RM7j bina pangkalan nelayan

Najib Tun Razak berbual dengan penduduk kampung semasa meninjau pangkalan nelayan di Kuala Chenang, Pulau Langkawi, semalam. - Utusan/Halim Khalid

LANGKAWI 16 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk pembinaan pangkalan baru nelayan di Kuala Chenang di sini dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup masyarakat nelayan di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, selain pembinaan pangkalan tersebut, peruntukan itu meliputi kerja-kerja mendalamkan sungai di kawasan berkenaan yang berupaya memberi ruang lebih besar kepada bot-bot nelayan.

"Saya faham, nelayan Kuala Chenang tertekan dengan pelbagai masalah kerana pangkalan sekarang ini sempit dan bot-bot nelayan semakin bertambah sehingga memerlukan pangkalan baru yang lebih luas.

"Kita mengambil kira masalah ini dan disebabkan itu, RM7 juta diluluskan untuk pembinaan pangkalan baru nelayan di kawasan berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan mesra dengan masyarakat nelayan Kuala Chenang di sini sebelum mengakhiri percutian di Pulau Langkawi sejak kelmarin.

Kawasan berkenaan pernah dilanda tsunami pada 2004.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Nawawi Ahmad; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharom; Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Abu Bakar Taib.

Sehubungan itu, kata Najib, masyarakat nelayan seharusnya memberikan kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa membantu golongan tersebut supaya kehidupan mereka terjamin.

"Kerajaan BN sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi rakyat termasuk golongan nelayan dan berharap mereka juga memberikan kerjasama kepada kerajaan supaya mereka mendapat bantuan sewajarnya," tambah beliau.

Hit: 23 Laman Asal