Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Thursday, July 21, 2011
Kupasan Novel Interlok -
Novel Interlok
(SN Abdullah Hussain)
SINOPSIS
Buku Satu – Keluarga Seman
Bahagian Buku Satu novel Interlok memaparkan kisah Seman, anak tunggal pasangan Pak Musa dan Mak Limah. Seman seorang pemuda yang gagah dan rajin tetapi tidak tahu membaca kerana tidak ke sekolah. Apabila Pak Musa sakit, secara rahsia dia meminta Seman membawa Mak Limah berpindah tanpa memberikan sebarang alasan. Akhirnya Pak Musa meninggal dunia sebelum sempat menceritakan perkara sebenar. Setelah 27 hari kematian Pak Musa, Cina Panjang menemui Seman untuk memaklumkan bahawa Pak Seman berhutang sejumlah wang daripadanya untuk membeli tanah dan pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang. Cina Panjang menunjukkan surat-surat hutang Pak Musa. Akhirnya Seman membawa ibunya berpindah dari kampung kerana semua harta bukan miliknya lagi.
Buku Dua – Keluarga Cing Huat
Penduduk kampung gempar kerana tanaman padi dimakan belalang. Keadaan ini menyebabkan Kim Lock dan anaknya Cing Huat serta beberapa orang lelaki di kampung itu berhasrat merantau mencari pekerjaan di Singapura. Di sana Kim Lock ditawarkan menjual anaknya Cing Huat tetapi ditolaknya. Selepas 30 bulan di Singapura, Kim Lok bercadang bekerja di Melaka. Bersama-sama Kim Sui, dia dan anaknya menaiki tongkang tetapi di Muar. Dia bekerja di Lukut dan di Pulau Pinang. Akhirnya Kim Sui mengajak Kim Hock berniaga di Simpang Empat. Perniagaan mereka maju tetapi Kim Lock menjadi penagih candu hingga meninggal dunia selepas isterinya di negara China meninggal dunia. Orang Cina mendirikan sekolah Cina untuk anak-anak mereka. Cing Huat berkahwin dan dikurniakan empat orang anak. Seorang anaknya, iaitu Yew Seng rapat dengan Lazim dan keadaan ini tidak disenangi Cing Huat. Akhirnya Yew Seng keluar dari rumah ayahnya.
Buku Tiga – Keluarga Maniam
Maniam datang dari dari India dan bekerja sebagai kuli di pelabuhan Pulau Pinang. Waktu petang dia minum tuak di kedai. Dia juga mengirim wang untuk isterinya di India. Pillay tidak menyampaikan kiriman tersebut, sebaliknya isteri Maniam jatuh ke tangan Pillay akibat desakan hidup. Maniam kecewa. Dia berpindah tempat kerja dan akhirnya bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima. Maniam berkahwin dengan Malini secara rahsia. Rahsia perkahwinannya dibongkar oleh Suppiah, orang kampungnya. Akibatnya, Maniam tidak disenangi dan dihalau keluar dari tempat tersebut. Peristiwa ini menyebabkan Malini meninggal dunia tiga tahun kemudian. Suppiah mencadangkan sekolah Tamil didirikan di kebun untuk anak-anak orang India. Raman, iaitu guru sekolah mengetahui bahawa Suppiah lari dari negaranya kerana takut ditangkap polis dan menerangkan perkara sebenar tentang Maniam kepada Perumal. Perumal menyesal atas tindakannya terhadap Maniam.
Buku Empat – Interlok
Maniam menjadi tandil di kebun getah. Apabila Seman datang meminta kerja, Maniam berusaha membantunya, lebih-lebih lagi sesudah mengetahui Seman ialah anak Musa, kawan baiknya. Maniam juga mendapatkan sebuah petak di rumah kuli untuk Seman dan ibunya yang telah keluar dari kampung mereka. Yew Seng pula lari dari rumah kerana kecil hati terhadap ayahnya yang tidak menghargainya. Dia bekerja di lombong bijih timah.
Seman melawat Kampung Nyiur Condong setelah dua tahun setengah meninggalkan kampung tersebut. Dia diterima baik oleh orang-orang kampung. Pinangannya untuk Gayah juga diterima dan dia menjadi menantu Mat Ranggi. Penduduk Kampung Nyiur Condong gempar dengan kehadiran orang Jepun ke Tanah Melayu. Orang Melayu berpakat membantu Jepun mengusir Inggeris. Cing Huat pula cuba berbaik-baik dengan Seman. Pada suatu malam kedai Cing Huat dimasuki perompak. Pada masa yang sama juga Poh Eng berjaya melepaskan diri dan diselamatkan oleh Seman yang kemudian membawa Poh Eng kepada emaknya. Sementara itu, pihak Jepun mencari Yew Seng yang dipercayai terlibat dengan komunis. Yew Seng yang mengetahui adiknya hilang berjaya menemukan adiknya, Poh Eng dan dibawa menyertainya ke hutan, iaitu ke markas komunis. Pada waktu petang askar Jepun pula menangkap Mak Limah, Maniam, dan beberapa orang lagi kerana disyaki membantu komunis. Maniam diseksa kerana tidak memberikan kerjasama. Seorang Inspektor berbangsa India menyoal siasat Maniam dan melalui soal siasat tersebut, barulah diketahui bahawa Inspektor tersebut ialah anak Malini, iaitu anak Maniam sendiri. Inspektor Rama Krishnan berjanji akan menolong ayahnya dan cuba membebaskan Mak LImah.
Harga barang semakin mahal. Lazim pula menyesal kerana menyokong Jepun. Dia ditangkap Jepun . Akhirnya Jepun menyerah kalah. Semua orang bergembira, terutamanya orang Cina. Orang yang menjadi tali barut Jepun diseksa. Kumpulan Kong Beng (Kuomintang) menangkap orang-orang yang bekerjasama dengan Jepun. Yew Seng yang mengenali Lazim telah membebaskannya. Poh Eng pula berjumpa semula dengan Mak Limah. Tanah Melayu diperintah oleh Inggeris semula. Orang Melayu semakin matang. Orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union. Akhirnya perlembagaan dibentuk. Pengaruh komunis pula mula berkembang semula di Tanah Melayu Orang Cina pula berpendapat mereka patut bekerjasama dengan orang Melayu dan India menentang komunis. Hasil kerjasama itu, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
TEMA
Novel Interlok bertemakan integrasi tiga kaum utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina, dan India yang terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk hidup bersama-sama dalam sebuah negara yang bebas dan bermaruah.
Pak Musa, Maniam, dan Kim Lock masing-masing hidup dalam dunia yang berasingan sehingga mereka ditemukan dalam dunia yang berasingan sehingga mereka ditemukan dalam situasi yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung antara satu sama lain.
Pak Musa terpaksa berhutang dengan Kim Lock untuk membeli harta dan hidup senang tetapi tidak sempat melunaskan hutangnya sebelum mati. Akibatnya semua hartanya diambil oleh Kim Lock menyebabkan anak dan isterinya melarat. Maniam pula membawa diri meninggalkan isteri yang sarat mengandung akibat difitnah oleh Suppiah, orang kampungnya sendiri. Kim Lock pula lebih mementingkan harta benda hingga memandang rendah terhadap orang-orang lain di sekelilingnya.
Walau bagaimanapun dalam generasi kedua, Seman anak Pak Musa menyelamatkan Poh Eng anak Kim Lock, manakala Poh Eng menyelamatkan Maniam. Yew Seng anak Kim Lock yang cedera di kaki lebih suka menerima kaki palsu yang didermakan oleh masyarakat
PERSOALAN
1. Persoalan penghijrahan
Watak berhijrah untuk mengubah hidup. Kim Lock dan Maniam berhijrah dari negara asal masing-masing, iaitu China dan India ke Tanah Melayu untuk memiliki kehidupan yang lebih baik. Di Tanah Melayu juga, mereka berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaik kehidupan mereka.
2. Persoalan sifat suka memfitnah dalam masyarakat
Suppiah memfitnah Maniam sehingga rumah tangga Maniam dan Malini hancur. Maniam pula dihalau dari ladang tempat dia bekerja.
3. Persoalan kasih sayang ibu bapa yang mendalam terhadap anak-anak
Kim Lock sangat menyayangi Ching Huat, Pak Musa sangat menyayangi Seman, dan Maniam sangat rindu dan sayang pada anaknya walaupun dia tidak pernah melihatnya. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka.
4. Persoalan semangat patriotisme yang kuat dalam kalangan masyarakat imigran
Kim Lock dan Maniam masing-masing berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak mereka tidak lupa akan asal-usul bahasa ibunda mereka.
5. Persoalan kesedaran politik masyarakat berbilang kaum
Lazim dan rakan-rakannya membentuk kumpulan menentang Malayan Union demi menjaga maruah orang Melayu. Kim Lock juga menyertai persatuan untuk menjaga kepentingan kaum Cina, manakala Raman juga berusaha untuk menyatukan kaum India di negara yang baru merdeka itu.
PLOT
Jenis Plot
Bersifat kronologi –
Peristiwa-peristiwa berkembang mengikut urutan waktu. Pembaca dapat mengikuti cerita dengan mudah kerana peristiwa-peristiwa disusun mengikut urutan waktu bermula dari kisah Seman, penduduk asal Tanah Melayu, kisah penghijrahan Kim Lock dan anaknya, Cing Huat (Cina Panjang), serta kisah perhijrahan Maniam ke Tanah Melayu.
Setiap kisah dari Buku 1 hingga Buku 3 mempunyai kaitan yang amat menarik dan akhirnya ketiga-tiga watak ini bertaut dalam Buku 4 (Interlok).
Setiap cerita dan konflik dalam Buku 1 hingga Buku 3 mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan hukum ‘sebab dan akibat’ dalam sesebuah cerita.
PEMBINAAN PLOT
Terdapat empat peringkat binaan plot, iaitu:
(i) Permulaan
• Seman sedang memotong kayu sambil diperhatikan oleh ibunya
• Ayah Seman sakit
(ii) Perkembangan
Buku 1
• Ayah Seman sakit dan meninggalkan pesanan agar membawa ibunya keluar dari kampung Nyiur Condong tanpa memberi sebarang alasan untuk menimbulkan konflik dalam diri Seman.
• Seman berhutang mengambil barang-barang runcit dari kedai Cina Panjang.
• Ayah Seman meninggal dunia.
