Jumaat, 1 Julai 2011



TANAH KTMB TANJUNG PAGAR BUKAN MILIK KITA LAGI

“Selamat tinggal Tanjung Pagar” mungkin paling tepat diucapkan apabila bermula hari ini, tanah Keretapi Tanah Melayu (KTMB), di Tanjung Pagar bukan lagi milik Malaysia.
Ianya kerana pada 24 Mei tahun lalu, kerajaan BN melalui Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak bersetuju menamatkan khidmat KTMB di Tanjung Pagar bermula 1 Julai 2011 dan akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP).
Sementara itu, PAS menyifatkan kehilangan tanah KTMB itu membuktikan BN tidak lagi mampu mempertahan kedaulatan negara ini.
Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, rakyat perlu melihat ketidakmampuan kerajaan BN itu apatah lagi untuk menjaga dan mempertahan perkara bertindih yang lain.
“Barisan Nasional tidak boleh lagi menjamin kedudukan politik dan kedaulatan negara dengan lebih baik pada masa akan datang. Itu warisan terakhir tanah Malaysia di Singapura. Ia hilang dan gagal dipertahankan dibawah era pentadbiran Najib.
“Kita tak tahu apa apakah kita akan kehilangan lagi perkara-perkara berkaitan pertindihan yang masih tidak selesai. Ia tak boleh dipertahan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Beliau memberikan reaksi terhadap kehilangan tanah seluas 200 hektar atau 494 ekar termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar mulai hari ini, 1 Julai 2011.
Kesemua tanah itu dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd.
Syarikat itu melibatkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan, dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu.
“Sebelum ini kita kehilangan Pulau Batu Puteh. Sekarang tanah KTMB pula. Kita tak punya lagi warisan yang memberi erti yang besar dalam konsteks warisan negara.
“Seharusnya jika rundingan dibuat, pertimbangan tidak boleh merugikan negara, atau sekurang-kurang dalam keadaan ‘win-winsituation’.
“Saya kesal dengan kehilangan itu. Dah sampai masanya rakyat untuk melihat sikap Barisan Nasional,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat semalam memaklumkan upacara ‘Tangisan Tanjung Pagar’ dibuat di stesen keretapi Johor Bahru semalam.
Mereka memakai baju putih dan seluar gelap sebagai tanda simbolik kehilangan tanah milik KTMB.



Perasaan kakitangan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar dan Bukit Timah semakin sayu menjelang penyerahan kedua-dua stesen itu kepada kerajaan republik ini pada 1 Julai .
Paling merasainya sudah tentu ketua di kedua-dua stesen tersebut apabila kereta api terakhir akan bertolak pada pukul 11 malam 30 Jun ini dari Stesen Tanjung Pagar, membawa pergi segala apa yang dapat dipindahkan dan meninggalkan hanya kenangan.
Ketua Stesen Bukit Timah, Atan Ahmad, 46, berkata, dia ditugaskan di stesen tersebut sejak 1998 dan banyak memori dalam menguruskan stesen separa elektrik dengan tiga landasan tersebut.
“Penduduk yang tinggal berdekatan dengan stesen ada datang menemui saya sebaik sahaja berita stesen ini akan ditutup dan memberitahu yang mereka akan merindui pemandangan gerabak kereta api melalui kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di stesen tersebut dalam lawatan Eksplorasi Media KTMB Singapura, di sini hari ini.
Lawatan khas itu membawa kira-kira 40 pemberita ke Stesen KTMB Tanjung Pagar dan Bukit Timah serta depot kereta api dengan menggunakan troli yang biasanya digunakan untuk pemeriksaan landasan, penyelenggaraan dan pelbagai tujuan lain.
Berkuat kuasa 1 Julai, perkhidmatan kereta api ke stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah akan ditamatkan dengan KTMB mengakhiri perkhidmatan kereta api ke republik ini di Woodlands Train Checkpoint (WTCP).
Sementara itu, Ketua Stesen Tanjung Pagar, Shamsul Bahri Sahri, 43, mengakui cukup sayu menjelang tarikh 1 Julai yang tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi.
Menurutnya, ini kerana dia akan meninggalkan stesen tersebut selepas 15 tahun berkhidmat di sini dan akan menggalas tugas baru sebagai pengawal trafik koc di Kuala Lumpur.
“Saya bukan jenis yang mudah menangis, tetapi apabila tumpah air mata saya menggambarkan betapa dalamnya kenangan dan nilai sentimental di sini,” katanya.
Dia berharap kerajaan Singapura menunaikan janji untuk mengekalkan bangunan stesen kereta api Tanjung Pagar sebagai tapak warisan.
Pengurus KTMB Wilayah Tenggara, Tariq Umar Mohamed berkata, kereta api terakhir akan bertolak pada 11 malam dengan membawa 90 kakitangan KTMB yang bertugas di sini.
Selamat Tinggal stesen Tg Pagar, Sultan Johor antara 100 penumpang akhir
Tepat pukul 11 malam ini, kereta api Senandung Sutera — perkhidmatan terakhir dari stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, Singapura — akan melabuh tirai perjalanan yang bermula 79 tahun yang lalu.
Pengurus kanan korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail berkata, kira-kira 100 penumpang akan mengikuti perkhidmatan terakhir ini dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perkenan menyertai perjalanan terakhir malam ini.
The Malaysian Insider juga difahamkan kereta api terakhir tersebut akan dipandu sendiri oleh Sultan Ibrahim.