Hasan Ali bertentangan dengan prinsip parti - Mat Sabu.
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menganggap tindakan Bekas Pesuruhjaya PAS, Selangor, Datuk Dr Hasan mengkritik Dasar Negara Kebajikan yang menjadi pokok perbahasan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS lalu sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip parti.

Dalam satu temubual bersama TV Selangor, beliau berkata Pas mendasari perjuangan kesepakatan, dan bersendikan panduan Majlis Syura Ulama selama lebih 60 tahun bertarung dalam arena politik tanahair.

"Kita yang berada dalam kumpulan itu boleh mencurahkan pandangan dalam mesyuarat. Dalam mesyuarat kadangkala berlaku ketegangan, meninggikan suara,mempertahankan hujah adalah perkara biasa.

Tetapi bila secara umum satu pandangan diterijma sebagai pandangan Pas Pusat, maka tugas kita adalah mematuhi keputusan.

Saya amat kesal kalau ada di kalangan pimpinan Jawatankuasa Pas Pusat yang ada saluran untuk mencurahkan idea dalam mesyuarat tetapi mencurahkan idea di luar mesyuarat terutamanya kepada media yang selamanya tidak senang dengan parti Islam,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keluh-kesah bekas Persuruhjaya Pas Selangor Dr Hassan Ali yang mendapat liputan meluas media pro-Barisan Nasional, serta kritikan berbalas-balas antara bekas pakar motivasi itu dan pemimpin lain dalam Pas.

Menjawab tuduhan Pas telah menyeleweng dari landasan Islam, Mohammad Sabu menambah mana-mana ahli Pas, khususnya yang pernah menduduki jawatankuasa kerja pusat seperti Dr Hassan Ali sedia maklum bahawa keputusan yang disepakati pasti dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura ini dianggotai oleh pemikir-pemikir Islam yang tidak diragui wibawa dan ketokohan mereka. Ditubuhkan sejak 1983, majlis ini terkenal dengan pantauan ketatnya keatas

strategi dan pembikinan dasar parti bagi memastikan ia selaras dengan kitab suci Islam.

"Saya hairan mengapa negara kebajikan dijadikan isu sedangkan negara kebajikan adalah diluluskan di muktamar. Itu ucapan dasar Presiden [Abdul Hadi Awang]. Kita
sebagai ahli harus akur kerana ia keputusan muktamar, bukan keputusan individu,"katanya.

Meneruskan hujahnya, Mohammad Sabu berkata Negara Kebajikan ini disepakati semua pucuk pimpinan parti sebagai penegasan semula komitmen Pas kepada perjuangan politik Islam.

"Perjuangan untuk menegakkan negara kebajikan dalamnya terkandung negara Islam itu sendiri. Ini bukan perkara baru, telah beberapa tahun kita tekankan negara kebajikan ini.

Cuma tahun ini kita pertegaskan lagi iaitu pembentukan negara yang diisytihar Allah sebagai negara yang bentuknya baik (untuk semua), berkebajikan dan mendapat pengampunan Tuhan.

Umumnya diceritakan dalam negara kebajikan, tetapi syarahnya dijelaskan dalam buku jingga. misalnya dalam negara kebajikan tidak dijelaskan berapa elaun yang patut diberi pada kaum buruh bulan-bulan.

Negara kebajikan hanya ditekankan dasar umum iaitu kerajaan bertanggungjawab memberi keselesaan kepada rakyat, tetapi butirannya terdapat dalam buku jingga,"katanya






Hit: 12 Laman Asal