• Setelah 27 hari kematian Pak Musa, Cina Panjang menemui Seman untuk memaklumkan bahawa Pak Seman berhutang hampir sepuluh ribu ringgit untuk membeli tanah dan pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang.
• Seman menyangka ayahnya menyimpan wang lima ribu yang dipinjam daripada Cina Panjang di rumah.
• Seman membawa ibunya keluar dari kampung kerana tanah itu bukan miliknya lagi.
Buku 2
• Penduduk Tung San menghadapi masalah serangan belalang di sawah mereka.
• Melalui Paman Kok Leong, Kim Lock bersama-sama dengan anaknya Cing Huat dan beberapa orang pemuda berhijrah ke Singapura.
• Di Singapura Kim Lock melakukan kerja-kerja seperti menarik lanca dan tukang angkat najis.
• Lepas itu dia dan anak ke Muar, Melaka, dan akhirnya ke Simpang Empat, Cangkat Lima dan berniaga di situ (Pulau Pinang).
• Perniagaannya semakin maju.
• Kim Lock berkenalan dengan Mei Hwa yang memang menghisap candu.
• Kim Lock mula berubah jadi penghisap candu yang tegar.
• Isterinya di Tung San, China meninggal dunia.
• Anak Kim Lock, Cing Huat berkahwin dengan Tua Tao dan mereka dikurniakan empat orang anak.
• Kim Hock meninggal dunia diikuti dengan Mei Hwa.
• Sebuah sekolah untuk anak-anak kaum Cina ditubuhkan.
• Salah seorang anak Cing Huat , Yew Seng rapat dengan orang Melayu dan tidak disenangi oleh ayahnya.
• Yew Seng keluar dari rumah akibat berselisih faham dengan ayahnya, Cing Huat.
Buku Tiga – Keluarga Maniam
• Penduduk India, antaranya Maniam berusia 30 tahun berhijrah dari Kerala, India ke Tanah Melayu dengan diuruskan oleh Kangani (wakil yang mencari buruh untuk kebun)
• Dari Pulau Pinang ke seberang – Bagan Tuan Kecil.
• Maniam menghantar wang kepada isterinya di India melalui Pillay tetapi tidak pernah sampai kepada isterinya.
• Isteri Maniam terpaksa mengikut Pillay kerana desakan hidup.
• Maniam kecewa lalu berpindah ke Cangkat Lima dan bekerja di kebun kelapa.
• Maniam berkahwin dengan Malini, anak Perumal.
• Konflik timbul lagi dengan kehadiran Suppiah, orang kampungnya ke Cangkat Lima.
• Suppiah menyebarkan cerita yang Maniam telah meninggalkan isterinya di India dan hidup isterinya melarat.
• Maniam mula berkonflik dengan bapa mentua dan masyarakat di situ.
• Maniam dihalau dari kampung.
• Maniam dipukul dalam perjalanan keluar dari Cangkat Lima tetapi dibantu oleh Pak Musa, ayah Seman.
• Raman, seorang guru sekolah dari kampung Maniam di India menceritakan sejarah hidup Suppiah di India kepada Perumal.
• Perumal kesal dengan tindakannya.
Buku Empat – Interlok
• Maniam mendapatkan kerja untuk Seman di tempat kerjanya.
• Yew Seng lari dari rumah.
• Seman kahwin dengan Gayah, anak Mat Ranggi.
• Jepun menyerang tanah Melayu.
• Poh Eng lari semasa kedai bapanya dirempuh.
• Yew Seng jumpa adiknya dan menyertai kumpulan gerila.
• Maniam ditangkap dan diseksa Jepun. Maniam bertemu dengan anaknya semula.
• Jepun menyerah kalah.
• Orang Melayu menentang Malayan Union.
• Orang Cina dan India menyertai orang Melayu menentang komunis.
• Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
(iv) Konflik
• Ayah Seman sakit dan meninggalkan pesanan agar membawa ibunya keluar dari kampung Nyiur Condong tanpa memberi sebarang alasan – menimbulkan konflik dalam diri Seman.
• Seman berhutang mengambil barang-barang runcit dari kedai Cina Panjang.
• Konflik Seman dengan Cina Panjang - Pak Seman berhutang hampir sepuluh ribu ringgit untuk membeli tanah dan pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang.
• Seman membawa ibunya keluar dari kampung kerana tanah itu bukan miliknya lagi.
• Konflik manusia dengan alam - Penduduk Tung San di Cina menghadapi masalah serangan belalang di sawah mereka.
• Konflik Kim Lock untuk mendapatkan kerja di Singapura. Dia sanggup melakukan pelbagai kerja.
• Konflik Cing Huat dan ayahnya Kim Lock yang mula menghisap candu apabila berkenalan dengan Mei Hwa.
• Konflik Cing Huat dengan salah seorang anaknya, Yew Seng kerana Yew Seng rapat dengan orang Melayu.
• Yew Seng keluar dari rumah akibat berselisih faham dengan ayahnya, Kim Lock.
• Konflik Cing Huat (Cina panjang) dengan orang Melayu.
• Masalah kemiskinan penduduk India telah membawa mereka ke Tanah Melayu antaranya Maniam berusia 30 tahun berhijrah dari Kerala, India.
• Konflik Maniam dengan Pillay yang tidak amanah kerana tidak menyerahkan wang kepada isterinya dan menyebabkan isterinya menderita dan akhirnya mengikut Pillay.
• Maniam kecewa lalu berpindah ke Cangkat Lima dan bekerja di kebun kelapa.
• Perkahwinan kali kedua bagi Maniam akhirnya menimbulkan konflik kerana kesilapannya tidak memaklumkan sejarah hidupnya kepada bapa mentuanya, Perumal.
• Kehadiran Suppiah, orang kampungnya ke Cangkat Lima menimbulkan konflik kerana Suppiah menyebarkan cerita yang Maniam telah meninggalkan isterinya di India dan hidup isterinya melarat.
• Maniam mula berkonflik dengan bapa mentua dan masyarakat.
• Maniam dihalau dari kampung.
• Manim dipukul dalam perjalanan keluar dari Cangkat Lima tetapi dibantu oleh Pak Musa, ayah Seman.
• Konflik Yew Seng dengan ayahnya menyebabkan Yew Seng lari dari rumah.
• Jepun menyerang Tanah Melayu.
• Kedai Cing Huat (Cina Panjang) dirompak.
• Poh Eng lari semasa kedai bapanya dirompak.
• Yew Seng dapat berjumpa dengan adiknya dan adiknya diajak menyertai kumpulan gerila menentang Jepun.
• Maniam ditangkap dan diseksa Jepun.
• Jepun menyerah kalah.
• Orang Melayu menentang Malayan Union.
• Orang Cina dan India menyertai orang Melayu menentang komunis.
(v) Klimaks
• Peristiwa anak Maniam, Inspektor Ramakrisynan menyerang sarang komunis dan menyelamatkan Yew Seng serta Poh Eng yang sudah mula meragui perjuangan komunis.
(vi) Peleraian
• Tertubuhnya kesatuan – kesatuan yang mewakili 3 kaum terbesar di Tanah Melayu, Melayu, Cina, dan India.
• Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
TEKNIK PLOT
1. Teknik Pemerian
Banyak unsur pemerian dalam novel Interlok.
Pemerian tentang perlakuan Mak Limah yang sedang memerhatikan anaknya, Seman yang sedang membelah kayu. Dia membandingkan anaknya dengan suaminya semasa muda-muda dulu.
2. Teknik dialog
Berbanding dengan pemerian, penggunaan dialog tidak banyak. Dialognya pendek-pendek dan bergerak pantas. Teknik ini sesuai dengan suasana penyatuan kaum, konflik antara watak, dan zaman penjajahan Jepun
Contohnya, dialog antara Mamat Labu dengan Seman.
“Orang-orang Cina tentu ditangkap oleh Jepun,” ujar Mamat Labu lagi.
Mata Seman bersinar-sinar. “Betulkah mereka akan ditangkap oleh Jepun, Mamat?” “Hei, bukankah mereka itu musuh?” jawab Mamat dengan membelalakkan matanya.
3. Teknik Monolog Dalaman
Seman kagum dengan kehebatan Pak Utih, dukun yang mengubat ayahnya.
Contoh:
Seman kagum melihat kekuatan hikmat dukun itu membuka mata bapanya yang sedang pejam. Memang benar dia dukun besar, kata hatinya
4. Teknik Imbas kembali
Apabila melihat anaknya, Seman bekerja, Mak Limah teringat akan suaminya semasa muda- muda dahulu seperti anaknya.
5. Teknik Imbas Muka
Ada yang membuang muka. Dia berasa bahawa masa buruk baginya sudah tiba. Di atas kepalanya kini ternampak segumpal awan hitam. Sebentar lagi hujan lebat akan turun. Dia akan basah kuyup.
6. Teknik Suspens
Kebimbangan Seman tentang kemungkinan harta milik bapanya adalah milik orang lain kerana bapanya tidak sempat memberitahunya suatu perkara.
WATAK DAN PERWATAKAN
1. Seman
• Seman merupakan watak utama. Seman berusia 20 tahun dan anak kepada Pak Musa. Seman mempunyai bentuk badan seperti ayahnya tetapi kulitnya lebih cerah daripada ayahnya. Menurut pandangan ibunya, Mak Limah, Seman mempunyai sifat-sifat seperti ayahnya.
• Seorang yang taat akan arahan ibunya
Seman mematuhi arahan emaknya agar memanggil dukun semasa keadaan ayahnya semakin tenat.
• Seorang yang taat akan ajaran agama
Seman tetap bersembahyang walaupun kepalanya diikat dengan sapu tangan sahaja bukan kopiah.
• Seorang yang rajin bekerja
Seman membantu ibunya membelah kayu untuk kegunaan ibunya. Apabila ayahnya sakit, Seman banyak mengambil alih tugas ayahnya.
• Seorang yang bertanggungjawab
Seman bertanggungjawab mencarikan ibunya tempat tinggal yang selamat untuk berlindung semasa kedatangan Jepun ke Tanah Melayu.
• Seorang yang berani
Seman duduk seorang diri pada waktu malam di bawah pokok rambutan berhampiran surau sebelum ke Pekan Simpang Empat.
• Seorang yang tegas
Seman bersungguh-sungguh menolak bantuan yang diuruskan oleh Lazim kerana bertentangan dengan prinsipnya.
