Influenza A(H1N1) di negara ini meragut satu lagi korban, menjadi keseluruhan kematian akibat wabak tersebut meningkat kepada 72 orang.

Korban terbaru itu adalah seorang lelaki berumur 49 tahun dan bermasalah kesihatan hepar (hati).

Dia dimasukkan ke Hospital Melaka pada 13 Ogos kerana demam dan batuk selesema selama dua hari serta muntah.

Lelaki itu meninggal dunia pada 19 Ogos disebabkan oleh H1N1 dengan Sindrom Pernafasan Teruk Sistem Respiratori Strok
(ARDS).

Dalam kenyataannya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, sehingga jam 9 pagi ini, seramai 202 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Manakala 285 kes telah dibenarkan pulang. Ini menjadikan baki 1,515 pesakit ILI sedang dirawat di 97 hospital termasuk lima di hospital swasta.

Daripada jumlah ini, katanya, hanya 280 pesakit (19%) yang disahkan positif H1N1.

Daripada kes yang disahkan H1N1, 44 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lima kes merupakan kemasukan baru, sementara tujuh lagi kes keluar dari ICU.

Daripada 44 kes yang sedang dirawat di ICU, 36 (82%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (3), obesiti (12), kanak-kanak/bayi (7), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (3), kegagalan ginjal (4) asma (3) dan immuniti rendah (2).

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula, beliau meminta ibu bapa supaya memastikan hanya menghantar anak mereka yang sihat sahaja ke sekolah.

"Manakala bagi anak-anak yang mengalami gejala demam atau batuk, dinasihatkan terus berehat di rumah sehingga benar-benar sembuh dan tiada lagi menunjukkan sebarang simptom.

"Ini kerana anak-anak yang ada simptom masih berisiko untuk menularkan virus tersebut kepada rakan-rakan mereka yang lain," tegasnya.

malaysiakini.com
Hit: 10 Laman Asal