GHADDAR (kiri) dicabar kapten Sime Darby, Es Lizuan Zahid pada aksi final Piala FA 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
KELANTAN muncul juara Piala FA selepas menewaskan Sime Darby
1-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Penyerang import, Muhamad Ghaddar muncul watak utama di
sebalik kejayaan manis Kelantan itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada
minit ke-59 menerusi sepakan penalti.
Sepakan penalti itu berpunca selepas tonggak pertahanan Sime
Darby, menolak pemain Kelantan, Obinna Nwaneri dalam kotak penalti.
Ghaddar yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti
itu mudah menolak masuk bola ke gawang Sime Darby yang dikemudi penjaga gol,
Mohd. Redzuan Harun.
Jaringan tunggal penyerang kelahiran Lebanon itu sudah cukup
buat Kelantan memadam kekecewaan sebelum ini apabila tewas dalam aksi final
Piala FA edisi 2009 dan 2011.
Pada 2009, Kelantan tewas 1-4 kepada Selangor pada penentuan
sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa
tambahan.
Musim lalu, Kelantan terus kempunan mendakap Piala FA apabila
tewas 1-2 kepada jiran tetangga, Terengganu pada aksi final penuh dramatik di
Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kejayaan Kelantan menjulang Piala FA yang baharu itu malam
tadi diraikan bersama kira-kira 67,000 penyokong setia The Red Warriors yang
hadir ke stadium.
Pada aksi itu, rentak permainan seimbang ditunjukkan
kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama berlangsung.
Bagaimanapun, Sime Darby terlebih dahulu menguji benteng
Kelantan apabila percubaan Azmirul Azmi seawal minit kesembilan berjaya
dinafikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan menerima tamparan apabila tonggak pertahanan, S.
Subramaniam terpaksa dikeluarkan apabila mengalami kecederaan di bahagian
kepala selepas bertembung dengan penyerang Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh
pada minit ke-28.
Peluang terbaik Kelantan untuk mencipta jaringan hadir
menerusi kapten, Mohd. Badhri Radzi, namun bola tandukannya pada minit ke-36 gagal
menerjah gawang Sime Darby.
Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan terus melancarkan
serangan bertali arus ke kubu Sime Darby bagi memburu gol.
Akhirnya gol yang dicari-cari menjelma pada minit ke-59 hasil
sepakan penalti Ghaddar.
Tersentak dengan gol tersebut, Sime Darby mula mengatur
rentak lebih kemas bagi mencari gol penyamaan.
Bagaimanapun, beberapa peluang yang terhidang gagal
diterjemahkan dengan baik.
Kelantan hampir menggandakan jaringan menerusi Indra Putra
Mahayuddin, namun percubaannya pada minit ke-85 dinafikan Mohd. Redzuan.
No comments:
Post a Comment