• Seorang yang berdikari
Seman tidak mahu menumpang di rumah Lebai Man kerana mahu berdikari.
2. Kim Lock
• Watak sampingan dalam novel Interlok. Kim Lock berhijrah ke negara lain dan gigih untuk mengubah hidup. Kim Lock dengan anaknya, Cing Huat yang masih kecil berhijrah dari Tung San Cina ke Tanah Melayu untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik. Perjalanan mereka diuruskan oleh Paman Kok Leng.
• Seorang yang gigih berusaha
Di Tanah Melayu juga, mereka berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaik kehidupan mereka. Hasil kegigihannya, Kim Lock berjaya membuka kedai yang menjual pelbagai barangan.
• Tidak mudah putus asa
Gagal di satu-satu tempat, tidak mematikan semangat Kim Lock, sebaliknya dia berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah dia bertapak kukuh di Simpang Empat sebagai pekedai runcit dan pelbagai barangan lain.
• Seorang yang penyayang
Kim Lock sangat menyayangi Cing Huat. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ada orang yang mahu membeli Cing Huat tetapi dia tidak bersetuju.
• Seorang suami yang tidak setia
Apabila sudah dikuasai candu, Kim Lock lupa akan isterinya, malah tidak mahu mengambil isterinya untuk di bawa ke Tanah Melayu. Akhirnya dia menjadi penagih Candu yang sukar untuk diubati.
3. Cing Huat
• Watak yang penting kerana beberapa peristiwa penting yang menimpa watak utama, iaitu Seman berpunca daripada tindakannya. Cing Huat datang ke Tanah Melayu semasa kecil bersama bapanya Kim Lock. Apabila dewasa, dia mempunyai perawakan yang tinggi. Dalam kalangan orang Melayu dia dipanggil Panjang. Semasa usianya 17 tahun dia sudah mampu mengendalikan kedai ayahnya. Dia berkahwin dengan Tua Tao, anak tiri Kim Sui dan dikurniakan empat orang anak, iaitu Yew Hock, Yew Seng, Poh Eng, dan Poh Kheng.
• Sejak kecil Cing Huat digambarkan sebagai anak yang cergas dan rajin.
Hal ini digambarkan semasa di Singapura, Cing Huat bekerja di kedai runcit.
• Seorang yang menghormati orang tua
Cing Huat tetap menghormati ayahnya walaupun ayahnya menjadi penagih candu. Dia amat memahami kesusahan yang dialami oleh ayahnya sebelum itu.
• Taat akan ayahnya
Cing Huat tidak membantah apabila ayahnya bercadang mengahwinkannya dengan anak tiri Kim Sui, iaitu Lim Tua Tao.
Dia berpeluang untuk membuka kedai di tempat lain, tetapi sifat taatnya sebagai anak menyebabkan dia tetap berada di kedai tersebut.
• Seorang yang penyayang
Cing Huat sanggup balik ke Cina untuk mengambil ibunya yang masih berada di Cina tetapi tidak berkesempatan kerana ibunya telah meninggal dunia.
• Seorang yang sabar
Keputusan bapanya membawa Mei Hwa balik tidak dipersetujui oleh Cing Huat tetapi dia tidak melawan kerana dia takut akan bapanya. Walaupun diperlakukan oleh Mei Hwa seperti orang gaji dia tetap bersabar.
• Seorang yang mempunyai kesungguhan yang tinggi dan bersemangat yang tinggi
Walaupun baru berusia 17 tahun, dia sudah dipertanggungjawabkan menjaga kedai. Dia juga dikatakan mewarisi sifat ini daripada ayahnya. (halaman 176)
• Seorang yang berani bersaing
Cing Huat yang dikatakan mewarisi sifat bapanya yang tidak tahu letih dan kalah tidak mahu bergantung pada orang lain dan tidak takut menghadapi persaingan dengan orang lain. (halaman 176). Dia dikatakan berani mengisi kedainya itu dengan pelbagai barang. Dengan cara ini pelanggan akan datang ke kedainya untuk membeli barang yang tidak ada di kedai lain.
• Seorang yang mementingkan pelajaran
Anak-anaknya bersekolah dan terlibat dalam perbincangan untuk mendirikan sekolah di situ.
• Seorang yang suka menderma
Cing Huat sangat setuju jika didirikan sekolah untuk anak-anak kaum Cina agar mereka tidak melupakan asal-usul mereka.
• Seorang yang mementingkan keuntungan dan mementingkan diri
Cing Huat sanggup meminjamkan wang kepada Pak Musa dengan cagaran tanah. Jika gagal membayar hutang tersebut, tanah Pak Musa akan dirampas oleh Cing Huat atau Cina Panjang.
• Bersikap Prejudis
Cing Huat tidak membenarkan anaknya Yew Seng berkawan dengan orang Melayu, khususnya Lazim kerana pada sangkaannya mereka akan menjadi malas seperti orang Melayu.
• Melebih-lebihkan anak lelaki
Cara berfikir Cing Huat masih terpengaruh dengan ayahnya yang tidak menghargai kelahiran anak perempuan. Akhirnya Cing Huat sedar akan kesilapannya apabila dia sanggup bekerjasama dengan orang Melayu dan India.
4. Maniam
Maniam datang dari Kerala, India. Dia tidak membawa isterinya.
• Seorang yang mengenang budi
Maniam berusaha mendapatkan kerja untuk Seman kerana Musa, ayah Seman, pernah membantunya semasa dia dipukul oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.
• Seorang yang peramah
Maniam berbual-bual dengan penumpang lain di dalam kapal semasa dalam pelayaran ke Pulau Pinang.
• Seorang yang bertanggungjawab
Maniam mengirim wang kepada isterinya di India melalui Pillay.
• Seorang yang setia
Maniam tidak berkahwin setelah meninggalkan isterinya, Malini.
• Seorang yang penyayang
Tidak membenarkan isterinya membuat kerja rumah ketika isterinya sarat mengandung kerana amat sayang akan isterinya.
5. Pak Musa
• Seorang yang tidak berpandangan jauh dan tidak mementingkan pendidikan anak-anak.
Pak Musa tidak membenarkan anaknya pergi sekolah untuk belajar. Bermacam-macam cara dilakukan untuk mengelakkan anaknya, Seman daripada ke sekolah.
• Seorang yang pandai menyimpan rahsia
Pak Musa tidak memberitahu isterinya yang dia telah menjual tanah dan menggadaikan tanah rumahnya.
• Seorang yang suka berhutang
Pak Musa membeli barangan dapur secara berhutang di kedai Cina Panjang.
• Seorang yang suka menolong orang
Pak Musa menolong Maniam yang cedera walaupun mereka berlainan bangsa.
LATAR MASA
1. Zaman sebelum kedatangan Jepun
• Maniam dari India belayar ke Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan bagi mengubah kehidupan keluarganya.
2. Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941)
• Rakyat Tanah Melayu merasai keperitan hidup kerana sukar mendapatkan makanan semasa Jepun memerintah Tanah Melayu.
3. 21 tahun
• Maniam teringat akan anaknya walaupun sudah 21 tahun dia berpisah dengan Malini dan tidak pernah melihat anaknya.
4. Waktu malam
• Seman memanggil Pak Utih untuk mengubatkan bapanya yang batuk teruk.
5. 7.00 pagi
• Orang-orang Cina yang menaiki tongkang untuk ke Rantau Selatan diberi makan bubur dan lobak masin
LATAR TEMPAT
1. Kampung Nyiur Condong
• Pak Musa dan keluarganya tinggal di kampung Nyiur Condong.
2. Singapura
• Kim Lock bekerja sebagai penarik lanca di Singapura untuk menampung kehidupannya.
3. Lukut
• Kim Lock dan Cing Huat bekerja di lombong bijih timah di Lukut.
4. Pelabuhan Pulau Pinang
• Maniam menjadi kuli mengangkat barang di Pelabuhan Pulau Pinang.
5. Di rumah Perumal
• Malini menjalani pelbagai upacara penyucian diri sebelum dikahwinkan dengan Maniam.
6. Rumah kuli ladang getah
• Maniam membenarkan Seman meninggalkan ibunya, Mak Limah, dan Poh Eng di situ untuk berlindung daripada tentera Jepun.
7. Pekan Simpang Empat
• Kim Lock memulakan perniagaan keluarganya di Pekan Simpang Empat
LATAR MASYARAKAT
1. Masyarakat yang suka berhutang.
• Pak Musa berbelanja di kedai Cina Panjang secara hutang sehingga sukar untuk melunaskannya.
2. Masyarakat yang gigih bekerja
• Kim Lock gigih berusaha melakukan pelbagai pekerjaan untuk mengumpul wang semasa berada di Singapura.
3. Masyarakat yang suka menolong orang
• Musa menyelamatkan Maniam yang cedera dipukul orang walaupun mereka berlainan bangsa.
4. Masyarakat yang mengenang jasa
• Poh Eng berusaha berjumpa dengan Mak Limah yang telah menjaganya dengan baik semasa pendudukan Jepun bagi mengenang jasa Mak Limah.
5. Masyarakat yang setia kepada suami
• Malini sangat setia dan sentiasa merindui Maniam walaupun suaminya telah meninggalkannya.
6. Masyarakat yang tidak mementingkan pendidikan anak-anak
• Pak Musa tidak membenarkan anaknya pergi sekolah untuk belajar. Bermacam-macam cara dilakukan untuk mengelakkan anaknya, Seman daripada ke sekolah.
7. Masyarakat yang mudah percaya akan khabar angin
• Perumal dan orang-orang kampung mudah percaya dengan kata-kata Suppiah tentang Maniam.
8. Masyarakat Jepun yang zalim dan kejam
• Kedatangan Jepun ke Tanah Melayu menyusahkan semua orang dengan kezaliman mereka.
GAYA BAHASA
1. Diksi
• Penggunaan telor Cina
Contoh : “Gua tidak mahu miskin susah sama lu, Seman,” kata orang Cina itu setelah Seman duduk di atas bangku …
• Penggunaan Bahasa Inggeris - lodging
• Penggunaan Bahasa Jepun – Heiho, kempeitai
2. Personifikasi
• Malam yang masih muda….
• Bunyi jengkerik mendayu-dayu, begitu memilukan….
3. Simile
• Tangan Mak Limah yang berkerut seribu dan kurus seperti cakaran itu terus menghentak-hentak
• Musa pejam rapat, nafasnya saja yang agak keras seperti lembu marah.
