Dihina pengurup wang Singapura kerana RM10

JOHOR BARU: Seorang kerani di sebuah firma guaman hanya mampu menahan malu dan terpinga-pinga sendirian apabila dihalau pengurup wang ketika cuba menukar wang kertas RM10 dengan dolar Singapura, berdekatan terminal bas di Rochor Road, negara itu, Isnin lalu.

Lebih mengecewakan, pengurup wang berkenaan bersikap kurang ajar apabila menghambur kata-kata ‘lu angkat lu punya wang, berambus’, kepada mangsa tanpa memberikan sebarang penjelasan.

Kerani terbabit, Mohd Fauzi Azhan, 23, berkata dia kesal dengan layanan pengurup wang berkenaan selain menyifatkan ia sebagai penghinaan besar terhadap dirinya dan mata wang negara ini.

“Saya ke Singapura dengan menaiki bas pada Sabtu lalu untuk menziarah saudara yang sakit sebelum mengambil keputusan pulang pada Isnin.

“Bagaimanapun, ketika hendak menukar wang kertas RM10 di kaunter pengurup wang, saya dihalau tanpa sebarang sebab dan terkilan dengan sikap kurang ajar pengurup wang itu,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohd Fauzi berkata, dia bukan saja terkandas di negara berkenaan malah tidak dapat pulang ke Johor Bahru untuk bekerja.

“Tambang bas di negara itu memerlukan dolar Singapura...andai saya sendiri gagal menyediakan mata wang mereka, bagaimana hendak meneruskan perjalanan?

“Saya kemudian terpaksa menebalkan muka menghubungi beberapa rakan dan saudara yang tinggal di Singapura untuk meminjam wang dan pulang ke rumah di Taman Megah Ria di sini.

“Sampai ke Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, saya terus membuat laporan polis berhubung kejadian. Selain itu, saya membuat semakan dengan pegawai Bank Negara untuk mengesahkan bahawa wang RM10 berkenaan adalah sah serta boleh digunakan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, biarpun segala pengesahan berhubung isu berkenaan sudah diperoleh, dia masih tertanya-tanya sebab sebenar dihalau pengurup wang terbabit.

“Saya sangat kesal...pengurup wang itu bukan saja menolak mata wang negara ini tanpa sebarang sebab malah bertindak luar batasan dengan kata-kata kasar,” katanya.
Hit: 28 Laman Asal