kapsyen:
Puteri Limau Purut

Panel 3
Di belakangnya kelihatan 2 orang lelaki bertubuh sasa sedang berusaha untuk menjejakinya

Panel 4 , Panel 5 dan Panel 6

Kapsyen:

Langkuik Si Helang Merah
Gagak Hitam
Padukang Salang

Kelihatan wajah mereka yang sungguh bengis.

MS 2

Panel 1
Puteri Limau Purut sedang mengendong bayinya yang baru dilahirkan. Dia berusaha menyelamatkan dirinya dan anaknya supaya tidak dijadikam mangsa kebuasan Langkuik dan pengikut-pengikutnya.

Panel 2
Dengan termengah-mengah dia cuba bersembunyi disebalik belukar. Langkuik dan pengikut-pengikutnya semakin dekat.

Panel 3
Air matanya menitis berjurai mengenagkan nasibnya yang malang. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah suami kesayangannya Wan Nilam Puri gugur dipusarakan di Pulau Perhentian. Apakan dayanya tiada kuasa dia menentang Langkuik.

Panel 4
Padukang Salang dan Gagak Hitam melibas-libas senjata mereka. Mujur tidak mengena Puteri Limau Purut yang sedang bersembunyi.

Panel 5

Tiba-tiba anaknya menangis meminta susu. Tangisan bayi itu memecah kesunyian hutan belukar. Unggas-unggas pun berterbangan.

Panel 6

“Di situ mereka bersembunyi”
Padukang Salang.

“Ayuh, kita tangkap isteri sibedebah itu. Kita persembahkan kepada panglima Langkuik”
Gagak Hitam

Panel 7

“Lalu, apa yang kita akan lakukan dengan budak ini?’
Padukang Salang.

“Mahu apa disimpan, kelak nanti kita jua mendapat susahnya.”
Gagak Hitam

“Bijak sungguh, tuan hamba.”
Padukang Salang.


Panel 8

Tanpa menghiraukan jeritan dan rayuan Puteri Limau Purut, mereka merentap bayi yang dibungkus dengan sehelai kain bersulam emas lalu dilemparkan ke bawah lembah.

Panel 9

Bayi itu melayang jatuh dari atas. Nasib dan takdir bakal menentukan segalanya.

Panel 10

Gagak Hitam dan Padukang Salang pun berpaling untuk menangkap Puteri Limau Purut.

MS 3

Panel 1

Belum sempat mereka berbuat demikian muncul satu lembaga yang bersembunyi dari atas pokok. Lalu dia berdiri dihadapan Gagak Hitam dan Padukang Salang.

Panel 2

Rupanya amat menakutkan. Berbadan seperti manusia dan berwajah seperti singa dan ketinggiannya 7 kaki. Matanya bersinar kemerah-merahan, menampakkan taring dan gigi yang amat tajam. Kukunya persis singa yang sedang bersiap sedia mencakar mangsa.

Panel 3

Kapsyen:
Sahabat Alam
Manusia separuh singa itu berpaling ke arah Puteri Limau Purut menampakkan wajahnya yang menakutkan.

Panel 4

Puteri Limau Purut terkejut lalu jatuh pengsan melihat wajah manusia separuh singa yang buruk.

Panel 5 dan Panel 6

Dengan suaranya yang garang manusia separuh singa berjaya mencederakan Gagak Hitam dan Padukang Salang
SFX: GRRRRR…GRRRRRR

Suara teriakan mereka memecahkan kesunyian.

SFX: ARGHHHHHH…. ARGHHHHHHHHH


MS 4

Panel 1

Lembaga separuh singa itu kemudiannya mengangkat Puteri Limau Purut ke dalam sebuah gua yang letaknya agak jauh dari tempat kejadian tersebut.

Panel 2

Di situ dia cuba memberi rawatan kepadanya yang pengsan. Namun segala cubaannya gagal kerana Puteri Limau Purut pun sudah kembali ke rahmatullah.

Panel 3

Bayi yang dilempar oleh Gagak Hitam telah berjaya diselamatkannya. Setelah menguburkan jasad Puteri Limau Purut, Sahabat Rimba pun membawa bayi itu jauh ke dalam hutan.

Panel 4

Sahabat Rimba meletakan bayi itu behampiran dengan sebuah anak sungai. Dia pun berusaha mencari makanan.

Panel 5

Bayi itu kelihatan amat comel, terdapat kalong berupa daun perak yang diikat pada lehernya. Bayi itu kemudiannya menangis kelaparan.

Panel 6

Tangisan itu mengejutkan Sahabat Rimba, dia pun amat gelisah. Nalurinya separuh manusia dapat merasai keinginan seorang anak kecil. Lalu ia bergegas untuk kembali ke tempat tersebut.

