Selasa, 29 Mac 2011

Kerajaan BN Tidak Pernah Politikkan Soal Pendidikan Rakyat

KUALA LANGAT, 29 Mac – Kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan pelajaran termasuk pendidikan agama, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan memberi contoh pembangunan sekolah sebagai satu bukti komitmen kerajaan BN membangunkan pendidikan beliau berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya tidak kira di mana sahaja, walaupun di negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang seperti Selangor.

Jelas beliau lagi bidang pendidikan ini merupakan tanggungjawab kerajaan, yang tidak boleh dipandang remeh dan dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan anak bangsa termasuk di negeri Selangor.

“Dan sebab itu tidak ada seseorang rakyat, di mana sahaja kita berada terkecuali daripada menerima pendidikan yang cukup baik dan sempurna. Inilah cita-cita dan kepimpinan BN sejak mula sehinggalah ke hari ini.

”Soal pendidikan, kita tahu ia menjadi perkara yang paling utama. Perubahan besar dalam pembangunan negara kita pada hari ini adalah hasil usaha kita dari awal lagi untuk mendidik rakyat dengan ilmu pengetahuan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan Meraikan Ulangtahun 100 tahun Sekolah Kebangsaan Jinjang, dan Sarapan 1Malaysia di sini pagi tadi.

Tambahnya, bidang pendidikan kini menjadi agenda utama kepada negara kerana ia menyumbang kepada pembangunan negera di masa depan.

”Sebab itu, bidang pendidikan diletakkan sebagai salah satu sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Tetapi saya baca suratkhabar hari ini, ada pemimpin pembangkang, tidak percaya dengan apa yang disebutkan Perdana Menteri. Mungkin dia tidak baca dengan buku Transformasi Kerajaan yang telah dikeluarkan kerajaan. Saya cadangkan pemimpin pembangkang dan rakyat semua baca buku tersebut. Dalam buku tersebut, kita dah tulis satu-persatu kejayaan kita,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoal tindakan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan langkah dan pendekatan kerajaan dalam soal pendidikan ini.

“Kita tidak mempolitikkan hal-hal yang berkaitan pembangunan negara. Tidak pernah kita politikkan soal kepentingan rakyat, soal pendidikan tidak kita politikkkan, soal turunkan kadar jenayah tidak kita politikkan, soal meningkatkan pendapatan rakyat tidak kita politikkan, yang mempolitikkan semua itu ialah pembangkang,” ujarnya lagi.

Beliau berkata sekolah bukanlah tempat untuk berkempen serta menegaskan pilihan raya umum juga masih lama lagi.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan berita gembira untuk warga SK Sijangkang iaitu bantuan RM500,000 bagi keperluan sekolah itu dan bantuan bagi membina bilik darjah tambahan.

Guru Besar SK Sijangkang Tomiran Kasimon dalam ucapannya memberitahu bahawa sekolah itu mempunyai 1,418 murid yang ditempatkan dalam 38 kelas dan sepatutnya memerlukan 41 bilik darjah bagi menampung jumlah bilangan pelajar.

Dalam perkembangan yang berkaitan, sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan agama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, hari ini menyampaikan geran bantuan berjumlah RM3.22 juta kepada 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada satu majlis di sini, dengan setiap SABK menerima sebanyak RM140,000.

Pada majlis perjumpaan bersama wakil-wakil sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis di sini sempena lawatan seharinya ke Selangor, beliau turut mengumumkan bantuan pengurusan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) seluruh negara berjumlah RM4.998 juta.

Daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk SAR dan KAFA di Selangor, katanya. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan