CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, June 7, 2010

Lembutmu Bukan Halangan

mujahidah solehah.. gambar hiasan~


Kilatan demi kilatan pedang tangkas menghunus. perang semakin sengit. Tentera Muslim berhadapan dengan tentera Rom yang ramai. Perindu-perindu syahid keletihan. Saat melamar bidadari syurga kian hampir. Biar syahid, mengalah tidak sekali.

Keduk..keduk..keduk..

Seekor kuda perang meluncur gagah. Penunggangnya, wajah terlitup kain. Berani. Debu-debu sahrawi berterbangan. Mata-mata terbeliak kagum. Teruja. Amuk si perwira mengayun tombak dengan garang. Musuh-musuh Allah jatuh.

Allahuakbar! Semangat tentera Muslim menggelegar di udara. Musuh berasa gerun.

"Adakah itu Khalid al-Walid?" Musuh tertanya-tanya. Sememangnya nama besar Khalid al-Walid cukup menggetarkan mereka.

Salah seorang ketua skuad Islam, Raafe bin Umaira berbisik kagum, "Beliau bertempur seperti Khalid, tapi saya yakin beliau bukan Khalid."

Tersingkap tabir wajah, nyatalah si perwira itu bukan seorang lelaki berhati waja sebaliknya seorang srikandi yang perkasa. Tatkala mengetahui tentera yang sedang mengucar-ngacirkan musuh itu adalah Khawlah al-Azwar, Khalid bin al-Walid hampir terjatuh daripada kudanya. Kagum.

Membebaskan Abang Tersayang

Khawlah al-Azwar terdorong menggempur musuh, mencari syahid dalam peperangan sebaik sahaja telinganya menangkap berita, abangnya Zirar al-Azwar telah ditawan. Sangkar besi milik tentera Rom yang penuh dengan penyeksaan membuatkan Khawlah al-Azwar tidak lagi mampu berdiam diri, lantas membuat pembelaan. Beliau asyik membayangkan betapa deritanya si abang melalui saat-saat ngeri di balik jeriji-jeriji besi.

Peperangan beransur reda apabila barisan pertahanan pihak musuh berjaya dipecahkan. Khawlah tidak sabar-sabar menanti operasi seterusnya. Abangnya mesti dibebaskan. tentera Muslimin mengBoldatur operasi serangan seterusnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin. Di situ Zirar al-Azwar dipercayai terpenjara. Khawlah al-Azwar menghunus pedang, menyertai perang. Akhirnya, di situ abangnya yang tersayang berjaya dibebaskan.

Mahir Berkuda dan Bersenjata

Khawlah al-Azwar, nama seindah identiti. Dibesarkan pada zaman Islam sering diancam peperangan. Ayahnya memperlengkapkan didikannya dengan ilmu mempertahankan diri. sejak kecil, dia diasuh menunggang kuda dan bermain pedang. Segala teknik dan kemahiran diperturunkan. Maka, mekarlah mawar agama itu sebagai seorang srikandi yang perkasa. Mahir berkuda dan bersenjata.

Dalam perang Yarmouk, beliau cukup berwibawa memimpin dan memelihara kaum wanita yang ikut serta dalam peperangan itu. Tidak lengkap pasukan tentera Islam tanpa kaum wanita sebagai sayap kiri perjuangan. Keberanian Khawlah terserlah sehingga kepalanya cedera mengalirkan darah. Pengorbanannya sia-sia. Panji kemenangan Muslim berkibar dalam peperangan itu sehingga membawa kepada pembukaan Syam. Bandar Damsyik bercahaya dengan sinar baru.

Membuka Kurungan


Dalam peperangan Sahura, Khawlah dan beberapa mujahadah muslimah tertawan. Beliau tidak mahu hanya terus menanti bantuan tanpa berusaha melakukan tindakan. Lalu dia berpidato untuk membakar semangat teman-teman.

"Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan Allah, apakah saudari semua sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom? Apakah saudari-saudari sanggup menjadi hamba orang kafir yang dilaknati? Adakah rela saudari dihina dan dicaci maki oleh bangsa Rom yang durjana? Di manakah letaknya kehormatan saudari sebagai Muslimah yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu lebih baik bagi kita daripada menjadi hamba-hamba orang Rom."

Sebelum memulakan misi serangan ke atas pengawal-pengawal yang garang itu, mereka berdoa, bertaubat dan bermunajat sesungguh dan seikhlas hati kerana selepas ini mungkin mereka akan dibantu Allah atau dibawa kembali selamanya kepada Allah. Menang atau mati syahid, mengalah tidak sekali!

Khawlah al-Azwar berpidato lagi, "Jangan sekali-kali saudari gentar dan takut. kita semua harus bersatu dalam perjuangan dan jangan ada yang terkecuali. patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan takbir serta kuatkan hati. InsyaAllah pertolongan Allah sudah dekat."

Allahuakbar! Pasukan Muslimah itu bertempur dengan pengawal-pengawal durjana dan akhirnya mereka berjaya menumpaskan mereka. Lantas mereka lari membebaskan diri daripada kurungan untuk terus berjihad, bergabung dengan tentera-tentera Muslimin.

Begitulah kentalnya episod hidup Khawlah al-Azwar yang terakam unggul dalam Maghazi Rasulillah hasil kompilasi Muhamad bin Umar al-Waqidi al-Aslami. Adakah mungkin akan lahir lagi jiwa srikandi seperti Khawlah al-Azwar pada abad ini?



0 comments: