DI SEBELAH SAYAP LALAT ADA PENAWAR?


Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :
Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, maka benamkanlah (lalat itu sepenuhnya dalam minuman itu) dan kemudian buanglah (lalat) itu. Kerana sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyembuh manakala pada sebelah yang lain terdapat penyakit. [1]
Hadis kelihatan aneh, bagaimana lalat yang dikenali sebagai binatang pengotor dapat dikatakan “ubat” ?
Lalat memang dikenali sebagai binatang pengotor dan pembawa penyakit. Hal ini sepertimana yang telah diterangkan dalam hadis di atas: ……sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyakit…… .
Namun perlu difikirkan kenapakah kekotoran, yakni pelbagai jenis bakteria yang terdapat pada tubuh badan lalat tidak mengakibatkan penyakit kepada lalat itu sendiri ? Jawapannya adalah kerana lalat memiliki daya tahanan badan semulajadi yang menghasilkan sejenis toksin yang bertindak sebagai penawar (antidote) yang memelihara dirinya daripada bahaya bakteria-bakteria tersebut. Hal inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai: …… manakala pada sebelah yang lain terdapat penyembuh.
Toksin inilah juga yang akan bertindak sebagai penawar terhadap bakteria yang dibawa oleh lalat yang terjatuh dalam minuman itu tadi. Untuk memperoleh manfaat yang sepenuhnya daripada toksin ini, hendaklah dibenamkan lalat itu seluruhnya ke dalam minuman tersebut. Tindakan ini memang akan menyebabkan minuman tersebut terdedah kepada lebih banyak bakteria lalat tetapi pada waktu yang sama toksin lalat tersebut akan membunuh bakteria yang dibawanya. Hadis di atas tidaklah aneh tetapi ia memiliki nilai perubatan yang sangat tinggi di dalamnya.
Banyak ahli biologi dan ahli sains yang mengkaji toksin pelbagai binatang yang berbisa seperti kala jengking, lipan, labah-labah Tarantula, ular dan sebagainya untuk dijadikan ubat penawar pelbagai penyakit. Hal ini juga telah didahului oleh para tabib cina sejak beberapa kurun yang lampau. Prinsip kajian ini sama sahaja, iaitu jika toksin binatang-binatang berbisa tersebut mampu menjaga diri tuannya daripada bahaya bisa (venom) yang dibawanya, sudah tentu toksin tersebut juga mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit manusia.
Oleh itu hadis di atas dari sudut ukuran perubatan adalah benar lagi sahih.
Demikian beberapa hadis tentang kaedah perubatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang masyhur dipertikaikan. Ingatlah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali akan mendiagnosakan sesuatu penyakit dengan kaedah perubatan yang salah atau memudaratkan. Sabda baginda:
Sesiapa yang menjadi doktor padahal dia tidak ada ilmu dalam bidang perubatan sebelum itu, maka dia dipertanggungjawabkan (atas apa-apa risiko yang akan timbul).[2]
--------------------- Nota Kaki : [1] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5782 (Kitab Tibb, Bab Apabila lalat jatuh…………).
[2] Hasan: Hadis daripada Syu’bah, daripada datuknya, dikeluarkan oleh Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Hakim, al-Daruquthni dan lain-lain. Isnadnya dinilai hasan oleh Mujaddi bin Mansur al-Shuri dalam Sunan al-Daruquthni (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996) – no: 4452 dan oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam Sunan Ibn Majah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998) – no: 3466 (Kitab Tibb, Bab Sesiapa yang berubat tanpa ilmu perubatan).
Kredit kepada : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HadisMusykil/tajuk27.htm
Hit: 9 Laman Asal