Panel 7

Sahabat Rimba kembali dengan sebuah bekas yang diperbuat daripada daun keladi. Di dalamnya berisi air minuman dan sedikit buah-buahan.

Panel 8

Dia amat heran tangisan tadi sudah menjadi reget dan tawa. Apakah gerangannya.


MS 5

Panel 1

Sahabat Rimba mendapati seekor kijang emas sedang berada berdekatan dengan anak kecil itu. Seperti anaknya, Si Kijang Emas sedang menyusui nak kecil itu.


Panel 2

“Oh tuan hamba rupanya Puteri Si Kijang Emas.”

Panel 3

Sebagai penghuni rimba, Sahabat Rimba adalah seorang penyelamat haiwan-haiwan daripada diburui. Dia adalah seorang manusia yang telah dikenakan sumpah menjadi begitu rupa.

Panel 4

Sahabat Rimba kini sudah mempunyai teman. Selama ini dia sering bersendirian mengenangkan nasibnya.

Panel 5
Mulai saat itu, Si Kijang Emas sering datang untuk menemani dan menyusui anak kecil itu yang kian membesar.


Panel 6
Kapsyen:

Masa silih berganti dengan pantas

Sahabat Rimba pula mengajar anak kecil itu yang digelar Perkasa segala kepandaiannya tentang hutan dan seisinya.




Panel 7

Ketangkasanya berlari seperti kijang, berburu seperti sang harimau belang, memanjat seperti sang harimau bintang dan berenang seperti sang bedal.


Panel 8

Segala pesanan itu akan menjadi ingatan dan ketika usianya mencecah 10 tahun, Perkasa di bawa ke pusara ibunya. Di situ tempat ibunya bersemadi selama-lamanya. Dia bertafakkur di pusara ibunya.


MS 6

Panel 1

Sang Rimba dan Si Kijang Emas pun mengiringi Perkasa ke tepi sebuah belukar. Lalu ditinggalkan Perkasa disitu. Pesanan mereka ialah supaya ianya terus belajar untuk menjadi manusia biasa.

Panel 2

Sepasang suami isteri sedang mencari kayu api. Ketika si suami sedang menebang pokok, tiba-tiba si isteri memanggilnya.

“Ooii bang Petola, Kemari sekejap”
Isteri pencari kayu

“Apa yang kamu jeritkan itu, bukan nama aku ni Alang?
Pencari kayu api

“Bang Alang oi, Aku ini selalunya sedikit pelupa.
Isteri pencari kayu

“Kamu kenalah berpantang sedikit. Bukankah kita ini berada didalam hutan belukar.”
Pencari kayu api

“Janganlah abang merepek yang bukan-bukan.”
Isteri pencari kayu

“ Nanti datang hantu sejarang gigi baharu kamu tahu.”
Pencari kayu api

Cuba tengok ini. Anak siapa gerangan ini?”
Isteri pencari kayu

“Hah! Siapa gerangan kamu ini?
Pencari kayu api


Panel 3

Mereka amat terkejut melihat seorang budak lelaki yang berusia 10 tahun itu berdiri tegap di situ. Budak itu hanya mendiamkan diri.

Panel 4

“Siapa ibu bapa kamu?”
Isteri pencari kayu api

“Nama hamba Perkasa, yatim piatu. Dari kecil hamba tidak pernah melihat ibu dan bapa hamba.”
Perkasa

“Jadi, bagaimana kamu boleh berada di hutan rimba ini?’
Isteri pencari kayu api

“Panjang ceritanya , sedari kecil hamba dipelihara oleh Sahabat Rimba dan Si Kijang Emas.”
Perkasa

Panel 5

Di pondok buruk sepasang suami isteri pencari kayu api.

“Ini loket daun perak peninggalan dan kain tenunan emas peninggalan ibu hamba.”
Perkasa

“Oh, kalau begitu kamu ini anak Puteri Limau Purut.”
Isteri pencari kayu api

“Diriwayatkan orang, ibu kamu telah menghilangkan diri setalah bapamu meninggal dunia.”
Si pencari kayu api

“Siapa nama bapa hamba.”
Perkasa

Panel 6

Lokasi di rumah Penghulu

Kapsyen:
Awang Kerak Nasi

Awang Kerak Nasi sedang bercerita dengan Mayang Sari yang ketika itu berusia 5 tahun. Amat petah sekali dia bercakap dan mengajukan soalan.

“Begitulah ceritanya, Wan Nilam Puri dikatakan dibunuh oleh Langkuik.”
Awang Kerak Nasi

MS 7

Panel 1

“Jadi bagaimana pula dengan Megat Kembar Ali?”
Mayang Sari

“Syhhhh…”
Awang Kerak Nasi sambil memberi isyarat supaya tidak membuat bising.