• Dalam masa hatinya bergelora bagai laut musim tengkujuh itu.
4. Peribahasa
• Makan hati berulam jantung
5. Hiperbola
• Gejolak kemarahan itu menjilat-jilat ke kiri kanan, mencari gas pembakar dari bahan-bahan kering untuk menyemarakkan lagi nyalanya, untuk mempercepat kemusnahan.
6. Sinkope / sinkof
• Banyak singkatan digunakan – sesuai dengan latar belakang watak, cerita, dan latar zaman cerita ini .
• Contoh :
“Aku belum mahu kahwin, mak,” katanya. Belum ada perempuan yang bersetuju dengan hatiku.”
“Masakan tak ada pula,” jawabnya. “Anak tahir yang nombor dua itu bukan tak cantik. Kalau kau mahu yang cantik…..
7. Imej Alam
• Daun mengkuang.
• Cahaya matahari
• Belalang
8. Pengulangan
• Matahari petang ayun-temayun. Sinar keemasan yang terakhir itu tertebar di merata tempat di permukaan bumi: Di atas daun pisang, di atas pelepah kelapa, di atas rumput, di atas belakang Seman di atas muka Mak Limah yang sudah lisut itu.
• Kematian menjadi salah satu rukun hidup di mana-mana saja, di kota mahupun di kampung, di laut mahupun di darat.
9. Anafora
• Dia berjalan tidak menoleh kiri dan kanan. Dia mahu lekas sampai di rumah, mahu lekas tahu apa yang sudah dilakukan orang terhadap mayat bapanya.
• Dia tidak peduli. Dia mencangkul juga.
NILAI MURNI
1. Nilai mengenang budi
Maniam berusaha mendapatkan kerja untuk Seman kerana Musa, ayah Seman, pernah membantunya semasa dia dipukul oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.
2. Nilai bertanggungjawab
Maniam mengirim wang kepada isterinya di India melalui Pillay.
3. Nilai kesetiaan
Maniam tidak berkahwin lagi setelah meninggalkan isterinya, Malini.
4. Nilai kasih sayang
Maniam tidak membenarkan isterinya membuat kerja rumah ketika isterinya sarat mengandung kerana amat sayang akan isterinya.
Kim Lock sangat menyayangi Ching Huat. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ada orang yang mahu membeli Cing Huat tetapi dia tidak bersetuju.
5. Nilai kegigihan
Di Tanah Melayu, Kim Lock sekeluarga berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaik kehidupan mereka. Hasil kegigihannya, Kim Lock berjaya membuka kedai yang menjual pelbagai barangan.
6. Nilai tidak mudah putus asa
Gagal di satu-satu tempat, tidak mematikan semangat Kim Lock, sebaliknya dia berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah dia bertapak kukuh di Simpang Empat sebagai pekedai runcit dan pelbagai barangan lain.
7. Nilai Cinta akan tanah air
Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.
Kaum India yang diwakili oleh Cikgu Raman juga mendirikan sekolah Tamil agar anak-anak India tidak lupa akan asal-usulnya.
8. Nilai prihatin
Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang pernah membantu kita semasa kita menghadapi masalah.
Maniam berusaha mendapatkan kerja untuk Seman kerana Musa, ayah Seman, pernah membantunya semasa dia dipukul oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.
2. Seorang suami hendaklah bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri masing-masing.
Walaupun bekerja jauh daripada isterinya, Maniam tetap mengirim wang kepada isterinya di India melalui Pillay.
3. Seorang suami sepatutnya sentiasa setia kepada isteri masing-masing walau di mana mereka berada.
Maniam tidak berkahwin lagi setelah meninggalkan isterinya, Malini.
4. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah adil dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak.
Maniam tidak membenarkan isterinya membuat kerja rumah ketika isterinya sarat mengandung kerana amat sayang akan isterinya.
Kim Lock sangat menyayangi Cing Huat. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ada orang yang mahu membeli Cing Huat tetapi dia tidak bersetuju.
5. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
Di Tanah Melayu, orang Cina dan India berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaik kehidupan mereka. Contohnya, hasil kegigihannya, Kim Lock berjaya membuka kedai yang menjual pelbagai barangan.
6. Kita tidak seharusnya mudah putus asa terhadap sebarang kegagalan.
Gagal di satu-satu tempat, tidak mematikan semangat Kim Lock, sebaliknya dia berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah dia bertapak kukuh di Simpang Empat sebagai pekedai runcit dan menjual pelbagai barangan lain.
7. Kita hendaklah mencintai tanah air sendiri.
Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal usul dan bahasa ibunda mereka.
Kaum India yang diwakili oleh Cikgu Raman juga mendirikan sekolah Tamil agar anak-anak India tidak lupa akan asal-usulnya.
8. Kita hendaklah menderma kepada orang yang memerlukan sekiranya kita mampu.
Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.
9. Setiap orang perlu rajin berusaha untuk mencapai kejayaan.
Pengajaran ini dapat digambarkan melalui watak Seman, Kim Lock, Cing Huat, dan Maniam yang rajin berusaha dalam setiap pekerjaan yang dilakukan oleh mereka.
BIODATA PENGARANG
ABDULLAH HUSSAIN
Dato’ Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Dari tahun 1926-1931 beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu Sungai Limau hingga lulus Darjah V. Beliau menyambung pelajaran di Sekolah St. Michael Alor Setar (1932-1933) dan Anglo Chinese School, Alor Setar hingga lulus Darjah VII (1935).
Setelah menamatkan alam persekolahan, beliau menjawat pelbagai jawatan. Jawatan pertama yang beliau sandang ialah sebagai Penjaga Stor sebuah perusahaan lombong bijih di Pahang (1939). Setelah itu beliau mula menceburkan diri dalam bidang penerbitan dengan menjawat jawatan sebagai Pembantu Pengarang Akhbar Sahabat (1939), Pembantu Pengarang Akhbar Saudara (1940), Pengarang Majalah Puspa di Medan (1950). Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Polis daerah Langsa, Ketua Polis Pulau Sabang (1947).
Sekembalinya ke Singapura pada tahun 1951, beliau menjalankan pelbagai tugas seperti Kerani Syarikat Perkapalan, pemberita akhbar dan majalah Indonesia, Pengurus Syarikat Perfileman, Pengarang majalah hiburan dan filem, Pengurus firma import dan eksport, dan beberapa tugas lain membawanya ke Vietnam, Filipina dan Hong Kong. Beliau juga pernah berkhidmat di Oxford University Press (1 Januari 1961- 31 Disember 1964), Franklin Book Programme (1965-1968),Dewan Bahasa dan Pustaka (1 Mac 1968-1979).
Abdullah pernah menerima beberapa anugerah seperti S.E.A. Write Awards (1981), Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat Kebudayaan Aceh (LAKA) (1995), Anugerah Sastera Negara (1996) dan Darjah Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) (1996).
Latihan : Novel Interlok
Soalan dan jawaban contoh berdasarkan novel Interlok
Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji. [7 markah]
Novel yang saya kaji ialah novel Interlok karya Abdullah Hussain. Novel memaparkan banyak pengajaran untuk dimanfaatkan oleh pembaca. Antara pengajaran yang diketengahkan ialah kita hendaklah membantu orang yang berada alam kesusahan. Lebai Man mahu Seman dan ibunya tinggal di rumahnya terlebih dahulu setelah keluar dari rumah. Lazim pula sanggup bersama-sama penduduk kampung mendirikan rumah untuk didiami Seman. Selain itu kita hendaklah mengelakkan diri daripada menyembunyikan status diri. Maniam tidak menceritakan bahawa dia sudah berkahwin ketika di India. Namun statusnya akhirnya terbongkar dengan kedatangan Suppiah. Dia dihalau oleh bapa mentuanya keluar dari rumah kerana terlalu marah. Akhir sekali kita hendaklah bersikap jujur terhadap orang lain. Cina Panjang mendapat harta dengan cara menipu Musa yang tidak berpelajaran dan miskin dengan meletakkan nama Musa pada tanah yang dibeli. Akan tetapi apabila Musa meninggal dunia, Cina Panjang menghalau anaknya Seman dan Mak Limah
Sunday, July 17, 2011
Cerpen Idola - Tingkatan 5
CERPEN IDOLA (Zaen Kasturi)
Sinopsis
Kehidupan si penjaga panggung yang menjadikan hero sebagai idola hidupnya. Pendiriannya bercanggah dengan pendapat isterinya yang meminta dia mengubah cara hidup agar kehidupan mereka yang miskin dapat diubah. Pada suatu petang dia berjumpa dengan si hero yang mengisahkan realiti kehidupannya sebenar dan menasihatinya agar sedar dengan reality hidup. Hal ini menyedarkan si penjaga panggung bahawa idola yang ideal hanya wujud dalam pementasan sandiwara dan dia perlu melakukan perubahan diri.
Tema
Kekeliruan hidup antara fantasi dan realiti iaitu antara pementasan sandiwara dengan kehidupan sebenar.
Persoalan
1. Persoalan kesempitan hidup dan kemiskinan kerana pendapatan yang rendah. Si penjaga panggung dan keluarganya hanya mampu tinggal di sebuat rumah kecil.
2. Persoalan suka berkhayal untuk menjadi seperti idola. Si penjaga panggung sentiasa berangan-angan menjadi hero.
3. Persoalan kejujuran memberi pengertian kehidupan yang sebenar. Hero meminta si penjaga panggung kembali pada diri sendiri kerana kehidupan sebenar lebih menuntut perjuangan yang sesungguhnya.
4. Persoalan kesedaran diri untuk mengubah nasib diri. Isteri si penjaga pnggung cuba menyedarkan suaminya bahawa pentas sandiwara tidak sama dengan pentas kehidupan sebenarnya.
Watak dan perwatakan
Watak utama
Si Penjaga Panggung
- Bekerja sebagai penjaga panggung.
- Mempunyai seorang isteri dan sepuluh orang anak.
- Keliru dengan pendirian diri terhadap idola. Si Penjaga Panggung selalu mengagumi kehebatan hero tanpa mengetahui bahawa Si Hero bukan hanya mahu memegang watak hero.
Watak sampingan
Si Hero
- Suka menyindir. Si Hero menyuruh Si Penjaga Panggung berhenti memuji dirnya dan meminta memuji diri sendiri.
