Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini, ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada anda kerana diatas kesudian anda melayani blog ini. Bagi saya anda telah membuat satu pilihan yang bijak untuk kita sama-sama fikirkan dan renungkan perkara yang terlalu penting untuk Diri Kita, Keluarga Kita, Negara Kita, Bangsa Kita dan yang terutamanya Islam Agama Kita
Permima sasar sejuta
keahlian bela nasib
Melayu
Oleh nazeri nong samah ( Utusan Malaysia )
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Pertubuhan Melayu dan Islam Malaysia (Permima) mensasarkan minimum sejuta keahliannya dari seluruh negara dalam usaha untuk membela nasib kaum Melayu yang begitu jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi.
Presidennya, Datuk Mohd. Yusuff Fateh Mohamed berkata, turut menjadi agenda utama penubuhan Permima ialah merapatkan hubungan kaum Melayu tanpa mengira fahaman politik sekali gus menegakkan syiar Islam.
''Apabila orang Melayu berada dalam keadaan perpaduan yang kukuh, ia akan dapat membantu mereka merangka serta melaksanakan agenda berkaitan ekonomi dan pendidikan dengan lebih berkesan.
''Kita berasa sedih kerana setelah 51 tahun negara ini merdeka, tahap ekonomi majoriti kaum Melayu dan orang Islam masih tidak banyak berubah, jadi menyedari hakikat itu Permima berusaha tampil menjadi saluran bagi membela nasib mereka,'' kata Mohd. Yusuff kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, Permima akan dilancarkan penubuhannya di ibu negara pada 22 Oktober ini.
''Kami dengan besar hati telah mengutus surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk melancarkan Permima,'' ujarnya.
Mohd. Yusuff berkata, Permima yang bermatlamat kepada perjuangan Islam, ekonomi, perpaduan dan pendidikan akan memastikan kebajikan setiap ahlinya berada pada kedudukan yang betul.
Pada peringkat awal, katanya, Permima berpejabat di Tingkat 1, Megan Embassy, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan boleh dihubungi menerusi emel myfm_52@yahoo.com atau talian 03-21711134.
Beliau berkata, keanggotaan Permima adalah terbuka kepada semua peringkat orang Melayu tanpa mengira kedudukan.
Menurutnya, apabila majoriti orang Melayu sudah berjaya dihimpunkan dalam sebuah persatuan yang turut menjurus kepada kegiatan ekonomi seperti Permima, ia sekali gus akan mencetuskan banyak usaha untuk mengeluarkan mereka daripada cengkaman kemiskinan dan kedaifan hidup.
''Sebenarnya orang Melayu adalah kaum yang kreatif dan mampu bersaing di peringkat global tetapi sebelum ini tidak mempunyai saluran persatuan yang khusus untuk memanfaatkan potensi mereka.
''Justeru kita harap Permima akan terus mendapat sokongan daripada semua pihak yang insaf akan kepentingan untuk membela nasib bangsanya sejajar dengan tuntutan Islam,'' tegasnya..