Panel 2

“Panjang ceritanya. Megat Kembar Ali telah kembali ke sini setelah dikalahkan oleh Langkuik.
Ada cerita orang Megat itu membiarkan Wan Nilam Puri dibunuh oleh Langkuik.”
Awang Kerak Nasi.


“Jadi Megat itu dihukum diatas kesalahan itulah.”
Mayang Sari.

Panel 3

“Itu cuma fitnah orang, mana mungkin Megat membiarkan Nilam Puri dibunuh begitu sahaja. Sedangkan dia sendiri telah hampir Lumpur.”
Awang Kerak Nasi

“Jadi siapakan yang meloloskan ikatan Megat?”
Mayang Sari.

Panel 4

“Tiada siapa yang tahu? Mungkin jembalang air kot”
Awang Kerak Nasi

“ Abang Awang, jangan main-mainkan kita, pulak. Nanti kita memberitahu ayah kita.”
Mayang Sari.

Panel 5

“ Syhhhhh..jangan begitu, Mayang yang jelita.”
Awang Kerak Nasi.

“Ketika datuk Mayang menyuruh abang Awang pergi semula ke dihujung tanjung.
Abang Awang ternampak bekas tapak kaki yang agak pelik menuju ke situ.”
Awang Kerak Nasi


Panel 6

“Abang Awang amat terkejut melihat bekas untaian tali dikerat orang. Mungkin ada sesorang yang menyelamatkannya.”
Awang Kerak Nasi

Panel 7
“Barangkali Abang Awang yang menyelamatkannya?”
Mayang Sari cuba serkap jarang

“Manalah Abang Awang buat kerja macam itu.”
Awang Kerak Nasi

“Jadi siapa gerangan yang berbuat demikian.?”
Mayang Sari

Panel 8
Sebentar kemudian datang seorang anak lelaki yang sebaya dengan Perkasa. Lagaknya persis anak orang baik-baik, berpakaian kemas dan elok rupa parasnya.

Kapsyen:
MEGAT TERI ALAM

“Apa yang diceritakan adik Mayang dengan Abang Awang ini. Sungguh asyik sekali, Abang Alam melihatnya.”
Alam

“Tiada apa-apalah, Cuma Mayang bermain teka teki dengannya.”
Mayang Sari

“Apakah gerangan, teka teki itu?”
Alam

Panel 9

“Begini…ermm ermm”
“Ayam apa bertelur di dahi?”
Awang Kerak Nasi
Dia tergagap cuba menukar pokok perbualan.

“Hahaha…lucu sekali teka teki abang Awang.”
Mayang Sari

Mereka sama-sama ketawa kerana kelucuan tersebut.





MS 8

Panel 1

Lokasi perkarangan rumah Penghulu.

Kapsyen:
Rumah Penghulu

Panel 2

Majlis keramaian sedang diadakan untuk menyambut ulang tahun kelahiran Mayang Sari.

Panel 3

Ramai pengunjung datang membawa barangan berupa hadiah. Ada yang mengucapkan selamat kepada puteri kesayangan Penghulu Serendah Kebun Bunga.

Panel 4

Isteri dan Penghulu kelihatan bersalam-salam dengan para jemputan. Makan minum dan persembahan kebudayaan diadakan.


Panel 5

Dalam majlis tersebut, kelihatan pelbagai bangsa dan kaum dijemput hadir. Pedagang dari China, Ma Huang Zhe dan anak-anak buahnya turut menghadap Penghulu


Panel 6

Alam dengan segaknya, Mayang Sari yang masih sunti kelihatan berdiri bersebelahan Penghulu.dan isterinya.


Panel 7

Sipencari kayu api dan isterinya serta Perkasa turut berada dimajlis itu. Perkasa kelihatan amat janggal sekali dengan majlis serupa itu. Dia seperti seekor rusa masuk kampung.


Panel 8
Semerluki (Megat Kembar Ali) pun turut bersama Ma Huang Zhe. Sebagai orang suruhannya, Semerluki dipinta membawa beberapa persalinan kain sutera yang halus buatannya untuk dipersembahkan kepada Mayang Sari.


(TAMAT BAHAGIAN KE 3)


Episod-episod yang sedang dalam penulisan:

EPISOD KE 4
BULAN JATUH KE RIBA

EPISOD KE 5
RIBUT SENJA DIHUJUNG TANJUNG

EPISOD KE 6
HUTANG EMAS BOLEH DIBAYAR,
HUTANG BUDI DIBAWA KE MATI

EPISOD KE 7
DENDAM KESUMAT PETAKA ALAM

No comments: