Monday, September 26, 2011

Bangkitlah!!

Ya Allah.. Permudahkanlah..

Beginilah rupanya dunia perniagaan. Pelbagai karenah manusia aku temui satu persatu. Ada yang mengaku kawan, tapi.. kawan waktu senang sahaja.. waktu kita susah, hilang entah ke mana.. Ada yang berwatakkan alim, tapi hakikat tak menunjukkan yang peribadinya adalah seperti panampilan yang dibawa. Allahuakbar!! aku tahu engkau sedang menguji aku ya Allah. Hanya satu aku mohon padamu ya Allah, tetapkanlah hatiku untuk agamamu dan sentiasa mentaatimu.

Aku bersyukur padamu Ya Allah, dalam waktu ujian yang sedang engkau berikan ini, engkau telah mempertemukan aku dengan seorang sahabat yang cukup hebat. Aku sangat bersyukur ya Allah. terlampau banyak ilmu yang aku perolehi daripadanya. Berdasarkan pengalamannya dia telah mengajar aku bagaimana caranya untuk bangkit semula daripada jatuh yang menyakitkan.

Terima Kasih Ya Allah, walaupun kebangkitan yang aku akan lakukan ini memerlukan tempoh yang agak panjang, tapi akan aku gagahi jua demi masa depanku, keluargaku dan umatmu di muka bumi ini. Aku menyedari akan kesilapan lalu dan aku akan berusaha sekuatnya untuk mengelak daripada melakukan kesalahan yang sama di masa hadapan.

Rabbi Yassir Wala Tua'assir, Rabbi Atmim Bilkhaer Ya Allah..

Sunday, September 4, 2011

Nafas Syawal

Syawal 6, 1432 / September 4, 2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Pengasih;-

Alhamdulillah, masih lagi diberi oleh Allah yang Maha kuasa untuk melangsungkan segala tanggungjawab yang telah ditaklifkan oleh-Nya. Belum terlewat rasanya untuk saya ucapkan Salam Eidulfitri Mubarak, Minal Eid Wal Faizin, Kullu Sanah Waantum Toyyibin.

Ramadhan telah meninggalkan kita untuk yang kesekian kalinya. Apa yang hanya mampu kita lakukan kini hanyalah menyerahkan segala tugasan yang telah kita lakukan sepanjang ramadhan tersebut kepada Allah untuk disemak dan diberi penilaian. Semoga hasil penilaian tersebut menatijahkan keputusan yang cemerlang. Semuanya untuk kita di mahsyar kelak. amin.

Terasa masa ketika ini berlalu dengan begitu pantas sekali. Walhal detik saat dan minit berputar mengikut tradisinya tanpa cuba mensabotaj manusia dengan berputar secara pantas atau sebaliknya. Ya benar, setiap manusia diperuntukkan dengan 24 jam sehari,  oleh yang demikian agihkanlah waktu tersebut dengan sebaiknya. Dalam kesibukan menjalani tugasan harian, diam tak diam dah hampir 8 bulan blog ni tak di update. Apa yang menyedihkan, dari hayat blog ini mula diwujudkan sehingga kini, hanya dua entri sahaja dapat dimasukkan. Sebenarnya ada  entri yang telah di compose tapi belum lagi sempat nak buat editing. Banyak perkara yang berlaku sepanjang 8 bulan ini yang boleh dikongsi bersama. Saya akan cuba untuk entri tersebut dimasukkan segera.

Esok tugas di pejabat akan bermula seperti biasa. Ya semangat Ramadhan dan nafas Syawal akan digunakan sebaiknya untuk meningkatkan produktiviti. Usai saja solat Isya' sebentar tadi sempat juga membuat semakan jadual untuk sepanjang bulan september ni. Allahuakbar! bulan yang penuh rencam. Bengkel, Konvensyen, Rutin prosiding, Program bersama NGO, Program masyarakat, Urusan perniagaan.. semuanya telah diletakkan pada hari-hari yang berkenaan. Semoga segalanya dapat disempurnakan dengan baik. Tidak sesekali mengaggap perkara-perkara tersebut sebagai beban, kerana telah tertanam di dalam minda ini pesanan guruku bahawa tidak akan sekali-kali Allah memberikan tanggungjawab kepada hambanya diluar dari kemampuannya. InsyaAllah, akanku ingat perkara tersebut sampai ke hujung nyawa.

Bersempena ketibaan Syawal 1432h hijrah ni, Saya rasa lega sangat sebab segala tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan dalam komuniti dapat diselesaikan dengan baik, walaupun hakikatnya mungkin tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Dengan senggangan waktu yang terbatas, itulah kemampuanku untuk melunaskan segala tugasan.

Seronok bila dapat bersama dengan rakan-rakan belia menghidupkan ramadhan. Semangat mereka merutinkan tadarus al-Quran di Masjid setiap selepas solat asar, kemudian Iftar bersama, diteruskan dengan solat sunat tarawikh & santai bersama sambil mengudap hidangan moreh yang cukup sederhana. Di akhir ramadhan, bersama-sama menghidupkan sepuluh malam terakhir, mengacau dodol tradisi untuk diagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik, dan diakhiri dengan bertakbir disepanjang malam aidilfitri. MasyaAllah!! cukup indah!!  suasana yang hanya boleh ditemui di dalam bulan ramadhan sahaja. Doaku semoga perkara seperti ini dapat diteruskan oleh adik-adik generasi akan datang.


Peserta Tadarus Belia Kg. Sg. Kelambu, Banting. 


Bersama dengan rakan-rakan mengacau dodol.

Syawal kali ini juga kita semua dikejutkan dengan kematian salah seorang peserta Misi Bantuan Kemanusiaan Somalia yang merupakan jurugambar daripada BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor. Niat murni seorang wartawan untuk membuka mata dunia bagi membantu rakyat somalia diakhiri dengan tragedi serangan hendap yang mengorbankan dirinya. Didoakan agar keluarga Allahyarham tabah dan seterusnya didoakan juga agar roh Allahyarham tenang bersemadi dan tergolong sebagai golongan yang beriman. Ini juga boleh dijadikan sebagai peringatan kepada kita bahawa nyawa kita boleh diambil bila-bila masa. Persoalannya adakah sudah cukup persediaan kita?. Semoga kejadian ini dapat untuk sentiasa mengingatkan kita kepada kematian dan seterusnya dapat meningkatkan amalan kita semua.

wallahuaa'lam.. Wassalam.