Tuesday, December 20, 2016

Alangkah beruntungnya saya.

Saya dah lama tidak memandu jauh. Kali terakhir ialah lebih dua tahun lalu bila saya ke Cameron Highlands dan seterusnya ke Kelantan. 

Hujung minggu lepas saya menerima pelawaan anak dan menantu saya untuk mengikut mereka ke Pulau Pinang untuk semalam sahaja. Pemergian ke Pulau Pinang berjalan lancar seperti biasa. Kami menaiki Jambatan Kedua kerana hotel kami terletak di Teluk Kumbar.

Untuk balik kami ingin menaiki Feri. Oleh itu kami terpaksa ke utara menuju Georgetown. Kenderaan mula sesak bila kami mendekati Georgetown. Setelah membeli sedikit jeruk di Penang Road kami pun menuju Feri. Kenderaan juga sesak dan setelah melihat barisan panjang untuk menaiki Feri kami membatalkan pilihan tersebut. Kami menaiki Jambatan Pertama ke tanah besar Semenanjung.

Kenderaan banyak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Hujan juga turun sekejap-sekejap, kadang-kadang lebat. Antara Bukit Gantang dengan Bukit Berapit kenderaan bergerak perlahan dalam hujan. 

Selepas Kuala Kangsar saya nampak dua buah kereta Toyota Vellfire berwarna putih menghalang di laluan laju. Rupa-rupanya mereka berlanggar. Tak tahulah sama ada merka dari satu kumpulan kerana jenama kereta dan warna adalah sama. Kedua-duanya kemudian beralih ke laluan kecemasan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Selepas Sungai Perak kenderaan lagi perlahan. Tetapi syukurlah tidak ada halangan apa-apa. Kenderaan bergerak lancar setelah melepasi Terowong Menora ke selatan. Tetapi dari Simpang Pulau kenderaan kembali perlahan sehingga berhenti beberapa kali. Hujan turun renyai-renyai dan kadang-kadang lebat. 

Selepas Gua Tempurung saya menyaksikan kereta yang betul-betul di depan saya melanggar kereta di hadapannya. Mujur juga ini berlaku bila kenderaan bergerak perlahan dalam 5 km/j. Kami berada di laluan kanan dan kedua-dua pemandu keluar untuk memeriksa kenderaan mereka. Agaknya pemandu depan saya itu hilang konsentrasi seketika. Saya terpaksa berpindah segera ke lorong kiri. 

Kenderaan cuma bergerak lancar selepas Rawang. Anak dan menantu saya menyimpang ke rumah mereka di Sungai Buloh dari situ sedangkan saya terus ke Seremban. Saya hanya sampai ke rumah pada pukul 12.30 malam setelah memasuki Lebuhraya PLUS lebih kurang pukul 2.30 petang. Kami juga berhenti untuk solat dan makan di Juru dan Ulu Bernam.

Macam-macam perangai pemandu yang saya lihat. Yang melucukan saya ialah melihat pemandu yang asyik menekan brek. Mereka ini takut sangat orang lain memotong mereka walau pun dalam keadaan kenderaan merangkak. Dari itu mereka memandu rapat dengan kenderaan di hadapan untuk tidak memberi ruang dipotong. Akibatnya bila kenderaan di hadapan sudah terlalu rapat mereka terpaksa brek.

Nasihat saya kepada mereka ini bila kenderaan di hadapan perlahan atau terhenti lepaskan saja kaki dari menekan minyak. Bila kenderaan di hadapan bergerak atau mula laju baru tekan minyak semula. Dengan cara ini penumpang kita tidaklah terhangguk-hangguk jadinya.

Agaknya keadaan sesak ini sering dialami oleh pemandu-pemandu yang melalui Lebuhraya PLUS di utara Kuala Lumpur. Mujurlah saya tinggal di Seremban. Saudara mara saya dan isteri pula berada di sekitar Lembah Kelang, Negeri Sembilan dan Melaka. Kemana-mana juga saya tidak mengalami kesesakan.

Alangkah beruntungnya saya.

No comments: