Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, May 20, 2009

Panorama Perak - Majlis Daerah Selama

Bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Larut, Matang dan Selama

Majlis Daerah Selama adalah badan pentadbiran yang mentadbir daerah Selama iaitu daerah gabungan Larut, Matang dan Selama di negeri Perak.

Majlis Daerah Selama mula beroperasi pada sekitar awal tahun 1950-an yang dikenali sebagai Lembaga Bandaran Selama.

Pada tahun 1948 berlakunya darurat, maka wujud kawasan perkampungan Melayu dan Cina di kawasan Redang Panjang, Bagan Baru, Sungai Terap, Kubu Gajah dan Rantau Panjang.

Perkampungan Baru dinamakan untuk perkampungan Melayu dan Local Council untuk perkampungan Cina.

Pada tahun 1952 Lembaga Bandaran Selama berada di bawah kuasa Local Authorities Election Ordinance. Kemudian pada tahun 1953 nama Lembaga Bandaran ditukar kepada Majlis Tempatan.

Majlis Tempatan ini mentadbir kawasan Kampung Melayu (Kampung Baru) dan Cina (Local Council). Pemecahan pentadbiran ini masih di bawah Local Council Ordinance.

Majlis Tempatan dipengerusikan Pegawai Daerah dan Ahli Jawatankuasanya adalah dalam kalangan penduduk tempatan yang dipilih melalui pilihanraya Kerajaan Tempatan. Sekarang ia bernaung secara lansung di bawah kerajaan negeri.

Pada 28 Oktober 1964, Suruhanjaya DiRaja di bawah Athi Nahappan ditubuhkan untuk menyiasat perjalanan penguasa tempatan di Malaysia Barat. Salah satu cadangan yang dibuat iaitu mencantumkan antara Penguasa Tempatan dengan beberapa Penguasa Tempatan yang lain untuk menjadikan satu identiti.

Pada tahun 1965 berlaku kucar-kacir dalam pentadbiran majlis tempatan dan juga pembatalan pilihanraya kerajaan tempatan. Disebabkan hal itu, Kerajaan Tempatan dan Ahli Jawatankuasa dilantik kerajaan negeri dan Pengerusinya dilantik Ahli Jawatankuasa dengan persetujuan kerajaan negeri.

Pengisytiharan Majlis Daerah Selama berlaku pada 1 Disember 1979 dengan pergabungan Penguasa-penguasa Tempatan dari kawasan-kawasan Selama, Sungai Terap, Sungai Bayor, Bagan Baru, Redang Panjang, Kampung Masjid, Rantau Panjang dan Kubu Gajah.

Kerajaan Negeri Perak mewartakan Majlis Daerah Selama sebagai Majlis Daerah pada 24 April 1980. Majlis Daerah ini mentadbir kawasan seluas 764.73 kilometer persegi.

Sumber: Sinar Harian

No comments: