HURAIKAN EMPAT (4) KEPENTINGAN
KOMUNIKASI KEPADA SESEBUAH PERNIAGAAN.
Pengenalan
Komunikasi merupakan suatu
elemen penting dalam kehidupan manusia. Setiap manusia akan berkomunikasi atau
berinteraksi sama ada dengan ibu bapa, keluarga, kawan-kawan, masyarakat, rakan
sepejabat dan sebagainya. Sebagaimana isi dan kuku, komunikasi dalam sesebuah
perniagaan juga tidak dapat dipisahkan. Saodah, Narimah dan Mohd Yusof (2003)
menerangkan komunikasi merupakan suatu yang asas seperti mana keperluan kita
untuk makanan, tempat tinggal dan pakaian. Kakitangan sesebuah perniagaan akan
berkomunikasi sama ada antara rakan sepejabat atau dengan pihak atasan untuk
melancarkan tugas harian mereka. Kebiasaannya ia melibatkan proses pertukaran
dan koordinasi maklumat. Justeru itu, komunikasi merupakan sebahagian daripada
elemen penting dalam menentukan kecekapan dan kemajuan sesebuah entiti
perniagaan.
Definisi komunikasi organisasi
Kamus Dewan Edisi Keempat
(2007) mentakrifkan komunikasi sebagai perhubungan sama ada secara langsung
atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan sebagainya. Manakala menurut
Bovee dan Thill (2000), komunikasi merupakan proses penghantaran dan penerimaan
maklumat. Secara umumnya, komunikasi ialah proses perpindahan maklumat, idea
dan sikap daripada seseorang kepada seseorang (Emery, Ault & Agee,1965). Komunikasi
menjadi paling berkesan apabila individu yang berinteraksi atau berkomunikasi
dapat berkongsi kefahaman, merangsang pihak lain dan bertindak balas serta
menggalakkan pihak lain untuk terus berfikir.
Saodah, Narimah
dan Mohd Yusof (2003) juga mentakrifkan organisasi atau sesebuah perniagaan
mengandungi sekumpulan individu yang saling bekerjasama untuk mencapai suatu
matlamat yang telah dipersetujui bersama. Contohnya, organisasi seperti Bank
Simpanan Nasional (BSN) mempunyai misi dan visi yang telah ditentukan dan perlu
dicapai oleh setiap warga BSN.
Manakala Goldhaber
(1993) mendefinisikan komunikasi perniagaan sebagai satu proses pembentukan dan
pertukaran mesej antara jaringan hubungan yang saling bergantungan untuk
menangani persekitaran yang tidak menentu. Ringkasnya, komunikasi perniagaan
adalah salah satu kaedah untuk mengurus dan mengarahkan warga organisasi di
sesebuah perniagaan supaya terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan
sesebuah perniagaan.
Kepentingan komunikasi perniagaan
Kepentingan
komunikasi terhadap sesebuah perniagaan dapat dipecahkan kepada empat kategori
utama iaitu hubungan dalaman organisasi, perhubungan antara individu dalam
perniagaan, hubungan dengan pihak luar dan sebagai alat penyaluran maklumat.
Kepentingan utama komunikasi terhadap
sesebuah perniagaan ialah ianya penting dalam menjaga hubungan dalaman sesebuah
entiti perniagaan. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, sesebuah entiti
perniagaan atau organisasi mempunyai misi dan visi yang telah ditetapkan.
Setiap warga perniagaan perlu sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat
organisasi mereka. Bertitik tolak daripada itu komunikasi memainkan peranan
penting dalam menjalinkan hubungan baik pihak atasan dengan pihak subordinat.
Pada hari ini, kecanggihan teknologi membolehkan proses pengarahan untuk
melaksanakan sesuatu tugas dapat dikeluarkan dalam pelbagai bentuk sama ada
memo, surat, e-mail, telefon dan sebagainya. Pihak pengurusan perlu bijak
menggunakan komunikasi yang bersesuaian agar situasi konduksif dapat diwujudkan
dalam permis mereka dan secara tidak lansung dapat meningkatkan prestasi kerja
dan produktiviti perniagaan mereka.
Selain itu kepentingan
komunikasi juga ialah sebagai alat perhubungan antara individu dalam
perniagaan. Menurut Mohd Fadzilah Kamsah dan Md. Yadi Said (2005), komunikasi
yang terdapat dalam perniagaan bukan semata-mata untuk menjalankan tugas dan
aktiviti yang telah ditentukan oleh pihak pengurusan sahaja tetapi komunikasi
juga dibentuk untuk mewujudkan jaringan perhubungan antara rakan sekerja dan
juga pihak atasan. Komunikasi yang terjalin antara individu dalam sesebuah
perniagaan melibatkan hubungan secara formal dan juga bukan formal. Kedua-dua
hubungan tersebut perlu seimbang bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni, tanpa
tekanan dan tanpa sebarang konflik peribadi. Contohnya, kakitangan kaunter BSN
mampu menyerap tekanan kerja dan menghalang konflik dalaman kerana mereka
sentiasa didedahkan mengenai kemahiran berkomunikasi. Seterusnya implikasi dari
interaksi yang seimbang ialah ia memberi kepuasan dan keseronokan bekerja di
kalangan individu dalam perniagaan tersebut disamping mengukuhkan semangat
kecintaan terhadap entiti perniagaan mereka.