- Seorang pelakon yang memegang watak utama (hero)
- Berterus terang tentang realiti kehidupan yang dilaluinya. Si Hero menyatakan bahawa kehidupan di sini hanya sementara. Dia meminta Si Penjaga Panggung melupakan kehidupan di dalam panggung.
Isteri Penjaga Panggung
- Berfikiran terbuka dan ingin mengubah nasib. Isteri penjaga panggung cuba menyedarkan suaminya tentang pekerjaan suaminya.
- Mempunyai 10 orang anak.
Nilai
Nilai kejujuran. Contohnya hero menyampaikan reality kehidupan yang dilalui adalah berbeza dengan lakonannya.
Nilai kesabaran. Contohnya isteri penjaga panggung yang sabar menghadapi kemiskinan hidup dan masih lagi tinggal di rumah kecil.
Nilai ketabahan. Contohnya isteri penjaga panggung yang tabah menghadapi cabaran hidup dan membesarkan sepuluh orang anak dalam keadaan miskin dan tinggal di kawasan setinggan.
Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa dan Maksud
Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa dan Maksud
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.
Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.
Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.
Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.
Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah
Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.
Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.
Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan
Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.
Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha
Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.
Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.
Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.
Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.
Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.
Bbiar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.
Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.
Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.
Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.
Berbesar Hati
Maksud : Gembira.
Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.
Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara
Batu Penghalang
Maksud : Halangan
Darah daging
Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.
Meninggi diri
Maksud : Sombong
Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.
Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan
Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.
Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong
Murah Hati
Maksud : Pemurah.
Tangan Kosong
Maksud : Hampa.
Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.
Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat
Sunday, July 10, 2011
Karangan Peribahasa : Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Abu
Peribahasa ‘Genggam bara api biar sampai jadi abu’ bermaksud membuat sesuatu perkara harus bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan. Peribahasa tersebut boleh dikaitkan dengan suatu peristiwa yang dialami oleh Cikgu Hanit. Beliau telah dilahirkan di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor pada tahun 1937. Semasa usianya lapan tahun, bapanya telah meninggal dunia dan seterusnya beliau dibesarkan oleh ibunya bersama-sama dengan lima orang adik-beradik yang lain.
Sejak itu, beliau mulai mengerti kesusahan hidup yang terpaksa dipikul bersama abangnya. Beliau bersama abangnya mengerjakan kebun peninggalan arwah ayahandanya. Niatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi terkandas disebabkan masalah kewangan yang ditanggung oleh keluarganya. Akhimya, dia mengambil keputusan untuk memohon menjadi guru. Ketika itu gaji permulaannya adalah RM50 sahaja. Wang sebanyak RM50 digunakan untuk membantu meringankan beban tanggungan ibunya. Sewaktu berusia 19 tahun, beliau telah bertemu jodoh dan akhimya berkahwin dengan seorang guru bemama Arbibah Abu Bakar. Mereka telah dikumiakan seramai 12 orang anak, tujuh orang lelaki, dan lima orang perempuan.
Apabila mengenangkan nasibnya yang tidak berupaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, beliau menanamkan cita-cita untuk memastikan setiap anak-anaknya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Beliau cukup prihatin dengan keperluan keluarganya dan sanggup bersusah payah demi menjamin kebahagiaan mereka sekeluarga. Cikgu Abu Hanit ini gigih berusaha untuk menambah pendapatan keluarga seperti menjual buah-buahan dan sayur-sayuran yang diperoleh di kebunnya yang seluas seekar di Serendah, Selangor. Selain itu, beliau sering membawa anak-anaknya menjala ikan di sungai bagi menambah sumber makanan seharian. Beliau turut membela ayam dan itik di sekitar rumahnya. Isterinya pula rajin menyediakan kuih-muih untuk jualan. Setiap pagi, sebelum pergi ke sekolah, kuih-muih ini akan dihantar oleh anak-anaknya di gerai-gerai makan.
Kehidupannya yang susah menyebabkan beliau berazarn untuk mengubah nasib anak-anaknya. Beliau telah memberikan pelajaran yang sempurna kepada anaknya. Baginya anak-anak adalah arnanah Tuhan. Tanggungjawab ibu bapa ialah menyempurnakan kehidupan anak-anak. Beliau seorang yang lembut tetapi tegas semasa mendidik anak-anak. Semuanya dididik dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Anak-anaknya dididik supaya mempunyai jadual waktu sendiri. Ada masa untuk belajar, masa membuat kerja sekolah, mengulang kaji pelajaran, berjemaah, mengaji, dan bermain. Mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan semua ahli keluarga mesti patuh dengan peraturan dan hormat kepada orang yang lebih tua. Beliau menyediakan sebatang rotan untuk menakut-nakutkan anaknya agar tidak leka dengan tanggungjawab sebagai seorang anak. Sekiranya mereka membuat kesalahan di sekolah, beliau akan mengizinkan anak-anak untuk dirotan oleh guru. Beliau berpegang kepada prinsip ‘boleh merotan, tetapi jangan sarnpai mencederakan’.
Cabaran yang paling utarna ialah kekurangan wang bagi membayar yuran pengajian dan belanja persekolahan. Banyak keperluan seperti buku tarnbahan yang diminta oleh anaknya tidak dapat disediakan. Mereka hanya menggunakan buku-buku abang atau kakak mereka sebagai rujukan. Kejayaan anak-anaknya yang tua sebenarnya banyak memberi dorongan kepada anak-anaknya yang lain. Beliau bukan setakat berjaya membentuk anak-anaknya sehingga berjaya dalarn kerjaya masing- masing malahan beliau turut memberi sumbangan besar kepada masyarakat. Sebagai contoh, dia berjaya membangunkan Kampung Tok Pinang, Serendah.
Setelah mengharungi cabaran dalarn kehidupan, beliau kini boleh tersenyum bangga melihat anak-anaknya membesar dan telah berjaya dalam pelbagai bidang. Kejayaan anak-anaknya sebenarnya adalah berkat ketabahan, ketekunan, dan pengorbanan yang diberikan selarna ini. Semua anaknya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Sekarang mereka berjaya dalam bidang masing-masing di seluruh negara, sarna ada di sektor awarn mahupun di sektor swasta. Anak perempuan sulungnya berusia 46 tahun bekerja sebagai seorang guru dan sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Malaya, manakala yang bongsu baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan. Dua orang lagi anak perempuannya juga sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Amerika dan England.
Sekarang dia boleh mengutip buah dan hasilnya. Rumah besar yang didiarni kini adalah basil titik peluhnya dan sumbangan anak-anak. Semua anaknya berperibadi mulia dan tabu membalas jasa orang tua. Kini beliau sudah bersara dan tidak perlu lagi memerah keringat, namun masa lapangnya digunakan untuk berkebun di tanah seluas tiga setengah ekar.
Pemilihan Cikgu Abu Hanit sebagai ‘Tokoh Bapa Cemerlang’ merupakan kejayaan besar yang dicapainya dalarn mendidik anak-anak. Anak-anaknya kini berjaya menjawat jawatan sebagai peguam, pendakwa raya, ahli perniagaan, pengurus estet, eksekutif bank, dan ahli perniagaan. Dengan itu, pengorbanan beliau menjadi contoh kepada ibu bapa yang lain agar dapat mengetahui rahsia di sebalik kejayaan beliau mendidik anak-anak. Sesungguhnya ‘Anugerah Bapa Cemerlang’ dapat dianggap sebagai dorongan kepada seluruh ibu bapa untuk mengasuh anak-anak mereka menjadi warga yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama, dan negara. Oleh itu, kejayaan beliau bersesuaian dengan peribahasa ‘genggam bara api, biar sampai jadi abu’
Saturday, July 9, 2011
Kajian Selamatkan Pelajar Bermasalah
SEKIAN lama berdebat dan menyalahkan antara satu sama lain, akhirnya keputusan kajian dilakukan University Virginia, Amerika Syarikat diharap mampu menutup mulut pihak bertelagah supaya berhenti bercakaran dan mengaku kesilapan diri.
Berdasarkan kajian, didapati ibu bapa dan gurulah yang sangat berkuasa dalam menentukan tahap pencapaian pelajar, sekali gus memainkan peranan paling penting terhadap pembinaan masa depan mereka.
Dapatan kajian ini sekali gus bagaikan penyelamat kepada pelajar yang selama ini sering menjadi tohmahan masyarakat yang menganggap mereka sengaja mencipta masalah untuk menarik golongan dewasa.
“Kajian ini diharap berjaya membuka mata dan menutup tuduhan pihak yang suka bertelagah agar berhenti menyalahkan antara satu sama lain.
“Dalam konteks memberi pendidikan dan memikul tanggungjawab, tiada yang benar atau bersalah.
"Sudah terbukti ibu bapa dan guru adalah golongan penting yang memegang kuasa utama dan sebenar yang berupaya mencorakkan segalanya diperlukan pelajar. Pengaruh itu pula sangat besar yang menjadi asas kepada segala tindakan dan penilaian.
“Jadi, hentikanlah sikap saling menuding jari, ego serta penuh keraguan kerana ia merugikan. Apa salahnya berdamai untuk memperlihatkan betapa teguhnya mereka di belakang pelajar.
“Sudah tentu pelajar akan lebih menghargai, menghormati dan bersemangat meneruskan kehidupan seraya mengubat kelukaan mereka kerana asyik dihentam masyarakat atas kesalahan yang mungkin kecil, tapi sengaja diperbesarkan,” kata koordinator kajian berkenaan, Prof Madya Timothy Konold.
Hakikatnya, di sebalik setiap kesalahan pelajar, ibu bapa dan guru sering kali menjadi barisan paling hadapan dikritik atau dipersalahkan, malah pelajar dilabel sengaja mengambil kesempatan.
Sebarang masalah yang terpalit pula sengaja diperbesar-besarkan bagi menunjukkan kelemahan pihak berlawanan juga mendapat sokongan daripada masyarakat.
Keadaan bertambah parah apabila masing-masing tidak mahu mengakui kesalahan, sebaliknya lebih tegar menghukum orang lain dengan hujah tersendiri sebagai jalan melepaskan diri daripada memikul tanggungjawab.
Sambil menyelar tindakan itu sebagai ‘pengecut’, Konold berkata, keadaan itu bukan saja akan menyebabkan kedua-dua golongan itu bertelagah, malah menjadikan pelajar mangsa yang serba salah membuat keputusan.
