SPR didesak saman, jangan biar fitnah bermaharajalela
Ahmad Maslan mengesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaman pihak-pihak yang menyebarkan fitnah berkaitan suruhanjaya tersebut. Beliau berkata, tindakan itu perlu untuk membersihkan nama SPR, sekali gus menghentikan fitnah yang disebarkan pembangkang mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). "Apa yang dilakukan pihak ini perlu kita tangani. Saya syor SPR saman pihak-pihak yang buat fitnah. Hanya dengan cara ini dapat bersihkan nama SPR. "Jangan biarkan fitnah bermaharajalela dan rakyat berfikir kerajaan yang ada tidak sah sedangkan kerajaan dipilih secara sah oleh rakyat,"  Beliau ditemui selepas Majlis Penerangan Pasca-PRU-13 di PWTC di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof yang menjawab segala tohmahan terhadap SPR berkaitan PRU-13 yang lalu. Antara yang diterangkan termasuk isu pengundi hantu, blackout, dakwat kekal dan undi popular. Ahmad Maslan berkata, fitnah yang disebarkan pihak pembangkang boleh menjejaskan nama baik negara. "Bukti tohmahan dan fitnah mudah ditemui kerana ia dilaporkan dalam surat khabar rasmi pihak tersebut," kata Ahmad Maslan. Beliau turut mencabar agar pembangkang memanggil SPR untuk memberi penerangan secara langsung mengenai isu yang ditimbulkan mereka. "Tak ada sebab SPR tidak terima pelawaan, kalau UMNO minta penjelasan SPR boleh datang, tak mungkin SPR tak pergi jika dipelawa oleh pakatan pembangkang. Ini bukan cadangan ini cabaran,"
Hit: 19 Laman Asal