Bunuh diri kecewa cinta
Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
2010/03/08 ALOR STAR: Gara-gara kecewa dalam bercinta, seorang remaja berusia 18 tahun sanggup membunuh diri dengan terjun ke Sungai Kedah, di sini, sebelum mayatnya ditemui terapung berhampiran Kampung Sakan, di sini, pagi semalam.

Mayat mangsa, Ng Eng Hoo dari Taman Glorious, Jalan Langgar, di sini, ditemui terapung di sungai itu oleh seorang kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kira-kira 30 meter dari Rumah Pam Taman Intan di kampung itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Kakitangan terbabit, Mohd Zaini Musthafa, 45, berkata dia terkejut apabila objek terapung yang ditemui di sungai berkenaan yang disangkanya patung sebenarnya mayat manusia selepas ia cuba dimakan biawak.


“Saya ingatkan patung kerana rambutnya berwarna perang. Namun, apabila ia beralih kedudukan terlentang selepas digigit biawak, ketika itulah saya tahu ia sebenarnya mayat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Mohd Zaini yang bertugas di rumah pam berkenaan, berkata sebelum itu dia memberi ayam peliharaannya makan di rumahnya berhampiran kawasan itu sebelum tiba-tiba ternampak mayat berkenaan.


“Sebaik menyedari ia sebenarnya mayat, saya terus menghubungi polis,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abd Ghafar Rajab, ketika dihubungi, berkata mangsa yang bekerja sebagai pembaiki alat pendingin hawa keluar dari rumahnya pada jam 10 malam Jumaat lalu selepas bergaduh dengan teman wanitanya.


“Mangsa kemudian tidak pulang ke rumah sehingga malam esoknya sebelum ibunya membuat laporan polis kira-kira jam 8.30 malam, Sabtu lalu,” katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat sebelum disahkan kakak dan adiknya berdasarkan rantai emas, subang serta gigi depan yang terserpih.


Mayat Ng yang berseluar pendek hitam paras lutut dan berkemeja-T warna biru serta tidak berkasut itu ditemui dalam keadaan hampir busuk dipercayai tenggelam di sungai berkenaan lebih 24 jam. Terdapat juga kesan luka di leher dan pipi mangsa dipercayai kesan gigitan biawak.


Abd Ghafar berkata, polis menolak sebarang kejadian jenayah dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.
Hit: 17 Laman Asal