“Persoalannya, ketika sedang bertelagah itu, adakah mereka mengambil kira perasaan pelajar yang menjadi penonton? Adakah mereka sedar bahawa mereka sedang diperhatikan untuk dijadikan contoh?
“Sangat menyedihkan apabila pelajar yang hanya mempunyai masalah kecil akhirnya tidak mampu menahan diri daripada terus mencetuskan masalah lebih kerana melihat contoh tidak baik ditunjukkan ibu bapa dan guru.
“Pelajar tersepit dan kebingungan memilih siapakah pihak yang benar serta mampu membantu keluar daripada kemelut permasalahan.
Apa yang pasti, mereka akan memilih pihak lebih mendominasi biarpun salah,” katanya.Konold berkata, guru lebih baik berbanding ibu bapa dalam proses pemantauan, pemerhatian dan penilaian di sekolah manakala ibu bapa adalah kelompok paling sesuai menyelidik keperluan emosi yang terbentuk di luar lingkaran institusi.
Katanya, kedua-dua kelompok itu perlu sedar peranan serta dominasi yang dipamerkan mampu menjadi ikutan kerana pelajar akan melakarkan imej paling dominan sebagai idola.
“Pelajar hanya akan memilih contoh paling ketara untuk dijadikan model, justeru, tidak hairan apabila mereka menganggap ibu bapa atau guru yang gagal tidak boleh memberi contoh yang baik.
“Jurang konflik juga akan terbina dan pelajar mungkin memanipulasikannya untuk menyampaikan maksud tertentu. Bagi ibu bapa dan guru pula menganggap ia titik mula pelajar bermasalah.
“Sebenarnya, pelajar bukan mahu melihat siapa benar atau salah, sebaliknya mahukan jawapan selain bimbingan bagi menunjukkan kebenaran bukan melihat pertelingkahan ‘orang dewasa’,” katanya mengakui formula terbaik bagi melahirkan kejayaan ialah kerjasama antara ibu bapa dan guru.
“Inilah asas paling teguh untuk mencapai maksud itu, malangnya ia sering dilupakan kerana masing-masing ‘besar diri’ kerana menganggap sudah berjaya memainkan peranan. Pelajar pula terkial-kial membuat keputusan.
“Guru atau ibu bapa, peranan mereka sangat diperlukan sebagai pembimbing bukan pemberi tekanan. Kedua-duanya perlu bekerjasama demi kebaikan masa depan pelajar,” katanya.
Kajian berkenaan bukan saja membabitkan ibu bapa dan guru, malah 562 institusi pendidikan seluruh negara. Ia turut dibentangkan kepada Pertubuhan Penyelidikan Pendidikan Amerika Syarikat (AERA) selain sokongan Profesor Robert Pianta, pakar pendidikan yang menjalankan kajian mengenai sistem sosial dan pendidikan selama 15 tahun.
Pianta mengakui ibu bapa mempunyai kekuatan dan lebih kemahiran dalam pembinaan aspek emosi dan fizikal sama ada berbentuk nyata atau imaginasi.
Guru pula lebih bijak menangani aspek agresif, bakat dan potensi kerana pelajar selalunya ingin memotretkan diri sebagai yang terbaik di kalangan rakan sebaya.
“Diri pelajar adalah gabungan unik kerana mereka memperoleh pelbagai pendedahan dalam suasana berbeza sama ada di rumah yang dikelilingi keluarga atau sekolah bersama rakan.
“Justeru, perlunya satu mekanisme hebat untuk mencungkil ‘rahsia’ itu. Pelajar boleh menjadi ‘pengikut’ yang baik atau ‘pemberontak’ hebat berdasarkan situasi semasa.
“Ibu bapa dan guru pula adalah mentor yang boleh menjadi contoh atau musuh, maka pilihan yang tepat perlu dilakukan kerana ia penentu masa depan pelajar,” katanya.
Sikap pelajar juga, akui Pianta, adalah acuan sebenar sikap ibu bapa yang boleh memberi gambaran kepada guru untuk menilai kewibawaan mereka di rumah.
Manakala profesionalisme guru pula dinilai berdasarkan kredibiliti dan kemampuan mereka menterjemahkan proses pendidikan sama ada peka kepada keperluan semasa.
“Tidak perlu pelbagai alasan, fokus sebenar adalah kejayaan melahirkan pelajar cemerlang sama ada akademik, diri dan sebagainya. Itu sudah pasti dapat menutup mulut atau pandangan yang selama ini cuba disensasikan.
“Untuk itu, bersatulah demi kebaikan bersama, bantulah mereka yang sedang berhempas pulas cuba meneruskan perjuangan hidup lebih baik,” katanya.
INFO
Mengapa berlaku konflik antara ibu bapa dan guru?
Tekanan guru sewaktu mengajar selain dihantui kepenatan melampau kerana terpaksa menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah berbanding keluarga.
Dikritik kerana kegagalan membantu pelajar atau institusi memperoleh keputusan diharapkan.
Standard terlalu tinggi diletakkan kepada guru dan sekolah.
Faktor ekonomi dan gaya hidup ibu bapa yang terlalu fokus pada kerjaya hingga melepaskan tanggungjawab kepada guru.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Friday, July 1, 2011
SPM 2011 ; Tajuk-tajuk Penting
TEMA PENTING SEBAGAI PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2011
1. Kepentingan aktiviti kokurikulum dan cara menggalakkan pelajar menyertai aktiviti berkenaan.
2. Faedah yang diperoleh apabila kita menjalani aktiviti bersukan
3. Kepentingan aktiviti perkhemahan
4. Peranan anda dalam menjayakan kempen amalan membaca
5. Peranan keluarga dalam menjayakan amalan menabung
6. Langkah-langkah yang boleh dijalankan untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara ini dan kepentingannya
7. Cara-cara untuk membalas jasa guru anda
8. Cara-cara untuk membalas jasa ibu bapa anda
9. Cara-cara menghargai tokoh pemimpin yang anda sanjungi
10. Perkara-perkara yang perlu anda lakukan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang
Panduan:
• Sila cari maklumat lengkap tema di atas daripada majalah, akhbar, buletin, atau laman sesawang dan bincangkan tema ini bersama-sama rakan anda di bilik darjah.
• Kemukakan setiap isi penting daripada tema di atas dan sertakan contoh yang sesuai.
• Kenal pasti peribahasa yang sesuai bagi setiap isi yang anda cari
• Buatlah sebuah karangan yang lengkap mengikut kehendak soalan SPM
Selamat mencuba. Cikgu doakan anda akan berjaya dalam peperiksaan SPM 2011 dengan cemerlang. Pastikan satu A+ datang daripada subjek Bahasa Melayu.
INGATLAH USAHA BIASA HASILNYA BIASA
USAHA LUAR BIASA HASILNYA< ADALAH LUAR BIASA
Sekian, terima kasih.
Membaca Dapat Menyuburkan Minda Kita
Catatan ini khusus untuk anak-anak didikku yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini.
Kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini, mulalah dengan azam dan tekad untuk berusaha sedaya upaya. Langkah yang paling wajar dalam menghadapi peperiksaan adalah dengan membuat persediaan awal. Tidak ada gunanya bermain-main dahulu, kemudian bertungkus-lumus pada saat-saat yang akhir. Proses pembelajaran memerlukan waktu yang panjang, terutamanya bagi pembelajaran bahasa.
Menguasai bahasa mengambil masa yang lama. Aspek-aspek bahasa tidak boleh dihafalkan dalam masa dua tiga minggu. Menurut Prof. Dato' Dr. Nik Safiah Karim, bahasa diibaratkan suatu tabiat, yang perlu dipupuk, dibelai dan dibaja senantiasa. Proses ini memerlukan waktu. Oleh itu, jikalau anda hendak menjadi seorang pelajar yang pandai berbahasa Melayu, yang dapat menggunakan bahasa tersebut bukan sahaja mengikut peraturan-peraturannya yang betul, tetapi juga yang memperlihatkan unsur-unsur keindahan, maka hendaklah anda membuat persiapan-persiapan awal.
Satu cara yang amat berkesan adalah dengan menjadikan tabiat membaca satu amalan harian, iaitu membaca contoh-contoh penggunaan bahasa yang baik, betul dan indah. Carilah bahan-bahan yang sesuai dan jadikanlah tabiat membaca sebagai rekreasi harian.
Terdapat berbagai-bagai sebab seseorang itu membaca. Satu sebab yang amat berkait dengan dunia seorang pelajar ialah membaca buku untuk mencari ilmu pengetahuan, terutama daripada buku-buku teks. Membaca jenis ini wajib dilakukan oleh semua pelajar.
Satu sebab lagi orang membaca, ialah membaca untuk rekreasi. Dalam konteks ini kita membaca bukan semata-mata untuk mengutip ilmu yang ada dalam bahan yang dibaca, walaupun ini tetap berlaku setiap kali kita membaca. Membaca untuk rekreasi bermaksud, kita membaca untuk kegembiraan, untuk menghayati bahan yang dibaca.
Walau apapun tujuannya kita membaca, yang pasti dengan aktiviti membaca menjadikan penguasaan bahasa kita baik dan bertambah cekap....
Memupuk tabiat membaca tidaklah terlalu sukar. Yang penting, sikap anda harus positif. Anda membaca kerana mahu membaca, tidak kerana disuruh oleh guru atau ibu bapa anda. Selain itu, anda berasa gembira sewaktu membaca. Dengan kata lain, bahan-bahan yang anda baca itu menarik dan dapat anda hayati. Tidak ada yang menjemukan. Jikalau terdapat bahan yang menjemukan, tinggalkan sahaja bahan itu, lalu cari yang lain yang lebih menarik.
Bahasa yang digunakan untuk menulis bahan itu juga harus menarik. Anda terpesona dengan pilihan kata-kata tertentu; anda tertarik dengan cara pengarang menghuraikan sesuatu perkara atau peristiwa. Ada kalanya anda begitu tertarik sehingga mahu membaca sesuatu petikan itu sekali lagi, dan seterusnya untuk kali ketiga.
Demikianlah, jikalau perkara-perkara di atas berlaku pada diri anda, bolehlah dikatakan anda sudah separuh jalan dalam proses pemupukan tabiat membaca. Teruskanlah usaha ini; sudah pasti anda akan mendapat manfaat yang besar. Apabila itu berlaku, anda juga sudah separuh jalan ke arah penguasaan bahasa yang baik.