Kepentingan komunikasi yang ketiga ialah mengenai hubungan dengan pihak
luar. Kepentingan komunikasi perniagaan bukan sahaja tertakluk kepada warga
kerja di dalam sesebuah organisasi tertentu sahaja malah ianya juga penting
dalam menjaga hubungan baik sesebuah perniagaan dengan pihak luar seperti
agensi-agensi kerajaan, masyarakat umum, pembekal, media dan para pelanggan
secara konsisten. Ini kerana sesebuah entiti perniagaan akan diadili melalui
komunikasi lisan dan bukan lisan oleh pihak luar khasnya, para pelanggan
mereka. Teori ini disokong oleh sarjana (Joseph Lark dan Harry Hont) melalui Teori Tingkap Johari dan
idea Imam Al-Ghazali (Saodah, Narimah dan Mohd Yusof, 2003). Imam Al-Ghazali menyatakan tidak semua perkara yang
pemimpin tahu diketahui oleh pengikut, begitu juga sebaliknya. Secara tidak
langsungnya, pembinaan imej melalui komunikasi tanpa lisan dan lisan boleh
memperbaiki kekurangan lahiriah dan batiniah. Contohnya program Karnival TV3
SureHeboh yang terbukti berjaya mendekatkan masyarakat umum dengan pihak
pengurusan TV3. Oleh itu, peranan komunikasi dalam sesebuah perniagaan bukan
sahaja berorientasikan keuntungan malah ianya juga penting dalam menjaga
hubungan sesebuah entiti perniagaan dengan pihak luar atas dasar memenuhi
tanggungjawab sosial.
Keempat komunikasi sebagai alat penyaluran maklumat. Lazimnya sesebuah
perniagaan menjadikan komunikasi sebagai satu mekanisma untuk menyalurkan
maklumat kepada masyarakat umum dan juga kepada warga organisasi mereka. Pihak
pengurusan menggunakan saluran komunikasi untuk menyampaikan maklumat sama ada
melalui medium komunikasi khasnya kepada kakitangan mereka dari pelbagai latar
jawatan. Komunikasi berkesan mampu bertindak sebagai anjakan paradigma dan
penggerak kepada motivasi para pekerja untuk meningkatkan produktiviti
syarikat. Media baru seperti komputer dan internet menjadi medium utama pilihan
pihak pengurusan untuk menyampaikan segala informasi kepada pekerja mereka. Selain
itu ia juga dapat menangani sebarang bentuk konflik
yang wujud dalam sesebuah perniagaan. Justeru bagi memastikan semua
keputusan pengurusan dilaksanakan dengan berkesan teknologi komunikasi pada
hari ini di lihat sebagai tidak bergerak secara sendiri kerana perkembangan
teknologi komunikasi yang tidak terbendung. Justeru teknologi komunikasi turut
membantu dalam menjalankan urusan kepemimpinan antaranya ialah faks, telefon,
komputer, e-mail, memo dan lain-lain lagi. Masalah jarak tidak lagi wujud pada
hari ini kerana pemimpin boleh berhubung atau berkomunikasi dengan pengikutnya
tanpa mengira di mana ia berada. Selain itu organisasi
juga mempelbagaikan bentuk komunikasi mereka dengan masyarakat umum seperti
melalui iklan sama ada di media elektronik atau media cetak.
Kesimpulan
Komunikasi perniagaan merupakan nadi utama dalam memastikan
kejayaan sesebuah entiti perniagaan mencapai matlamat mereka. Komunikasi
merupakan wadah utama yang menghubungkan sesebuah perniagaan dengan masyarakat
umum. Malah komunikasi yang berkesan membolehkan setiap kakitangan di sesebuah
entiti perniagaan menguruskan perniagaan mereka dengan lebih cekap dan
tersusun. Oleh yang demikian, secara tidak langsung ia berupaya memberi
pulangan keuntungan kepada entiti perniagaan tersebut. Ringkasnya komunikasi
yang efektif memberi implikasi positif kepada organisasi dan para pelanggan
mereka.
BIBLIOGRAFI
Bovee,C.L. & Thill, J.V. (2000). Business communication today. New
Jersey:
Prentice Hall,Inc.
Emery,R., Ault,P. & Agee, W.K. (1965). Introduction to mass communication.
Bombay: Vaklis, Feefer and
Simons Printer Ltd.
Kamus
Dewan Edisi Keempat. (2007).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Goldhaber, G.M. (1993). Organizational communication. New York: Times Mirror
International.
Mohd Fadzilah Kamsah dan Md. Yadi Said.
(2005). Anda berkuasa apabila…?.
Selangor: PTS Litera Utama.
Saodah Wok, Narimah Ismail & Mohd Yusof
Hussain. (2003). Teori-teori komunikasi.
Bentong: PTS Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment