LONDON: Wanita dinasihatkan supaya berhati-hati menggunakan deodoran atau pewangi ketiak kerana saintis menemui kaitannya dengan barah payu dara, lapor akhbar The Telegraph.


Paras tinggi aluminium, yang membentuk 90 peratus daripada bahagian antipeluh kebanyakan produk, ditemui dalam tisu payu dara pesakit barah yang menjalani prosedur mastektomi.

Elemen itu dikaitkan dengan penyakit berkenaan oleh kajian terdahulu.

Saintis sebelum ini memberi amaran bahawa aluminium boleh diserap menerusi kulit, terutama selepas ketiak dicukur.

Sebaik berada di dalam tubuh, ia mungkin meniru hormon oestrogen, yang diketahui terbabit dalam perkembangan dan kemajuan barah payu dara.

Penyelidik mendapati paras tinggi aluminium di bahagian bawah ketiak payu dara berbanding bahagian lain pada 17 pesakit.

Bagaimanapun, saintis berkata mereka gagal membuktikan wujudnya kaitan langsung antara kehadiran lebihan aluminium dan penggunaan antipeluh. Elemen itu mungkin datang dari sumber lain, kata mereka. – Agensi
Hit: 23 Laman Asal