Yang pasti, bahasa yang baik dapat dikuasai melalui tabiat membaca....
Peribahasa ; Ungkapan Yang Menarik
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.
Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.
Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.
Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
PERIBAHASA MENGGUNAKAN PERKATAAN HATI :
PERIBAHASA 1
hati tawajud
MAKSUD
Hati yang dihadapkan semata-mata kepada Tuhan.
PERIBAHASA 2
Hati bagai baling-baling
MAKSUD
Fikiran atau pendirian yang tidak tetap.
PERIBAHASA 3
Hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang, telinga bagai telinga rawah.
MAKSUD
Orang yang kurang perasaan malunya.
PERIBAHASA 4
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
MAKSUD
Beruntung banyak sama-sama mendapat banyak, beruntung sedikit sama-sama mendapat sedikit.
PERIBAHASA 5
Hati gatal mata digaruk
MAKSUD
Perihal orang yang tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan yang dia sangat-sangat berjahat hendak melakukannya.
PERIBAHASA MENGGUNAKAN PERKATAAN HIDUNG
PERIBAHASA 1
Hidung dicium, pipi digigit
MAKSUD
Kasih sayang yang pura-pura sahaja
PERIBAHASA 2
Hidung sudah rampung diatur
MAKSUD
Orang bodoh yang sombong tidak sedar dirinya dibodohkan orang
PERIBAHASA 3
Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong
MAKSUD
Orang yang mencampuri urusan orang lain; menonjol-nonjolkan diri.
PERIBAHASA 4
Potong hidung, rosak muka
MAKSUD
Orang yang berlaku kurang baik terhadap keluarga sendiri akan mendapat malu juga
PERIBAHASA 5
Rasa tak mengapa, hidung dikeluani
MAKSUD
Orang yang membiarkan dirinya dibodohkan orang
PERIBAHASA 6
Seperti beranak besar hidung
MAKSUD
Orang yang gemar memperlihatkan barangnya yang baru
PERIBAHASA 7
Seperti kerbau dicucuk hidung
MAKSUD
Orang bodoh yang hanya mengikut perintah orang sahaja.
Anda mungkin juga meminati:
PERIBAHASA SAMA MAKSUD.
PERIBAHASA SAMA MAKSUD
1. Seperti bunga dengan perdunya
2. Seperti tanduk bersendi tulang
3. Seperti cincin dengan permata
4. Bagai pinang dibelah dua
Maksud
Pasangan suami isteri yang secocok, sama cantik, sepadan
PERIBAHASA SAMA MAKSUD
1. Seperti sirih pulang ke gagang
2. Seperti belut pulang ke lumpur
3. Seperti ikan pulang ke lubuk
4. Seperti janggut pulang ke dagu
Maksud
* Pasangan suami isteri yang rujuk semula lepas bercerai
* Balik ke tempat asal
PERIBAHASA SAMA MAKSUD
1. Sudah jatuh ditimpa tangga
2. Antah patah lesung hilang
Maksud
Kesusahan datang secara berturut-turut
PERIBAHASA SAMA MAKSUD
1. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
2. Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa
3. gar-gar kata helegar, rusuk juga yang menahannya
Maksud
Orang yang mengalami sesuatu masalah, kesukaran untuk mengetahui kesusahan sebenar yang dihadapi
PERIBAHASA SAMA MAKSUD
1. Hidup sandar-menyandar, bagai aur dengan tebing
2. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat
3. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
4. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
5. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
6. Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai
7. Terendam sama basah, terampai sama kering
Maksud
Bergotong-royong, bekerjasama, bersatu padu
PERIBAHASA SAMA MAKSUD
1. Burung terbang dipipiskan dada
2. Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan
Maksud
angan-angan ke atas sesuatu yang belum pasti.
PERIBAHASA SAMA MAKSUD
1. Belum duduk sudah berlunjur
2. Belum betul membilang, jari sudah hendak berkuasa sendiri
3. Belum pandai membuang hingus sudah hendak berjuang lidah
Maksud
Orang muda hendak berlagak seperti orang tua
Isu Pendatang Tanpa Izin : Tindakan Pemutihan Perlu Segera Dilakukan
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
ISU kebanjiran pekerja dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di mana-mana negara tidak pernah selesai.
Malaysia tidak terkecuali. Sejak 1990-an lagi, sebanyak lima program pemutihan PATI termasuk dua di Sabah telah digerakkan.
Penguatkuasaan dan pengusiran dibuat tetapi masalah kebanjiran kumpulan itu terus berulang. PATI datang dan pergi ke negara ini - mengaut rezeki 'haram' mereka dan pulang semula ke negara asal.
Meskipun begitu, Kuala Lumpur tidak pernah berputus asa.
Kali ini kerajaan dilihat amat serius mahu membendung kebanjiran PATI. Dengan kos tanggungan untuk menampung seorang PATI yang ditempatkan di 13 depot Imigresen pada kadar purata antara RM13 hingga RM30 setiap seorang untuk lima kali makan sehari, masanya telah tiba untuk menangani isu yang berlarutan sekian lama ini.
Menerusi Program 6P yang bermula 11 Julai depan, ia membawa maksud kepada enam peringkat pelaksanaan yang akan digerakkan sepanjang tempoh Program Penyelesaian Menyeluruh PATI.
"Beza program pemutihan dahulu dan Program 6P ialah kali ini ia bertujuan mendapatkan data serta biometrik sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh statistik jumlah mereka di Malaysia.
"Program bermula dengan peringkat Pendaftaran dari 11 Julai hingga 24 Julai; Pemutihan dan Pengampunan (tiga bulan dari 8 Ogos hingga 31 Oktober); Pemantauan (seminggu dari 1 hingga 7 November) dan penguatkuasaan serta pengusiran yang dilakukan secara berterusan sehingga 31 Disember nanti," kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam dalam satu taklimat kepada media di Putrajaya Khamis lalu.
1. PENDAFTARAN
- Tindakan ini selari dengan inisiatif kerajaan mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan.
Ini termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.
Dalam peringkat ini, majikan-majikan atau PATI mereka yang secara sukarela mendaftarkan diri tidak akan disenaraihitamkan atau dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Malahan PATI yang telah berdaftar dibenarkan kembali bekerja dengan majikan masing-masing menggunakan pas sementara bagi memastikan langkah tersebut tidak mengganggu aktiviti negara.
2. PEMUTIHAN
- Setiap PATI yang telah berdaftar akan dikenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing.
Jika hasil pertimbangan mendapati PATI terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan itu, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya didaftarkan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar.
Proses pemutihan ini akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.
3. PENGAMPUNAN
- PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka, masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen.
4. PEMANTAUAN
- Naziran ke premis-premis seluruh negara akan dilakukan untuk memberi nasihat kepada majikan selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P.
Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta.
5. PENGUATKUASAAN
- Pada peringkat ini, operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.
6. PENGUSIRAN
- PATI yang ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu akan dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari negara ini.
Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.
Mahmood memberitahu, empat kategori warga asing yang perlu mendaftar/didaftarkan ialah:
i. Semua warga asing yang telah masuk ke Malaysia tanpa izin dan kini tinggal serta bekerja di negara ini secara tidak sah.
ii. Semua warga asing yang masih tinggal di Malaysia selepas pas atau permit kerjanya tamat tempoh atau dibatalkan.
iii. Semua warga asing yang telah menyalahgunakan permit masuk, pas atau dokumen-dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.
iv. Semua warga asing yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang ditetapkan undang-undang Malaysia.
Menurut beliau, pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) juga tertakluk kepada keperluan untuk mendaftar di bawah Program 6P.
Mengenai keperluan pekerja asing yang mempunyai dokumen atau permit kerja sah tetapi tempoh kebenarannya hanya berbaki satu tahun berakhir untuk turut menyertai program ini, beliau menjelaskan: "Tidak perlu. Pendaftaran untuk program ini hanya dihadkan kepada PATI.
"Tidak ada bayaran dikenakan untuk proses pendaftaran jika ia dibuat di pejabat Imigresen. Tetapi jika pendaftaran dibuat dengan syarikat pengurus, caj perkhidmatan perlu dibayar. Senarai bayaran akan dimaklumkan kelak," kata Mahmood.
Pusat pendaftaran untuk PATI, kata beliau, akan dibuka di setiap daerah di Semenanjung. Bagaimanapun untuk memudahkan PATI serta majikan, mereka disaran menghubungi Bilik Gerakan KDN di talian 03-8886 8110/8112 atau talian hotline Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN1-800-22-9696 bagi merujuk lokasi terdekat dengan premis mereka masing-masing.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Polemik Bahasa Melayu : Siapa yang Perlekehkan Bahasa
Oleh Melati Mohd Ariff
Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik Bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?
Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.
Bahagian ke-4 ini menyentuh pandangan sasterawan dan penyair yang tidak asing lagi, Prof Madya Dr Lim Swee Tin mengenai polemik Bahasa Melayu.
SERDANG, 28 Jun (Bernama) --- "Perlekeh bahasa". Kenyataan yang menjurus khusus kepada anak-anak muda hari ini mungkin keras dan pedas.
Ramai juga yang mungkin sanggup menyingsing lengan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dibuat.
Realitinya pasang-pasanglah telinga mendengar percakapan serta perbualan sesetengah anak muda serta anak-anak sekolah, malahan termasuk mereka di sekolah rendah.
Perhatikan juga bahasa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mungkin anda terima atau yang terpampang di skrin televisyen oleh stesen televisyen tertentu.
"Lebih cepat", "menjimatkan masa" dan "Bahasa Melayu leceh panjang dan berjela" antara yang dijadikan alasan untuk mencemari bahasa sesuka hati mereka.
Daripada sekadar santai dan suka-suka, ada yang melarat sehingga menggunakan bahasa SMS ini untuk tugasan sekolah malahan dalam menjawab soalan peperiksaan di peringkat universiti!
Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bagaimana hendak kita murnikan ungkapan "Bahasa Jiwa Bangsa" yang sering dilaung-laungkan!
CITA RASA
"Sudah berlaku anjakan yang jauh. Kebanyakan generasi muda semacam ada satu acuan Bahasa Melayu yang sudah dirosakkan dan ini semakin menjalar dan berkembang.
"Generasi muda menggunakan bahasa dalam lingkungan mereka dengan apa yang mereka percaya dan sesuai untuk generasi mereka.
