Abdul Khalid nafi didesak gugurkan Hasan Ali

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
megat@kosmo.com.my


KLANG – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menafikan beliau telah didesak pihak tertentu supaya menggugurkan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

Menurutnya, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu hanya dinasihatkan berbuat demikian kerana beliau tidak lagi mewakili Pas setelah dipecat serta-merta.

“Ini bukan soal (menerima desakan pihak tertentu) kerana sebagai Menteri Besar, saya menasihatkan (Hasan) kalau kita tidak diterima mewakili parti, lebih baik letak jawatan,” katanya selepas merasmikan Seminar Kelestarian Pemuliharaan Sumber Air di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, biarpun Pas sebahagian daripada jentera parti pentadbiran negeri, parti itu tidak mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan siapa yang layak mengisi jawatan dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Kosmo! kelmarin melaporkan Hasan dipecat sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta.

Pemecatan itu berdasarkan Fasal 82 (9) perlembagaan parti dan ia ekoran daripada beberapa tindakan Hasan yang bertentangan dengan dasar dan merugikan parti.
Hit: 17 Laman Asal