"Saya melihat kecenderungan meringkaskan kata, membuang imbuhan dan yang paling ketara pada masa ini menggugurkan vokal dalam penulisan," demikian pandangan Prof Madya Dr Lim Swee Tin, Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau memberi komen ini apabila diminta pandangannya mengenai penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
Mengenai bahasa SMS pula, beliau mengakui merasa amat terluka dengan bahasa yang digunakan.
"Dalam SMS pun saya tetap mempertahan kepersisan bahasa, menggunakan bahasa itu sebagaimana yang sewajarnya, " katanya.
Sepanjang dua jam wawancara, penyair tersohor ini ternyata begitu rimas dengan perkembangan yang menimpa nasib Bahasa Melayu pada hari ini.
Rasa bimbang dan khuatirnya seiring dengan bait-bait puisi mengenai nasib Bahasa Melayu yang acap kali dideklamasikan seperti dalam puisi bertajuk "Masih Bahasaku."
Antara bait-bait puisi ini berbunyi "Bahasaku masih di samudera luas, Menampan angin kencang, Melentur ombak bergelombang.
"Bahasaku sukma bangsa, Ia mengalir di jernih jiwa, Kita kembara menjulang panji-panji, Tetapi di tangan menggenggam keji, Bahasaku pautan hayat, Ia menggitakan setia rakyat, Kita bernafas mengemam kasih, Namun kelukaan berganti silih."
BAHASA ROJAK
Kecenderungan sesetengah orang menggunakan bahasa rojak yakni penggunaan Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berselang-seli turut mengundang kekhuatiran di hati pejuang bahasa ini.
Bagi beliau mereka yang menggunakan bahasa ini perlu diberitahu bahawa apa yang mereka lakukan itu hanya merosakkan kemurnian Bahasa Melayu.
Beliau turut tidak senang dengan kecenderungan meringkaskan perkataan Inggeris seperti "Ori" (Original) dan "Otai" (Old Timer).
Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa apa yang berlaku tidak boleh disekat memandangkan perkataan-perkataan itu sudah diterima secara meluas termasuk pakar bahasa dan media.
Bagi diri Dr Lim, polemik Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda ini menunjukkan semacam wujud dalam bahasa yang lembut "tuntutan" dan dalam bahasa yang tegas "desakan".
"Desakan untuk beranjak dari segi penggunaan Bahasa Melayu ini bukan dibuat secara tidak sedar.
"Bagi mereka, pedulikan orang lama. Secara senyap mereka mahu menyesuaikan bahasa dengan generasi mereka," kata beliau dalam wawancara dengan Bernama di UPM di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga penyair tersohor adalah penerima S.E.A Write Award 2000 iaitu penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.
DIROSAKKAN
Dr Lim bukan sahaja menegur kepincangan Bahasa Melayu yang berlaku dalam kalangan anak muda tetapi juga yang digunakan oleh media termasuk media cetak dan media elektronik.
Bagi beliau, program radio adalah antara penyebab Bahasa Melayu dirosakkan.
Mengambil contoh sebuah stesen radio swasta yang sangat popular dan mempunyai jumlah pendengar yang sangat besar, beliau jelas bimbang dengan bahasa rojak yang digunakan oleh penyampai stesen radio berkenaan.
"Bahasa yang digunakan sangat rosak tapi itulah yang akan menjadi ikutan. Inilah yang saya katakan Bahasa Melayu bukan rosak tetapi Bahasa Melayu dirosakkan.
"Walaupun bahasa santai dan program santai dan walaupun radio swasta,ia diakses di seluruh negara. Jadi bagi saya tiada kompromi. Hal ini tidak boleh dikompromi.
"Stesen-stesen radio ini sebenarnya berlumba-lumba mencari pendengar yang lebih besar untuk mendapat dana yang banyak daripada pengiklan akan tetapi dari sisi yang lain, bahasa kita rosak binasa," jelas Dr Lim.
TANGGUNG JAWAB DAN ETIKA
Memandangkan pengaruh besar media, pengamal media termasuk radio dan televisyen sepatutnya berada di barisan hadapan bersama-sama pejuang untuk mempertahan kemurnian Bahasa Melayu.
Dalam arus peredaran zaman sekarang, Dr Lim menegaskan sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan kerosakan Bahasa Melayu.
Dalam hal yang sama, media juga perlu ada tanggungjawab sosial dan etika untuk mengelakkan kerosakan Bahasa Melayu daripada menjadi semakin parah.
Di samping penggunaan bahasa rojak, Dr Lim juga menegur tindakan sesetengah pihak yang membuat terjemahan bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu secara sesuka hati mereka.
"Kita tidak boleh membuat terjemahan bebas mahupun mencipta istilah secara sewenang-wenangnya.
"Dewan Bahasa dan Pustaka ada sistem untuk terjemahan dan kata pinjaman. Ini sudah lama diamalkan.
"Jika sistem ini diabaikan, ini akan menyebabkan satu lagi kerosakan kepada sistem bahasa dan jika dibiarkan saya sekali lagi merasa dukacita bahasa kita akan sangat tercemar nanti," keluhnya.
PANTAU MAJALAH
Lambakan pelbagai bahan bacaan termasuk majalah hiburan turut membuka ruang kepada pencemaran bahasa jika tidak ada pemantauan pihak berkuasa berkenaan.
Di tengah-tengah ledakan isu bahasa rojak beberapa tahun lepas, Dr Lim memberitahu bahawa beliau mengambil daya usaha sendiri untuk memantau semua majalah yang ada dalam pasaran.
Bukan sedikit wang yang dibelanjakan untuk tujuan ini.
"Saya membuat pemantauan ini supaya apabila saya bercakap saya bukan bercakap sesuka hati atau bercakap kosong. Ia berdasarkan apa yang ada di depan saya," jelasnya.
Menurut Dr Lim ada dua majalah daripada sejumlah majalah yang dipantaunya yang dari kulit ke kulit keseluruhannya menggunakan bahasa SMS yang sangat rosak bahasanya.
Majalah itu adalah majalah hiburan, diterbitkan dua bulan sekali dan difahamkan sangat laku dalam kalangan pengguna.
"Yang menjadi persoalannya mengapa majalah seperti ini diterbitkan.
"Ditambah pula dengan sekarang ini begitu banyak komik yang sangat digemari kanak-kanak dan remaja dengan bahasa yang sangat teruk.
"Jadi kalau ini yang disebarkan dan jangan lupa apabila bahasa yang salah, bahasa yang tidak betul, bahasa yang salah sistemnya ini disumbat dari hari ke hari maka lama kelamaan ia menjadi kebiasaan," tegas Dr Lim.
HIDUP BAHASA
Dalam keadaan Bahasa Melayu yang diperlekeh dan dicemari ini ahli bahasa, guru bahasa dan mereka yang ada kaitan dengan perjuangan kebahasaan sudah tentunya berasa tidak senang hati termasuk Dr Lim sendiri.
Namun demikian, beliau akur bahawa sesuatu bahasa itu hidup kerana penggunanya.
"Kita tidak boleh melupakan hakikat yang nyata bahawa bahasa itu hidup dalam kalangan pengguna bukan semata-mata di atas kertas.
"Maka dengan demikian apa yang kita boleh lakukan ialah membimbing mereka supaya tidak pergi terlalu jauh dan supaya bahasa kita tidak terus rosak," tegasnya.
Sehubungan dengan itu, Dr Lim menyarankan pejuang bahasa dan orang yang pakar dalam bidang bahasa mengambil pendekatan melentur dan menyeimbang antara kemurnian bahasa dengan tuntutan pengguna semasa.
Menurut beliau dalam hal itu generasi muda terutamanya perlu diberi perhatian dan diajak berbincang untuk menyedarkan mereka bahawa perubahan yang ingin dibuat itu adalah dari aspek yang salah.
"Dengan cara demikian kita harapkan bahasa kita kekal murni. Apa juga perubahan yang dibuat, ia sepatutnya tidak merosakkan sistem.
"Selagi kita ada peluang, ruang atau kesempatan kita harus melakukan sesuatu dengan segera," katanya.
Dr Lim yang telah terbabit dengan perjuangan Bahasa Melayu sejak empat dekad yang lalu yakin saranan yang dilontarkannya itu tidak mustahil untuk dilakukan.
"Dulu dalam era 90-an, kita ada kumpulan anak muda yang sangat gilakan muzik rock, heavy metal termasuk black metal.
"Anak-anak muda ini bercakap lu gua, lu gua dan apabila ahli bahasa menegur, lambat laun mereka tinggalkan," jelasnya.
USAHA BERTERUSAN
Bagaimanapun, usaha menegur ini pastinya perlu dibuat secara berterusan kerana sogokan Bahasa Melayu yang tercemar berlaku sepanjang masa.
Ahli, pejuang, pakar serta ilmuwan bahasa di samping guru bahasa juga perlu lebih proaktif di dalam hal ini.
"Kadang-kadang saya khuatir orang selalu memberi jawapan kita sudah buat bermacam-macam seminar mengapa masyarakat masih tidak peka?
"Tetapi saya suka menyatakan bahawa seminar itu untuk siapa? siapa yang hadir? Kebanyakannya hanya dari kalangan mereka sahaja.
Kelompok muda mana nak pergi dengar seminar yang macam itu.
"Yang kita bimbang, rumusan, keputusan dan ketetapan seminar tidak sampai kepada sasarannya dan hanya terselit dicelah-celah fail sahaja," kata Dr Lim yang menambah jika disebarluaskan, masyarakat dapat menerima perubahan yang dilakukan dan dirumuskan oleh ahli-ahli bahasa ini.
Dalam hal pencemaran Bahasa Melayu, Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi turut disaran membuat pemantauan dalam bidang kuasa yang lebih menyeluruh.
"Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim sangat menjaga kemurnian Bahasa Melayu. Saya percaya kementeriannya mempunyai kuasa bukan setakat menasihat atau menegur sahaja.
"Saya fikir pihak yang ada kaitan dengan pencemaran bahasa ini perlu diberi amaran, jangan diberi peringatan sahaja.
"Kita juga perlu mengadakan aktiviti pengetahuan dan kesantunan bahasa sepanjang tahun, perlu dilakukan juga pengisian demi pengisian. Kita tidak boleh patah hati, patah semangat," kata Dr Lim.
Sumber : http : //www.bernama.com.my/
Subscribe to:
Posts (Atom)